Saturday, 1 December 2012

Merintis Pelan Taqwa - Mukaddimah



            Ini adalah kesan, reaksi dan tanggapan saya terhadap intisari tafsiran al-Quran setelah  mendengar kuliah Subuh hari ini (genap 61 tahun) 1 Disember 2012=17 Muharram 1434 di MKT. Seperti selalu penceramahnya ialah Ustaz Ariffin bin Ismail, Pensyarah Universiti Malaya.
Pemahaman tentang sesuatu istilah, konsep, sejarah dan pemakaiannya dalam situasi semasa adalah penting. Bagi maksud reaksi ini, ambil saja istilah al-Munafiqun. Dari segi sejarah, istilah al-Munafiqun telah ada disebut dalam al-Quran lebih 14 abad yang lalu. Apabila orang Islam mengatakannya atau menyebut istilah ini, maka di kalangan orang Islam biasa, terlintas dalam fikiran mereka orang yang yang berpura-pura; wajahnya, sikapnya, amalan zahirnya nampak beriman sedangkan yang lebih benar ialah sebaliknya. Orang Munafik boleh mengabui mata orang ramai dengan mudah dan jika berterusan orang ramai akan terikut-ikut lalu menjadi munafik atau mengamali tingkah-laku demikian juga.
            Kuliah Subuh tadi memfokus ayat-ayat 9, 10 dan 11 Surah al-Munafiqun.[1] Rumusan ketiga-tiga ayat ini bolehlah dinyatakan begini; bahawa selagi masih hidup, mempunyai kesempatan, ada kuasa, ada harta, ada pangkat, berbakti dan berjasalah dengan sentiasa mengingati Allah. Mengingati Allah bukan sekadar berzikir subhanAllah, alhamdulillah, Allahu Akbar, bahkan jaaauh melebihi tanggapan itu. Berbuat yang terbaik dalam semua perkara dalam konteks menggunakan apa yang kita miliki demi memperkuat umat atau orang lain seagama dengan kita.
            Konsep rezeki misalnya tidak terhad kepada pendapatan bulanan yang diterima, upahan harian, wang ringgit, pangkat yang disandang, ilmu yang tertanam di dada, kesihatan yang terjaga, umur yang panjang, anak cucu sekeliling pinggang, rakan taulan yang merata. Semuanya itu, dan lain-lain lagi adalah pelbagaian rezeki yang kita nikmati. Maka rezeki ini hendaklah dimanfaatkan untuk diinfakkan; kepada kariah masjid, kepada masyarakat setempat, kepada anak-anak yatim, kepada ibu-ibu tunggal beranak ramai dan banyak lagi kumpulan sasarnya. Lagi, kalau hendak diperluas; pemimpin masjid yang berilmu (apa sahaja ilmu berguna) manfaatkan ahli-ahli kariah dengan ilmu itu; Bilal yang merdu suara dan menarik teknik azannya boleh melatih remaja-remaja lain agar bila-bila masa sahaja boleh mengambil alih; m,ana-mana ahli jemaah masjid berupa pemimpin korporat boleh membangunkan imej masjid supaya menjadi entiti korporat yang tidak tercemar lagi gah; mereka yang menguasai sumber-sumber boleh mengukuhkan keupayaan masjid dengan sumber-sumber itu, dengannya masjid boleh mengisi minda warga emas lelaki dan wanita, mengislahkan pemikiran para remaja ke jalan budaya Islamiah. Banyak lagi programnya, dan ini akan menyusul nanti….   
            Nah, kalau kita tidak memahami apakah itu tindakan-tindakan seorang yang munafik maka kita tidak terasa melakukan kesalahan kerana kita tidak sedar dalam tanggapan berimannya kita (yang sebenarnya tidak tepat) kita melanggar batas-batasnya. Kita tidak fikir kita telah mengabaikan masyarakat  yang kita gauli kerana kita sudah rasa mencukupi melaksanakan rutin seorang Islam yang baik; kerana kita sudah pergi sembahyang Subuh atau Maghrib atau Isya’ di masjid; setiap Jumaat kita memberi sedekah dan derma secara menabung di masjid; sekali-sekala kita hadir mendengar ceramah agama; setiap Ramadan kita tidak ketinggalan bertarawih 8 rakaat; dan lain-lain lagi yang menjadikan kita diiktiraf sebagai muka lazim di mata ahli-ahli kariah.
            Ya, masjid kita besar, berhawa dingin, berpermaidani empuk. Makmum ada  sebaris sahaja di belakang Imam. Kita tahu yang ada di masjid ini ialah orang-orang yang 15-30 tahun menghirup udara persaraan; tua-tua, dan sudah tidak banyak lagi kuasa untuk merubah, sudah mulai dilupakan, tidak dikerumuni pelanggan-pelanggan, tidak boleh lagi memberi sumbangan tenaga sukarela tulang empat kerat, sudah goyah jasmani berlama-lamaan menyertai pelbagai aktiviti. Pendek kata sudah menurun menuju garisan penamat, dalam kesunyian. Hakikat yang terpampang jelas, tiada pengganti mendampingi sebaris di saf kedua. (Kata Ustaz: Apa salahnya kita hadiahkan RM10 bagi mana-mana remaja yang datang awal ke masjid, demi mendidik? Fikirkanlah apa saja cara untuk mengatasinya! Begitu bukan salah.)
