Sunday, 16 December 2018

Pantulan C/03/26/2018: Sajak (Mohd Mansor Abdullah) M. Ashikin, Yutiem, Keh. El. Mac 1988, “Esok dan Lusa”.

Pantulan C/03/26/2018: Menguburkan wawasan
Pada usia saat mutakhir, aku tidak mahu jauh berlainan pandangan dengan teman penulis prolifik ini. Gambaran yang terlontar di layar minda selepas mengunyah puisinya seakan serupa. Pada sejarah yang berlalu, walau bercampur aduk untung nasibnya, hakikatnya bukan sangat memberangsangkan, apalagi kalaulah penerusan upaya bangsa bersaing kini dan di muka yang menjadi kayu ukurnya.
Alam, dengan kedamaian, memang tiada tara. Tradisi, dengan percaturan hidup dibelai falsafah hidup sederhana masih belum cukup mengancam kelangsungan untuk berjati diri. Masih terbuka ruang untuk membangun tamadun lebih bererti mengatasi pencapaian era bahari. Tetapi, warisan sejarah tetap menyerlahkan wajah semasa. Persaingan telah mencorakkannya. Sehingga, berdekad-dekad menikmati kemerdekaan tetap di belakang.
Sekarang tiada lagi kewibawaan. Terhakis sudah gah. Situasi tidak lagi menjamin keistimewaan hak lancar berterusan seperti dekad-dekad DEB. Dengan peruntukan sah seteguh termaktub dalam perlembagaan pun, masih bergoyang matlamat wawasan dirempuh tuntutan pihak berkepentingan menidakkan ikatan persetiaan asal. Maka bukanlah lagi dianggap malang, pada ‘esok’ tekanannya bakal lebih menghimpit.
Jadi hasrat menghela nafas dalam tenteram kerana kita semua dibanjiri kemakmuran sebenarnya sama sekali jauh dari menjadi. Setiap langkah ke hadapan adalah penapakan ke perkuburan. Kegetiran silam membaham sekarang. Kelmarin, hari ini, esok dan lusa, juga tulat, hakikatnya tiada berbeza.
Maka adalah kesimpulan yang rasional mengakuri pendirian M. Ashikin. Marilah ucapkan selamat berangkat bagi generasi yang melangkah pulang sambil mendakap nostalgia itu. Dan generasi sekarang, tiada perisainya lagi. Naskhah sejarah dahulu kini tertutup. Lembaran-lembaran baru sudah terbuka. Di situ sudah tersedia juara merobah tafsiran. Akan terbit sejilid demi sejilid menepis status quo. Dan di muka citra kita kian kabur.
Nah! Ambillah sedetik mencicip gaulan bermutu dari jerih fikir (Mohd Mansor Abdullah) M. Ashikin, Yutiem, Keh. El. Mac 1988, “Esok dan Lusa”, Mastika, tahun 48, Disember 1988, muka surat 38.
(Catatan: Saya membelek-belek juga “Salam Anak-anak Inderapura”, “Laut Kelabu” dan “Lembah Damai”. Tidak pula ketemu puisi ini dalam kumpulan-kumpulan sajak berkenaan).

Pantulan E/04/25/2018: Sajak Ahmad Sarju, “Sumpah Yang Terkhianat”.

