Sunday, 16 December 2018

Pantulan C/04/29/2018: Sajak Leo A.W.S., 1985, “Seorang Tua Dengan Sungainya”.

Pantulan C/04/29/2018: Asal hayat masih panjang
Bukanlah sesuatu yang aneh mendengar cerita seseorang yang telah “tua” merindui 'tempat jatuh'nya termasuk mengakrabi semula teman-teman sepermainan semasa kanak-kanak atau sepersekolahan yang lama terpisah. Dipisahkan oleh tuntutan dan rezeki masing-masing. Perihalan itu lumrah berlaku dalam kita mengengsot menggenapi usia termaktub.
Seorang sahabat karibku pernah memberitahu, arwah orang tuaku, pernah datang berjumpa beliau setelah begitu lama tidak singgah bertanya khabar. Sahabat ini memberitahu peribadi itu juga mengunjungi kenalan-kenalan sebayanya yang lain. Mereka itu tidaklah dijenguk selalu dalam kebiasaan seharian sebelum itu. Tiada lama bersenggang, ayahku pun berpulang ke rahmatullah dengan tenangnya. Tiada pun tanda nyata bahawa maut bakal menjemput tetapi demikian yang terjadi setelah semua yang mewarnai kehidupannya semasa kecil, remaja, dewasa dan tua sedikit sebanyak telah dapat dialami semula. (NOTA: Bersyukurlah aku sendiri sempat pula bersemuka dengan beliau beberapa hari sebelum ajal menjelanginya).
Aku sendiri pun dalam alam persaraan kini suka melakukan demikian. Berkunjung, mengulangi! Buku-buku lama, terkumpul semenjak zaman alam persekolahan dicapai dan dibelek-belek. Tempat-tempat bermain di kampung dikunjungi semula, melihat kelestarian atau kelainannya. Sahabat-sahabat karib kusinggahi ketika terluang kesempatan, apabila sekali-sekala kembali ke desa. Dengan begini, pengalaman silam itu muncul meresapi jiwa. Bersama-sama teman-teman seusia dapatlah kami berbual-bual tentang pengalaman berlalu; tentang keperitan hidup menjalani umur remaja, keseronokan menyertai pelbagai kegiatan di kampung tahun-tahun 1950-an-60-an.
Bagaimana gambaran bermandi di laut dan sungai, berperahu layar menyusuri pantai dan ke pulau-pulau, berkelah ke Bukit Keluang, Dendong dan Bubus. Bermain serbaneka yang kampungan; permainan “bola katok”, petik mata, layang-layang, olahraga desa,.. Memang banyak untuk dicatat kerana terlekat dalam ingatan…
Maka, dalam konteks itulah berharganya sajak (Leo Aws) Leo A.W.S., 1985, “Seorang Tua Dengan Sungainya”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Februari 1989, muka surat 15.
Aku sependapat dengan Leo, perlakuan seorang tua menziarahi “pasir sungainya” seharusnya dianggap peristiwa biasa kerana tempat itu sangat erat melekat di jiwanya berdekadan. Kematiannya selepas itu adalah “kebetulan”, bukan disebabkan ziarah tersebut. Perlakuan itu bukanlah ‘membuang tabiat’.
Bertuahnya, hakikat ini telah diungkap mantap dengan berlatarkan unsur-unsur alam yang tepat, asli dan langsung mengenai lokaliti budaya kampung tulen. Kaedah persembahan beliau yang bersahaja ini mampu spontan mencengkam tetapi tidak berhasil merobah pendirian tradisional masyarakat yang aku percaya masih tetap dibenaki unsur-unsur misterius demikian, walaupun kian menipis dikikis pendidikan selari perubahan sekarang.
Dan, pada tempoh yang masih terluang, aku sendiri tidak berhasrat mensesia memesrai kenangan. Pantai dan laut, kawan-kawan sepermainan, membelek-belek bahan-bahan bacaan dalam simpanan dan semuanya yang mengembalikan nostalgia kehidupanku bakal berterusan mengisi kegiatan seharian.

No comments:

Post a Comment