Wednesday, 30 December 2015

Pantulan 83/15: Sajak Solihin Osman, “Kelambu Usia”

Pantulan 83/15: Menjana kurnia
Melintasi sajak Solihin Osman, “Kelambu Usia”, Dewan Sastera, Julai 2009, muka surat 66. (Termuat juga dalam Kumpulan Puisi “Gelombang Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, muka surat 61).
“Kelambu usia …/semakin kelabu diwarnakan kehidupan/ada tompok hitam tertulis/ingatan dari langit cinta.” Dan “Yang direndam hanyalah kelambu usia/ke kolam keinsafan///untuk esok yang menanti/sebuah anugerah fitrah”. Ini sajak yang sarat dengan personifikasi dan metafora dari awal hingga akhir. Pun, setiap satu tidak gelap untuk digarap.
Sudah ghalib, orang terlajak bertindak sehingga timbul penyesalan. Baiknya, ketika sedang muda, sihat sejahtera, kita berhenti berterusan keliru, berfikir secukup waktu dan kembali memilih jalan yang dianjurkan-Nya. Dan Solihin Osman amat yakin inilah pendekatan yang betul. Dengan melihat diri sendiri, merenung prestasi hingga terkini, tidak boleh tidak terlorong arah tuju yang tidak menyesatkan.
Perjalanan hidup seseorang lazimnya berpadanan dengan tuntutan keperluan peribadinya. Agama memberi panduan yang terang, agar bertaqwa, apalagi apabila terlanjur, segera berpaling ketika sedang atau masih diberi kesempatan. Kalau kehidupan diambil sebagai perbandingan, maka ada peringkat-peringkat yang harus dilalui oleh setiap insan - bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, dan tua. Adalah bertuah sekiranya dalam melangkah takah-takah usia itu, seseorang melepasi ujian dengan mendapat pangkat lulus atau lebih baik lagi, kepujian bahkan terbaik pada tingkat cemerlang. Tetapi, latar belakang yang berbeza, memberikan cabaran dan kemampuan yang berbeza pula. Sebahagian gagal awal dan terus kecundang sepanjang hayat. Ada pula yang rebah, bangun, rebah lagi tetapi bangun semula dan akhirnya mencapai apa yang dicari-cari dalam hidup ini. Begitu juga, ada yang lama teruji sebelum sampai ke puncak sedangkan ada yang tidak sangat terdesak (dengan mudahnya) dan masih tetap mengecap nikmat duniawi. Barangkali, yang seharusnya paling kurang diharapi, pengakhiran yang merugi. Semua orang ada peluang mencapai kejayaan, asal tetap gigih dan terarah menuju destinasi. Tidak rugi kalau kita awal-awal lagi menyematkan dalam hati bahawa kita makhluk yang terpuji ciptaan Ilahi dan kerana itu tidak boleh sama sekali mencemarkan status murni itu dengan berbuat dosa dan kemungkaran. Yang mengotorkan usia atau mencorengkan riwayat kita ialah kejahilan peribadi yang menguja ke arah penderhakaan sehingga menyeleweng dari jalan kesempurnaan.
Bersyukur kita terhadap anugerah dan tanda yang sewajarnya menggambarkan kesyukuran itu ialah dengan menjadikan diri seorang insan misali. Tentunya ada pelan tindakan agar niat menjadi.

Pantulan 82/15: Sajak Malim Ghozali Pk, "Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira"

Pantulan 82/15: Lakonan kelabu
Ada puisi perlu dibayar harga tinggi menghayati. Malangnya puisi demikian tidak pula boleh ditolak ke tepi. Dan yang satu ini oleh Malim Ghozali Pk termasuk sekali. ("Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira", Dewan Sastera, September 2008, muka surat 87). Ada sajak bukan hanya untuk orang bijak (mengagak). Sesiapa yang ingin keindahan susunan bahasa boleh juga membaca sambil bercanda tanpa dicuba menggali makna. Dan bagi penikmat, inilah kaedah bestari. Biarkan sajak-sajak begini muncul dan lestari kerana tidak dimengerti maksud asli. Sebab masa, bak wang, sering dimiliki, walau dalam kekurangan, sentiasa tidak memberi ruang berhamparan untuk perahan minda waktu senggang. Namun, baca boleh berulang-ulang. Seharusnya tidak mudah berundur akur.
“Merah derita senja disapa kelam kolam”, “Merah derita senja terbenam di perut malam” adalah pembuka dan penutup yang seimbang. Dan alam telah mengilhamkan, mewarnakan latar perlakuan. Ada “wira berbakat besar”, yang tiba ketika “Merah derita senja terbenam di perut malam” tetapi jangan lupa “seri panggung sudah lama beradu”. Maka kalau pun pentas tetap bersedia menerima pelakon handalannya, tanpa prasyarat, segala-galanya akan sesia. Ya, sia-sia. Tidak syak lagi. Barangkali demikian satu versi reaksi. Pun sajak harus berfungsi, menggamit, mengikat, kerana berseri, tersendiri, memercikkan versi-versi tafsiran sipi lain-lain lagi!

