Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 23/15: Sajak M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”

Pantulan 23/15: Kelangsungan
Dalam sajak, perkataan “penghujung” sentiasa mengingatkan kita kepada keakhiran hayat atau kematian. Ia lazimnya dibayangkan sebagai mengerikan, kerana manusia tidak bersedia menemuinya, lalu tiadalah pilihan kecuali mendepani penyiksaan. Ketidaksediaan itu bukan pula disebabkan kejahilan atau tidak mengetahui balasan lantaran tidak beramal saleh atau bertakwa. Sebab utamanya kerana nafsu lebih menguasai. Nafsu inilah yang melekakan, menjadikan semua suruhan tidak ditaati sepenuhnya. Ditangguh-tangguhkan. Keduniaan mengatasi. Ada keyakinan apabila tiba masanya, ketika usia meranum, masjid akan dijelangi, surau akan dikunjungi dengan kekerapan yang mendadak jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya, ketika sarat menggelumangi alam kehidupan duniawi. Kepustakaan keagamaan dibeleki, pembacaan lain terketepi. Mengaji tak berhenti bahkan tak cukup makna perkata Kitab Suci, tambah lagi belajar bahasanya! Pakaian pun melabuh ke kaki. Tetapi, benarkah begitu bakal berlaku dan berterusan selalu? Terjaminkah pada usia bercucu, kita tiada digugat-ganggu, misalnya oleh desakan-desakan bercorak baru, di luar tanggapan terdahulu? Setahun dua bersara, ada gesaan untuk patuh beribadat, mengharap berkat , semoga tercapailah hajat yang sarat. Alangkah bertuahnya kalau berlanjutan, apatah lagi tiada pun himpitan material lantaran sekian lama dilimpahi rezeki. Tetapi, sedang kesihatan tetap meruangkan kesempatan, bagaimanakah bakal bertemu kepastian seperti yang terpahat untuk para umat?
Dua puluh tahun dahulu, ataupun sekarang kukira mesej terakam dalam sajak teman fbku M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”, Dewan Sastera, April 1994, muka surat 46, tidak akan banyak berubah. Kunyahilah. Aku tetap sukakan “kearifan itu sentiasa terbeban” dan kalimat yang menyusuli, cubalah sendiri ciptakan agar mengatasi yang sedia terpintal bererti, “oleh penghujungnya yang ingin dihilangkan”.

Pantulan 22/15: Sajak Norhisham Mustafa, “Pendakian 1”

Pantulan 22/15: Pilihan sejati
Melintasi semula sajak Norhisham Mustafa, “Pendakian 1”, Pengasuh, bilangan 418, September 1976, muka surat 47, ketika aku mengulangi belekan majalah Pengasuh ke sekian kalinya. Setelah lama tidak memantul, terfikir wajarlah kini aku bertafakur, menggali dan memahami inti di sebalik simpang-siuran minda beliau yang telah lama dilentur. Bukanlah hal yang begitu asing dirincikan; kebertanyaan terhadap hakikat kewujudan diri di dunia, “antara titi/api dan duri/atau pintu yang/terbuka lebar/pada senyum bidadari!!”
ASKAT: Kehidupan ini memberi kesempatan kepada manusia memilih; menjadi baik atau sebaliknya. Kalau seseorang bertuah melalui proses biasa ‘berpendidikan’, maka tentulah dia akan melalui pembelajaran ke arah memilih matlamat hakiki kehadiran; mengamalkan kebaikan atau kemungkaran. Kalau begini, menjadi tanggungjawab sendirilah menerima ganjaran atau balasan kelak, apalagi di alam lain. Tetapi, ada juga manusia yang tidak mendapat kesempatan yang sama. Lalu mereka pun tercicir membekal dan menyediakan minda menghadapi tanggungjawab seorang manusia terbaik yang sewajarnya. Mereka ini akan menjadi kumpulan majoriti, tertawan dan mengekori kelompok yang memimpin. Tetapi, yang lagi malang, apabila terdedah dengan kesempatan, meningkat dalam masyarakat, diberi peluang berkhidmat atau berjasa, gagal melepasi ‘cobaan’ malah memporakperandakan diri sendiri bahkan orang lain. Kemudian, mereka diingati lantaran kehonaran berterusan seusia dianugerahi. Alangkah tidak bermanfaat lagi terkutuk sesiapa yang terkategori begini. Semoga terlorong kita ke arah ketakwaan, walaupun sama ada kita telah ‘berpendidikan’ lalu memandu atau sekadar pengikut tanpa memegang teraju.
(Nota: Helaian ini tercacat oleh keritan anai-anai, sampai nama karyawan ‘termakan’ sebahagiannya).

