Saturday, 17 January 2015

Pantulan 8/15: Sajak Zurinah Hassan, “Pada Ketetapan Ini”

Pantulan 8/15: Pengakuran
Sajak Zurinah Hassan, “Pada Ketetapan Ini”, Dewan Budaya, Ogos 1983, muka surat 55, walaupun sudah 32 tahun muncul, masih unggul. Sampai bila pun akan sentiasa semasa. Kerana, hakikat paling diakuri semua ialah yang bernafas akan mati. Tetapi setiap orang diberi kesempatan memakmurkan penghidupan sendiri di dunia ini sedaya upayanya. Alangkah mudahnya jika dalam menuju perhentian, ia tidak teruji dan mencapai semua yang dikehendaki. Demikian tidak pernah berlaku kerana di dunia ada dua seginya; adil berlawan dengan zalim, berkuasa tak sama dengan marhaen, bijaksana berlainan kejahilan, …. Tetapi kematian tetap kematian. Bukan terhak pada segelintir bahkan untuk semua. Bukankah itu sungguh adil? Maka, sekurang-kurangnya, kita wajar bersyukur telah diluangkan kesedaran menerima peraturan bahawa untuk bahagia di alam baqa, persediaan serapinya, perlu ada. Di sana, pengurusannya tak sama. Keadilan itu sebenar-benarnya ada dan kematian itu tiada lagi. Yang berbakti bererti dan pasti, yang sesat menerima akibat teramat berat.
ASKAT: Persoalan ini relevan. Sebab, kehidupan adalah berterusan sampailah Kiamat terjadi. Masa yang ribuan tahun panjangnya (insya-Allah) hanyalah sementara. Maka, dalam kesementaraan itulah segala-galanya berlaku, termasuk keadilan yang tidak terkendali. Sangat banyak kekurangan manusia. Walaupun telah lama bertamadun, kesengsaraan, ketidakpuasan, pertelingkahan berterusan sesama manusia, menderakan pihak-pihak yang terbabit. Tanpa nampak penyelesaian. Mereka belum menemui formula membahagiakan hidup, pada peringkat individu, kelompok, masyarakat, negara dan dunia. Sejarah telah ditulis. Sedang dan akan tertulis berjilidan lagi. Kalau dihayati setakat yang ada pun, sudah lebih daripada mencukupi untuk memberikan pedoman bagi mewujudkan keadilan berkekalan. Tetapi keadilan barangkali bersegi-segi dari perspektif pelbagai pihak. Maka persaingan dan kemenangan menjadi kelaziman. Yang kalah tentulah tertekan dan memendam dendam untuk bangkit mengungguli di lain zaman. Jadi, hidup ini benar-benarlah suatu perjuangan.
— at Dewan Budaya, Ogos 1983.


Pantulan 7/15: Sajak Rudi Mahmood, “Kemarau”

Pantulan 7/15: Kepedihan
Sajak Rudi Mahmood, “Kemarau”, Dewan Budaya, Februari 1982, muka surat 35, muncul ketika kita berduka dilanda banjir seberang jangkaan kotak fikir. Pejuang kita menggigih diri, sungguhpun ternyata bahawa pengekalan sesuatu dalam milik sudah tidak pasti lagi. Sebahagian telah hancur lebur, sedang yang ada menyerlahkan keporakperandaan tanpa terlindung lagi. Maka ternyatalah, serupa banjir, dalam “kemarau” pun, penghidupan tidak jauh berbeza berantakan serta memunahkan. Buktinya, “alam kehilangan nafas/dan suara.” Tak perlu lagi peri, kerana semuanya seterang pancaran cahaya mentari. Hala yang dituju, gelap dan buntu. Tak bersempadanan dan tanpa perhentian. Aku merasakan, segala-galanya sudah tidak berdaya menghadapi malapetaka dan yang pasti waktulah memuktamadkan jalur sejarahnya.
ASKAT: Alangkah berbaktinya sajak, walaupun berupa susunan ungkapan diseliputi makna bergerhana. Gegaran kata-kata benar-benar mencalar rasa, dan menyelinap terus ke lubuk peka. Dan, urutlah setiap biji tuturnya. Demi meng‘erti’kan impak wujudnya.
— at Dewan Budaya, Februari 1982


Pantulan 6/15: Sajak Salmiah Ismail, “Jawapan yang tidak Pasti”

