Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 39/15: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Titah Perut”

Pantulan 39/15: Kehancuran
Kupilih sajak yang terpendek sahabat fbku yang belum pernah kusentuh,Sahrunizam Abdul Talib, tersiar dalam Dewan Sastera, Disember 2003, berjudul “Titah Perut”, (muka surat 98). Karya-karya puisi (enam buah) beliau diberi penghormatan mengisi “Persada Puisi”. Yang satu ini adalah sajak bak ‘cili padi’, tak sampai dua inci, tetapi berlumuran ngeri oleh penyalahgunaan kuasa pemegang tampuk di kedudukan tinggi.
Aku telah lama dilatih bertanggungjawab. Semasa kecil, di rumah bersama-sama adik beradik setiap minggu masuk ke hutan mencari kayu api agar masakan ibu tidak tergendala. Apabila bersekolah, diberi jawatan ketua murid dan teringat ketika Hari Ibubapa menyampaikan ucapan di depan khalayak. Ketika di sekolah menengah diberi tanggungjawab sidang pengarang buletin berkala sekolah, “Penyu”.… … Dengan latihan seperti itu, tertanam satu kesedaran tata kaedah mendukung amanah. Selain menyelesaikan tugas-tugas yang ditetapkan perlu pula tidak mengambil kesempatan untuk faedah peribadi sendiri.
Pada pentas yang lebih penting dan tersanjung sesuatu tanggungjawab sebenarnya mengikat kita untuk mempastikan ‘stakeholder’ tidak teraniaya, menerima penangan buruk oleh tindakan khianat kita yang diberi kuasa mengendali atau memutuskan jaya atau gagalnya sesuatu misi atau projek. Maka, yang boleh mengekang sikap gemar bersalah laku itu ialah kekuatan peribadi yang telah semenjak awal-awal lagi disemai oleh ibu bapa, para guru, masyarakat, peraturan dan lain-lain. Pun, kita ketahui, dalam pada para penjawat diasuh demikian, kemungkaran tetap berlaku, bahkan lebih berleluasa.
Marilah kita sejenak menghening, dimana salahnya dan apakah lagi yang seharusnya dilakukan agar “setia jelata” terpelihara sampai bila-bila.

Kartunis FAUZI

Kartunis FAUZI
Salah satu folder keratan akhbar saya yang agak tersusun ialah siri “Appointments” yang tersiar setiap minggu dalam NST. Satu aspek menarik ruangan ini ialah tempelan kartun yang menghidupkan lagi artikel utama tentang pengurusan yang disiarkan. Sangat banyaklah ilustrasi kartun ciptaan Fauzi yang saya kumpul (beratusan). Saya pamerkan beberapa (ilustrasi tahun-tahun 1993, 1994, 1995) sebagai contoh. Saya percaya kalau ada sesiapa yang mengkaji pemikiran kartunis, Fauzi tidak wajar diketepikan sama sekali.
Comments
Ahmad Said Sungguh bijak Hang Tuah dapat menyerlahkan rahsianya kepada media tentang mengapa orang-orang lain tidak mengungguli negara. Dari pemunculan beliau pun aku nampak tokoh itu ada keyakinan diri, berwibawa, dan rajin membaca. Beliau juga berpakaian kemas dan lengkap. Pada usia itu kelihatan beliau sasa dan sangat terjaga kesihatannya.
LikeReply112 August at 19:31Edited
Ahmad Said Hang Tuah boleh menyesuaikan diri. Beliau boleh mengendalikan tanggungjawab bersendirian dalam semua segi. Beliau boleh berbahasa Inggeris dengan faseh, sesuai dengan keadaan. Namun ia tetap berkeperibadian kebangsaan seperti ternyata daripada pak...See More

Pantulan 38/15: Sajak Zurinah Hassan “Pak Kaduk di Gelanggang Raja”