Pantulan E/04/25/2018: Mewarisi kecundangan
48 tahun dulu seorang teman penyair menganalisis kepincangan kepemimpinan politik di negara ini. Diteropongnya segelintir pemimpin yang bermanis wajah dan bermadu madah demi menculik dukungan rakyat sedarah agar tetap menyokong dalam perjuangannya membela bangsa dan tanah air. Malangnya, ikrar perjuangan tidak berterusan apabila sang pemimpin sudah di tampuk kuasa sambil menikmati habuan yang melimpahi keperluan asasi. Bacalah sajak lama Ahmad Sarju, Kelang, “Sumpah Yang Terkhianat”, (Dunia Persajakan), Dian, bilangan 36, tahun IX, 1970, muka surat 86.
Situasi yang diteliti bukan sukar diperhati berulang kali terjadi, ganti berganti. Ternyata semakin melangkah ke hadapan menfasi kemerdekaan, kilauan zaman lebih mengabui lantas kecundanglah tekad janji murni perjuangan, diganti dengan pemantapan diri untuk mengungguli selamanya di mercu sakti.
Tetapi dari semasa ke semasa banyak peristiwa mendepani rakyat jelata, tentang kejatuhan pemimpin di sana sini oleh loba dan keangkuhan membelakangi kesucian landas dokongan dan perjuangan. Lalu mereka jatuh merempat sengsara diadili bertimpa-timpa.
Pun, pada masa yang sama, rakyat yang sentiasa diperalat, menjadi objek percaturan tiada pun berubah menjadi lebih berwibawa bahkan semakin terdera nasibnya oleh mala petaka yang lebih berbahana impaknya berbanding masa-masa sebelumnya!
Sesungguhnya, mudah disimpulkan bahawa keterlanjuran mengkhianati amanah rakyat sering menghitamkan sejarah kebangsaan walau bagaimana gemilang sekalipun pencapaian yang melatarbalakangi perjuangan awalnya. Sebagai pemerhati yang menyaksinya ia seakan tragedi terpukul juga diri sendiri. Lebih mengerikan ia bakal dikenang generasi demi generasi dari abad ke abad mendatangi.
Namun, yang tidak perlu dilakukan kita ialah mengeluh mengenang peristiwa-peristiwa lara, tetapi mengiktibarkan kejadian-kejadian berentetan itu agar minda beralih menjadi lebih bijaksana. Cuma, mungkinkah kebijaksanaan bakal menyeluruh atau tetap setara seperti kebiasaannya; kejahilan lebih mengatasi dan kebangsaan pun menipis ditindih pesefahaman tak terbukti mandiri?

Pantulan C/01/24/2018: Sajak M. Jusoff Taib berjudul, “Rataplah Duniamu”.

Pantulan C/01/24/2018: Mempertahan Kemanusiaan
Agak lama juga tidak kulintasi sajak-sajak M Jusoff Taib dalam amalan belekan harianku. Pantulan terakhir kucatatkan ialah melalui Pantulan 23/15: Kelangsungan. Tiba-tiba hari ini, 3 tahun kemudian, muncul buah pemerhatian beliau, dalam rupa sedutan kenit mengisi ruangan “Bunga Rampai Karya” berjudul, “Rataplah Duniamu”, Dian, bilangan 33, Tahun IX, 1970, muka surat 149. Menariknya karya ini ialah dari segi tarikh terbitnya, yang bermakna beliau ketika itu masih amat muda remaja. Ideal beliau bergemercupan!
Ternyata pada awal tahun 1970, malah sebelumnya lagi, dunia yang didiami ini sudah tidak “murni” lagi. Golongan pembuat honar sudah merajalela demi kepentingan sendiri. Alangkah sedihnya kita, ketika itu sudah tiada lagi para pembela menghalang kedurjanaan. Barangkali sebab itulah sampai sekarang kebobrokan itu berterusan dalam skala mega?
Kalau perbandinganlah yang hendak kita tekankan, di antara zaman itu dan zaman ini, maka generasi dahulu tidak dapat mendabik dada bahawa mereka lebih berakhlak misali, mengatasi generasi mutakhir. Sedangkan kita akui, dahulu dan juga masa kini, tetap ada kelompok “meminta dibelai kasih sayang”.
Setelah bertuah hidup berusia panjang (?), sekali gus memperhatikan proses penuaan dunia, pada peringkat-peringkat yang berlainan - zaman tradisional, moden dan supra moden - maka kewajaran untuk tidak membiarkan arus negatif berlanjutan seakan tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun, kemanusiaan adalah sesuatu yang sakral. Dengan demikian, kepatahan semangat untuk tidak melakukan kebaikan sama sekali tidak dianjurkan. Kemanusiaan itu sendiri lebih mendorong agar disusun kaedah-kaedah dan program-program penambahbaikan. Sikap menyaksikan sahaja keruntuhan kemanusiaan itu bukanlah suatu pilihan orang bijaksana bahkan dkira ‘terhina’.
Jadi, walaupun telah berlalu hampir setengah abad, pendekatan bermanfaat menjalani kehidupan di kalangan manusia masih sah berakar pada nilai-nilai yang murni yang sudah diajari sejak zaman bahari. Kalau setiap manusia menyedari hakikat ini, kumungkaran yang muncul dalam pelbagai rupa, bentuk dan skalanya, yang sedang ganti berganti mengheret kemanusiaan beralih ke wajah hodohnya, nyatalah tidak salah pendekatan jika segelintir insan bestari tetap berteguh diri mendukung nilai-nilai yang terbukti mampu memurnikan kemanusiaan itu.
Maka yang lebih serasi diteladani ialah apa pun sahaja lakuan atau peristiwa sejarah yang memanfaati, bukan yang menghakis kemakmuran insani. Berbuatlah sesuatu, yang baik-baik sahaja, demi kebahagiaan individu atau kelompokan.