Pantulan 81/15: Sajak Zulkifli Salleh, “Senja di Kuta”

Pantulan 81/15: Menyulam pesona
Lebih 7 tahun yang lalu, penulis prolifik, Zulkifli Salleh terpesona bersenja ketika “suria kian terbenam” di Kuta. Begitu hidup suasana kota Kuta pada saat “senja berlabuh”, dengan pelbagai kegiatan manusiawi. Peristiwa itu kuketahui, kerana terserempak dengan sajak beliau, “Senja di Kuta”, Dewan Sastera, September 2008, muka surat 88. Dalam 8 rangkap, Zul merakamkan kesan dan pemerhatian beliau ketika berada di tempat tumpuan manusia berwisata itu. Yang sangat terkesan padaku ialah kata-kata puitika Zul, di rangkap akhir, sebahagian paling berharga, “Di Kuta/tradisi dan kosmopolitan tersulam indah/terukir kemekaran budaya/kesatuan dalam kepelbagaian”.
Inilah yang kita mahukan. Pembangunan yang melestarikan alam agar manusia beroleh pulangan agam! Betapa kemakmuran yang kita miliki, seharusnya tetap memberi kesempatan untuk kita menikmati keindahan dan manfaat terbaik ketika kita berkunjung ke atau di mana-mana. Lalu tertanya-tanyalah aku: Adakah sekarang, kalau pantai yang kita jadikan asas penilaian, ‘sulaman’ yang Zul katakan itu terserlah, di Pulau Pinang, Port Dickson, Kuala Terengganu, dan lain-lain bandar/destinasi pelancongan yang utama? Sedikit beralih lokasi, aku pernah berada di beberapa lokasi taman negara di negara ini, tetapi sulaman yang Zul senangi itu tidaklah muncul menjolok untuk dibanggakan! Paling boleh kuberitahu ialah kepuasan yang tak terceritakan melihat mentari luruh ke samudera jauh ketika suatu senja berada di Tanjung Piai. Betapa sekali lagi hendak ke sana menontonnya semula!

Pantulan 80/15: Sajak (Mohd Abdullah) Hilmi Rindu lewat “Di Kedai Cincin”,

Pantulan 80/15: Kuman di saujana pandangan
Perhiasan diri yang dipakai untuk tempoh yang sekian lama, apalagi masih tetap begitu berseri-seri, bahkan sampai kini sedang dipakai menghiasi, seharusnya disayangi dan dibelai. Mata jangan kabur oleh gangguan kemilau perhiasan yang sama bukan kepunyaan sendiri, walaupun memang menggoda dan mampu dibeli. Begitulah secara langsung pintalan berharga (Mohd Abdullah) Hilmi Rindu lewat “Di Kedai Cincin”, Dewan Sastera, Jun 2009, muka surat 37.
Yang biasa berlaku, kita mudah terlepas pandang hak milik sendiri yang oleh kebiasaan penggunaannya cenderung mengabui hakikat ketulenan mutunya, walaupun kemilaunya gemerlapan, bahkan boleh jadi lebih mengatasi, berbanding yang kita sedang tenang-tenangi. Maka kukira satu kebetulan yang bererti pada usia senja begini temanku menyerlahkan fikir mindanya secara yang berdiplomasi lagi santun sekali. Banyak perumpamaan orang tua-tua boleh jadi teladan atau iktibar melangkah ke depan. Jangan pula tak kita endahkan!

