Wednesday, 6 November 2013

Malim Ghozali Pk, “Kureguk Semua Derita Ke Dalam Nafasku”



Sahabat lamaku, orang sastera yang semakin semerbak kesohorannya, Malim Ghozali Pk, menelan rela angkara, seperti nyata lewat “Kureguk Semua Derita Ke Dalam Nafasku”, Dewan Budaya, November 1987, muka surat 38. Untuk membayangkan keluasan kerangka tragedi, bayangkanlah, “ … gadis genit di perkebunan dan ranjang di bahunya/ada malang di perutnya.” Kalau mahu dibaca menjangkau lapisan kedua, arahkanlah ke usaha-usaha pembangunan menuju Wawasan. Lalu, “tak usahlah menuangkan simpati di warung-warung kopi.”

ASKAT: Tetapi aku lebih bersimpati kerana terlantar mereka di sula pemangsa. Apakan tidak? Yang menderita, kita mahu mereka dibela. Tiadalah lagi sengsara menghantui; para penderita dan simpatisannya. Begitu kewajaran tata susila. Tetapi benarlah, dalam membanteras penderitaan, kita perlukan kekuatan – boleh jadi berupa semangat juang, jasmani jantan, ilmu selautan, kebendaan berlimpahan, dukungan berakar tunjang, strategi serba-sebi rapi, tanpa henti, tak berundur menyisi di tepi, pengorbanan murni, doa wali dan tawakal Ilahi. Aku tahu sahabatku memilih penyerahan sebagai penyelesaiannya. Tentulah dia lebih tahu. Dialah yang mengukur tahap penindasan. Dialah, yang menyaksikan penganiayaan. Dialah mengkaji kekejaman. Dialah juga, yang ada bersama-sama mengalami suasana. Yang demikian melayakkan dia merumuskan pendekatan. Mereka yang lain tiada wibawa setara. Tetapi, adakah hidup ini seperti pernah kita dengar, “untuk derita” kerana tak berupaya? Kerana itu kita pun berlagulah dalam kesedihan yang kentara. Selama-lamanya.

Sutung Umar RS, “Apabila Malam Dingin Itu Tiba”

Aku hanya memilih sebahagian kalimat “… berulang masalah dan perhitungan” dari sekian banyak perkataan lain yang mendukung sajak teman fbku Sutung Umar RS, “Apabila Malam Dingin Itu Tiba”. Dan aku suka pula dengan kalimat penutupnya, “dengan seribu tanya”. Barangkali tiada orang menyalahkanku berhenti, bersunyi-sunyi pada noktah ini. Tidak menyelak teka-teki. Memanglah kalau mahu, kita boleh menumpu kepada setiap patah-patah kata seperti, “malam”, “dingin” sampai terhenti kita pada frasa “seribu tanya”. Tapi, kita diberi pilihan!

ASKAT: Walau seakan terkunyi mulut, tetapi hati tetap mentelaah sebati. Biarkanlah. Cubalah berlainan sedikit mendekati. Yang ini, aku mahu dihayati melalui liuk-lintuk susunan kata-kata. Lebih dari itu memanglah perlu, tetapi keterluangan waktu haruslah tidak terganggu. Syarat demikian hanya perlu kalau survival kita bergantung satu-satu kepada pembongkaran lengkap niat penyairnya. Tetapi penikmatan puisi tidak seharusnya begini. Tidak semestinya total. Boleh sesipi. Tiada dilembagakan agar menyeluruh samasekali. Tiada paksaan dalam alam persajakan manusiawi.

Sajak boleh menerbitkan satu tafsiran. Semua orang tidak bertelingkah pula. Seia. Baha Zain ada juga pernah berkata, sebuah sajak boleh juga menimbulkan 10 tafsiran (lihat “Puisi dan Pahlawan”, Dewan Masyarakat, Jun 1988, muka surat 2). Maknanya setiap pentafsir berbeza-beza tanggapan tentang intipatinya. Aku percaya para pembaca lebih sekata, tidak sangat sedia meramas minda, kerana hambatan masing-masing. Aku percaya kesekataan demikian itu benar kalau kesan yang ditinggalkan dari bacaan sajak adalah suatu kepuasan atau kesenangan lantaran terusik benteng dan lubuk jiwanya. Tak mengapalah, kalau kesan itu masih berlatarbelakangkan pengalaman sendiri-sendiri, peribadi-peribadi atau para pembaca yang berlainan.