Pantulan C/04/23/2018: Sajak Norhisham Mustafa, “Petaniku”.

Pantulan C/04/23/2018: Cabaran membubar
Walaupun Norhisham Mustafa, lewat “Petaniku”, (Puisi), Al Islam, tahun 15, Jun 1988, muka surat 57, merangkumkan kesemuanya, kukira, pada musim tengkujuh kini, kita telusuri sekadarnya, sekelumit kehidupan orang-orang terdampar yang bertaruh nasib menghuni di birai pantai.
Dasa-dasawarsa lima, enam dan awal tujuh puluhan, sangat lagi tradisional. Hampir semua mereka bersauh di laut, bersampan berlayar ke unjang. Datuk, ayah dan anak jadi nelayan – mengail, menangkul, pukat hanyut, pukat kokok, pukat jerut, dan seumpamanya. Ahli-ahli keluarga yang lain mengendalikan rumah tangga dan serbaneka kewajipan lain yang melengkapkan, sesuai tuntutan adat resam. Tergemblenglah masyarakat desa nelayan itu selaku kelompok marhaen, silih mewarisi kemiskinan dan kemunduran yang merawankan.
Suasana tidak sentiasa kelam. Ketika malam disuluhi bulan, dihiasi bintang. Di gubuk-gubuk, pelita menerangi ruang yang menghimpit sekadar mengulit. Pagi atau petang bebas mandi di pantai, berbilas dan mencuci di perigi. Permainan tradisi berupa wau beraneka terperaga di celah-celah ru dan nyiur melonglai. Kalau tidak mengaji, ada mengitari desa membidas burung, meredah belukar mencari kayu api. Sepak raga jadi mainan rekreasi, gong dan gendang menggamatkan latihan seni pertahanan diri. Sesekali wayang kulit dan serangkaian yang lain datang bertandang menghiburkan hati. Kehidupan demikian berterusan. Remaja membesar, berkahwin berkeluarga, menjadi tua dan berpulang mengikut giiirannya.
Sedang di dunia lain, ada jalanraya, rel keretapi, elektrik, air berpili, sekolah, dan universiti.
Kalaulah tidak timbul kesedaran orang tua, dan sendiri, disusuli ‘Merdeka’, dasar prihatin peribumi dan rezeki, masihlah aku pun dikategorikan ‘petani’ atau yang seerti. Pastilah, jauh dari bermastautin di ibu negara dan bepergian ke bandar-bandar raya di sini sana.
Perubahan meredah. Ada menguntungkan, di samping merugikan. Sanya, tanpa bertekad meneroka dan membina kehidupan lebih maknawi, semuanya yang “Di bendang”, “Di laut”, “Di ladang”, “Di hutan” tentu kekal majoriti sampai kini.
Sebahagian kita telah berwajah mewah serasi globalisasi sedang di desa, padi tidak menguning berseri, hilang ketaman; getah tidak meleleh patah pisau torehan, dan hutan terdedah saujana digeledah, bukan lagi sumber berulang-alik memikul kayu api.
Untuk nostalgiaku, laut yang bagaikan sumur dahulu sesekali dikunjungi kebelakangan ini. Alangkah malunya mengakui; ia menjelma jadi raksasa menggerunkan lantaran sudah lama berhijrah merobah profesi. Mujurlah, ikan, sotong, ketam dan udang sudah boleh dibeli di pasar borong atau pasar tani!
Bahkan lebih bersyukur lagi; kami berdiri, rukuk, sujud dan berzikir tetap di sejadah! Penuh pasrah.

Pantulan A/05/22/2018: Sajak Hilmi Rindu, (Santai Minda), “Sesal”.

