Sunday, 23 March 2014

Pantulan 32/14 sajak Ahmad Sarju, “Dalam Diri Bangsaku”

Pantulan 32/14

Dari segi semangat, nampaknya masyarakat belum banyak berubah, sedangkan kalau tahun 1970 dijadikan penyukatnya, 44 tahun sudah kita menghirup suasana, perutusan sajak ini dahulu sudah mencukupi untuk menimbulkan rangsangan dan jadilah mesejnya …. kini langka (?) ….. Maknanya, tidak perlu sajak-sajak lain dicipta mencoret mesej atau tema yang sama; sebab kita pada hakikatnya sudah dalam abad baru yang muda, generasi dahulu telah pergi, atau menua dan diganti pelapis yang kuat kuasa kudanya! ‘Malangnya’, lakaran karyawan ini tetap malar dan segar-bugar. Semasa. Ini benar kalau kita baca semula karya teman fbku Ahmad Sarju, “Dalam Diri Bangsaku”, DIAN, bilangan 63, Tahun XII, 1973, muka surat 95. Ya! Kerana kita belum berjaya di menara, bahkan dalam sebahagiannya tetap tercorot hina menjalani kehidupan di dunia, maka yang dinukilkan penyajak yang sudah terpahat nama ini harus terpakai: “kerana di hadapanmu ada padang perlumbaan/yang harus diharungi dengan kecekapan/dan berani meneguk kepahitan.” Sajak ini mudah, namun pembaca marhaen pasti lebih memperoleh faedah mental tersembunyi, jika diperjelas intipatinya seperti seorang guru mengajar di sekolah. Tiap-tiap sepatah perkataan, kalimat dan keseluruhannya boleh dikembangkan demi impak maksimum, yang kalau tidak, akan terus terbenam ditindih helaian ciptaan yang menyusuli.

ASKAT: Ataukah mereka ini tidak sesuai dirayu, digesa? Jika benar, haruskah dipaksa, disuap, dibiarkan melara? Sejarah mencatat hampir semuanya yang perlu diketahui dan diteladani atau disempadani. Belum semuakah kita membaca mengkaji dan sedar sendiri? Barangkali warwaran tidak boleh terhenti, siapapun yang memegang tali kemudi.

Nota: Sajak ini termuat juga dalam kumpulan sajak Ahmad Sarju, “Bunga Waktu”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, cetakan pertama, muka surat 49.
 — at DIAN, Bil. 63, Tahun XII, 1973.

Thursday, 20 March 2014

Percikan Sipi 1/14, sajak Rudi Mahmood, “Menggulung Luluh (3)”

Percikan Sipi 1/14

Demi beralih tumpu sedetik, kubeleki lembaran lain yang tercapai di sisi. Agar tidak melencong dari amali, jangan teralih ke era kini, dan tanpa meramas rapat, terusik ralik oleh sajak berseni lagi berisi murni menuntut cungkilan mendalami, “Menggulung Luluh (3)”, Dewan Sastera, Bil. 3 2014, muka surat 75. Rudi Mahmood, sentiasa terbukti menggaru qalbu, mendera minda!

ASKAT: Aku termenung lelah/terasa indah tergubah/biarlah diredah basah mengaliri hati/nanti kujelangi sedemi erti/sejelas maknawi.
 — at Dewan Sastera, Bil. 3 2014

Pantulan 31/14, sajak Norhisham Mustafa, “Aku Belum Memalingkan Muka”

Pantulan 31/14

Di petang-petang begini, dipermantap tekad hatiku agar terus mengabdi kepada Ilahi oleh penulis tak pernah letih berbakti, Norhisham Mustafa, lewat sajak beliau “Aku Belum Memalingkan Muka”, Pengasuh, bilangan 429, Januari 1978, muka surat 26. Ternyata, 36 tahun dahulu pun cabaran menggegarkan iman sudah mercup dalam masyarakat. Para penganut agama suci terdedah goyah, mahu tidak mahu melangkah “… melewati keruntuhan begini”. Alhamdulillah, sangat teguh imannya, seperti tertonjol, “hanya kesediaan untuk setia/dan tidak memalingkan muka/akan melazatkan gegaran begini/sementara tak lagi ada dinihari.” Kita mendoakan semoga demikian sentiasa, lama manapun ruang masa yang masih terbuka.

ASKAT: Kekufuran, kejahilan, kemaksiatan, kesesatan, kehancuran, kedurhakaan dan yang setandingannya terhadap perintah Allah SWT terbukti bukan perkara baru. Sejarah menunjukkan sejak Adam a.s lagi, telah berlaku. Lama kemudian, apabila Islam berjaya mengungguli dunia, golongan yang tidak sebulu tetap ada dan saling bermusuhan, bertikai-tikaian. Apabila kekuatan Islam dihancurkan, dan musuh-musuh Islam menguasai semua segi, ditambah perpecahan tanpa henti oleh umat Islam sendiri, maka pilihan yang ada lagi ialah untuk individu Muslim sejati kembali berpegang kepada perintah-perintah Ilahi. Pun, tidak semua sanggup menghadapi, lalu lebih banyak mereka bercakaran lagi, bahkan pada abad ini, abad akal menguasai. Tentulah tidak bijaksana menolak wawasan Islam sejati. Tetapi, nampaknya sangat bergantung perjuangan jangka panjang itu kepada kekuatan diri peribadi; yang bakal menyedari tentang hikmah permuafakatan ummah, lalu bangkit dalam persatuan dan memperkukuh serba-serbi aspek yang diperlukan supaya dapat dihadapi tantangan – pada peringkat individu dan sekali gus kenegaraan, kemuncaknya di seluruh alam.
 — at Pengasuh, Januari 1978.

