Pantulan E/04/25/2018: Mewarisi kecundangan
48 tahun dulu seorang teman penyair menganalisis kepincangan kepemimpinan politik di negara ini. Diteropongnya segelintir pemimpin yang bermanis wajah dan bermadu madah demi menculik dukungan rakyat sedarah agar tetap menyokong dalam perjuangannya membela bangsa dan tanah air. Malangnya, ikrar perjuangan tidak berterusan apabila sang pemimpin sudah di tampuk kuasa sambil menikmati habuan yang melimpahi keperluan asasi. Bacalah sajak lama Ahmad Sarju, Kelang, “Sumpah Yang Terkhianat”, (Dunia Persajakan), Dian, bilangan 36, tahun IX, 1970, muka surat 86.
Situasi yang diteliti bukan sukar diperhati berulang kali terjadi, ganti berganti. Ternyata semakin melangkah ke hadapan menfasi kemerdekaan, kilauan zaman lebih mengabui lantas kecundanglah tekad janji murni perjuangan, diganti dengan pemantapan diri untuk mengungguli selamanya di mercu sakti.
Tetapi dari semasa ke semasa banyak peristiwa mendepani rakyat jelata, tentang kejatuhan pemimpin di sana sini oleh loba dan keangkuhan membelakangi kesucian landas dokongan dan perjuangan. Lalu mereka jatuh merempat sengsara diadili bertimpa-timpa.
Pun, pada masa yang sama, rakyat yang sentiasa diperalat, menjadi objek percaturan tiada pun berubah menjadi lebih berwibawa bahkan semakin terdera nasibnya oleh mala petaka yang lebih berbahana impaknya berbanding masa-masa sebelumnya!
Sesungguhnya, mudah disimpulkan bahawa keterlanjuran mengkhianati amanah rakyat sering menghitamkan sejarah kebangsaan walau bagaimana gemilang sekalipun pencapaian yang melatarbalakangi perjuangan awalnya. Sebagai pemerhati yang menyaksinya ia seakan tragedi terpukul juga diri sendiri. Lebih mengerikan ia bakal dikenang generasi demi generasi dari abad ke abad mendatangi.
Namun, yang tidak perlu dilakukan kita ialah mengeluh mengenang peristiwa-peristiwa lara, tetapi mengiktibarkan kejadian-kejadian berentetan itu agar minda beralih menjadi lebih bijaksana. Cuma, mungkinkah kebijaksanaan bakal menyeluruh atau tetap setara seperti kebiasaannya; kejahilan lebih mengatasi dan kebangsaan pun menipis ditindih pesefahaman tak terbukti mandiri?
No comments:
Post a Comment