            Kalau kita percaya ada kehidupan lain selepas kematian dan kebahagiaan hidup di alam baru yang kekal kelak bergantung kepada kesan dari jasa bakti kerana mengingati Allah semasa di dunia ini maka tentulah ada regret atau sesalan bercambah dalam diri kerana sambil lewa, berkira-kira sangat untuk berkecimpung, bertindak secara betul ketika kesempatan terbuka luas atau ketika kita diberi pilihan menentu sendiri corak situasi di tempat kita. Bukankah ghalibnya kita akan mati dan disolati di sini? Sewajarnya kita tidak boleh cuai sampai ditempelak; kenapa ketika engkau berpangkat, engkau berharta, engkau sihat, engkau berilmu, engkau berkuasa dan menguasai semuanya tiada apa yang bermakna dilakukan supaya dapat diwarisi generasi pelapis, menjadikan mereka boleh menyambung berbakti, berjasa dan bertaqwa mengikut kefahaman yang paling menepati?
            Masjid adalah pusat mendidik ahli-ahli kariah. Fakir, miskin, orang terlantar  melihatnya sebagai tempat bergantung harap ketika kesempitan, musafir terbela sementara melepas lelah sebelum meneruskan perjalanan.  Anak-anak sekolah dari keluarga tidak bernasib baik datang untuk belajar kelas-kelas tuisyen percuma atau separuh ditaja, orang ramai datang membaca buku-buku berharga menambah ilmu pengetahuan, para mahaguru datang mencambah benih ilmu dunia akhirat, mahasiswa-mahasiswi berseminar/berqiamullail membentuk para kader mujahid pembela masyarakat dan institusi, dan ….
            Kata Ustaz Ariffin tadi, perang senjata tidak sebahaya perang budaya, perang fikiran oleh musuh-musuh Islam. Benarlah kalau ditembak sebutir peluru oleh penjenayah antarabangsa pelurunya menusuk satu badan dan matilah kesan akhirnya. Dan individu itu hilang hayatnya berpusara dan seorang warga berkurangan dalam negara. Sebaliknya, kalau fikiran atau minda yang ditawan lalu  seseorang menjadi pak turut ia kemudian menjadi perkakas atau alat diayah atau dakwah untuk menambah lagi kebinasaan kepada individu-individu lain, generasinya, kaum kerabat dan orang-orang yang boleh dipengaruhinya dan kemudian ditawannya lagi.
Di Aceh suatu dekad dahulu, di suatu kawasan penduduk Kristian hanya lebih kurang 10 peratus.  Kini sudah jadi 40 peratus. Bilangan gereja sudah melebihi masjid, merata tempat dibina, benar-benar dirancang untuk menyaingi. Jadi, bayangkan jika orang yang kalah  mindanya ini, adalah orang-orang kita; jika ia adalah pemimpin besar, pemimpin sederhana, pemimpin kecil, pemimpin sekolah, pemimpin, kelas, pemimpin masjid, pemimpin kariah, pendek kata ketua pada tahap masing-masing, apakah kemusnahan budaya dan keagamaan yang boleh mereka lakukan?
Ustaz mencetuskan, tidak bolehkah diselaraskan? Bijakkah semua NGO berebut-rebut bertumpu ke Palestin, sedangkan kita pun mempunyai masalah-masalah besar seperti kehakisan budaya ke arah kemusnahan tanpa kita mempunyai benteng atau merangka strategi pertahanan yang kukuh?  
            Maka adakah sekarang kita tahu munafik ada dalam sejarah awal Islam ketika Nabi Muhammad masih hidup. Munafik ada pada zaman Khulafa al-Rasyidin, zaman Kekhalifahan Umayyah, Kekhalifahan Abbasiah, Empayar Othmaniah,  zaman nasionaliah, dan masih kekal ada  pada zaman kita kini iaitu zaman globaliah.
Saya mahu kita mengatasi, kalau boleh, secara menyeluruh, tidak mengapalah juga secara berperingkat-peringkat, secara berkelompok-kelompok, secara berindividualan, secara negeriah, secara berdaerah, secara lokaliah, secara kariah, selaras dengan keupayaan sendiri masing-masing, dengan pendekatan paling praktikal. Barangkali boleh kita sebagai orang biasa, orang bawah memulakan dengan menerima pendekatan dari bawah juga. Biarkan latar-latar yang lain itu (di atas dari kita) iaitu di peringkat kita tidak ada kuasa, tidak ada pangkat, tidak punya pengikut, kita tidak dikenali, terserah kepada orang lain mengendalikannya. Dengan cara begini, jika di tempat lain tidak berlaku perubahan positif di jajahan kita tetap berkembang maju.
Jadi, katalah kita berkuasa atau bermukim di satu kariah kita buatlah pelan strategik kariah supaya fahaman kita yang baharu tentang konsep munafik menyerlahkan imej baru di sekeliling kita, penuh dengan wajah orang-orang solehah atau sedang berubah menepati ajaran Rasullullah s.a.w.
            Pelan Takwa Kariah akan menjadi bahan penulisan yang akan datang, insya-Allah.                           


