Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 28/15: Sajak Ahmad Sarju “Tanah Indah Pusaka Moyang”,

Pantulan 28/15: Setia watan
Di kalangan rakan fbku, kukira Ahmad Sarjulah yang terawal mempuisikan kemerdekaan seperti terserlah melalui “Tanah Indah Pusaka Moyang”, Dewan Bahasa, Disember 1966. Kata beliau, “Tanah pusaka…” yang “terpanggang derita di tangan zaman” ini adalah “… yang tunggal”. Maka sangatlah bermakna dan tersanjung jika “…pada bumi ini rebahbangunmu”.
Aku teringat sangat, tahun-tahun 1960-an adalah zaman penuh pancaroba, dalam serbi-serbanya (termasuklah kekerdilan peribadi). Ancaman terhadap keselamatan negara sama ada di dalam mahupun dari luar negara amat nyata lagi terkritikal. Kalau di radio kita sentiasa dilaungkan dengan “Malaysia Berjaya”, “Barisan Kita”, “Bahtera Merdeka”, “Perwira” dan lain-lain, tidaklah pelik dalam sajak-sajak tema yang telah muncul semenjak terjajah lagi itu timbul lagi, sebahagian masih dengan nada tradisi era bahari. Bagi para pemuda-pemudi dan pelajar-pelajar sekolah gaya demikian itu lebih berkesan berbanding dengan kalimat-kalimat yang mengabui. Sekarang, kecamukan suasana dalam negara membangkitkan pula, antara lainnya, persoalan atau pertikaian tentang kesetiaan seseorang warga terhadap negara. Malangnya tidak ada suatu rumusan yang disepakati tentang kecintaan ini. Ada sekelompok menyatakan taat setia kepada negara itu adalah kerelaan mengamalkan unsur-unsur yang menjatidirikan negara seperti mendukung bahasa kebangsaan atau Rukunegara dan sebagainya, dalam semua hal dan keadaan. Sekelompok lain, cukup puas hati jika diberi kebebasan melakukan hasrat sendiri, walaupun tidak didukung majoriti. Yang jelas seakan tiada mungkin suatu kemuktamadan oleh kerana kebebasan yang dikatakan tersekat itu, sebenarnya bukan berhad. Semua orang terus menyuarakan pandangan bahkan tanpa fakta-fakta pun. Barangkali situasi tetap akan berterusan. Sampai akhir zaman.
Kembali ke puisi. Temanku Ahmad Sarju menegaskan bahawa kecintaan terhadap tanahair adalah “… hakikat cinta abadi” . Mahukah kita tafsirkan semula cinta negara itu, ertinya apa?
(Catatan: Sajak ini boleh dibaca dalam, “Himpunan Sajak Dari Majalah “Dewan Bahasa” September 1957-1967”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, muka surat 32-33; Ahmad Sarju, “Bunga Waktu”, Dewan Bahasa dan Pustaka, muka surat 17; Awang Had Salleh, “Di Penjuru Matamu”, Utusan Publications, 181, cetakan kesebelas, muka surat 44-45; (Ahmad Khamal Abdullah) Ahmad Kamal Abdullah & Ahmad Razali Haji Yusof, “Malaysia Dalam Puisi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, cetakan kedua, muka surat 49. Sajak yang dipamerkan ini disalin daripada buku ini).

Kemerdekaan

“Kemerdehekaan”
Ada 183 sajak ciptaan sebelum Perang Dunia Kedua kuanalisis (Sumber: Pyan Husayn & Suhaimi Haji Muhammad (Penyelenggara), “Embun Pagi Antologi Puisi Sebelum Perang”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, cetakan pertama).
Sajak terawal bertarikh 18 Januari 1918 (Utusan Melayu) dan terakhir, November 1941 (Majalah Guru). Dalam sajak, perkataan yang terawal digunakan untuk mencetuskan semangat di kalangan orang Melayu ialah “Bangkitlah bangkit” (empat kali diulangkannya) iaitu terdapat dalam sajak Omar Mustaffa, “Angan-angan Dengan Gurindam”, Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Tetapi yang dianjurkan beliau ialah “Segera berbudi kepada tanah”. Seruan yang sama disuarakan oleh Abdullah Muhammad, melalui sajak “Pujuk” (Bulan Melayu 2 Julai 1935), “Bangkitlah bangkit ayuhai Melayu//pulihkanlah semangat yang lalu/Ingatkanlah hak, jiwa, lembaga - Tanah Melayu.” (muka surat 12).
Tiada seorang pun menuturkan perkataan “Merdeka”. Mujurlah penyajak Mohd. Hashim Baharuddin pertama sekali menyelitkan perkataan “kemerdehekaan” iaitu dalam sajaknya, “Aku Berpesan Dengan Terus Terang”, (Majlis, 12 Mac 1940). Kata beliau, “Taraf Melayu lepas peperangan /Bukanlah pula menuntut kemerdehekaan/Hanya juga yang di bawah naungan/Kerajaan British yang maha keadilan.” (muka surat 123).