Wednesday, 12 March 2014

Pantulan 30/14 sajak WAHBA berjudul “Kemungkaran”

Pantulan 30/14

Teman fbku yang amat jarang kujelang hasil tulisannya, WAHBA menjenguk datang dalam rupa sebuah hasilan sajak berjudul “Kemungkaran”, Utusan Kiblat, Februari 1975, muka surat 56. Beliau menebarkan kegelitaan, membayangkan bahawa 40 tahun dahulu masyarakat kita telahpun karam beransur tenggelam dalam kemaksiatan atau “kemungkaran”. Demikian, bahkan lebih awal dari itu, seperti jelas mengikut kata Wahba (Wan Hamzah Awang Wahba), "Telah lama kita jadi penderhaka”, “menubrak dada iman”. Manusia sudah lupa beribadat kerana “siang kita jadi abdi pada rezeki”, “malam kita sujud pada lumpur hanyir”, “dan terbenam sendiri”. Betapa tidak harmuni dan sucinya kehidupan dahulu, pada tahun-tahun 1970-an!

ASKAT: Kalau kita mengkaji, kita akan ketemui unsur-unsur kebaikan dalam masyarakat dan malangnya juga terjumpa dengan unsur-unsur keburukan, berlaku serentak, berleluasa – dalam erti positif dan negatif. Dalam sejarah bangsa kita menjadi penganut Islam, kedua-dua aspek ini seakan ‘maju’ berkompromi. Ada kelompok yang mendukung setiap aspek dan ada juga yang mereka dukungi tergembleng, seperti dalam melakukan ibadat, kesesatan tidak diketepikan lantaran dipengaruhi oleh anutan atau kebudayaan yang bercampur baur dengan pegangan adat atau budaya luar yang asing dan menyeleweng . Nusantara atau alam Melayu, sudah terkenal melahirkan para ulama yang tersohor, menerbitkan kitab-kitab agama yang unggul dan golongan pengikut yang taat mendukung ajaran Nabi. Tetapi sama ada pada zaman berkerajaan sendiri, atau ketika terjajah bahkan setelah merdeka pun, kebatilan tetap berterusan. Nampaknya tidaklah tepat untuk mengatakan generasi dahulu lebih maju atau jahil menjalani kehidupan berbanding dengan generasi-genarasi pada masa-masa yang lain. Kemajuan dalam teknologi tidak semestinya mengangkat martabat diri atau kemanusiaan dan begitulah bakal berterusan sampai kesudahan. Keadaan begini tidak seharusnya dihairankan kerana ia tidak muncul berkekalan hanya di sini bahkan merentas sempadan, dalam dunia Islam, di Timur, Barat, Utara, dan Selatan. Maka, yang seharusnya dilakukan ialah sentiasa menyedari bahawa kehidupan ini ada tujuan utama iaitu memperhambakan diri ke hadhirat Allah Subhanahuwataala dan semoga dengan ingatan demikian tertanam tekad untuk tidak menjadi kufur terhadap nikmat dan anugerah-Nya.
 — at Utusan Kiblat, Februari 1975.

Pantulan 29/14 sajak Azmi Yusoff, “Di Suatu Taakulan”

Pantulan 29/14

Aku tidak tahu berita terkini tentang teman fbku Azmi Yusoff. Semoga beliau sihat-sihat sahaja, insya-Allah. Pun begitu, tidak pula terhenti hasratku memantul tentang kewujudan insan setelah menghayati sajak beliau, “Di Suatu Taakulan”, Al Islam, Januari 1977, muka surat 33. Cukup mudah dan berisi pasrah. Kata Azmi, “… kita akan selamanya teruji/oleh kebesaran dan keagungan Ilahi.”

ASKAT: Kalaulah hendak dibandingkan antara Khalik dengan makhluk, perbezaan yang terserlah dalam semuanya, ya semuanya, tiada akan memberi kesan lain kecuali pengakuan jitu tentang kekerdilan diri. Malangnya, dalam pengakuan mutlak begitu pun, kerelaan untuk terus mengabdi kepada-Nya tidak sentiasa meningkat. Kadang-kadang, dalam usia yang bertambah pun, kejahilan sentiasa menjengah dan terpaksalah berazam semula untuk kembali menyerah. Inilah hakikatnya. Manusia sentiasa menduduki peperiksaan berterusan, tanpa henti. Dan alangkah bertuah dan bersyukurnya kalau ujian wajib ini kita lulusi, pada tingkat cemerlang.
 — at Al Islam, Januari 1977.