[1] Saya baca Rachmat Taufiq Hidayat, Khazanah Istilah al-Quran, Penerbit Mizan, Bandung, 1989, dinyatakan istilah Munafiqun dan Munafiqin terdapat dalam banyak surah dan ayat dalam Al-Quran seperti surah-surah 9 (Al-Tawbah) ayat-ayat 64, 67, 101; 33 (Al-Ahzab) ayat-ayat 12, 60; 57 (Al-Hadid) ayat 13 (bagi Munafiqun) dan 4 (Al-Nisa’) ayat-ayat 61,88, 138, 140, 142, 145; 9 (Al-Tawbah) ayat-ayat 67, 68, 73; 29 (Al-Ankabut) ayat 11; 33 (Al-Ahzab) ayat-ayat 1, 24, 48, 73; 63 (Al-Munafiqun) 1, 7, 8; (bagi Munafiqin).  Dikatakannya, “artinya orang-orang nifaq, yakni orang-orang yang melahirkan sesuatu yang berbeda dengan keyakinan yang sebenarnya atau orang yang pura-pura beriman padahal sebenarnya kufr.” (lihat muka surat 106). Kebetulan tidak lama berlalu,  Sikap  dan Peribadi Orang-orang Munafiqin menjadi tajuk rencana Guru Muda dalam majalah Pengasuh bilangan 331, Julai 1961=Safar 1381. Guru Muda mengulas Surah Al-Baqarah ayat-ayat 11 – 16. Sungguhpun telah lama ditulis pemerian dalam rencana itu masih kemas dan ayat-ayat yang dirujuk di atas saling melengkapi. 