Pantulan 6/15: Erti kesetiaan
Sajak Salmiah Ismail, “Jawapan yang tidak Pasti”, Dewan Masyarakat, Mac 1985, muka surat 56, menusuk kalbu, oleh debaran keresahan yang berdenyutan kerana perpisahan yang entahkan bakal membahagiakan atau menderitakan. Kuharapkan perindu rela berkorban seketika. Sayugianya “perantau” tidak hilang punca sampai terlupa untuk menjenguk orang yang mengasihi, lagi sabar menanti. Alangkah bererti suatu penantian, jika yang ditunggu-tunggu setia pulang bertemu, menjalinkan semula ikatan yang sedia terjalin lama. Maka, yang seharusnya didoakan ialah kedua-dua pihak saling menghormati, mematuhi janji. Baharulah kepastian tidak tergolek ke sana ke sini, menghauskan uratan, melunturkan kesepakatan insani saling mengenali.
ASKAT: Kesepian ditemani kesendirian, lebih lazim menderakan sungguhpun adakalanya kita berharap kesunyian menjelma dan dalam suasana demikian kita boleh bertafakur, merenung sejauh mana kita bererti, berbakti pada usia ini, di bumi Ilahi. Kegigihan menggelumangi derita, oleh pelbagai tekanan, baik lantaran berurusan tak kena, terhalang cinta oleh hati tidak serasi lagi, enggan berpisahan sementara demi kebaikan masa depan yang belum menimbulkan keyakinan jitu, dan lain-lain lagi kepincangan, tetap perlu kerana masa depan belum “pasti”, tidak sentiasa diwarnai keceriaan. Asuhan yang tepat tidak akan menjerumuskan diri ke kancah kepunahan. Peribadi yang terbina dengan keluhuran sifat-sifat mulia, kekuatan ilmu berteraskan ketaqwaan akan mampu medepani serba-serbi ujian, walau sebesar mana pun cabaran, selama mana dan sekencang mana pun pembadaian. Aku suka pada yang positif. Walaupun tidak nampak ganjaran faedah menerjah kini, penerusan langkahan tetap sewajarnya ke hadapan. Mudah-mudahan berlimpahan kerahmatan sampai di perhentian.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam kumpulan puisi “Kepada Sahabat”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, cetakan pertama, muka surat 12)
— at Dewan Masyarakat, Mac 1985


Pantulan 5/15: Sajak Ahmad Sarju, “Seharusnya”

Pantulan 5/15: Nekad
Sajak Ahmad Sarju, “Seharusnya”, Dewan Masyarakat, Julai 1984, muka surat 60, mengajak kita tidak lagi menunggu-nunggu. Sekaranglah waktunya untuk menentukan pendirian. Demi kebaikan kita, sekarang dan pada masa hadapan, pertimbangan janganlah dibiarkan menguasai dengan berkesudahan yang tidak menguntungkan pihak-pihak yang berhak. Sekiranya kelemahan diri bakal memudaratkan kelangsungan, tidaklah lagi bijaksana dipertahankan pendekatan yang sedia diamali. Tidak bermanfaat bersikap apologetik. Pihak yang lain akan tetap meraih faedah, menikmati habuan, sedang tanggungan natijah deritanya dikemam sendiri lalu berubah menjadi warisan.
ASKAT: Apa yang berlaku bukanlah semuanya kita sendiri yang menentukan. Tidak semua urusan di bawah bidang kuasa. Budi bicara pun ada pada orang lain. Maka kita hanya boleh menyeru, mengsyor, berdoa, bertawakal. Semoga ada orang bersedia meneliti pandangan atau perakuan yang kita kemukakan dan sanggup pula mendukungnya. Jika begitu berlaku, tercapailah hasrat semula dan kita diakui pencetus idea, pejuang handalan, memiliki saham dalam usaha-usaha pendaulatan. Dalam penghidupan yang berpancaroba, kalau kita tidak terhalang mengeluarkan idea, menyuarakan luahan, berprinsip sendiri maka sudahlah boleh kita bersyukur, tidak terpinggir menggigit getir. Yang sangat diharapkan ialah kesekataan atau permuafakatan. Kalau demikian boleh terzahir, maka terlonjaklah kita sebagai bangsa berbudaya bakal menempa tamadun tersanjung berkurun.
— at Dewan Masyarakat, Julai 1984.


Pantulan 4/2015:Sajak Siti Zainon Ismail, “Di Halaman Masjid Lama”

Pantulan 4/2015: Pengertian
Sajak Siti Zainon Ismail, “Di Halaman Masjid Lama”, Dewan Masyarakat, Julai 1982, mengajak jemaah atau musafir yang singgah di masjid merenung hakikat kewujudan di depan mata pada sebuah tempat ibadat yang “terlalu lama untuk usia kita”. Tak kiralah masjid yang mana! Aku kira kalau hendak menghayati sepenuhnya, kita harus tahu latar belakang atau sejarahnya. Juga, tentang Melaka sebagai kerajaan besar dahulu kala atau perkembangan seni reka masjid khususnya. Aku tahu ada juga seorang Bendahara bergelar Paduka Tuan, iaitu selepas Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang kaya raya itu. Pun, suatu ketika ada juga diceritakan Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po hingga berputerakan Paduka Mimat. Selain itu, pembacaan karya ini seterusnya bergantung kepada tafsiran sendiri-sendiri.
Maka, “masjid lama” tetap bersejarah kerana “… tersirat/lewat garis dan ukir”. Di serata tempat dan pada bahan-bahan yang membinanya, ada makna dan perutusan menuntut kefahaman. Tanpa kesediaan dan kesungguhan menggali erti semua yang terpamer atau tertabir, maka tiadalah faedah boleh diraih, tiada hikmah dapat dijamah. Kehadiran atau penyinggahan akan menjadi suatu yang biasa-biasa sahaja. Kita menjadikan warisan nenek moyang itu sekadar tempat menunaikan fardu ain, atau melepaskan lelah sebelum berpergian lagi.
ASKAT: Kita ada tanggungjawab harus dikendali kerana semuanya yang menjadi warisan nenek moyang itu memercikkan tahap pencapaian pada zamannya. Ia harus dihargai. Ada pengajaran perlu digarap walaupun telah bersenggang panjang. Gemblengan budaya diantara anutan penduduk asal yang diperkaya oleh unsur-unsur luar, melalui kebijaksanaan yang berwibawa, telah menjelmakan suatu wajah yang “menjadi milik bersama” . Paling kurang kita harus bertekad menjaganya.
— with Imannurdin Wira at Dewan Masyarakat, Julai 1982 .