Pantulan A/05/22/2018: Terlanjur amat
Aku kira sesiapa pun yang mahu berpuisi, seharusnyalah menggubah puisi-puisi itu agar mengusik sanubari pentelaahnya. Mestilah dalam puisi itu disuntik serba-serbi unsur yang berupaya mencetuskan riak-riak keharuan yang tiba-tiba atau tidak semena-mena. Kemendadakan impak itu menandakan menunjangnya kesan mengiris panjang sesebuah puisi yang dihasilkan. Namun, seyogia diakui, bukan mudah pula menukangi puisi demikian. Pun, aku bertuah menemuinya. Sosok puisi murni idaman menjelma ketika aku menghayati puisi Hilmi Rindu, (Santai Minda), “Sesal”, Utusan Kiblat, Oktober 1983, muka surat 36.
Dari awal-awal lagi puisi ini mantap. Ambillah judulnya. Tiadalah perkataan lain yang boleh mengambil alih keserasian diksi “Sesal” kerana ia terbukti berpadanan memikul keseluruhan perutusan yang telah diterapkan. Begitulah selanjutnya. Misalnya, apalah lagi hendak diucapkan dalam keadaan “termangu” selain daripada menggambarkan penyesalan oleh keterlanjuran dan kehilangan kesempatan untuk berundur sedar, bertaubat nasuha dan bertekad untuk belajar bertakwa menebus dosa-dosa kecil, apalagi dosa-dosa yang besar-besar terutama berandaikan sengaja dilakukan dengan angkuhnya sebelum itu.
Sungguh menepati pilihan diksi untuk menimang situasi. Aku bersendu diri membayangkan senario rawan oleh ketiadaan ruang untuk berdiri apalagi beristirehat sementara menanti Hari Pengadilan Ilahi.
Bertimpa-timpa malangnya “lelaki tua” kerana sudah pasti jika pun dianugerahi usia lanjutan, tempohnya tidaklah berpada lagi. Bayangkanlah, begitu banyak fardu-fardu ain dan kifayah yang hendak dipelajari dan sekali gus hendak diamalkan siang dan malam. Bertubi-tubi. Semuanya, demi menimbus ‘sesal’ kolosal sedang bercambahan.
Bacalah puisi ini sekali. Dan sekali lagi, kalau mahu menyulam sendiri puisi peribadi setaranya. Jangan sekali-kali lupa mengkaji erti setiap patah diksi bakal menjulang makna janaan minda puisi berkenaan. Puisi-puisi murni selayaknya menampung karya-karya Islami, sebagai kini berseri-seri diwakili puisi Hilmi objek pantulan.
Sanya, aku memilih untuk meletakkan puisi-puisi berinti suci pada tahap teratas. Puisi-puisi begini akan dihirup sebati lantaran membajai minda. Karyawan bestari sebenarnya berdakwah dan sambil menikmati karya seumpamanya aku pun tidaklah kehilangan arah.

Pantulan F/02/21/2018: Sajak Mohd Mansor Abdullah, “Larikan Mukamu Dari Kiblat”,.

Pantulan F/02/21/2018: Menubi Takwa
Bersembahyang lima waktu sehari semalam sudah suatu kewajipan seseorang penganut Islam. Ia diakui berupaya mendekatkan insan kepada Penciptanya, asalkan didirikan bertakwa, bukan sewenang-wenangnya. Rukun ini dikira tiang agama. Sempurna solat seseorang membuahi lain-lain peribadatan dengan teratur dan luhur. Sembahyang akan menghindarkan diri dari melakukan kehonaran. Serentak itu, insya-Allah, dilimpahi kehidupan diri sejajar barakah-Nya. Dengan memiliki pengetahuan asas tentang keistimewaan rukun Islam kedua itu, kita sudah boleh menghargai olahan sajak Mohd Mansor Abdullah, “Larikan Mukamu Dari Kiblat”, (Puisi Hidayat), Utusan Kiblat, Mac 1981, muka surat 26.
Ada kesinisan penyair membedah persoalannya. Ya, beliau sengaja tidak melicinkan cernaan minda pembaca terhadap karya ini. Diselitkannya hakikat kebersahajaan tabiat di kalangan hamba dalam mengabdi. Seerti, kehidupan di dunia berpancaroba jangan sekali-kali diremehkan. Ia ada implikasi merugikan. Kepatuhan ala kadar atau jahil erti bukanlah pembuka kunci keredaan Yang Maha Berkuasa. Tegasnya, tekad menuju Syurga cedera lantaran pengingkaran malah perlekehan terhadap pendekatan yang dianjurkan dalam menjunjung perintah Allah. Ia pasti menjerumuskan diri ke depan Malik yang mahu dihindari, bukan menjuruskannya ke arah Ridhuan penjaga destinasi asali. Jadi, kesasar diri dari Ilahi.
Sia-sialah bersembahyang dan menekuni rukun dan amalan makruf lain-lainnya tanpa menyedari bahawa matlamat penghidupan di dunia ini sebenarnya dua; berusaha cemerlang merangkul bahagia murni di sini sedangkan, lebih utama lagi, adalah mentubikan amalan setinggi-tinggi ketakwaan. Dengan begitu, bertambah saham bakal menselesai kehidupan sekali lagi, selepas mati. Kehidupan abadi yang sempurna itu serba berlimpahan kemewahan. Begitu terang termaktub dalam Al-Quran. Tentulah suatu perkiraan yang songsang mengetepikan kesejahteran berkekalan di alam baqa sekadar merebut keselesaan sementara, katakan, bagi jangka setengah abad cuma di alam fana.
Bertepatanlah ada peringatan tentang kerugian mementingkan kehidupan yang sama sekali tergelincir dari jalan yang lurus. Demikian, seperti menyingkirkan tuntutan agar lebih berketakwaan. Adakah bestari membiarkan kesenangan singkat yang dinikmati di alam fana ini mengaburi pemanduan lancar ke arah jalan yang lempang? Sedangkan peribadatan yang serasi piawai Ilahi, bahkan sudah terbukti memberikan impak segera dengan ‘kesenangan’ dialami sekarang ini pun. Tiada lain maknanya kecuali sebagai isyarat bahawa anugerah berganda-ganda di ‘sana’ bakal menyusuli pula.
Kegementaran rasa seharusnya disurutkan, dengan membulatkan niat dan memberatkan amali seperti yang dianjurkan Kitab Suci dan Sunnah Nabi. Semoga setiap langkah yang masih berbaki diiringi keyakinan dan kepatuhan bahawa Neraka yang menanti pasti membakar diri jika timbagan neraca amalan terpuji terbukti ringan berbanding tingkah laku tercela.
Seharusnya, semenjak dahulu lagi, berterusan sekarang dan agar disusuli dalam sedikit masa yang terluang di muka, ibadat berketakwaan melayakkan diri menghuni ‘Jannati’.

