Sunday, 16 December 2018

Mengenang Norhisham Mustafa

Mengenang Norhisham Mustafa
Maklumat peribadi Norhisham Mustafa dalam fail bibliografi susunan peribadi setebal 32 halaman. Fail ini mengandung senarai tulisan beliau yang pernah tersiar dalam majalah-majalah tempatan mulai beliau berkecimpung dalam alam persuratan pada tahun-tahun akhir 1960-an sehingga ke akhir hayatnya. Diakui senarai ini belum memuatkan semua hasil tulisan beliau kerana sedang berterusan kukerjakan.
Setakat yang dapat dikesan bekas tangan beliau terawal tersiar dalam komentar Pembaca, Dian bilangan 23, tahun VII, 1969. Tulisan itu berupa ulasan beliau terhadap cerpen S. Othman Kelantan, “Riang Bagaikan Burung-burung“. Saya petik “Komentar Pilihan” beliau itu, “Cerpen ini bolehlah dikatakan berjaya. Orang terpaksa mengakui ketokohan S. Othman Kelantan dalam kesusasteraan kita, walaupun hanya dengan menatap cerpennya. Dialog, plot, perwatakan dan latar cerita amat diperhatikan oleh S. Othman.”
Saya tidak dapat mengingati tarikh sebenar pertemuan kami yang pertama, boleh jadi pada awal tahun 1976. Ketika itu beliau ditemani Wan Muhammad Said berkunjung ke pejabatku JPA di Bangunan UMBC, Jalan Sulaiman Kuala Lumpur. Ada urusan pentadbiran yang beliau mohon kubantu melibatkan seorang yang sangat rapat dengan beliau. Wan M. Said ialah kawan sekolah sebaya ketika di Besut dahulu.
Sebagai peminat kesusasteraan, aku sebenarnya sudah mengenali Norhisham Mustafa berdasarkan hasil-hasil kreatif (dan non-kreatif) yang sering kulintasi dalam kegiatan pembacaan rutinku dalam majalah-majalah popular ketika itu.
Kami tidak pernah bertemu semula untuk sekian lama. Namun, perkembangan Norhisham Mustafa tidak pernah terlepas dari perhatianku.
Suatu, ketika, pada 28 Januari 2013 aku kembali ke rumah mertua di Kota Bharu. Kesempatan itu kuambil untuk mengunjungi Norhisham Mustafa di rumah beliau. Dan itulah pertemuan kedua dan terakhir kami. Pun melalui media sosial kami kerap juga berinteraks (sebelum dan) selepas itu.
Dalam upayaku memantul puisi-puisi teman-teman fb, Norhisham Mustafa muncul salah seorang paling menonjol dari segi jumlah yang terbabit. Ini disebabkan keprolifikan beliau. Puisi-puisi beliau kerap dilintasi, dalam banyak majalah dan berpanjangan tempoh terbitnya. Di samping itu tema-tema sajak-sajak itu dengan mudah memerangkap minatku di samping memiliki tarikan kreativiti yang ketara.
Semenjak pantulan pertama, pada tahun 2014 hingga pantulan terakhir pada 24 Oktober 2018, sebanyak 29 buah sajak ciptaan beliau telah dipantul, seperti berikut:
1. “Takluk”, MASTIKA, April 1985, muka surat 121.
2. “Pendakian”, Utusan Kiblat, Julai 1975, muka surat 40.
3. “Tiada lagi kata-kata, kecuali doa”, Dewan Sastera, Mei 1981, muka surat 20.
4. “Tanglung”, Mastika, November 1973, muka surat 92.
5. “Menanti”, Dewan Sastera, April 1981, muka surat 18.
6. “Tiada lagi kata-kata, kecuali doa (iii)”, Dewan Sastera, November 1981, muka surat 7.