Monday, 10 March 2014

Pantulan 28/14 sajak Norhisham Mustafa, “Hanya Nama itu”

Pantulan 28/14

Sajak yang berisi atau berbuah bukan pula mudah digubah. Itu sebab kita tidak sering ketemu yang begitu. Pendek atau panjang kalimatan atau rangkapan tidak jadi asas mengukurnya. Memang kerap boleh dibaca sajak yang panjang berjela(-jela) tetapi tidak tertawan hati kita, lalu meletus bosan serta-merta. Beruntunglah, ada yang dalam keringkasan patah-patah kata-katanya, kita teruja mengamati, mengunyah-ngunyahi berahi disebabkan mencuit rasa nurani. Dan sajak nukilan karyawan cekalan, Norhisham Mustafa, “Hanya Nama itu”, Utusan Kiblat, Disember 1972, muka surat 27 tidak terkecuali, termasuk dalam kategori berjaya mengilhami manusiawi. Kehadiran Tuhan Yang Maha Besar pada semua ketika, terlibat dalam semua ehwal, tanpa insan dapat terlepas dari-Nya. Begitu juga makhluk-makhluk lain - unggas mergastua dan lain-lain yang bernyawa tidak terlindung dari kudrat-Nya. Yang aku senang sekali, apabila Norhisham, menggemblengkan alam dan isinya – “pepohonan”, “burung-burung bersiul” , “kupu-kupu” menikmati “madu” , “ikan-ikan bernyanyi”, “berselamanlah”, “ke kali”. Diperkukuhi beliau lagi dengan, “fakir-fakir yang rindu”, “insan-insan yang sunyi”. Maka, jelaslah betapa berkuasa Tuhan kita, betapa indahnya dunia, betapa tersentuhnya jiwa kita oleh ke’setia”an-Nya.

ASKAT: Tidaklah tersasar, kalau saya petik maksud Ilahi, “Maka karunia manakah dari Tuhanmu,/Yang kamu (manusia) dan kamu (jin) dustakan?” (H.B. Jassin, , Bacaan Mulia, Ar-Rahmān, ayat 13, muka surat 749). Dan kalau dirujuki makna-makna Asmaul Husna maka tiadalah lagi kita akan bangga diri kerana jelas benar hinanya kita selaku hamba-Nya, sedangpun kita di bumi. Tentulah di akhirat nanti kita mengharapkan kebaikan dari limpahan rahmat-Nya jua. Adalah kewajaran yang berkekalan, bahawa sajak dengan sendirinya harus membangkitkan rasa kekerdilan diri, sekali gus menjurus langkahan-langkahan maknawi di kalangan pemberahi. Temanku telah beribadah dengan luahan rasa murni.
 — at Utusan Kiblat, Disember 1972.

Pantulan 27/14 sajak Ami Masra, “Melangkah ke Ambang Terang”

Pantulan 27/14

Teman fbku Ami Masra, mengajak kita berbakti melalui sajaknya, “Melangkah ke Ambang Terang”, Dakwah, Februari 1995, muka surat 53. Lantaran itu, kita tidak lagi harus membiarkan diri hanyut, “…termenung/termangu/dilalaikan …” Sebaliknya buatlah yang bererti “… kepada diri/keluarga, masyarakat dan/negeri”.

ASKAT: Adalah suatu yang mulia kalaulah kita dapat sebatikan nilai-nilai luhur ke sanubari. Semoga, dengan begini tercetuslah satu rasa kecintaan untuk meninggalkan pusaka yang berguna kepada kaum keluarga, masyarakat dan negara. Dalam menjalani kehidupan, semenjak kecil hingga dewasa, ada pelaburan sebenarnya ditanam oleh pihak-pihak lain di sekitaran kita. Mereka adalah kalangan warga seperti kita dan juga berupa institusi berbagai fungsinya, rasmi dan sukarela. Oleh sebab kita menjadi sebahagian daripada rangkaian yang tidak terasing, terputus atau terpisahkan maka kewajaran dalam berinteraksi tidak lain kecuali untuk membina; tidak sebaliknya, yang tiada berguna. Kesedaran tentang hal ini mudah timbul kalau kita prihatin terhadap matlamat bersama, meraih kebahagiaan hidup di dua alam, fana dan baqa. Kelalaian tentang peranan asasi ini menjadikan seseorang tidak sangat bererti kerana ia tidak bersemangat untuk berbakti dan berjasa. Kepuasan bernafas tiada sebarapa, berbanding kalau pencapaian kita dicetus oleh kebertanggungjawaban untuk sebanyak-banyaknya berusaha meninggalkan nama mewira. Tentulah peribadi yang ternama, tetap merendah diri, berubi yang berisi. Namun, hakikatnya, kebaktian memercikkan haruman semerbak dengan sendirinya, oleh sebab orang lain arif makna dan pasti menyanjunginya. Kemudian bertambah berlipat ganda pendokongnya.
 — at Dakwah, Februari 1995