Thursday, 15 November 2012

Sempena 1434


            Lepas sembahyang Asar semalam aku berdoa akhir tahun sendirian di rumah dan pada 6.20 petang ke masjid untuk menyambut awal Muharram 1434 bersama-sama para ahli kariah lain. Doa awal tahun dibacakan oleh Imam Kehormat Ustaz Nik Mohamad selepas bacaan Yaasin sebaik selesai solat Maghrib. Lepas sembahyang Isya’ Ustaz Rahimi Mat Saad, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya menyampaikan ceramah Maal Hijrah selama lebih kurang 40 minit.
            Intisari ceramah yang mampu ku garapi dirumuskan seperti berikut:
(a)  Tempoh masa yang  berbeza panjangnya dakwah Rasullullah s.a.w di Mekah (13 tahun) sewajarnya memberi pengajaran kepada kita bahawa aspek pembinaan peribadi, sahsiah, akhlak, kerohanian lebih sukar, penting, mencabar berbanding aspek fizikal, atau lain-lainnya yang lebih diasosiasikan dengan aktiviti-aktiviti Rasullullah s.a.w. di Madinah (10 tahun);
(b)  Apabila sudah ada kelompok yang terasuh, bertekad waja  maka mereka akan menjadi pengisi ruang dan penjamin kejayaan langkah-langkah ke arah perealisasian apa sahaja perancangan yang dilakukan;
(c)  Adalah baik seseorang berhijrah seketika dan kemudian kembali semula dengan lebih berilmu dan bijaksana untuk berkhidmat mendidik masyarakat atau kaumnya; Alam Melayu menerima manfaat pendekatan ini melalui sumbangan besar para ulama yang menuntut ilmu di Timur Tengah dan kembali mengajar atau menulis kitab-kitab untuk menyebarkan ajaran Islam di wilayah asal mereka;  
(d)  Amatlah penting menginstitusikan aspek-aspek tertentu yang sememangnya berpunca atau milik Islam  supaya agama Islam lebih gah. Sebagai contoh, senibina masjid begitu jelas mendokong dan memprojekkan keunikan dan keindahan Islam. Begitu juga, kalendar Hijriah adalah satu lagi daripada perkara-perkara yang penting boleh ditingkatgunakan supaya semua unsur atau ciri keislaman dapat disebatikan dalam budaya hidup umatnya. Jati diri Islam akan terserlah dan kian mantap dengan kita sendiri menyedari dan mengamalkan secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh;     
(e)  Apabila memasuki 1434 bermakna setahun yang berlalu (1433) tidak akan kembali lagi. Tentulah rugi bagi sesiapa mensia-siakan masa itu tanpa dimanfaatkan. Setiap manusia telah ditentukan tempoh hayatnya di dunia. Apabila tiba masanya ia akan kembali menemui Ilahi tepat pada waktunya. Adalah sangat rugi jika hakikat ini tidak disedari dan ia terus tidak menimba potensi faedah daripada baki atau sisa-sisa usia yang masih ada.      
Nyatalah ada iktibar yang boleh diraih daripada peristiwa sejarah seutama ini. Demikian sahaja yang saya mampu ungkapkan sungguhpun sebenarnya lebih banyak yang disebut oleh ustaz tidak saya sentuh.
            Pada pagi hari pertama tahun baharu ini (bersamaan 15 November 2012), melalui TV aku menyaksikan upacara penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 1434 kepada Allahyarham Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Meneliti riwayat hidup beliau, saya bersetuju bahawa pemilihan yang dibuat adalah wajar. Melalui jawatan-jawatan yang pernah disandang dan penglibatan dalam aspek-aspek keagamaan dan kemasyarakatan yang meliputi jangka masa yang panjang beliau menabur bakti berupa sumbangan yang bermakna kepada perkembangan dan pemartabatan Islam semasa dan akan datang.  Dengan itu beliau telah meninggalkan nama yang harum dan akan terpahat dalam lembaran sejarah negara.
            Sambil itu, pembacaanku hari ini termasuklah (kebetulan) tentang Khutbah Jumaat Warta Jabatan Agama Johor, bilangan 246, Mac 1974 bertajuk Hijrah Tahun Baru Kita tulisan Jamaluddin Hashim. Khutbah ini adalah sempena kedatangan tahun Hijriah 1394; maknanya sambutan yang berlaku pada 40 tahun yang lalu. Jadi, alang-alang menulis tentang bulan Muharam, elok juga ku nyatakan apakah yang ditulis dalam Khutbah ini iaitu:
-       “… soalan pokok dari seluruh peristiwa Hijrah itu iaitu untuk mendapatkan tapak kerana merebut kejayaan …”
-        “Kita menempuh tahun Hijrah ialah kerana mengenang peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w. itu sendiri yang dikira lebih penting daripada segala peristiwa penting yang berlaku di zaman Junjungan dan sahabat-sahabat dengan sebab itulah sahabat-sahabat Nabi yang mempelopori taqwim tahun Islam tidak memulakan tahun Islam itu dengan mengambil sempena hari lahir Junjungan…tetapi [memilih] peristiwa Hijrah [kerana] ada mempunyai beberapa anjuran dan contoh teladan yang amat berharga.”
-       “Semangat Hijrah itu menghendaki dan mengajar kaum Muslimin supaya mereka jangan hanya berdiam diri – menerima sahaja apa-apa nasib yang menimpa mereka sebaliknya mereka hendaklah sentiasa membuka mata dan fikiran berikhtiar sedaya upaya jika di satu-satu tempat kurang berjaya beralihlah pula ke tempat yang lain atau jika di dalam sesuatu langkah didapati tersalah atau merugikan aturlah pula langkah yang baru dengan syarat langkah yang baru itu telah difikirkan masak-masak dan meyakini bahawa kesalahan dan kerugian tidak lagi akan berulang.”
-       Dalam Khutbah itu beliau juga memetik ayat-ayat al-Quran iaitu Surah-surah al-Zariat 55, al-Ankabut 69, al-Baqarah 218 dan al-Anfal 75.     
Sekian untuk kali ini.