7. “Antara Bibir dan Mata Perempuan” – kepada azran, WIDYA, September 1980, muka surat 31
8. “Petaniku”, Al Islam, Jun 1988, muka surat 57. Dipantul dua kali. Satu lagi pada Pantulan C/04/23/2018.
9. “Kepada Yang Berhormat”, Dewan Masyarakat, November 1986, muka surat 51.
10. “Nafas Memenuh Ruang”, (Getaran Sukma), Pengasuh, bilangan 421, Januari/Februari 1977, muka surat 36.
11. “Mengurangi Bilangan”, muka surat 11 dalam kumpulan puisi, “Remuk Hati Bangsa”, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2013, cetakan pertama yang Hisham hadiahkan padaku.
12. Pantulan 14/14: “Zuriat” Dewan Masyarakat, November 1979, muka surat 55.
13. Pantulan C/1/28/2016: “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”, Dewan Sastera, Mei 2012, muka surat 61. Mereaksi pantulan ini, Norhisham menulis, “ terimakasih dato'. saya sudah lama merangka sebuah novel dengan persoalan demikian. hanya sanya, akan adakah penerbit yg mahu menerbitkannya, kerana cadangan saya novel itu agak tragis dan ganas, bercampur romantik melankolik.....”
14. Pantulan 25/14; “Peribadi”, Dakwah, Jun 1977, muka surat 46.
15. Pantulan 28/14; “Hanya Nama itu”, Utusan Kiblat, Disember 1972, muka surat 27.
16. Pantulan 31/14; “Aku Belum Memalingkan Muka”, Pengasuh, bilangan 429, Januari 1978, muka surat 26.
17. Pantulan 34/14; Peribadi 14”, (Getaran Sukma), Pengasuh, bilangan 462, September/Oktober 1981, muka surat 41.
18. Pantulan 35/14; “Keberangkatan”, Utusan Kiblat, Mei 182, muka surat 9.
19. Pantulan 22/15: “Pendakian 1”, Pengasuh, bilangan 418, September 1976, muka surat 47.
20. Pantulan 25/15: “Tentang Janji”, Dewan Sastera, September 1998, muka surat 42.
21. Pantulan 41/15: “Pedih”, Dewan Sastera, Jun 2004, muka surat 43.
22. Pantulan 58/15: “Sepantun Tamak”, Jendela Timur, Bil. 29, April 2010, muka surat 25.
23. Pantulan 63/15: “Sangkar”, Dewan Sastera, Mac 2008, muka surat 103.
24. Pantulan A/2/39/2016: “Masih Lagi Bernyanyi-nyanyi”, Dewan Sastera, Disember 2004, muka surat 84.
25. Pantulan C/ 03/48/2016: “Dimnah”, Dewan Sastera, Julai 2008,
26. Pantulan C/01/9/2017: “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”, Dewan Sastera, Mei 2012, muka surat 61.
27. Pantulan F/01/04/2018: “Nafas Memenuh Ruang”, (Getaran Sukma), Pengasuh, Bilangan 421, Januari/Februari 1977, muka surat 36.
28. Pantulan C/02/13/2018: “Pahlawan”, (Puisi), WIDYA, November 1979, muka surat 31.
29. Pantulan A/03/20/2018: “Peribadi 5”, (Puisi Hidayat), Utusan Kiblat, November 1979, muka surat 11. Dalam siri “Peribadi” penyair ini, tercatat dalam bibliografi ASKAT, siri sajak ini sampai ke bilangan 14. Dua daripadanya, telah dipantul; “Peribadi” dan “Peribadi 14”.
30. Pantulan C/04/23/2018: “Petaniku”, (Puisi), Al Islam, tahun 15, Jun 1988, muka surat 57. Puisi “Petaniku!” ini pernah dipantul kali pertama secara yang berlainan dalam Pantulan 32/13 bertarikh 23 Ogos 2013.
Semoga roh Norhisham Mustafa dicucuri rahmat dan berkat-Nya jua. Al-Fatihah.