Ahmad Sarju, “Keterharuan”

Agak malang kalau kita biarkan perasaan yang hadir meresapi hati hasil membaca puisi ini hilang dicelah halaman, tidak dikongsi dengan teman-teman. Seringnya demikian berlaku, apalagi ciptaan ini sudah pula sesuku abad terkambus selesa. Sedangkan ciptaan ini berharga. Ini adalah suatu rakaman tentang kejatuh-cintaan terhadap tempat menabur bakti. Perasaan yang terjadi ketika sahaja akan melangkah pergi, bakal tidak di situ lagi. Sungguh-sungguh jernih hasrat teman fbku tersohor Ahmad Sarju terus kekal lama di “pulau yang harum dengan keheningan/…/tenang yang membiru/damai yang padu.” Pulau itu miliki semua yang menjadikan kehidupan ini sungguh membahagiakan. Nampaknya beliau tidak ada pilihan untuk bertahan lama lagi kerana perlu berangkat ke destinasi lain, mengalih haluan. Terlalu benar disayanginya, sampai tidak mahu ia melihat tahap kesempurnaan pada keberadaan itu berubah daripada yang seadanya. Ini jelas dalam sajak “Keterharuan”, Dewan Masyarakat, Mac 1988, muka surat 55. Singgahlah mengharu sanubari. Janganlah terlepas peluang yang datang sesekali.

Jika diteruskan penghayatan, sesiapa kukira tidak akan terlepas ungkapan yang yang sarat dengan kelembutan, kemesraan, kemurnian melalui ungkapan yang mengulang-ulangkan “kubiarkan…”, yang digandingkan bersilihan dengan “harum sepi membungkus…”/…. langit petang tenang terbenam/…pucuk kelapa bergetar riang/ camar meredah temaram” dan alangkah kenanya bila disepuhi “malah syahdu berkembang.” Satu penamat yang agam.

ASKAT: Tiada kenakah kalau kupinjam madah orang tua-tua, “tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.” Semoga kalimat lama ini pun menggetar jiwa. Agar lagilah terkobar rasa. Memanglah letusan yang diterbitkannya tidak sama dengan suasana yang dibuaki oleh unsur-unsur pulau yang memukau itu. Hakikatnya, kenangan sentiasa datang pabila akan berpamitan. Tidak semestinya, yang ditinggalkan itu; sahabat taulan, saudara seketurunan atau pun kampung halaman, atau rantau tempat berdagang, semua ada kesannya. Kalaulah selama tempoh diberi kesempatan, kita sepenuh hati mencurahkan segalanya, dengan kejujuran tak tercalar, keikhlasan tak pudar, ketekunan tak samar sementelahan pula ditimbali kepuasan tiada tandingannya, dari ukuran peribadi pun, maka mudahlah difahami orang lain bahawa kita benar-benar telah bersatu dengan tempat itu. Keharuan, atau lebih puitis lagi, “keterharuan” sebenarnya adalah suatu anugerah yang tersangat pada.

Azmi Yusoff, “Di Bawah Pohon Barakah”

Mengambil berkat hari Jumaat! 

Tidak perlu aku menghuraikan. Semuanya adalah sebutan lazim. Bagi kita yang sering menonton TV, mendengar radio, hadir mengerumuni taman-taman syurga, atau membaca sendiri warisan ulama dan cendekia, menggali pusaka dan mengkaji kepustakaan sezaman, tidaklah terkejut dilontarkan dengannya – “barakah”, “ukhuah”, “tazkirah”, “hidayah”, “takwa”, “tarbiah”, “kalimah”, “mujahadah”, dan “iman”. Semuanya ada, berderetan dalam puisi teman fbku, Azmi Yusoff, “Di Bawah Pohon Barakah”, SOLUSI, Mei 2013, muka surat 55. Jadi, ambil sahajalah “tarbiah”, yang maknanya tentu menyeluruh membaiki diri dalam serba-serbi agar terhasil matlamat terciptanya manusia di bumi. Dan kalau kita pilih “mujahadah” maksudnya sangat positif merangkumi kesungguhan untuk beroleh kebaikan selaras kehendak Ilahi. Pemahaman ke atas semua menjurus kita lebih mengabdi diri kepadaNya . Namun, sebelum melampaui, aku harus mengakui tidak pun mengaji, bukan ahli dalam aspek-aspek yang menyentuh istilah-istilah ini tetapi meyakini pentafsirannya boleh diperdalamkan lagi.
Dalam bahasa yang lebih akrab dengan diri pun, bahasa ibunda, terkandung dalam puisi ini kata-kata seperti “… rimbun/teduh memayungi…”, “pupuk”, “baja”, “cinta”, “hati”, “suci”, “akar” dan lain-lain. Tiada kata yang terlebih dimasukkan. Dalam kecukupan demikian, gubahan yang sedia ada menerbitkan makna yang berganda. Tanpa pun seseorang mencungkil teliti, intipatinya menjelma sendiri. Mengalir bergilir-gilir. Ini suatu keistimewaan, kerana dalam banyak hal, kata-kata yang berlebihan belum tentu menghasilkan makna serupa panjang atau memercikkan kesan yang lebih mendalam.