Tuesday, 6 January 2015

Pantulan 3/2015: Sajak Rogayah A. Hamid, “Kolam Renang Mimaland”

Pantulan 3/2015: Batasan
Sajak Rogayah Hamid (Rogayah A. Hamid), “Kolam Renang Mimaland”, Dewan Masyarakat, Jun 1982, muka surat 55, mengingatkanku pernah sekali dua berkunjung ke situ pada hujung minggu, dalam dua masa yang jauh senggangnya. Teringat juga, pada kunjungan terakhir, tiadalah ramai mereka yang berlibur, mungkin oleh sebab kemudahan yang semakin tidak terjaga atau sebab-sebab lain. Tetapi menyelak, baris-baris sajak ini, sambil mengintai “tubuh kuning” dalam “keindahan semula jadi” yang “sepi” akupun menajam diri pada falsafah yang tercungkil dari “apabila semuanya telah terbuka/tidak ada lagi yang luar biasa”.
ASKAT: Dari perspektif diri, kerahasiaan sesuatu, pada kala-kalanya harus sentiasa terpelihara. Edaran masa memang menggantikan. Lalu seharusnya ada atau dituntut penyesuaian, agar tidak dianggap kolot, ketinggalan zaman. Namun, maruah tidak seharusnya sekali-kali dibiarkan tercemar, diperkotak-katikkan demi kesementaraan dan keduniaan. Walau secebis sekalipun. Sesungguhnya, tiada rugi kita mempertahankan diri dari kerakusan yang tidak langsung memberkati, bahkan meleburkan budi pekerti, pegangan yang dianuti, dan apatah lagi berupa pemungkiran janji. Kehidupan ada tata susila yang menjalin ikatan atau mengawal pergaulan agar manusiawi sentiasa mengakuri batas-batas ketamadunan terpuji. Sayuagianya, kekallah dalam kemurnian. Dalam serba-serbi.
— at Dewan Masyarakat, Jun 1982.

Pantulan 2/2015: Sajak Nawawee Mohammad, “Masa Dalam Sajak”

Pantulan 2/2015: Demi masa
Ketika meninjau-ninjau untuk sesuatu maksud yang lain, terserempak dengan sajak Nawawee Mohammad, “Masa Dalam Sajak”, “Perspektif”, Berita Minggu, 9 Disember 2001, muka 10. Kukira bertepatan, pada tahun baru 2015 ini merakamkan pertambahan usia dengan menggali makna “masa” sementelahan pula, pagi tadi sudah diumumkan seorang ahli kariah kampungku yang sakit beberapa bulan berpulang sudah ke rahmatullah, pada usia 74 tahun.
Karyawan sedaerahku ini berlaku bijaksana, selain merenung hakikat masa, telah pula, dengan kenanya, membandingkannya dengan “pedang” yang diakui “tajam” matanya tetapi kalau tersimpan tak digunakan untuk maksud asalnya, tidak berfaedah apa-apa. Paling-paling, menjadi hiasan di dinding atau kabinet berkaca. Musuh tidak akan gerun dan tiada rugi pula kalau tidak memiliki. Perutusan yang disampaikan berguna untuk semua. Kadang-kadang kita terlupa menghayati dan memanfaati waktu yang tersedia, dan hanyutlah dibawa arus deras zaman berpancaroba. Walau lazimnya, orang muda berpeluang hidup lebih lama lagi, berbanding mereka yang lahir mendahului, yang harus dimengerti, peluang hanya datang tanpa berhenti. Maka, rebutlah ia sebelum tiada kesempatan lagi. Lima x lima perkara.
ASKAT: Kita manusia, setiap detik kian tua. Ternyata, yang bayi menjadi remaja, yang dewasa berubah pesara, lalu pergi apabila sampai seruan Ilahi. Maka benarlah, sebagai firman, “Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-Quran, Al-‘Asr: 103: 2-3)
— at Berita Minggu, 9 Disember 2001