Pantulan 21/15: Sajak Rudi Mahmood, “Benih (3)”

Pantulan 21/15: Penzuriatan
Tentang puisi Rudi Mahmood, “Benih (3)”, Mastika, November 1984, muka surat 135, aku memilih untuk mengetengahkan apa yang aku fikirkan seharusnya serupa dimengertikan oleh mereka yang lain yang sedia menghayatinya. Pembauran sempurna dua jasad hanya boleh terjadi oleh kecintaan sepasang individu yang diikat oleh ketertiban penghidupan dan keluhuran ketamadunan. Baharulah “benih” yang terrsemai kelak terzahir dalam rupa bentuk peribadi yang berupaya menjadi misali. Kerana ada restu dan kerelaan maka kebahagiaan berumahtangga akan bererti lagi memanfaati – suami dan isteri. Bahkan kedua-dua keluarga, sebelum melimpahkan zuriat, baik putera atau puteri.
ASKAT: Kalau ditelaah kitab-kitab yang muktabar, perkahwinan tiadalah bertujuan utama memuaskan nafsu yang tidak terkawal atau kehaiwanan. Ada matlamat murni mendukunginya. Itulah sebabnya ia dianggap suatu institusi yang suci, bukan sekadar perayaan yang bersemarak berakhir dengan pemenuhan rasa hati ketika sedang muda-mudi dilamun kemaruk jiwa keteruna-daraan. Penggemblengan dua jiwa dalam upacara yang syahdu adalah demi memperkukuh sistem bermasyarakat di antara insan yang merupakan ciptaan Ilahi paling sempurna. Tentulah, dari segi jangka pendek, hubungan cinta yang tumbuh wajar menghasilkan anugerah berupa cahaya yang menyejukkan mata. Demikianlah berterusan, bercucu-cicit demi memakmurkan dunia ini dengan umat yang baik-baik akhlaknya lagi bertaqwa. Kaitkan dengan diri kita sendiri, sebagai suami sebagai isteri, dengan institusi itu; terbuktikah bahawa kita inilah benih-benih daripada ‘orang baik-baik’ dan bakal disusuli pula dengan yang sedemikian, malah lebih-lebih lagi baiknya. Hidup ini ternyata, tidak lain tidak bukan, kecuali melorongkan kita ke arah penambahbaikan.

(Nota: (Aku percaya ada kesilapan ejaan nama “Mahmod”).

Pantulan 20/15:Sajak Ahmad Sarju, "Lagu Kemenangan”

Pantulan 20/15: Islah berterusan
Sungguh merdu, “Lagu Kemenangan”, Ahmad Sarju (Utusan Kiblat, Januari 1976, muka surat 53). Kalaulah alunan gemulai gemilang ini benar-benar dapat membuakkan qalbu lantas mencetuskan kejituan pegangan suci terhadap Islam, alangkah bermaknanya; selari dengan ajaran dan anjuran Rasulullah s.a.w. Yang sudah jadi rakaman sejarah, sama ada dari segi pemerintahan, ketokohan, keilmuan, perjuangan dan lain-lain, ajaran Islam tidak ada kekurangannya. Tidak tersilap pendirian menjadikan sejarah silam sebagai sandaran. Dan inilah yang masih sampai sekarang menjadi tangkal menuju perobahan bagi melonjak semula ke puncak. Dan bertuahnya pula, “kerana Allah bersama kita”.
ASKAT: Sebenarnya kerap benar kita didendangkan tentang keunggulan Islam, pada zaman awalnya! Tetapi sekarang agama ini sudah begitu dihinakan oleh musuh-musuh Islam. Imej yang terpancar dari serata pelusuk dan melalui pelbagai media ialah yang jelek-jelek. Oleh kerana itu orang-orang Islam terpengaruh, lalu bersekongkol dengan seteru-seteru kerana pertahanan mereka tidak cukup kuat untuk menghindari aneka pencalaran dan pencalitan yang bertujuan melemah atau melumpuhkannya. Maka tidaklah mengejutkan lagi kalau keagungan lama itu sentiasa menjadi asas untuk membangunkan semula keporakperandaan yang berabad-abad berterusan membisul. Tetapi apabila orang-orang Islam sendiri tidak mampu memperkuatkan diri, dengan ilmu duniawi yang setanding atau mengatasi musuh-musuhnya dalam bidang-bidang wajib, maka doa dan amalan seharian hanyalah akan tidak memadai bahkan menjurus ke arah kehancuran. Kesedaran sebegini sebenarnya ada dalam sanubari sebahagian orang Islam tetapi malangnya ia tidak menggemblengkan mereka semua untuk bersatu merobah suasana. Persoalannya, sampai bila?