Pantulan 78/15: Sajak Rudi Mahmood, “Kulihat Rumahmu, Kulihat Tangga Terakhir”

Pantulan 78/15: Menghormati Rudi
Di antara tujuh buah sajak karya Rudi Mahmood, yang tersiar sempena penobatan beliau sebagai “Karyawan Bulan Ini”, Dewan Sastera, Disember 2015, kupilih “Kulihat Rumahmu, Kulihat Tangga Terakhir”, muka surat 21, kerana ia tercipta paling awal, serasi dengan pendekatan pentelaahan harianku, meneliti yang bahari. Dan ini tidak lain untuk menghormati penemuan semula dan pengiktirafan terhadap penyair berbakat besar ini. Pun tak pula mahu aku mengerti setiap patah kata-kata beliau, walaupun setiap satunya tercanai indah lagi mengaduni keseluruhannya. Hanya kalau dipetik seuntai, “di belakangku,/pohon dan perbukitan/semakin mengecil”, lebih dari mencukupi untuk memantul sesuatu yang bererti dalam pengembaraan hidup ini.
Betapalah bertuahnya kita dipanjangkan usia demi menjalani ujian Tuhan. Dengan akal, kita sudah diberi upaya untuk menentukan haluan yang pada akhirnya menjuruskan kita ke pelabuhan. Sangat merugi kalau dengan anugerah itu kita tidak meninggalkan jejak-jejak bertapak bakal disusuli atau dikenang abadi. Berjuta-jutaan manusia telah pernah mendatangi bumi, tetapi hanya segelintir muncul terbilang merentas zaman. Jika kita tidak dapat menjadikan mereka teladan, sewajarnyalah kita boleh dikelompokkan sebagai manusia termalang, hidup seperti layang-layang terputus ikatan. Langkahan kita sentiasa mendekati pelabuhan, dan amatlah bermakna sekiranya dalam menggagahi usia berbaki, jalan lurus yang kita ikuti, bertaburan pula haruman kita limpahkan sehingga orang yang menyusuli bersyukur nyata atau sembunyi-sembunyi menikmati manfaatnya!

Pantulan 79/15 (atau 67a/15): Sajak Solihin Osman, “Sketsa Hayat Kendiri”

Pantulan 79/15 (atau 67a/15): Mencorak Peribadi
Solihin Osman, karyawan prolifik yang baru bersama-samaku hadir di PULARA 6, Pulau Pangkor menjengokku pagi ini dalam rupa sajak berjudul “Sketsa Hayat Kendiri”, Jendela Utara, Ogos 2008, muka surat 30. Jelaslah kebersahajaan beliau seharian bukanlah cerminan prinsip hidup yang dipegangi beliau. Ternyata segala gerak geri, tingkah laku, percakapan, pembawaan adalah hasil dari pemanfaatan daripada pengalaman hidup yang dilalui dan dialami seiring pertambahan usia. Tiada tersesia apapun langkah-langkah menakah usia itu. Semuanya telah memanusiakan beliau seperti tertampil melalui kerjaya dan karya-karya yang mengaliri sungai sastera negara. Bukan pula kedudukan atau tahap masa kini dicapai seperti golekan bola mendatangi. Beliau telah “memijak cabar duri/meredah duga belantara/mengharungi laut gelora”. Setiap sesuatu ditafsir memercikkan baja peribadi.
Aku pun sependapat dengan penyair. Bahawa manusia yang dianugerahi minda seharusnya memaksimumkan ‘harta’ itu untuk menempatkan dirinya pada tempat yang wajar dalam masyarakat dan sejarah. Banyak cerita kejayaan melakar hidup yang boleh diteladani. Dalam semua bidang. Sebagai guru ada tokoh terbilang boleh dicontohi. Sebagai penyair, ada raja penyair boleh diselidiki untuk mengental diri supaya berupaya mencipta puisi-puisi abadi. Kalau semasa hidup kita bertekad untuk berbakti, maka peribadi kita harus terpuji; berilmu, kreatif, disenangi, tidak pernah berhenti berpuisi kerana telah sebati mendagingi dan mendarahi sekujur badani dan rohani. Kala jaga mencipta, kala lena bermimpi sumber inspirasi. Semoga pemerhatian terhadap serba-serbi yang ada di sekitar kita, dengan perahan minda yang ditajami unsur-unsur berfaedah menjelmakan diri kita sebagai insan paling berketrampilan boleh digarap, dengan perkenan Allah. Dengan begitu, nanti tertinggalah sesuatu yang bererti. Kemudian, dalam sejarah manusiawi kita tergolong salah seorang yang terbukti berbakti! Insya-Allah.
(Nota: Aku pernah memantul sajak ini melalui “Pantulan 67/15: Demi kemanusiaan” bertarikh 9 Oktober 2015. Namun, pantulan kali kedua ini adalah dengan gaya yang berlainan. Sebagai satu catatan mengapresiasi karya, elok juga kupamerkan, pantulan kedua ini).