Wednesday, 14 November 2012

Fakta Sejarah: Nikah Cerai Sejak 1960-an


Pembacaan Warta Jabatan Agama Johor, bilangan 240, September 1973 hari ini menyerempakkanku dengan satu jadual perangkaan bertajuk “Nikah Cerai Negeri Johor Dari Tahun 1964 Hingga 1972”. Ia menunjukkan perangkaan Nikah dan Cerai bagi setiap daerah di negeri Johor. Tiada analisis disertakan. Jadi saya menganalisis sendiri. Dalam tempoh 9 tahun itu jumlah pernikahan ialah 45,189 (80.9%) dan jumlah perceraian ialah 8,618 (19.1%).  ). (Rujuk: muka surat 46)    (Nota: Tiada statistik bagi Nikah dan Cerai tahun 1972 bagi daerah Muar)
Isu: Adakah situasi yang sama wujud di negeri-negeri lain atau di peringkat nasional pada hari ini (November 2012)? Kalau keadaan atau isu ini hanya sama atau lebih kurang, apakah strategi-strategi yang lebih berkesan perlu ditentukan dan  diterima pakai berbanding dengan strategi-strategi yang sedia diambil dn lapuk? 
Kalau kita kira-kirakan sejak tahun 1964 sudah 48 tahun, atau sejak 1972 40 tahun  berlalu, dan saya tidak fikir kita menapak ke hadapan dalam isu yang khusus ini. Andaikan, jika para suami yang berkahwin itu berumur 25 tahun jadi semua yang terbabit kini telah berumur antara 73 tahun paling tuanya dan 65 tahun paling mudanya yakni mereka sudah jadi datuk; sebahagian telah meninggal dunia dan banyak meninggalkan zuriat bertaraf cucu dan cicit yang berganda-ganda bilangannya. (Saya percaya para nenek pun tidak jauh  berbeza).  Keadaan yang tidak berubah membawa makna isu ini telah gagal ditangani atau  membarah parah! Bukan di Johor sahaja bahkan merata. Bolekah kita terus bersahaja sedangkan hal ini yang terutama perlu ditransformasikan?

Monday, 12 November 2012

Perbandingan Lirik: Teringat "Selimut Putih"



            
Satu lagu kumpulan El-Surraya Medan yang paling popular ialah Selimut Putih nyanyian Asmidar Darwis. Saya teringat lagu itu apabila terbaca sajak Ismail Khamis, Johor Bahru dalam Warta Jabatan Agama Johor bilangan 202, Julai 1970 muka surat 23 seperti berikut:
                        “Ilmu dan Amalan

Bila menyebut sebuah kematian  
Bila Izrail datang memanggil
Seluruh tubuh menggigil
Sekujur badan di pembaringan.

Tika itu tak guna segala harta  
Sanak saudara dan wang berjuta
Hanya amalan dan ilmu sebagai teman
Mengiringi abadi dalam tubuh yang beriman.

Dari timbunan harta dan pangkat-pangkat yang agung
Hanya selembar kain putih yang digulung.”

Saya tidak dapat mengingat lagi bilakah Selimut Putih mula dicipta, mungkin lewat 1960-an!  Bagaimanapun liriknya yang masih saya ingat adalah seperti berikut:

                        Selimut Putih

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan ‘kan kedinginan

Tak ada lagi guna harta
Kawan karib sanak saudara
Jikalah ada amal di dunia
Itulah hanya  pembela kita

Janganlah mahu disanjung-sanjung
Engkau digelar manusia agung
Sadarlah diri tahu di untung
Sebelum masa keranda diusung

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan
Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan ‘kan kedinginan

Sekian dicatatkan untuk makluman.


Sejarah: Isu Berulang Lagi


Ada satu rencana dibaca hari ini hasil tulisan Haji Said Abdul Hadi 42 tahun yang lalu bertajuk Erti Kebebasan Beragama tersiar dalam majalah Warta Jabatan Agama Johor bilangan 205, Oktober 1970 muka surat 16-19. Antara lain kata beliau, “Dasar ini [“bebas menganut agamanya masing-masing”] amat membanggakan kita dan pemimpin-pemimpin kita dan tidaklah pula bertentang dengan dasar agama Islam, kerana memang dasar Islam tidak ada paksaan dalam agama, dan di zaman pemerintahan Rasullullah (s.a.w) dan Khulafar ar-Rasyidin juga ada kebebasan beragama bagi orang-orang yang bukan Islam tetapi tidaklah pula ertinya orang-orang yang bukan Islam itu boleh bertindak hingga mengancam akidah orang lain khasnya umat Islam.”
      Seterusnya kata Haji Said, “Kita hairan kenapa orang-orang Cina dan India yang datang ke negeri kita tidak memilih Islam agama bumiputera agama negara dan agama Raja kita?  Tetapi mereka memilih Kristian, sedangkan orang-orang Cina telah kenalkan Islam dan orang-orang India kenalkan Islam lebih dahulu beratus-ratus tahun dari orang Melayu.”
         Kemudian Haji Said menutup rencana itu dengan, “Kerana yang sibuk bergerak menemui semua kaum dengan segala alat-alat mission yang tersusun dan kewangan yang kuat ialah Kristian, sedangkan kita kaum Muslimin, berjuang antara kita sesama kita,  dalam masalah-masalah ilmu salah, dan masalah khilafiah.  Sepatutnya kebebasan beragama yang kita beri kepada semua agama itu ialah kebebasan beribadat dan menganut agama masing-masing bukanlah bebas hingga membahayakn kedudukan umat Islam sendiri pemeluk agama rasmi negara kita.”     