ASKAT: Puisi-puisi begini (teringat ruang “Puisi Hidayah”, “Ungkapan Suci” dalam majalah Utusan Kiblat), sekian banyak diungkap tetapi kerana ternyata malap sejurus itu lesap, seakan suatu pembaziran; dan paling-paling lebihnya sekadar dianggap mengisi ruang sementara sambil berharap muncul mantap atau meningkat, lebih berseni dan berisi dalam puisi-puisi yang menyusuli. Dalam aspek ini, kukira sudah pun jauh kita terlajak kurang bijak bersajak, kerana keupayaan setakat ini belum lagi terbukti, belum berprestasi seunggul tanda aras sejati. Sedikit yang sedia ada wajarlah ditambah lagi dengan tekad yang bersungguh-sungguh, tidak asal jadi.

Salmiah Ismail, “Pada Senja Ini”

Teman fbku, Salmiah Ismail menyanyikan suatu hakikat melalui “Pada Senja Ini”, Dewan Masyarakat, Januari 1988, muka surat 55. Dikhabarkan jelas supaya kita sedar bahawa umur manusia tidak tersekat pendakiannya, tidak boleh ditahan pertambahannya seperti juga penggantian siang oleh malam, seperti perubahan cahaya senja ke “kelam/dan suram”. Yang sahihnya, penjelmaan demi penjelmaan itu seerti penambahan usia, “membina hari-hari baru”. Tanpa perlu merinci, adillah jika kita sama-sama mengulangi rangkap akhir: “ada kepuasan lain/pada siang yang lain/ada kenangan lain/pada malam yang lain”. Aku kira inilah ketidakserupaan yang sentiasa. Kecetekan, keremajaan/kematangan, dan kelaziman-kelaziman lain, yang tidak asing kepada semua manusia walaupun tidak sama sehalus-halusnya.

ASKAT: Sesuatu yang biasa, sering berlaku bukan pula tidak perlu kita renungi. Putaran peristiwa siang, malam, senja, larut malam, dinihari, bukan tiada mengandungi makna. Orang Islam lagilah tidak seharusnya lupa bahawa fenomena ini membuktikan kekuasaan Allah Yang Esa. Itu memang nyata. Bukan boleh dinafikan walaupun kejahilan mungkin mengabui mata dan minda. Ada hikmahnya. Dari kejadian yang demikianlah manusia akan menjadi lebih bijaksana, dengan syarat ia memberi perhatian dan belajar memahami sambil membekali diri dengan ilmu yang berguna, yang dituntut sahaja, lalu dimanfaatkan secara menyumbang bakti terhadap sanak saudara, manusia dan masyarakat tempat mereka bergaul beramal tanpa berangkara. Tentulah dengan pendedahan yang berterusan, dalam kelainan tetap seiringan, dipandu oleh kematangan yang semarak subur dari semasa ke semasa. Nanti akan tiba kita di matlamat. Unggul berwibawa menghadapiNya.

“Surat Rindu”, Rahimidin Zahari,

SANGAT kebetulan. Selepas saya selesai memantul sajak Rahimidin Zahari di lamanku, saya tersinggah di laman tuan Sutung Umar RS dan membaca selayangnya di sana. Memang sesuatu boleh berlaku tanpa kita ketahui. 