Pantulan 27/15: Sajak Rogayah Hamid “Kekasih”

Pantulan 27/15: Fana
Memang! Ini memang kebetulan. Hari ini, selepas ‘Like’ di laman beliau, tiba-tiba mendepani, “Kekasih”, sajak jejiwa Rogayah Hamid (Rogayah A. Hamid), Dewan Sastera, April 2000, muka surat 45. Kependekannya merangkuli, lantas kupilih memantul sekali. Perasaan orang berkasih tidak mudah digambarkan. Apalagi kalau khalayaklah yang mahu kita minta sama-sama merasai pengalaman; seakan dialami diri sendiri.
Aku kira, biarpun terkesan suasana dan lenggok gaya berlatarkan tradisional lagi konvensional, rakaman percikan rasa yang menerobos kalbu rindu menderu lantas menyerbu masih dan tetap menepati. Bahkan lebih bererti kerana ledakan ini berkaitan hati.
Maka yang terserlah ialah ‘semua indah saja’ (teringat lirik sebuah lagu, “Pertarungan”). Dan demikian tidak harus kita perbahaskan. Cinta mampu mencantikkan segala-galanya. Sekurang-kurangnya pada satu tempoh, iaitu ketika cinta teruna dara itu mencapai kesempurnaannya. Ya! Begitu boleh berlaku pada saat puncak. Tanpa pun “kekasih” membelai di sisi, luahan sebegini tidak mustahil membuai hati. Akhirnya jadi realiti. Sebuah ciptaan berseni.

Pantulan 26/15: Sajak Solihin Osman, melalui “Bulatan Hidup”,

Pantulan 26/15: Roda
Memasuki abad baru, melalui “Bulatan Hidup”, Dewan Sastera, Januari 2000, muka surat 58, sahabatku yang kini sangat prolifik berkarya, Solihin Osman (Sholihin Osman), menceduk hikmah di depan mata, dari panjangnya usia orang tua berbanding bayi yang bakal mewarisi kehidupan duniawi.
Kalau kita sanggup merenung pelbagai peristiwa yang berlaku di sekitar kehidupan seharian pastilah dapat dirumuskan beberapa pengajaran bakal mendewasa dan menambahmaknakan kehadiran atau kewujudan sementara ini. Selaku makhluk ciptaan Allah, pengalaman manusia melalui peringkat-peringkat tertentu. Di dunia, bermula dengan kelahiran dalam rupa bayi, membesar jadi kanak-kanak, berubah ke tahap remaja, matang sebagai orang dewasa, dan meranum pada usia tua lalu, tidak dapat dielakkan lagi, berakhir dengan kematian. Ini adalah peringkat-peringkat yang telah diketahui semua. Tetapi perenungan pada setiap peringkat itu menghasilkan rumusan. Ia mencorak dan membezakan falsafah hidup yang dipegang oleh seseorang. Asal saja seseorang sedia menggunakan minda, pengalaman dan pendidikan sepanjang ruang waktu yang diperuntukkan.
Akupun sudah mulai uzur. Berjalan pun tidak boleh lurus lagi. Sudah mula terhuyung-hayang. Bersujud ketika solat kian berat oleh regangan urat yang tidak taat memakbulkan hasrat. Ketika kembali di desa kulihat ibu mertuaku sudah sering lupa,bahkan lebih-lebih lagi. Ada pembantu yang memapahnya setiap waktu dan mandinya pun dijirus selalu… Dan orang-orang lain, yang sebayaku, apalagi yang lahir lebih dahulu, menayangkan hakikat yang tersurat. Memanglah kehidupan adalah satu perjalanan bertujuan pasti tetapi setiap orang melalui proses perubahan jasmani yang telah ditentukan. Maka, alangkah elok kalau kita menumpukan kepada impak keberadaan kita di bumi iaitu memakmurkan dunia melalui segala anugerah Yang Maha Berkuasa. Semoga dengan demikian kita lebih berharga lagi di alam kedua.

Pantulan 25/15: Sajak Norhisham Mustafa, “Tentang Janji”

Pantulan 25/15: Demi lidah
Elok direnungi falsafah berikrar agar situasi seperti tergambar dalam sajak karyawan malar segar, Norhisham Mustafa, “Tentang Janji”, Dewan Sastera, September 1998, muka surat 42, terhindar. Adalah malang sekali, hati-hati yang sukarela berjanji, tidak berakhir dengan kebahagiaan duniawi, oleh kerana dalam langkahan pengusiaan digugat oleh pertelingkahan hasrat yang gagal digemblengkan. Tidak pula mahu kita menjangkitkan implikasinya hingga ke penghidupan selepas mati.
Kita boleh sendiri-sendiri mensituasikan carikan peristiwanya, tetapi ikatan persetujuan yang tergelincir kesasar sewajarnya tidak jadi buah honar yang kelak diwarwarkan. Jadi hingar-bingar.
Dari kecil kita sudah diajar dan dididik tentang kepentingan janji. Akibat buruk menarik diri ketika di sekerat jalan tentunya telah juga dibayangkan. Janji wajib ditepati. Bukan orang bermaruah kalau kita berjanji tiba-tiba memungkiri. Sama ada perjanjian peringkat individu, organisasi, dengan khalayak, pencabulan akan menimbulkan padah – tercelalah peribadi, tercemarlah darjat dan martabat, terhinalah sanak sekeluarga, tergugat perjuangan sepanjang hayat bahkan kehadiran lantas terasing, dicemuhi masyarakat. Ke manakah hendak dihadapkan wajah sedangkan nafas tetap dihela di serata jagat. Jadi janji sangat berkaitan dengan integriti – individu atau kelompok, organisasi dan seterusnya. Penghidupan kita merentasi rantaian janji dan seratus peratus yang termaktub menuntut pematuhan. Maka jangan berundur sedikitpun daripada janji yang disepakati. Keutuhan peribadi, terutamanya harus menjadi azam paling murni untuk didukungi.