Pantulan 19/15: Sajak Norhisham Mustafa, “Petaniku!”,

Pantulan 19/15: Wira tani
Lama tersepi tanpa melintasi, tetiba aku terhenti merenungi puisi teman lama, Norhisham Mustafa, “Petaniku!”, Al Islam Jun 1988, muka surat 57. Dan yang terlambai ialah kepada ingatan tradisi, yang silam, yang kian menghilang oleh perobahan zaman. Memanglah mereka tetap melakukan yang sama; bertani, ke laut, ke ladang, ke hutan, demi mencari rezeki, sesuap pagi sampai ke malam, berulang-ulang, berketurunan. Dalam pada itu ada rintangan ditemui. Dengan cekal dihadapi berumbi kesedaran semuanya adalah takdir Ilahi. Mereka orang biasa di desa yang sentiasa bersyukur dan berpada dengan yang ada. Dan demikian telah lama berterusan bahkan sampai sekarang. Alhamdulillah, masih dalam keimanan!
ASKAT: Tetapi dunia telah kian beralih rupa. Desa pun tidak lagi di pedalaman. Tambahan pula, ramai penghuninya telah berhijrah ke kota yang semakin mega dengan cabaran yang beraneka. Maka kalaulah para ‘buruh’ negara ini dapat tetap menjamin penerusan kehidupan dengan penambahbaikan kaedah oleh pemegang mandat di tempat mereka menimba pendapatan maka tercungkillah makna sebenar kemerdekaan. Tidaklah kekal seperti suasana terpasung. Sejarah telah banyak mencatatkan kedaifan rakyat marhaen berdakian di lipatan ingatan. Tetapi kalau pada abad ini mereka sudah lebih baik daripada dekad-dekad sementelahan lagi abad-abad yang terdahulu, keserupaan sumber menggali rezeki masa kini tidaklah sewajarnya menjatuhkan maruah dan kehormatan. Biarlah penglibatan dalam pertanian (atau apa bidang sekalipun) seperti di tempat lain yang telah maju. Baharulah, pertanian itu boleh kita canangkan sebagai suatu bidang yang memartabatkan; tidak sebanding dengan coretan-coretan lama yang berbauran ketinggalan, kepandiran, keciciran, keterkebalakangan, kehinaan, kecorotan, … yang sungguh-sungguh mencemar kemurnian dan menafikan keagungan ajaran Islam.

Pantulan 18/15: Sajak Siti Zainon Ismail, “Doa Seorang Lelaki Ketika Hujan Baru Reda”,

Pantulan 18/15: Penyesalan
Mencari-cari sajak-sajak berlatarbelakangkan Kuala Lumpur, aku lalu terhenti oleh lintasan tanpa niat asali, terhadap sajak Siti Zainon Ismail, “Doa Seorang Lelaki Ketika Hujan Baru Reda”, Dewan Budaya, Julai 1990, muka surat 60-61. Sebuah sajak yang panjang. (Melatarkan: lake garden, bukit carcossa, masjid india, taman tasik ibu kota, robinson, coloseum cafĂ©, padang kelab selangor, dataran merdeka, teman citypoint dayabumi, sungai gombak dan kelang).
Aku pun kurang pasti adakah sesiapa menghayati puisi ini. Bagiku, ia tidak menjadi alasan kerana kita mencungkilnya didesak keinginan sendiri. Sesuatu yang sangat peribadi.
Adalah terlalu panjang untuk aku merungkaikan setiap baris dan rangkapannya. Tambahan pula, sajak ini seharusnya dibaca sendiri, kerana seseorang yang benar-benar mencari sulaman kisah seperti yang diperikan, akan mengaprisiasikan penemuan diluar dugaan ini. Intinya adalah suatu rakaman penyesalan yang mengharukan, dalam olahan yang matang, sarat dengan kehalusan penghidangan seorang karyawan yang mengutamakan pemaparan keindahan bahan yang dimilikinya. Tiada sebab lain, agar benar-benar mengesankan.
ASKAT: Sekali lagi. Sejauh mana kita sedia membaca, lebih-lebih lagi menghayati, sampai keakhirnya sebuah sajak yang panjang. Apalagi kalau usia pun seperti sekarang. Tetapi jangan pula terkejut kalau kesabaran berusaha berakhir dengan suatu kepuasan, seakan kembali muda sebelum merealisasikan kekinian. Sebenarnya ia bergantung kepada banyak perkara, iaitu keindahan cerita, keindahan bahasa, keindahan ungkapan, keindahan suasananya, keindahan penampilan ‘babakan’nya, dan kekesalan yang amat sangat mengetuk bejana rasa, meramas siratan sukma kita. Tentulah masih ada sebab-sebab lain.
Kubayangkan, sebuah percintaan hanya akan menarik hati kalau ada kehibaan, seringnya pada pertengahan cerita dan berkesudahan dengan riang gembira berkeluarga. Tetapi pintalan riwayat yang boleh jadi berkesan lama, terutama kepada para pembaca, ialah yang sebaliknya; yang awalnya, kedua-dua asyik-masyuk mabuk kemaruk, saling terpesona, tetapi malangnya terhalang, lalu kedua-dua, atau salah satu menderita, sampai keusia “tua renta”. Dan, aneh atau tragisnya, “kita sendiri bahagia” dalam ketidaksampaian yang menjangkau serentak mencatu tempoh bermakna penghidupan manusia.