Pantulan C/04/29/2018: Sajak Leo A.W.S., 1985, “Seorang Tua Dengan Sungainya”.

Pantulan C/04/29/2018: Asal hayat masih panjang
Bukanlah sesuatu yang aneh mendengar cerita seseorang yang telah “tua” merindui 'tempat jatuh'nya termasuk mengakrabi semula teman-teman sepermainan semasa kanak-kanak atau sepersekolahan yang lama terpisah. Dipisahkan oleh tuntutan dan rezeki masing-masing. Perihalan itu lumrah berlaku dalam kita mengengsot menggenapi usia termaktub.
Seorang sahabat karibku pernah memberitahu, arwah orang tuaku, pernah datang berjumpa beliau setelah begitu lama tidak singgah bertanya khabar. Sahabat ini memberitahu peribadi itu juga mengunjungi kenalan-kenalan sebayanya yang lain. Mereka itu tidaklah dijenguk selalu dalam kebiasaan seharian sebelum itu. Tiada lama bersenggang, ayahku pun berpulang ke rahmatullah dengan tenangnya. Tiada pun tanda nyata bahawa maut bakal menjemput tetapi demikian yang terjadi setelah semua yang mewarnai kehidupannya semasa kecil, remaja, dewasa dan tua sedikit sebanyak telah dapat dialami semula. (NOTA: Bersyukurlah aku sendiri sempat pula bersemuka dengan beliau beberapa hari sebelum ajal menjelanginya).
Aku sendiri pun dalam alam persaraan kini suka melakukan demikian. Berkunjung, mengulangi! Buku-buku lama, terkumpul semenjak zaman alam persekolahan dicapai dan dibelek-belek. Tempat-tempat bermain di kampung dikunjungi semula, melihat kelestarian atau kelainannya. Sahabat-sahabat karib kusinggahi ketika terluang kesempatan, apabila sekali-sekala kembali ke desa. Dengan begini, pengalaman silam itu muncul meresapi jiwa. Bersama-sama teman-teman seusia dapatlah kami berbual-bual tentang pengalaman berlalu; tentang keperitan hidup menjalani umur remaja, keseronokan menyertai pelbagai kegiatan di kampung tahun-tahun 1950-an-60-an.
Bagaimana gambaran bermandi di laut dan sungai, berperahu layar menyusuri pantai dan ke pulau-pulau, berkelah ke Bukit Keluang, Dendong dan Bubus. Bermain serbaneka yang kampungan; permainan “bola katok”, petik mata, layang-layang, olahraga desa,.. Memang banyak untuk dicatat kerana terlekat dalam ingatan…
Maka, dalam konteks itulah berharganya sajak (Leo Aws) Leo A.W.S., 1985, “Seorang Tua Dengan Sungainya”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Februari 1989, muka surat 15.
Aku sependapat dengan Leo, perlakuan seorang tua menziarahi “pasir sungainya” seharusnya dianggap peristiwa biasa kerana tempat itu sangat erat melekat di jiwanya berdekadan. Kematiannya selepas itu adalah “kebetulan”, bukan disebabkan ziarah tersebut. Perlakuan itu bukanlah ‘membuang tabiat’.
Bertuahnya, hakikat ini telah diungkap mantap dengan berlatarkan unsur-unsur alam yang tepat, asli dan langsung mengenai lokaliti budaya kampung tulen. Kaedah persembahan beliau yang bersahaja ini mampu spontan mencengkam tetapi tidak berhasil merobah pendirian tradisional masyarakat yang aku percaya masih tetap dibenaki unsur-unsur misterius demikian, walaupun kian menipis dikikis pendidikan selari perubahan sekarang.
Dan, pada tempoh yang masih terluang, aku sendiri tidak berhasrat mensesia memesrai kenangan. Pantai dan laut, kawan-kawan sepermainan, membelek-belek bahan-bahan bacaan dalam simpanan dan semuanya yang mengembalikan nostalgia kehidupanku bakal berterusan mengisi kegiatan seharian.

Pantulan C/01/28/2018: Sajak Nawawee Mohammad, “Lakaran Dalam Sajak”.

Pantulan C/01/28/2018: Sentiasa terkenang
Merakamkan ingatan dan pengalaman silam di kampung halaman tempat tumpah darah boleh dengan berbagai cara. Kalau melalui sajak, tanpa grafik pun, kata-kata dan kalimat-kalimatnya yang tepat dan padat mampu memaparkan panorama, episod, dan seumpamanya yang sudah berlalu, lantas mengembalikan semula di depan kita, bahkan dengan lebih berkesan kerana sulaman itu lebih mengghairahi penghayatan.
Dalam kes Nawawee Mohammad, lewat, “Lakaran Dalam Sajak”, Mastika, tahun 49, November 1990, muka surat 39, beliau melakukan demikian sehingga mereka yang seangkatan, pernah mengalami pengalaman serupa menghargainya. Malah ditambah dengan imaginasi sendiri-sendiri memperkayakan gambaran terlukis.
Memang demikian. Kerana kita nampak lambakan kenangan itu bermunculan apabila beliau menyebut, misalnya, “musim mencedung”, “durian luruh”, “musim buah”, “rakit”, “kubang kerbau”, “menimba”, “menekup sepilai”, “alu berlaga”, bergotong-royong dan lain-lain kenangan itu lantas mendambakan kita, berundur langsung ke zaman puluhan tahun yang tinggal di belakang. Tenang, damai, penuh tradisional. Anehnya, semua “mengharum pahit kenangan” sekalipun!
Namun, Nawawee Mohammad dengan tepat mengatakan, dan aku bersetuju, walaupun setiap kali (berkesempatan) berada di kampung yang makin berubah, budaya silam itu kian pupus di mata. Sebaliknya, pengalaman itu tetap tidak meluntur di kalangan mereka yang dilentur suasana itu. Ia akan dibawa bersama usia.
Pembangunan telah merobah lanskap tradisional itu, secara yang berbeza, bergantung kepada kepesatan lokasi-lokasi terbabit. Pembangunan fizikal menjadi lebih bermakna apabila diiringi pembangunan minda yang meningkatkan status dan nilai kehidupan penghuni desa. Kukira, orang kampung yang melangkah maju bersama tuntutan zaman, akan lebih dapat menikmati kenangan silam sedang dia meneruskan kehidupan itu dengan keselesaan setara kemajuan zaman. Tentulah kenangan silam itu kurang bererti, sekiranya pada usia tua kini dia tetap terperangkap dengan kemunduran nenek moyang.
Pembangunan harus berterusan. Sekitaran di desa juga harus dirobah secara yang memberi kemanfaatan semua warga. Rakyat marhaen jangan pula ketinggalan. Sewajarnya, di mana pun kita berada sekarang, keselesaan biarlah sama. Agar, sambil kenangan silam itu sentiasa mengimbau, tidak kita lupa betapa diberkati kehidupan kita kini oleh rezeki kurniaan Ilahi. Berbanding dengan nenek moyang kita yang dilenturi Winstedt supaya belajar setakat SITC.