Demi nostalgia desa (yang samasekali tetap beralih rupa, bagaimanapun tidak demikian sebahagian kita menghajatinya) kurenung “Surat Rindu”, Rahimidin Zahari, dalam Dewan Siswa, Disember 1988. Barangkali terbetik di sanubarinya, “Kak” semakin selesa di perantauan belum tamat pengajian. Perutusan yang diterima membayangkan “yang kaurindu/hanya musim bunga” berbanding tiga lagi yang berlainan. Tetapi penyair mengingatkan, “Tamat pengajian nanti, Kak/pulanglah…”. “ku” penuh yakin dan harap, semua kenangan yang dilalui bersama boleh dikembalikan kerana di desa tanah tumpah darah masih ada semua, seperti sedia kala, “… menjolok duku,/ciku atau jambu…”/Berjirus di sumur sejuk/dirimbuni cempaka”. Mesra sungguh kata-kata, lembut benar nadanya. Tak mengapalah latar kehidupan desa kian berubah rupa dan suasana tradisional tiada akan bertahan lama! Demi rindu,bayangan seharusnya yang sedia kala, tanpa nila. Tetapi usia merangkak jua.

ASKAT: Hubungan persaudaraan sedarah sedaging, apalagi ketika sedang remaja, ketika masing-masing belum berkeluarga sangat erat murni tak bercuka. Bila berjauhan, seakan tiada terdaya menanti saat berjumpa semula, meriuhi suasan dengan hilai ketawa dan kesyukuran beriringan. Tentulah kerinduan lantaran perpisahan dengan rela, demi mengupayakan diri memelihara atau menjamin kebahagiaan keluarga tidaklah seberapa, berbanding habuan berganda bakal diterima. Yang demikian sudah jadi lumrah. Orang berusaha akan berjaya. Yang terutama, seseorang harus sentiasa menanamkan dalam minda bahawa apabila pertanggungjawaban diserahkan maka sepenuh daya dituntut demi mencapai kejayaan sempurna. Jangan sekali-kali dipersia. Alangkah manisnya merangkul kejayaan. Yang ini harus selalu diingat. Baharulah akan kekal sedar kita bahawa kehidupan ini sebenarnya adalah suatu anugerah yang melorongkan manusia ke hala tuju yang sentiasa haloba penambahbaikan.

Ahmad Sarju, “Langkah Pusaka”

Saya tidak hendak bersejarah-sejarahan (sejarah?) sangat, terutama tentang Tuah dan Jebat. Dari dulu sampai sekarang belum lagi ada rumusan muktamad. Berpihak sebelah mana, atau kedua-duanya? Demikian tak mencapai matlamat. Atau, bolehkahtepuk dada tanya selera? Hari ini, yang aku jadi kembali terharu lebih kerana tiba-tiba ketemu sajak awal-awal dulu teman fbku tersohor Ahmad Sarju, “Langkah Pusaka”, SANTAJIWA, bil 4, tahun 1965, muka surat 79. Dengan alasanku dipangkal itu, marilah terus menumpu: “Ya mungkin, mungkin ini pusaka mereka/keris di pinggang berselempang semangat/bagai Jebat, ya kita tentang ketidakadilan/Semoga hidup Melayu bisa bangun dengan keberanian.” Aku sudah beleki halaman-halaman empat buku kumpulan sajak beliau, ‘aneh’ tidak bersua dimana-mana puisi ini. Rumusku tentu yang tertinggal salah satu!

ASKAT: Persoalan Tuah-Jebat adalah persoalan wira bangsa. Budaya kebangsaan telah dipengaruhi pendirian mereka. Tentulah semua mengetahui kita ada “Pingat Hang Tuah”, Stadium Hang Tuah, Stadium Hang Jebat, jalan-jalan, nama-nama ruang persidangan/seminar, jurnal ilmiah, filem, sandiwara, puisi, dan lain-lain. Maknanya ada pengiktirafan, berbauran sanjungan, penghormatan dan yang bertentangan. Sampai bila persoalan ini tidak akan berhenti diteliti lapisan generasi; kecuali ada seseorang nekad mencipta semula suatu hikayat yang boleh semua orang sama sepakat tidak lagi akan berdebat kerana suatu hakikat, wajar diterima taat kerana bermanfaat seluruh rakyat.

Nota: Untuk mengiringi, saya pilih ilustrasi daripada buku kecil di bawah Siri Warisan Kita, karangan Rubaidin Siwar, “Hang Tuah”, Longman, 1980, cetakan pertama, muka surat 37. Malangnya nama illustrator tidak disebut.