(Nota: Rencana ini memfokus kepada perkembangan Kristian dan terpengaruhnya penduduk tempatan termasuk orang-orang Melayu sendiri terhadap ajaran Kristian kerana strategi pihak berkenaan yang tersusun rapi lagi agresif. Nampaknya rencana ini masih amat relevan walaupun sudah empat dekad berlalu. Sejarah ada manfaatnya.)  

Sunday, 11 November 2012

Sedutan Bacaanku: Pondok


Sekadar mencatat bacaanku hari ini (12 November 2012):
“Pendidikan umat Islam di bahagian selatan [Thailand] sungguh tidak menggembirakan, kerana mereka umat yang paling terkebelakang di bidang pendidikan kalau dibandingkan dengan umat agama yang lain, hingga sekarang belum terdapat sebuah pun sekolah menengah atau lanjutan yang didirikan mereka. …

Pondok
            Bagi umat Islam Thailand, terutama umat Islam yang tinggal di bahagian selatan perkataan “pondok” tidaklah asing lagi bagi mereka dan pondok tidaklah dapat dipisahkan dari kehidupan mereka, kerana semenjak beberapa abad yang lampau hingga sekarang pondok merupakan satu-satunya tempat mereka belajar agama. Pondok merupakan peranan penting di dalam pertumbuhan dan perkembangan agama Islam di bahagian selatan, perkataan “pondok” bagi umat Islam di bahagian selatan mempunyai 2 pengertian iaitu pondok dalam erti yang luas ialah suatu tempat pengajian yang merupakan kompleks yang mempunyai sebuah bangunan rumah di tengah-tengah dan dikelilingi  oleh rumah-rumah kecil (pondok) yang didiami oleh para pelajar di sekitarnya.  Adapun rumah yang terletak di tengah itu ialah tempat tinggal guru agama bersama keluarganya.  Guru yang mengajar ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu yang berupa dasar keislaman kepada murid-murid di kompleks ini dipanggil “Tok Guru”.  Dalam menyampaikan berbagai-bagai ilmu agama kepada murid-murid ia (Tok Guru) dibantu oleh beberapa orang pembantunya yang biasanya pembantu-pembantu ini adalah murid-muridnya sendiri yang sudah beberapa tahun belajar ilmu agama kepadanya.  Tok Guru dengan para pembantunya menyampaikan ilmu-ilmu agama kepada murid-muridnya di sebuah bangunan yang disebut “balai”.  Biasanya balai ini bersambung dengan rumah Tok Guru. Tok Guru dan para pembantunya duduk bersila sewaktu menyampaikan pelajaran agama dan murid-muridnya duduk bersila dengan membuka kitab masing-masing di hadapannya. Murid-murid yang belajar agama di pondok ini dipanggil “Tok Fakih”.  Adapun kitab-kitab agama yang dipakai ialah kitab-kitab jawi yang dikarang oleh ulamak-ulamak setempat yang termasyhur yang sudah meninggal beberapa tahun yang lampau.  Diantara ulamak-ulamak besar yang banyak mengarang kitab-kitab agama  yang terkenal yang dipelajari hingga sekarang ini ialah: Syeikh Daud Al-Fathani, Syeikh Ismail Al-Fathani dan Haji Sulong.  Pondok dalam erti sempit ialah rumah-rumah kecil yang diduduki oleh para pelajar yang terletak di dalam kompleks atau kawasan yang mengelilingi rumah Tok Guru.
Menurut keterangan statistik tahun 1961 di wilayah Patani terdapat 75 buah tempat pengajian agama atau pondok, di wilayah Yala terdapat 70 buah pondok, di wilayah Narathiwat terdapat 55 buah pondok dan di wilayah Setul terdapat 15 buah pondok.
            Sistem pengajaran di pondok masih lagi digunakan cara lama, iaitu menyampaikan pelajaran-pelajaran agama, Tok Guru dan murid-muridnya duduk bersila, tidak ada sebarang latihan diberikan kepada murid dan tidak ada ujian (peperiksaan) naik tingkat, tetapi diakhir-akhir ini sistem pengajaran di pondok-pondok mulai berubah, murid-murid sudah mempunyai bangku (kerusi) duduk sewaktu mengikuti pelajaran-pelajaran agama.  Ilmu-ilmu umum mulai diajarkan sebagai mata pelajaran tambahan termasuk juga bahasa Inggeris dan ilmu bertukang di samping ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab sebagai mata pelajaran pokok, ujian tahunan diadakan sebagai alat pengukur bagi kenaikan tingkat murid-murid.”  

