Wednesday, 12 March 2014

Pantulan 29/14 sajak Azmi Yusoff, “Di Suatu Taakulan”

Pantulan 29/14

Aku tidak tahu berita terkini tentang teman fbku Azmi Yusoff. Semoga beliau sihat-sihat sahaja, insya-Allah. Pun begitu, tidak pula terhenti hasratku memantul tentang kewujudan insan setelah menghayati sajak beliau, “Di Suatu Taakulan”, Al Islam, Januari 1977, muka surat 33. Cukup mudah dan berisi pasrah. Kata Azmi, “… kita akan selamanya teruji/oleh kebesaran dan keagungan Ilahi.”

ASKAT: Kalaulah hendak dibandingkan antara Khalik dengan makhluk, perbezaan yang terserlah dalam semuanya, ya semuanya, tiada akan memberi kesan lain kecuali pengakuan jitu tentang kekerdilan diri. Malangnya, dalam pengakuan mutlak begitu pun, kerelaan untuk terus mengabdi kepada-Nya tidak sentiasa meningkat. Kadang-kadang, dalam usia yang bertambah pun, kejahilan sentiasa menjengah dan terpaksalah berazam semula untuk kembali menyerah. Inilah hakikatnya. Manusia sentiasa menduduki peperiksaan berterusan, tanpa henti. Dan alangkah bertuah dan bersyukurnya kalau ujian wajib ini kita lulusi, pada tingkat cemerlang.
 — at Al Islam, Januari 1977.

Monday, 10 March 2014

Pantulan 28/14 sajak Norhisham Mustafa, “Hanya Nama itu”

Pantulan 28/14

Sajak yang berisi atau berbuah bukan pula mudah digubah. Itu sebab kita tidak sering ketemu yang begitu. Pendek atau panjang kalimatan atau rangkapan tidak jadi asas mengukurnya. Memang kerap boleh dibaca sajak yang panjang berjela(-jela) tetapi tidak tertawan hati kita, lalu meletus bosan serta-merta. Beruntunglah, ada yang dalam keringkasan patah-patah kata-katanya, kita teruja mengamati, mengunyah-ngunyahi berahi disebabkan mencuit rasa nurani. Dan sajak nukilan karyawan cekalan, Norhisham Mustafa, “Hanya Nama itu”, Utusan Kiblat, Disember 1972, muka surat 27 tidak terkecuali, termasuk dalam kategori berjaya mengilhami manusiawi. Kehadiran Tuhan Yang Maha Besar pada semua ketika, terlibat dalam semua ehwal, tanpa insan dapat terlepas dari-Nya. Begitu juga makhluk-makhluk lain - unggas mergastua dan lain-lain yang bernyawa tidak terlindung dari kudrat-Nya. Yang aku senang sekali, apabila Norhisham, menggemblengkan alam dan isinya – “pepohonan”, “burung-burung bersiul” , “kupu-kupu” menikmati “madu” , “ikan-ikan bernyanyi”, “berselamanlah”, “ke kali”. Diperkukuhi beliau lagi dengan, “fakir-fakir yang rindu”, “insan-insan yang sunyi”. Maka, jelaslah betapa berkuasa Tuhan kita, betapa indahnya dunia, betapa tersentuhnya jiwa kita oleh ke’setia”an-Nya.

ASKAT: Tidaklah tersasar, kalau saya petik maksud Ilahi, “Maka karunia manakah dari Tuhanmu,/Yang kamu (manusia) dan kamu (jin) dustakan?” (H.B. Jassin, , Bacaan Mulia, Ar-Rahmān, ayat 13, muka surat 749). Dan kalau dirujuki makna-makna Asmaul Husna maka tiadalah lagi kita akan bangga diri kerana jelas benar hinanya kita selaku hamba-Nya, sedangpun kita di bumi. Tentulah di akhirat nanti kita mengharapkan kebaikan dari limpahan rahmat-Nya jua. Adalah kewajaran yang berkekalan, bahawa sajak dengan sendirinya harus membangkitkan rasa kekerdilan diri, sekali gus menjurus langkahan-langkahan maknawi di kalangan pemberahi. Temanku telah beribadah dengan luahan rasa murni.
 — at Utusan Kiblat, Disember 1972.

Pantulan 27/14 sajak Ami Masra, “Melangkah ke Ambang Terang”

Pantulan 27/14

Teman fbku Ami Masra, mengajak kita berbakti melalui sajaknya, “Melangkah ke Ambang Terang”, Dakwah, Februari 1995, muka surat 53. Lantaran itu, kita tidak lagi harus membiarkan diri hanyut, “…termenung/termangu/dilalaikan …” Sebaliknya buatlah yang bererti “… kepada diri/keluarga, masyarakat dan/negeri”.