Pantulan 17/15: Sajak Ahmad Sarju, “Munshi dan Budiman”,

Pantulan 17/15: Pengorbanan
Sajak Ahmad Sarju, “Munshi dan Budiman”, Dewan Budaya, Disember 1992, muka surat 59 adalah satu rakaman pengorbanan yang dicurahkan demi pemartabatan bangsa. Ia bukan suatu yang mudah, sebaliknya dibanjiri cabaran, kehonaran, perlekehan, hampir semuanya menderakan. Ia menuntut kesabaran dan dedikasi yang sebenar-benarnya demi kelangsungan ke garis penghabisan. Perjuangan murni ini tidak sedikitpun bertujuan untuk meraih keuntungan peribadi atau menyerlahkan kebesaran diri dan profesion. Kemantapan perjuangan tanpa mengharapkan anugerah, bermodalkan “lidah dan kata-kata” seharusnya dibanggakan kerana akhirnya tetap juga menyemai benih-benih malah bukti kejayaan sudah menyerlah, insya-Allah.
ASKAT: Dalam bidang apa pun berjuanglah. Masing-masing ada peranan dan setiap sumbangan akan melengkap dan menseimbangkan wawasan. Kalau kau pendidik generasi lakukan ke mercu kepakaranmu. Kalau kau penyajak, bijaksanakan khalayakmu. Kalau kau penggubal dasar wujudkanlah yang tepu mutu mampu mencetuskan dukungan, bahkan oleh seteru. Kalau kau pelaksana permudahkanlah sesegeranya tanpa menggendala. Pembentukan suatu bangsa berwibawa, yang telah tercalar maruahnya lantaran terjajah lama, memerlukan serba-serbi ramuan bermakna. Sejarah membuktikan bahawa matlamat perjuangan boleh dicapai dengan persediaan, penggemblengan tenaga dan minda, kegigihan tak tercula, yang tentunya termasuk pengorbanan dalam pelbagai aspeknya juga – diri, keluarga, profesion, puak dan bangsa. Generasi kini dan akan datang mengharapkan asuhan dan didikan, contoh teladan, integriti murni tanpa persoalan. Dalam kecelaruan sekitaran semasa dari pelbagai penjuru, pengabaian terhadap keperluan pembinaan perwatakan adalah suatu kejahilan dan lebih daripada merugikan. Ia adalah mala petaka yang seharusnya disedari sebelum kesannya benar-benar terjadi. Jangan sekali-kali dinafikan kerana penebusannya kelak teramat tinggi harganya. Pun, sudah teradat, jumlah pendukung yang kecil akan bertukar menjadi ramai apabila mereka percaya dengan kemuliaan cita-cita, ketokohan, kebolehcapaian dan kebaikan yang semuanya berumbi pada majoriti atau rakyat jelata. Tetapi, masa yang diperlukan bukan singkat. Ia berperingkat-peringkat. Sering juga tidak tercapai semasa hayat. Tetapi kalau asas yang kukuh telah dibina, ada pelapis yang cakna, silih berganti berbakti, mengambil tanggungjawab dan dipermantap sambil bergerak terus maka akhirnya akan tergarap. Begitu seakan termaktub.
(Nota: Tiada kudapati sajak ini termuat dalam empat kumpulan puisi Ahmad Sarju dalam milikku)