(Nota: Saya petik perenggan di atas daripada rencana Che Mat bin Na, mahasiswa Thailand di Yogyakarta bertajuk Berkenalan Dengan Umat Islam di Thailand dalam majalah Warta Jabatan Agama Johor, bilangan 210, Mac 1971, muka surat 32, 33, 34 dan 45. Sekarang kita berada dalam tahun 2012 iaitu lebih 41 tahun kemudian. Mungkin ada kalangan kita hendak mengemaskinikannya. )  

Thursday, 25 October 2012

Hakikat Bahasa Semasa





Wikipedia  memberitahu kita bahawa jumlah penutur bahasa Malaysia/bahasa Indonesia (BMI) mencecah 268 juta jiwa. Bahasa ini termasuk dalam sepuluh bahasa yang teramai penutur-penuturnya. Seorang penulis lokal mengatakan, berbanding dengan penutur bahasa-bahasa lain, kedudukan BMI itu di tempat keempat, iaitu selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, dan bahasa Urdu (atau Hindi).(Rujuk Nawi Ismail, Bahasa Melayu Bahasa Ilmu, Pelita Bahasa, Ogos, 2012, muka surat 10). 

Kita tidak bercadang menditil tentang bahasa-bahasa lain milik bekas kuasa-kuasa penjajah, beberapa yang berpengaruh seperti Sepanyol, Portugis dan Perancis. Bahasa-bahasa negara-negara berkenaan tersenarai sebagai bahasa-bahasa utama dunia, dalam kebanyakan senarai mengatasi bahasa kita. Satu bahasa lagi yang luas taklukan geografinya ialah bahasa Arab, kekal hidup kerana mengakar umbi kekuatan Islam zaman berzaman. Dan supaya kita mendapat perspektif yang betul mengenai kedudukan bahasa-bahasa dunia, elok diketahui bahawa bahasa-bahasa rasmi PBB ialah Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Russia dan Sepanyol.(lihat  www.un.org/)  

Namun, era globalisasi masa kini, menuntut kita mengetahui fakta-fakta mudah tentang bahasa Inggeris. Tidak boleh tidak bilangan penutur-penuturnya wajar disedari atau lebih utama lagi pengaruh dan implikasi dasar pemerintah masing-masing. Jadi, kiralah jumlah sebenar penutur-penutur (=penduduk) bahasa Inggeris; negara AS (309j), UK (62j), Filipina (94j), Canada (34j), Australia (22j), New Zealand (4.3j), Hong Kong (7j), Nigeria (158j), Ghana (24j), Kenya (40j), Zimbabwe (12j), Uganda (33j), Afrika Selatan (49j), Singapura (5j), semuanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Benar, sebahagian penutur natif menggunakan bahasa lokal masing-masing tetapi mereka semua dianggap menguasai bahkan mendokong bahasa Inggeris. Negara-negara yang mempunyai jumlah penduduk yang besar seperti India (1.18b), Pakistan (170j), Bangladesh (164j) atau kurang besar seperti Sri Lanka (20j), Zambia (13j), Malawi (15j), dan banyak lagi negara-negara lain memberi bahasa Inggeris status rasmi dari segi penggunaannya. Pendek kata, tidak kira bahasa-bahasa tempatan dan warna kulit dominan penduduk di negara-negara berkenaan, bahasa unggulan mereka ialah bahasa Inggeris. Faktor yang mempengaruhi tindakan tersebut jelas berpunca daripada rasional ekonomi, warisan penjajahan dan keunggulan bahasa Inggeris itu sendiri di persada dunia, mengempayari hampir-hampir semua aspek kehidupan.