ASKAT: Adalah suatu yang mulia kalaulah kita dapat sebatikan nilai-nilai luhur ke sanubari. Semoga, dengan begini tercetuslah satu rasa kecintaan untuk meninggalkan pusaka yang berguna kepada kaum keluarga, masyarakat dan negara. Dalam menjalani kehidupan, semenjak kecil hingga dewasa, ada pelaburan sebenarnya ditanam oleh pihak-pihak lain di sekitaran kita. Mereka adalah kalangan warga seperti kita dan juga berupa institusi berbagai fungsinya, rasmi dan sukarela. Oleh sebab kita menjadi sebahagian daripada rangkaian yang tidak terasing, terputus atau terpisahkan maka kewajaran dalam berinteraksi tidak lain kecuali untuk membina; tidak sebaliknya, yang tiada berguna. Kesedaran tentang hal ini mudah timbul kalau kita prihatin terhadap matlamat bersama, meraih kebahagiaan hidup di dua alam, fana dan baqa. Kelalaian tentang peranan asasi ini menjadikan seseorang tidak sangat bererti kerana ia tidak bersemangat untuk berbakti dan berjasa. Kepuasan bernafas tiada sebarapa, berbanding kalau pencapaian kita dicetus oleh kebertanggungjawaban untuk sebanyak-banyaknya berusaha meninggalkan nama mewira. Tentulah peribadi yang ternama, tetap merendah diri, berubi yang berisi. Namun, hakikatnya, kebaktian memercikkan haruman semerbak dengan sendirinya, oleh sebab orang lain arif makna dan pasti menyanjunginya. Kemudian bertambah berlipat ganda pendokongnya.
 — at Dakwah, Februari 1995

Pantulan 26/14 sajak Sabariah Bahari, “Malam Adalah Sebuah Kedamaian”

Pantulan 26/14

Sebelah petang pun tidak berkurangan kesannya kerana tertancap juga maknawi karyawani. Suasana senja menemaniku mengunyah madah tergubah, bertatah indah mendakwah. Kutambahi, sekali gus mudah. Demikianlah, kali pertama kutemui sajak teman fbku, Sabariah Bahari, berjudul “Malam Adalah Sebuah Kedamaian”, Dakwah, September 1994, muka surat 53. Mudah sahaja untuk kita memahami kekesalan yang mengepit jiwa bagi seseorang hamba yang “ditusuk sembilu alpa”. Malam yang menghujung mujurlah telah “mengubati rinduku/dan aku kembali ke sisiMu”. Ketulusan cinta yang sejati insani menuntut pengabdian yang tanpa tepi, “dan titik air mengelunsur dari/mata insaf.” Ya! Walau pendek dilarik, ia cantik dan membetik. Biarlah malam menjelang segera dan hirupilah lagi dalam sunyi sendiri.

ASKAT: Dua dekad telah melambai pergi ditelan peristiwa selang berselang. Tetapi, asalkan terbukti baik yang diwariskan, pasti tetap tidak tenggelam. Apalagi kalau yang kita nukilkan ialah suara hati yang bersih murni kepada Rabbul ‘Alamin. Kita, insan yang sebenarnya lemah. Malangnya hakikat ini tidak mudah dipahatkan ke dada untuk menjadi tangkal yang sentiasa menjaga diri, mengelakkan kegelinciran ketika menuju dunia abadi. Bersyukurlah, kalau kita dapat kembali ke jalan yang lurus seperti yang selalu kita doakan lima kali sehari semalam. Sekali tersedar, berharaplah kita tidak ber’paling’ lagi. Ya, hanya tinggal beberapa tapak lagi.
 — at Dakwah, September 1994

Pantulan 25/14 sajak Norhisham Mustafa, “Peribadi”

Pantulan 25/14

Sajak kenalan lamaku, hampir 37 tahun tersiar dan tempoh yang lama tidakpun menenggelamkan perutusannya. Karyawan Norhisham Mustafa, melalui “Peribadi”, Dakwah, Jun 1977, muka surat 46 nampaknya gigih dalam menegaskan matlamat hidup. Didorongnya kita dengan, “jangan tak berani melangkah/melukis-peribadi/dengan warna dan warni budi”. Ini tiada lain selain yang dikehendaki iaitu, “kebesaran yang ditinggal di sini/pasti bergema dalam sebutan”. Betapa mulia, betapa murni, betapa unggul. Semua tahu dan tetap menyanjungi orang-orang yang sebegini.