Pantulan F/04/27/2018: Sajak Rudi Mahmood, “Masjid”.

Pantulan F/04/27/2018: Munajat
Kekhusyukan dalam peribadatan boleh beransur-ansur atau tiba-tiba menancap di kalbu sendiri sama ada ketika di rumah atau di masjid ketika bersunyi-sunyi menebus kejahilan peribadi. Apalagi kalau kita bersendirian beribadat bertaubat sejati dengan niat ikhlas mengabdikan diri semata-mata ke hadhrat Ilahi. Bahkan demikian yang diajarkan kerana sebelumnya telah berleluasa mungkar terhadap perintah-Nya. Aku kira dengan ”terisak/dalam sujud”, Rudi Mahmood, menyedari keterlanjuran yang lampau, seperti dirakamkan dalam “Masjid”, (Puisi), Mastika, tahun 48, April 1990, muka surat 39.
Adalah suatu kenikmatan yang difahami sendiri betapa bertuah dianugerahi perasaan tenang sampai tenggelam oleh keasyikan yang tidak tercela oleh apa pun yang sedang berlaku di sekeliling. Saat itu diri peribadi sendiri berinteraksi dengan Maha Pencipta. Isakan bersedu-sedan adalah isyarat yang jelas menuju keredhaan.
Semoga detik-detik kesyahduan itu dapat berterusan. Semoga diri peribadi tidak lagi berpaling menjauhi amalan yang bukan semua orang pernah mengalami serta meraeh laba murni walaupun masih memakmurkan duniawi.
Pada hakikatnya, adalah satu dugaan yang amat besar untuk beriktikaf dan mengabdi diri, sepanjang usia. Semoga dengan bertambahnya ilmu terdindinglah runtunan nafsu mendurhakai firman suci. Sanya diharapkan hati yang sudah disucikan terus melungsur di landasan lurus, tidak berpaling atau tergelincir lagi oleh hasutan syaitan terkeji!

Pantulan C/03/26/2018: Sajak (Mohd Mansor Abdullah) M. Ashikin, Yutiem, Keh. El. Mac 1988, “Esok dan Lusa”.

Pantulan C/03/26/2018: Menguburkan wawasan
Pada usia saat mutakhir, aku tidak mahu jauh berlainan pandangan dengan teman penulis prolifik ini. Gambaran yang terlontar di layar minda selepas mengunyah puisinya seakan serupa. Pada sejarah yang berlalu, walau bercampur aduk untung nasibnya, hakikatnya bukan sangat memberangsangkan, apalagi kalaulah penerusan upaya bangsa bersaing kini dan di muka yang menjadi kayu ukurnya.
Alam, dengan kedamaian, memang tiada tara. Tradisi, dengan percaturan hidup dibelai falsafah hidup sederhana masih belum cukup mengancam kelangsungan untuk berjati diri. Masih terbuka ruang untuk membangun tamadun lebih bererti mengatasi pencapaian era bahari. Tetapi, warisan sejarah tetap menyerlahkan wajah semasa. Persaingan telah mencorakkannya. Sehingga, berdekad-dekad menikmati kemerdekaan tetap di belakang.
Sekarang tiada lagi kewibawaan. Terhakis sudah gah. Situasi tidak lagi menjamin keistimewaan hak lancar berterusan seperti dekad-dekad DEB. Dengan peruntukan sah seteguh termaktub dalam perlembagaan pun, masih bergoyang matlamat wawasan dirempuh tuntutan pihak berkepentingan menidakkan ikatan persetiaan asal. Maka bukanlah lagi dianggap malang, pada ‘esok’ tekanannya bakal lebih menghimpit.
Jadi hasrat menghela nafas dalam tenteram kerana kita semua dibanjiri kemakmuran sebenarnya sama sekali jauh dari menjadi. Setiap langkah ke hadapan adalah penapakan ke perkuburan. Kegetiran silam membaham sekarang. Kelmarin, hari ini, esok dan lusa, juga tulat, hakikatnya tiada berbeza.
Maka adalah kesimpulan yang rasional mengakuri pendirian M. Ashikin. Marilah ucapkan selamat berangkat bagi generasi yang melangkah pulang sambil mendakap nostalgia itu. Dan generasi sekarang, tiada perisainya lagi. Naskhah sejarah dahulu kini tertutup. Lembaran-lembaran baru sudah terbuka. Di situ sudah tersedia juara merobah tafsiran. Akan terbit sejilid demi sejilid menepis status quo. Dan di muka citra kita kian kabur.
Nah! Ambillah sedetik mencicip gaulan bermutu dari jerih fikir (Mohd Mansor Abdullah) M. Ashikin, Yutiem, Keh. El. Mac 1988, “Esok dan Lusa”, Mastika, tahun 48, Disember 1988, muka surat 38.
(Catatan: Saya membelek-belek juga “Salam Anak-anak Inderapura”, “Laut Kelabu” dan “Lembah Damai”. Tidak pula ketemu puisi ini dalam kumpulan-kumpulan sajak berkenaan).

