Pantulan C/01/24/2018: Mempertahan Kemanusiaan
Agak lama juga tidak kulintasi sajak-sajak M Jusoff Taib dalam amalan belekan harianku. Pantulan terakhir kucatatkan ialah melalui Pantulan 23/15: Kelangsungan. Tiba-tiba hari ini, 3 tahun kemudian, muncul buah pemerhatian beliau, dalam rupa sedutan kenit mengisi ruangan “Bunga Rampai Karya” berjudul, “Rataplah Duniamu”, Dian, bilangan 33, Tahun IX, 1970, muka surat 149. Menariknya karya ini ialah dari segi tarikh terbitnya, yang bermakna beliau ketika itu masih amat muda remaja. Ideal beliau bergemercupan!
Ternyata pada awal tahun 1970, malah sebelumnya lagi, dunia yang didiami ini sudah tidak “murni” lagi. Golongan pembuat honar sudah merajalela demi kepentingan sendiri. Alangkah sedihnya kita, ketika itu sudah tiada lagi para pembela menghalang kedurjanaan. Barangkali sebab itulah sampai sekarang kebobrokan itu berterusan dalam skala mega?
Kalau perbandinganlah yang hendak kita tekankan, di antara zaman itu dan zaman ini, maka generasi dahulu tidak dapat mendabik dada bahawa mereka lebih berakhlak misali, mengatasi generasi mutakhir. Sedangkan kita akui, dahulu dan juga masa kini, tetap ada kelompok “meminta dibelai kasih sayang”.
Setelah bertuah hidup berusia panjang (?), sekali gus memperhatikan proses penuaan dunia, pada peringkat-peringkat yang berlainan - zaman tradisional, moden dan supra moden - maka kewajaran untuk tidak membiarkan arus negatif berlanjutan seakan tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun, kemanusiaan adalah sesuatu yang sakral. Dengan demikian, kepatahan semangat untuk tidak melakukan kebaikan sama sekali tidak dianjurkan. Kemanusiaan itu sendiri lebih mendorong agar disusun kaedah-kaedah dan program-program penambahbaikan. Sikap menyaksikan sahaja keruntuhan kemanusiaan itu bukanlah suatu pilihan orang bijaksana bahkan dkira ‘terhina’.
Jadi, walaupun telah berlalu hampir setengah abad, pendekatan bermanfaat menjalani kehidupan di kalangan manusia masih sah berakar pada nilai-nilai yang murni yang sudah diajari sejak zaman bahari. Kalau setiap manusia menyedari hakikat ini, kumungkaran yang muncul dalam pelbagai rupa, bentuk dan skalanya, yang sedang ganti berganti mengheret kemanusiaan beralih ke wajah hodohnya, nyatalah tidak salah pendekatan jika segelintir insan bestari tetap berteguh diri mendukung nilai-nilai yang terbukti mampu memurnikan kemanusiaan itu.
Maka yang lebih serasi diteladani ialah apa pun sahaja lakuan atau peristiwa sejarah yang memanfaati, bukan yang menghakis kemakmuran insani. Berbuatlah sesuatu, yang baik-baik sahaja, demi kebahagiaan individu atau kelompokan.
No comments:
Post a Comment