Pantulan A/03/20/2018: Sajak Norhisham Mustafa, “Peribadi 5”.

Pantulan A/03/20/2018: Pengisian Ukhrawi
Dalam siri “Peribadi” penyair ini, tercatat dalam bibliografi ASKAT, siri sajak ini sampai ke bilangan 14. Dua daripadanya, telah dipantul; “Peribadi” dan “Peribadi 14”.
Dalam belekan ulangan sekarang, aku melintasi lagi, Norhisham Mustafa, “Peribadi 5”, Utusan Kiblat, November 1979, muka surat 11. Maknanya, ia muncul hampir 40 tahun dahulu.
Ternyata, “Puisi Hidayat” ini bertema malar kerana walau dibaca hari ini pun tetap seakan dibaca ketika ia mula-mula terbit. Malah, barangkali, semakin tua dan berpengalaman seseorang peneliti semakin mendalam makna yang boleh dicungkil dan diraeh, asalkan ditelaah ghairah. Dia akan lebih menghargai gubahan sebegini oleh kerana kandungannya dengan sendiri mencuit kemudian menerjah lalu akhirnya menggemblengkan pengalaman peribadi dengan pengalaman Hisham. Natijahnya, Hisham mengusap hasrat insan menjuruskannya menghitung semula prestasi amalinya selaku hamba Ilahi.
Bukan pasti mencapai piawai teriktiraf insan mulia di sisi Yang Maha Berkuasa. Ghalibnya, pengetahuan yang cetek boleh jadi bertambah dengan usaha-usaha yang dicetuskan oleh kesedaran melakukan amal makruf bersandarkan ketakwaan yang meningkat. Tetapi, malangnya, cabaran sentiasa ada dan pengabaian terhadap karenah dugaan tidak berpangkalan dan berperhentian akan memerosotkan kesungguhan atau tekad, lalu tidak mustahil mengalih tumpuan dan sekali gus mencacatkan prestasi peribadatan semasa berbanding sebelumnya.
Ya, kembara ini memang bertepi. Maka, akan menyelinap datang pertanyaan; yang berbentuk bagaimanakah cabaran atau imbuhannya bakal diperolehi agar menjamin peningkatan amalan murni berlestari? Usia yang bertambah tidakkah pada untuk menempa peribadi beribadah di mercu tertinggi?
Aku hanya berharap, supaya tempoh yang sedikit sangat lagi berbaki tidak diselaputi daki-daki kejahilan manusiawi semenjak zaman bahari sampai masa kini! Aku bermunajat, agar sedikit pun amalan yang mampu dibuat, biarlah suci senilai sebumi permata bakal mengangkat martabat sendiri di Akhirat yang pasti. Aku berdoa semoga langkah-langkah menapaki jalan pulang ini sentiasa diberkati. Amin!