Pantulan E/04/25/2018: Sajak Ahmad Sarju, “Sumpah Yang Terkhianat”.

Pantulan E/04/25/2018: Mewarisi kecundangan
48 tahun dulu seorang teman penyair menganalisis kepincangan kepemimpinan politik di negara ini. Diteropongnya segelintir pemimpin yang bermanis wajah dan bermadu madah demi menculik dukungan rakyat sedarah agar tetap menyokong dalam perjuangannya membela bangsa dan tanah air. Malangnya, ikrar perjuangan tidak berterusan apabila sang pemimpin sudah di tampuk kuasa sambil menikmati habuan yang melimpahi keperluan asasi. Bacalah sajak lama Ahmad Sarju, Kelang, “Sumpah Yang Terkhianat”, (Dunia Persajakan), Dian, bilangan 36, tahun IX, 1970, muka surat 86.
Situasi yang diteliti bukan sukar diperhati berulang kali terjadi, ganti berganti. Ternyata semakin melangkah ke hadapan menfasi kemerdekaan, kilauan zaman lebih mengabui lantas kecundanglah tekad janji murni perjuangan, diganti dengan pemantapan diri untuk mengungguli selamanya di mercu sakti.
Tetapi dari semasa ke semasa banyak peristiwa mendepani rakyat jelata, tentang kejatuhan pemimpin di sana sini oleh loba dan keangkuhan membelakangi kesucian landas dokongan dan perjuangan. Lalu mereka jatuh merempat sengsara diadili bertimpa-timpa.
Pun, pada masa yang sama, rakyat yang sentiasa diperalat, menjadi objek percaturan tiada pun berubah menjadi lebih berwibawa bahkan semakin terdera nasibnya oleh mala petaka yang lebih berbahana impaknya berbanding masa-masa sebelumnya!
Sesungguhnya, mudah disimpulkan bahawa keterlanjuran mengkhianati amanah rakyat sering menghitamkan sejarah kebangsaan walau bagaimana gemilang sekalipun pencapaian yang melatarbalakangi perjuangan awalnya. Sebagai pemerhati yang menyaksinya ia seakan tragedi terpukul juga diri sendiri. Lebih mengerikan ia bakal dikenang generasi demi generasi dari abad ke abad mendatangi.
Namun, yang tidak perlu dilakukan kita ialah mengeluh mengenang peristiwa-peristiwa lara, tetapi mengiktibarkan kejadian-kejadian berentetan itu agar minda beralih menjadi lebih bijaksana. Cuma, mungkinkah kebijaksanaan bakal menyeluruh atau tetap setara seperti kebiasaannya; kejahilan lebih mengatasi dan kebangsaan pun menipis ditindih pesefahaman tak terbukti mandiri?

Pantulan C/01/24/2018: Sajak M. Jusoff Taib berjudul, “Rataplah Duniamu”.

Pantulan C/01/24/2018: Mempertahan Kemanusiaan
Agak lama juga tidak kulintasi sajak-sajak M Jusoff Taib dalam amalan belekan harianku. Pantulan terakhir kucatatkan ialah melalui Pantulan 23/15: Kelangsungan. Tiba-tiba hari ini, 3 tahun kemudian, muncul buah pemerhatian beliau, dalam rupa sedutan kenit mengisi ruangan “Bunga Rampai Karya” berjudul, “Rataplah Duniamu”, Dian, bilangan 33, Tahun IX, 1970, muka surat 149. Menariknya karya ini ialah dari segi tarikh terbitnya, yang bermakna beliau ketika itu masih amat muda remaja. Ideal beliau bergemercupan!
Ternyata pada awal tahun 1970, malah sebelumnya lagi, dunia yang didiami ini sudah tidak “murni” lagi. Golongan pembuat honar sudah merajalela demi kepentingan sendiri. Alangkah sedihnya kita, ketika itu sudah tiada lagi para pembela menghalang kedurjanaan. Barangkali sebab itulah sampai sekarang kebobrokan itu berterusan dalam skala mega?
Kalau perbandinganlah yang hendak kita tekankan, di antara zaman itu dan zaman ini, maka generasi dahulu tidak dapat mendabik dada bahawa mereka lebih berakhlak misali, mengatasi generasi mutakhir. Sedangkan kita akui, dahulu dan juga masa kini, tetap ada kelompok “meminta dibelai kasih sayang”.
Setelah bertuah hidup berusia panjang (?), sekali gus memperhatikan proses penuaan dunia, pada peringkat-peringkat yang berlainan - zaman tradisional, moden dan supra moden - maka kewajaran untuk tidak membiarkan arus negatif berlanjutan seakan tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun, kemanusiaan adalah sesuatu yang sakral. Dengan demikian, kepatahan semangat untuk tidak melakukan kebaikan sama sekali tidak dianjurkan. Kemanusiaan itu sendiri lebih mendorong agar disusun kaedah-kaedah dan program-program penambahbaikan. Sikap menyaksikan sahaja keruntuhan kemanusiaan itu bukanlah suatu pilihan orang bijaksana bahkan dkira ‘terhina’.
Jadi, walaupun telah berlalu hampir setengah abad, pendekatan bermanfaat menjalani kehidupan di kalangan manusia masih sah berakar pada nilai-nilai yang murni yang sudah diajari sejak zaman bahari. Kalau setiap manusia menyedari hakikat ini, kumungkaran yang muncul dalam pelbagai rupa, bentuk dan skalanya, yang sedang ganti berganti mengheret kemanusiaan beralih ke wajah hodohnya, nyatalah tidak salah pendekatan jika segelintir insan bestari tetap berteguh diri mendukung nilai-nilai yang terbukti mampu memurnikan kemanusiaan itu.
Maka yang lebih serasi diteladani ialah apa pun sahaja lakuan atau peristiwa sejarah yang memanfaati, bukan yang menghakis kemakmuran insani. Berbuatlah sesuatu, yang baik-baik sahaja, demi kebahagiaan individu atau kelompokan.