Pantulan 77/15: Sajak Ahmad Sarju, “Anak Zaman Penuh Azam”,

Pantulan 77/15: Dilema?
Salah sebuah buku terbaru tentang Hang Tuah yang kulihat di Ekspo Buku petang tadi berjudul “Hang Tuah Wira Bangsa”. Dan banyak lagi buku lain tentang Hang Tuah kebelakangan ini, seperti Hang Tuah, Catatan Okinawa, Hikayat Hang Tuah yang diselenggarakan oleh Siti Hawa Salleh, semuanya memberi isyarat bahawa Hang Tuah tetap hidup segar dalam minda masyarakat. Kemudian, saya teringat membaca senaskah lama Dewan Masyarakat, yang melaporkan seorang pemimpin besar negara mengatakan, untuk maju pada zaman ini, Hang Tuah dan Hang Jebat tidak sesuai diikuti lagi. Semuanya ini, termasuk pandangan Kassim Ahmad semasa menyiapkan tesisnya dan selepas itu, edisi baru Hikayat Hang Tuah pada tahun-tahun 1960-an, menjadikan seseorang harus berhati-hati untuk memahat pendirian tentang ketokohan dua watak yang tersangat kontroversial ini. Tetapi sudahlah jelas bahawa, penyair Ahmad Sarju, melalui “Anak Zaman Penuh Azam”, Dewan Bahasa, Januari 1968, muka surat 31, telah bertekad untuk mendukung Hang Jebat ketika “Bangun mengusir sipenderhaka”.
Aku kira apa yang wajar dilakukan sebelum menetapkan pendirian ialah memahami situasi dunia ‘perkhidmatan’. Sudah menjadi kemestian bahawa sebagai penjawat seseorang ada sumpah yang mengikat. Dengan sumpah atau ikrar itulah dia memikul tanggungjawab, berbakti dan berjasa. Beliau tidak boleh ingkar daripada melaksanakan perintah jika itulah yang menjadi keutamaan, yang menentukan kelangsungan organisasi yang didokongi. Memanglah ada pembenturan antara peribadi dengan organisasi dalam setengah-setengah kerja yang diserahkan. Tetapi organisasi yang baik ada kod-kod etikanya. Apabila kedudukan perintah atau tanggungjawab yang perlu dilaksanakan itu tidak sama sekali bertentangan dengan kod organisasi yang mengikat para warganya maka hilanglah asas untuk tidak mematuhi. Dalam keadaan demikian, individu yang tidak bersedia mengorbankan pendirian peribadi hendaklah berundur secara yang wajar. Sambil dia tidak bersedia menyokong pendirian pihak lain, tentulah pada masa yang sama, pihak yang lain itu, tidak semestinya sependapat dengannya. Masing-masing ada asas-asas yang kuat untuk tidak mengalih prinsip yang dipegang. Dalam situasi serba salah, ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa” tentulah ada kaedah penyelesaian yang terbaik. Dan, penyelesaian itu adalah yang kena pada tempatnya.
Dalam perjuangan yang bermatlamat mencapai kesejahteraan ramai adalah wajar jika suara ramai menduduki tempat terunggul. Maknanya, asalkan perjuangan adalah berasaskan kebenaran yang mendapat dokongan paling ramai, kelompok yang lebih kecil seharusnya akur. Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Penyuaraan pandangan yang bertentangan tidaklah pula dihalang. Apabila keputusan telah dibuat secara yang sah, pandangan pinggiran harus terketepi. Ertinya, yang terakhir harus berlaku ialah pengakuran kumpulan lebih kecil terhadap kumpulan yang lebih besar apabila masanya sudah tiba, tidak dapat dielak atau ditangguhkan lagi. Maka, perjuangan, dari mana-mana pihak pun boleh berterusan tanpa mencetuskan kekeruhan, kegawatan, kegentingan, kehuru-haraan, kemusnahan, kepupusan, yang tiada siapa pun memperolehi faedahnya.