Pantulan 24/15: Sajak Azmi Yusoff, “Kenangan”

Pantulan 24/15: Jejiwa
Aku tidak berhasrat mengingati kalimat-kalimat yang ditulisi beliau lebih empat dekad yang lalu, kecuali, “senja ini yang datang/wahai gadisku/ terkenang aku kepadamu/sebenarnya/telah kutemui kau berkali-kali /di pelipis mataku/yang basah selalu.” Tiada kalah untaian ini dengan untaian-untaian yang dikarang oleh penyajak-penyajak tersohor yang lain. Dan senggang masa yang mengusiakan aku dan pastinya juga Azmi Yusoff, tidak seharusnya menenggelamkan besertanya, kecamukan dan sedih duka orang muda yang kecewa bercinta, indah terakam mengimbaui. Sekurang-kurangnya, orang-orang muda sekarang yang melalui nasib serupa boleh pula membandingkan situasi demikian pada abad baru ini. Berbezakah perasaan kecundang oleh peredaran zaman?
Sajak jiwa-jiwa remaja belasan umur ini takpun menuntut masa yang lama untuk dinikmati. Usapilah, Azmi Yusoff, “Kenangan”, Dewan Sastra, Jun 1973, muka surat 55. Sesekali sedetik waktu sebelum beradu, tak salah melayan pengalaman silam. Atau, meneroka ilham.
(NOTA: Saya telah menyemak judul-judul sajak Azmi dalam, antologi-antologi “Dua Alam” (1978 – 25 buah); “Mengemam Jadam” (1994 – 63 buah); “ABRAR” (2011 – 25 buah); “Seriosa Sukma” (2014 – 79 buah); dan “Sakar Mawar” (2014 – 99 buah) tetapi gagal menemui sajak “Kenangan” ini).

Pantulan 23/15: Sajak M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”

Pantulan 23/15: Kelangsungan
Dalam sajak, perkataan “penghujung” sentiasa mengingatkan kita kepada keakhiran hayat atau kematian. Ia lazimnya dibayangkan sebagai mengerikan, kerana manusia tidak bersedia menemuinya, lalu tiadalah pilihan kecuali mendepani penyiksaan. Ketidaksediaan itu bukan pula disebabkan kejahilan atau tidak mengetahui balasan lantaran tidak beramal saleh atau bertakwa. Sebab utamanya kerana nafsu lebih menguasai. Nafsu inilah yang melekakan, menjadikan semua suruhan tidak ditaati sepenuhnya. Ditangguh-tangguhkan. Keduniaan mengatasi. Ada keyakinan apabila tiba masanya, ketika usia meranum, masjid akan dijelangi, surau akan dikunjungi dengan kekerapan yang mendadak jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya, ketika sarat menggelumangi alam kehidupan duniawi. Kepustakaan keagamaan dibeleki, pembacaan lain terketepi. Mengaji tak berhenti bahkan tak cukup makna perkata Kitab Suci, tambah lagi belajar bahasanya! Pakaian pun melabuh ke kaki. Tetapi, benarkah begitu bakal berlaku dan berterusan selalu? Terjaminkah pada usia bercucu, kita tiada digugat-ganggu, misalnya oleh desakan-desakan bercorak baru, di luar tanggapan terdahulu? Setahun dua bersara, ada gesaan untuk patuh beribadat, mengharap berkat , semoga tercapailah hajat yang sarat. Alangkah bertuahnya kalau berlanjutan, apatah lagi tiada pun himpitan material lantaran sekian lama dilimpahi rezeki. Tetapi, sedang kesihatan tetap meruangkan kesempatan, bagaimanakah bakal bertemu kepastian seperti yang terpahat untuk para umat?
Dua puluh tahun dahulu, ataupun sekarang kukira mesej terakam dalam sajak teman fbku M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”, Dewan Sastera, April 1994, muka surat 46, tidak akan banyak berubah. Kunyahilah. Aku tetap sukakan “kearifan itu sentiasa terbeban” dan kalimat yang menyusuli, cubalah sendiri ciptakan agar mengatasi yang sedia terpintal bererti, “oleh penghujungnya yang ingin dihilangkan”.