Pantulan C/04/23/2018: Sajak Norhisham Mustafa, “Petaniku”.

Pantulan C/04/23/2018: Cabaran membubar
Walaupun Norhisham Mustafa, lewat “Petaniku”, (Puisi), Al Islam, tahun 15, Jun 1988, muka surat 57, merangkumkan kesemuanya, kukira, pada musim tengkujuh kini, kita telusuri sekadarnya, sekelumit kehidupan orang-orang terdampar yang bertaruh nasib menghuni di birai pantai.
Dasa-dasawarsa lima, enam dan awal tujuh puluhan, sangat lagi tradisional. Hampir semua mereka bersauh di laut, bersampan berlayar ke unjang. Datuk, ayah dan anak jadi nelayan – mengail, menangkul, pukat hanyut, pukat kokok, pukat jerut, dan seumpamanya. Ahli-ahli keluarga yang lain mengendalikan rumah tangga dan serbaneka kewajipan lain yang melengkapkan, sesuai tuntutan adat resam. Tergemblenglah masyarakat desa nelayan itu selaku kelompok marhaen, silih mewarisi kemiskinan dan kemunduran yang merawankan.
Suasana tidak sentiasa kelam. Ketika malam disuluhi bulan, dihiasi bintang. Di gubuk-gubuk, pelita menerangi ruang yang menghimpit sekadar mengulit. Pagi atau petang bebas mandi di pantai, berbilas dan mencuci di perigi. Permainan tradisi berupa wau beraneka terperaga di celah-celah ru dan nyiur melonglai. Kalau tidak mengaji, ada mengitari desa membidas burung, meredah belukar mencari kayu api. Sepak raga jadi mainan rekreasi, gong dan gendang menggamatkan latihan seni pertahanan diri. Sesekali wayang kulit dan serangkaian yang lain datang bertandang menghiburkan hati. Kehidupan demikian berterusan. Remaja membesar, berkahwin berkeluarga, menjadi tua dan berpulang mengikut giiirannya.
Sedang di dunia lain, ada jalanraya, rel keretapi, elektrik, air berpili, sekolah, dan universiti.
Kalaulah tidak timbul kesedaran orang tua, dan sendiri, disusuli ‘Merdeka’, dasar prihatin peribumi dan rezeki, masihlah aku pun dikategorikan ‘petani’ atau yang seerti. Pastilah, jauh dari bermastautin di ibu negara dan bepergian ke bandar-bandar raya di sini sana.
Perubahan meredah. Ada menguntungkan, di samping merugikan. Sanya, tanpa bertekad meneroka dan membina kehidupan lebih maknawi, semuanya yang “Di bendang”, “Di laut”, “Di ladang”, “Di hutan” tentu kekal majoriti sampai kini.
Sebahagian kita telah berwajah mewah serasi globalisasi sedang di desa, padi tidak menguning berseri, hilang ketaman; getah tidak meleleh patah pisau torehan, dan hutan terdedah saujana digeledah, bukan lagi sumber berulang-alik memikul kayu api.
Untuk nostalgiaku, laut yang bagaikan sumur dahulu sesekali dikunjungi kebelakangan ini. Alangkah malunya mengakui; ia menjelma jadi raksasa menggerunkan lantaran sudah lama berhijrah merobah profesi. Mujurlah, ikan, sotong, ketam dan udang sudah boleh dibeli di pasar borong atau pasar tani!
Bahkan lebih bersyukur lagi; kami berdiri, rukuk, sujud dan berzikir tetap di sejadah! Penuh pasrah.