Sekarang, kalau kita ambil angka 6.5 bilion sebagai jumlah penduduk dunia dan 60% bercakap dalam 30 bahasa, yang sepuluh teratasnya bahasa-bahasa Mandarin, Hindi, Sepanyol, Inggeris, Arab, Portugis, Bengali, Rusia, Jepun, Jerman (dalam senarai ini tidak terpamer BMI) maka penutur-penutur BMI menyumbang kepada lebih kurang 4% daripada keseluruhan penutur-penutur bahasa dunia. Maka, adakah kita terkejut bahawa taklukan geografi bahasa ini pun tidak jauh berlainan peratusannya?  Kekurangan bilangan penutur dan kesempitan lengkongan geografi pemakaiannya menjadi fakta yang secara langsung memanifestasikan profil semasanya yang boleh difrasakan hidup meredup terus menguncup.      
Walaupun dari segi jumlah penuturnya, bahasa Cina jelas di hadapan, tetapi dari segi yang lebih penting iaitu geografi  bahasa Inggeris paling meluas sebarannya. Hakikat ini menunjukkan bahawa bahasa Inggeris adalah satu-satunya sedang bersemayam di takhta bahasa global. Tanpa perlu memberi penjelasan lanjut (kerana terlalu terang realitinya) kita boleh anggap bahasa-bahasa lain itu belum mencapai  bahasa global, dalam semua aspek penggunaannya. Ini boleh dibuktikan. Bahasa Arab, sebagai contoh, hanya sesuku global, itupun dalam aspek keagamaan Islam. Bahkan kini, ternampak menjolok bahasa Inggeris kian menebarkan sayap pengaruhnya dalam aspek pengajian Islam, mengambil alih atau memberi alternatif sekali gus mengancam.
Sudah ramai orang mengisytiharkan bahawa bahasa Melayu adalah mampu menjadi bahasa ilmu. Tetapi itu hanyalah satu pernyataan atau warwaran. Tanpa didokong dengan tindakan realistik pernyataan itu tidak  berguna langsung, tanpa kesan. Yang kita maksudkan dengan dokongan ialah bahasa Melayu terpakai di mana-mana – di universiti-universiti, di pejabat-pejabat kerajaan, di syarikat-syarikat swasta, dalam persidangan-persidangan, di papan-papan tanda taman-taman perumahan, di nama-nama bangunan pencakar langit, di pintu-pintu bilik-bilik mesyuarat hotel-hotel, dalam prospektus saham, dalam syarahan-syarahan atau pidato-pidato perdana. Dalam sidang-sidang akhbar, dalam pembukaan atau perasmian mesyuarat agung, persidangan parti-parti politik sama ada pendokong atau pembangkang kerajaan. Dalam pada itu kita juga mahu baca keputusan mahkamah ditulis dalam bahasa Melayu. Dalam kata-kata lain, meliputi semua aktiviti harian penduduk dan kerajaan.
Kalau semua yang diwawaskan itu benar-benar wujud menyata sekarang, saya rela mana-mana pihak tampil memperjuang supaya bahasa Inggeris berkembang lebih pesat dari sekarang. Kalau bahasa-bahasa lain juga hendak disebarluaskan saya sokong seratus peratus. Tetapi hakikatnya bahasa Melayu kini, sedang tersisih, mulai kurang digunakan, menurun pula martabatnya. Arus penurunan itu kesangatan derasnya.  Pejuang-pejuangnya satu demi satu hilang sedangkan para penerima manfaat pengorbanan lampau itu semakin tumpul semangat jatidiri malahan patah pena dan terkatup mulut menjadi bebal minda keilmuan mereka. Yang masih bernafas cuma kecil gelanggangnya dan malangnya sebahagian besar orang tidak perasan kehadiran dan perjuangan tersebut.  
Saya tidak mahu mana-mana orang dibiarkan terus mengatakan bahasa Melayu sudah atau memang terjamin kedudukannya sebab peruntukan tertentu ada termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Mereka wajar ditegur segera. Peruntukan itu bukan untuk menjadi alasan mengerdilkan bahasa kebangsaan. Peruntukan itu bermaksud atau mewajibkan para warganegara Malaysia, apalagi pemimpin silam dan semasa sendiri menyanjung kewujudannya. Jelmakanlah suasana, semua orang yang tinggal dalam negara ini fasih bercakap, mahir menulis, kerap menerbitkan karya-karya menggunakan bahasa Melayu. Dalam majlis-majlis, mesyuarat-mesyuarat, perhimpunan-perhimpunan, persidangan-persidangan dalam negara, perbicaraan di mahkamah-mahkamah tetap mendahulukan bahasa Melayu. Dalam   berkomunikasi sama ada lisan atau tulisan bahasa Melayu menjadi pilihan orang Malaysia (dan bahasa Indonesia bagi Indonesia). Kita hampir-hampir mencapai tahap itu. Kenapa perlu kita berundur atau mengalah?  
            Masalah sekarang ialah  isu BMI telah dan sedang  menjadi fenomenon kronik berpanjangan Jadi, kalau kita setiap hari bercakap dalam bahasa Inggeris, menulis dan membaca terbitan berbahasa Inggeris (tanpa menjenguk dan kekok beramal dalam BMI walau sekadarnya), sentiasa bercakap, sebaik sepatah dua mendahulukan berbahasa Melayu dalam sebarang kesempatan, kemudian dengan sinis serta selesa beralih ke bahasa Inggeris berwacana untuk ruang masa yang berikutannya maka peruntukan dalam Perlembagaan itu hanya menunggu masa kian diperlekeh. Lima puluh lima tahun dahulu bukan begitu wawasan ditempa kemerdekaan.
            Cetusan minda orang yang kagum dengan pencapaian sejarah bahasa Melayu ini adalah percikan awal mengacah reaksi yang nanti disusuli cetusan-cetusan yang lain; lebih membayang lagi mendedahkan. InsyaAllah.