ASKAT: Saya suka merenung dari perspektif manfaat akali; bahawa pendidikan bermaksud membangunkan peribadi agar seseorang menjadi berguna. Bila dada berisi, otak wajarlah dilatih berfikir dengan ilmu pengetahuan yang ditimba di seluruh pelusuk dan sumber. Maka pilihan yang terbuka, selagi masih menghela nafas di mayapada ini sebenarnya tidak ada kecuali bertujuan yang penuh bererti. Manusia akan mendapat faedah; baik diri sendiri, kaum keluarga, rakan taulan, dan lain-lain insan. Orang yang menggunakan minda tidak terfikir pun untuk memusnahkan. Tindakan memporakperandakan tidak selaras dengan kemurnian hasrat atau matlamat pendidikan. Tentulah aneh, seakan tidak masuk akal, jika peperangan, pembunuhan, penganiayaan dan seumpamanya masih tetap berlaku di sebalik peningkatan pendidikan yang berterusan. Apa tidaknya? Bukan rahasia lagi, kerana pelaku-pelaku kehonaran itu adalah manusia yang berpendidikan – tahu membezakan kemudharatan dan yang bukan demikian. Sangatlah beruntung kita kalau setiap orang sedar bahawa penghidupan, dalam kesementaraannya, memberi peluang atau kesempatan untuk kita berbakti atau berjasa. Cara mana hendak dilakukan bergantung kepada diri. Pendidikan, pengalaman, kemahiran akan meluangkan lorongnya dan dengan naluri yang ada bertekadlah menyahut seruan, yang tidak boleh lain daripada mengajak berbuat lantas meninggalkan kesan yang baik-baik. Dengan demikian, pada alam fana kita berbakti, nama pun harum, dikenangi. Pada alam berikutnya, janji-Nya sentiasa benar dan bekalnya tiadalah yang lain selain apa yang telah ditaburi semasa kita masih berada di sini.
 — at Dakwah, Jun 1977.

Pantulan 24/14 sajak Malim Ghozali Pk, “Suatu Malam Langit Pun Terbelah Dua”

Pantulan 24/14

Bagaimana kita hendak mengutarakan gambaran atau fenomena alam yang diporakperandakan oleh insan sendiri secara berseni? Sahabat lamaku yang gah namanya, Malim Ghozali Pk, tahu melakukan. Sungguh-sungguh mahir ia, seperti ditonjolkan melalui sajak “Suatu Malam Langit Pun Terbelah Dua”, Mastika, Disember 1990, muka surat 38. Kalau hendak mengutip ‘seni’ ia berlambak-lambak, dari kata pertama sampai akhirnya. Rangkap pertama sahajapun cukup menimbulkan ‘rasa’ dan itu sudah satu ganjaran bagiku kerana tergerak mengamatinya. Aku mengonkong nafsu rakus hendak memetik, kecuali teramat sikit, seperti, “telah terkunci siul girang saban petang”; “padang pasir dan segara bercumbu/setelah sekian zaman beradu”. Banyak lagi, melimpah-ruah tetapi silalah telaah dan teruskan melapah.

ASKAT: Malim telah mengatakan, “kalian yang memilih antara perut dan hari depan” dan seakan pasti tokoh kita ini akan hakikat akhir kerana dia tidaklah bertangguh-tangguh sebaliknya menyerbu dan meluapkan, “tinggallah semuanya”. Tidak lain sebab dilakukan demikian, kecuali mengisyaratkan bahawa masalah atau proses pemusnahan alam tidak lagi mampu disekat atau diatasi. Dan tiada pilihan untuk kita. Kita kena sehati dengan penyair peka ini; bahawa kemewahanlah yang dikejar oleh manusia, dan mereka tidak lagi takut angkara menjamu nafsu itu melelapkan mereka daripada tindakan serakah yang pasti berakhir dengan kehancuran. Bukan mereka sahaja. Termasuk kita, sama-sama sedang dan bakal menderita.
 — at Mastika, Disember 1990.

Pantulan 23/14 sajak Ladin Nuawi, “Gadisku Yang Luka”

Pantulan 23/14

Teman fbku Ladin Nuawi memuja “Gadisku Yang Luka”, Jelita, Jun 1986, muka surat 144 dengan menyusun nama kekasihnya sebegitu rupa, tegak seakan pasak menjunam dalam. Disenandungkan tanpa henti, 22 kali. Aku maafkanlah, demijiwanya yang tergoda kerana ketika itu tentulah ia masih belum 'sangat berusia'! Kecuali perulangan itu, yang kalau dideklamasikan, akan kuminta izin membaca senyap, kalimat-kalimat yang lain, tiada boleh diabaikan samasekali. Luah beliau, “pucuk yang tumbuh adalah ragu//bayang yang menimpa adalah dendam”. Yang lain, eluskanlah sendiri-sendiri. Namun, jangan sekali-kali diabaikan kalimat-kalimat hikmat; “aku kebal untuk kalah//hidup lebih bermakna dengan perjuangan”.

ASKAT: Kalau tidak semua boleh dikutip, sedikit yang termampu sudahlah boleh kita berpada. Perluaskan skop perjuangan hidup, biar matlamat yang unggul mengatasi, diutamakan. Maka kecekalan, tidak patah semangat, pantang berundur, ‘biar putih tulang’.., mewarnakan kemilauan erti kehadiran di dunia – sudah lebih mencukupi dan sesiapa yang terkenang, mengingati kita nanti, melakukan dengan penuh hormat kerana kerelaan kita yang jelas menjulang tekad. Kalaupun, ditakdirkan penghujungnya tidak seperti yang dihajati, ini tidak mencemarkan maruah. Penilaian hakiki sentiasa berpandu kepada landasan yang luhur.
 — at Jelita, Jun 1986.