Pantulan A/05/22/2018: Sajak Hilmi Rindu, (Santai Minda), “Sesal”.

Pantulan A/05/22/2018: Terlanjur amat
Aku kira sesiapa pun yang mahu berpuisi, seharusnyalah menggubah puisi-puisi itu agar mengusik sanubari pentelaahnya. Mestilah dalam puisi itu disuntik serba-serbi unsur yang berupaya mencetuskan riak-riak keharuan yang tiba-tiba atau tidak semena-mena. Kemendadakan impak itu menandakan menunjangnya kesan mengiris panjang sesebuah puisi yang dihasilkan. Namun, seyogia diakui, bukan mudah pula menukangi puisi demikian. Pun, aku bertuah menemuinya. Sosok puisi murni idaman menjelma ketika aku menghayati puisi Hilmi Rindu, (Santai Minda), “Sesal”, Utusan Kiblat, Oktober 1983, muka surat 36.
Dari awal-awal lagi puisi ini mantap. Ambillah judulnya. Tiadalah perkataan lain yang boleh mengambil alih keserasian diksi “Sesal” kerana ia terbukti berpadanan memikul keseluruhan perutusan yang telah diterapkan. Begitulah selanjutnya. Misalnya, apalah lagi hendak diucapkan dalam keadaan “termangu” selain daripada menggambarkan penyesalan oleh keterlanjuran dan kehilangan kesempatan untuk berundur sedar, bertaubat nasuha dan bertekad untuk belajar bertakwa menebus dosa-dosa kecil, apalagi dosa-dosa yang besar-besar terutama berandaikan sengaja dilakukan dengan angkuhnya sebelum itu.
Sungguh menepati pilihan diksi untuk menimang situasi. Aku bersendu diri membayangkan senario rawan oleh ketiadaan ruang untuk berdiri apalagi beristirehat sementara menanti Hari Pengadilan Ilahi.
Bertimpa-timpa malangnya “lelaki tua” kerana sudah pasti jika pun dianugerahi usia lanjutan, tempohnya tidaklah berpada lagi. Bayangkanlah, begitu banyak fardu-fardu ain dan kifayah yang hendak dipelajari dan sekali gus hendak diamalkan siang dan malam. Bertubi-tubi. Semuanya, demi menimbus ‘sesal’ kolosal sedang bercambahan.
Bacalah puisi ini sekali. Dan sekali lagi, kalau mahu menyulam sendiri puisi peribadi setaranya. Jangan sekali-kali lupa mengkaji erti setiap patah diksi bakal menjulang makna janaan minda puisi berkenaan. Puisi-puisi murni selayaknya menampung karya-karya Islami, sebagai kini berseri-seri diwakili puisi Hilmi objek pantulan.
Sanya, aku memilih untuk meletakkan puisi-puisi berinti suci pada tahap teratas. Puisi-puisi begini akan dihirup sebati lantaran membajai minda. Karyawan bestari sebenarnya berdakwah dan sambil menikmati karya seumpamanya aku pun tidaklah kehilangan arah.

Pantulan F/02/21/2018: Sajak Mohd Mansor Abdullah, “Larikan Mukamu Dari Kiblat”,.

