Pantulan F/02/21/2018: Menubi Takwa
Bersembahyang lima waktu sehari semalam sudah suatu kewajipan seseorang penganut Islam. Ia diakui berupaya mendekatkan insan kepada Penciptanya, asalkan didirikan bertakwa, bukan sewenang-wenangnya. Rukun ini dikira tiang agama. Sempurna solat seseorang membuahi lain-lain peribadatan dengan teratur dan luhur. Sembahyang akan menghindarkan diri dari melakukan kehonaran. Serentak itu, insya-Allah, dilimpahi kehidupan diri sejajar barakah-Nya. Dengan memiliki pengetahuan asas tentang keistimewaan rukun Islam kedua itu, kita sudah boleh menghargai olahan sajak Mohd Mansor Abdullah, “Larikan Mukamu Dari Kiblat”, (Puisi Hidayat), Utusan Kiblat, Mac 1981, muka surat 26.
Ada kesinisan penyair membedah persoalannya. Ya, beliau sengaja tidak melicinkan cernaan minda pembaca terhadap karya ini. Diselitkannya hakikat kebersahajaan tabiat di kalangan hamba dalam mengabdi. Seerti, kehidupan di dunia berpancaroba jangan sekali-kali diremehkan. Ia ada implikasi merugikan. Kepatuhan ala kadar atau jahil erti bukanlah pembuka kunci keredaan Yang Maha Berkuasa. Tegasnya, tekad menuju Syurga cedera lantaran pengingkaran malah perlekehan terhadap pendekatan yang dianjurkan dalam menjunjung perintah Allah. Ia pasti menjerumuskan diri ke depan Malik yang mahu dihindari, bukan menjuruskannya ke arah Ridhuan penjaga destinasi asali. Jadi, kesasar diri dari Ilahi.
Sia-sialah bersembahyang dan menekuni rukun dan amalan makruf lain-lainnya tanpa menyedari bahawa matlamat penghidupan di dunia ini sebenarnya dua; berusaha cemerlang merangkul bahagia murni di sini sedangkan, lebih utama lagi, adalah mentubikan amalan setinggi-tinggi ketakwaan. Dengan begitu, bertambah saham bakal menselesai kehidupan sekali lagi, selepas mati. Kehidupan abadi yang sempurna itu serba berlimpahan kemewahan. Begitu terang termaktub dalam Al-Quran. Tentulah suatu perkiraan yang songsang mengetepikan kesejahteran berkekalan di alam baqa sekadar merebut keselesaan sementara, katakan, bagi jangka setengah abad cuma di alam fana.
Bertepatanlah ada peringatan tentang kerugian mementingkan kehidupan yang sama sekali tergelincir dari jalan yang lurus. Demikian, seperti menyingkirkan tuntutan agar lebih berketakwaan. Adakah bestari membiarkan kesenangan singkat yang dinikmati di alam fana ini mengaburi pemanduan lancar ke arah jalan yang lempang? Sedangkan peribadatan yang serasi piawai Ilahi, bahkan sudah terbukti memberikan impak segera dengan ‘kesenangan’ dialami sekarang ini pun. Tiada lain maknanya kecuali sebagai isyarat bahawa anugerah berganda-ganda di ‘sana’ bakal menyusuli pula.
Kegementaran rasa seharusnya disurutkan, dengan membulatkan niat dan memberatkan amali seperti yang dianjurkan Kitab Suci dan Sunnah Nabi. Semoga setiap langkah yang masih berbaki diiringi keyakinan dan kepatuhan bahawa Neraka yang menanti pasti membakar diri jika timbagan neraca amalan terpuji terbukti ringan berbanding tingkah laku tercela.
Seharusnya, semenjak dahulu lagi, berterusan sekarang dan agar disusuli dalam sedikit masa yang terluang di muka, ibadat berketakwaan melayakkan diri menghuni ‘Jannati’.
No comments:
Post a Comment