Pantulan F/02/21/2018: Menubi Takwa
Bersembahyang lima waktu sehari semalam sudah suatu kewajipan seseorang penganut Islam. Ia diakui berupaya mendekatkan insan kepada Penciptanya, asalkan didirikan bertakwa, bukan sewenang-wenangnya. Rukun ini dikira tiang agama. Sempurna solat seseorang membuahi lain-lain peribadatan dengan teratur dan luhur. Sembahyang akan menghindarkan diri dari melakukan kehonaran. Serentak itu, insya-Allah, dilimpahi kehidupan diri sejajar barakah-Nya. Dengan memiliki pengetahuan asas tentang keistimewaan rukun Islam kedua itu, kita sudah boleh menghargai olahan sajak Mohd Mansor Abdullah, “Larikan Mukamu Dari Kiblat”, (Puisi Hidayat), Utusan Kiblat, Mac 1981, muka surat 26.
Ada kesinisan penyair membedah persoalannya. Ya, beliau sengaja tidak melicinkan cernaan minda pembaca terhadap karya ini. Diselitkannya hakikat kebersahajaan tabiat di kalangan hamba dalam mengabdi. Seerti, kehidupan di dunia berpancaroba jangan sekali-kali diremehkan. Ia ada implikasi merugikan. Kepatuhan ala kadar atau jahil erti bukanlah pembuka kunci keredaan Yang Maha Berkuasa. Tegasnya, tekad menuju Syurga cedera lantaran pengingkaran malah perlekehan terhadap pendekatan yang dianjurkan dalam menjunjung perintah Allah. Ia pasti menjerumuskan diri ke depan Malik yang mahu dihindari, bukan menjuruskannya ke arah Ridhuan penjaga destinasi asali. Jadi, kesasar diri dari Ilahi.
Sia-sialah bersembahyang dan menekuni rukun dan amalan makruf lain-lainnya tanpa menyedari bahawa matlamat penghidupan di dunia ini sebenarnya dua; berusaha cemerlang merangkul bahagia murni di sini sedangkan, lebih utama lagi, adalah mentubikan amalan setinggi-tinggi ketakwaan. Dengan begitu, bertambah saham bakal menselesai kehidupan sekali lagi, selepas mati. Kehidupan abadi yang sempurna itu serba berlimpahan kemewahan. Begitu terang termaktub dalam Al-Quran. Tentulah suatu perkiraan yang songsang mengetepikan kesejahteran berkekalan di alam baqa sekadar merebut keselesaan sementara, katakan, bagi jangka setengah abad cuma di alam fana.
Bertepatanlah ada peringatan tentang kerugian mementingkan kehidupan yang sama sekali tergelincir dari jalan yang lurus. Demikian, seperti menyingkirkan tuntutan agar lebih berketakwaan. Adakah bestari membiarkan kesenangan singkat yang dinikmati di alam fana ini mengaburi pemanduan lancar ke arah jalan yang lempang? Sedangkan peribadatan yang serasi piawai Ilahi, bahkan sudah terbukti memberikan impak segera dengan ‘kesenangan’ dialami sekarang ini pun. Tiada lain maknanya kecuali sebagai isyarat bahawa anugerah berganda-ganda di ‘sana’ bakal menyusuli pula.
Kegementaran rasa seharusnya disurutkan, dengan membulatkan niat dan memberatkan amali seperti yang dianjurkan Kitab Suci dan Sunnah Nabi. Semoga setiap langkah yang masih berbaki diiringi keyakinan dan kepatuhan bahawa Neraka yang menanti pasti membakar diri jika timbagan neraca amalan terpuji terbukti ringan berbanding tingkah laku tercela.
Seharusnya, semenjak dahulu lagi, berterusan sekarang dan agar disusuli dalam sedikit masa yang terluang di muka, ibadat berketakwaan melayakkan diri menghuni ‘Jannati’.

Pantulan A/03/20/2018: Sajak Norhisham Mustafa, “Peribadi 5”.

Pantulan A/03/20/2018: Pengisian Ukhrawi
Dalam siri “Peribadi” penyair ini, tercatat dalam bibliografi ASKAT, siri sajak ini sampai ke bilangan 14. Dua daripadanya, telah dipantul; “Peribadi” dan “Peribadi 14”.
Dalam belekan ulangan sekarang, aku melintasi lagi, Norhisham Mustafa, “Peribadi 5”, Utusan Kiblat, November 1979, muka surat 11. Maknanya, ia muncul hampir 40 tahun dahulu.
Ternyata, “Puisi Hidayat” ini bertema malar kerana walau dibaca hari ini pun tetap seakan dibaca ketika ia mula-mula terbit. Malah, barangkali, semakin tua dan berpengalaman seseorang peneliti semakin mendalam makna yang boleh dicungkil dan diraeh, asalkan ditelaah ghairah. Dia akan lebih menghargai gubahan sebegini oleh kerana kandungannya dengan sendiri mencuit kemudian menerjah lalu akhirnya menggemblengkan pengalaman peribadi dengan pengalaman Hisham. Natijahnya, Hisham mengusap hasrat insan menjuruskannya menghitung semula prestasi amalinya selaku hamba Ilahi.
Bukan pasti mencapai piawai teriktiraf insan mulia di sisi Yang Maha Berkuasa. Ghalibnya, pengetahuan yang cetek boleh jadi bertambah dengan usaha-usaha yang dicetuskan oleh kesedaran melakukan amal makruf bersandarkan ketakwaan yang meningkat. Tetapi, malangnya, cabaran sentiasa ada dan pengabaian terhadap karenah dugaan tidak berpangkalan dan berperhentian akan memerosotkan kesungguhan atau tekad, lalu tidak mustahil mengalih tumpuan dan sekali gus mencacatkan prestasi peribadatan semasa berbanding sebelumnya.
Ya, kembara ini memang bertepi. Maka, akan menyelinap datang pertanyaan; yang berbentuk bagaimanakah cabaran atau imbuhannya bakal diperolehi agar menjamin peningkatan amalan murni berlestari? Usia yang bertambah tidakkah pada untuk menempa peribadi beribadah di mercu tertinggi?
Aku hanya berharap, supaya tempoh yang sedikit sangat lagi berbaki tidak diselaputi daki-daki kejahilan manusiawi semenjak zaman bahari sampai masa kini! Aku bermunajat, agar sedikit pun amalan yang mampu dibuat, biarlah suci senilai sebumi permata bakal mengangkat martabat sendiri di Akhirat yang pasti. Aku berdoa semoga langkah-langkah menapaki jalan pulang ini sentiasa diberkati. Amin!