Pantulan 38/15: Biring berkokok
Aku kurang pasti cerita-cerita seperti Pak Kaduk direka untuk maksud apa sebenarnya. Barangkali lebih bertujuan menceriakan keadaan berbanding memberi pengajaran atau mencorakkan zaman. Dalam dunia masa kecilku, ada kudengar orang-orang kampung mengatakan seseorang yang dikira bodoh tolol, seperti Pak Pandir. Ada juga sebutan tentang Mat Jenin yang timbul apabila ada seseorang membayangkan hasrat masa depan yang tidak masuk akal boleh tercapai. Jadi, pemahaman yang disepakati rakyat jelata di sebalik kisah-kisah berkenaan ialah pengakuan bahawa watak-watak itu sebagai misalan kebenaran menggambarkan kedunguan/keangkuhan dan kemustahilan. Maknanya, perlakuan yang serupa atau seakan yang demikian seharusnya diasosiasikan dalam kehidupan seharian bukan sama sekali yang berbeza tingkah dan sifat pelaku dan situasinya.
Mungkin ratusan tahun pengaplikasian demikian telah kejap tertanam. Sekarang, apabila kita belajar di institusi-institusi pengajian lebih tinggi cerita-cerita hiburan itu jadi kajian sampai ke tahap kedoktoran. Dan timbullah pentafsiran yang jauh sekali daripada maksud asal penciptanya. Perubahan ini bukan pula tidak dihargai. Ia banyak ertinya. Orang-orang sekarang mencari teladan, mentafsir kelainan, memperbaharui atau mengadakan varian selaras dengan zaman. Lalu, kebodohsombongan Pak Kaduk tak lapuk dihakis bahkan merintis ilham puitis berbaris-baris. Citra baru terlukis.
Maka, apabila penyajak berwibawa Dato' Dr. Zurinah Hassan melorek riwayat Biring Si Kunani melalui “Pak Kaduk di Gelanggang Raja”, Dewan Sastera, Disember 2003, muka surat 79 (termuat juga dalam, “Salasilah”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, cetakan pertama, muka surat 84) kita alu-alukan. Terpupuk kesedaran di kalangan marhaen bahawa dalam berunding ada keperluan untuk setanding. Tidak boleh sebelah pihak punyai kekurangan kerana akibatnya yang memiliki kelebihan pasti menjuarai. Juga, jangan wujudkan persefahaman kalau berakhir dengan situasi kecundang menang.
Aku juga membaca, Zurinah Hassan, “Membina Karya Daripada Legenda Dan Cerita Rakyat”, dalam “Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan”, ITBM/Pena, 2013, muka surat 28, Kata beliau, “… Di sekeliling kita masih ramai Pak Kaduk yang menggadai tanah dan rakyat yang diambil tanah mereka. …”

Pantulan 37/15: Sajak M. Ashikin “Malam Pengantin”

Pantulan 37/15: Kenikmatan
Muncul lagi sebuah hasil kreativiti renjisan hati sahabatku sasterawan ternama, Dato' Mohd Mansor Abdullah. Beliau berkarya tak henti-henti. Kali ini, tema sajak M. Ashikin berjudul “Malam Pengantin”, Dewan Sastera, November 2003, muka surat 74, kukira amat jarang diketemui tercipta dalam bentuk puisi. Kalau mahu diantologikan karya-karya bertema begini, yang ini wajar dikutip paling mendahului kerana berjaya merakamkan pengalaman sejati seorang suami yang kembali berperstasi. Kupasti sukar sekali menciptanya. Dua belas tahun dulu temanku yang sedang gagah perkasa mengalami peristiwa bergelora “setelah sekian lama taufan tak berhembus lagi” dan beliau merakamkan kesyukuran menghabisi malam dengan grafik kata-kata yang nyata lagi berani, menimbulkan berahi serta simpati. Inilah perisytiharan kejujuran cinta terhadap isteri yang berpaduan “… janji membina mahligai bahagia buatan sendiri”.
Perkahwinan sewajarnya berpaksikan cinta kasih sayang di antara dua insan. Dengan panduan ajaran agama maka ikatan itu tentulah akan berterusan sampai ke akhir hayat. Jalinan ikatan keramat itu akan lebih erat setelah rohani dan jasmani suami dan isteri sebati, seakan satu tanpa berbelah bahagi lagi. Dalam keharmonian hidup berumahtangga itulah barakah mengalirkan rezeki melimpah ruah. Kerukunan rumahtangga akan memakmurkan semuanya – pasangan yang dirahmati, keturunan yang berpekerti terpuji. Masyarakat akan bermanfaat oleh sumbangan bakti. Dan inilah yang dituntut sebelum seruan Ilahi disambut.

Pantulan 36/15: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Orang Tua”

Pantulan 36/15: Usia derita
Aku menghadapi dilema untuk memantul sajak-sajak karyawan jempolan,Siti Zaleha M. Hashim, sama ada yang berjudul “Dunia Puisi” ataukah “Orang Tua”, (Puisi Pilihan), Dewan Sastera, Oktober 2003, muka surat 33-35. Akhirnya, diberati usia sendiri, sajak yang kedua menambat hati.
Apakah, dalam keterpinggiran melangkah denai kembali, tak terharu kita jika nasib yang sama menimpa? Ketika usia muda, dikerumuni putera-puteri, mudah benar kita melupakan suasana dan ikatan demikian akan terhenti sebelum pun kita mati. Ini tragedi angkara sendiri, suami-isteri. Sebabnya di kalangan seisi keluarga tiada terbina kasih sayang atau kecenderungan bersimpati apabila tiba masa yang dewasa, lanjut usia sudah tidak lagi mampu berdikari. Siapakah yang salah; ibu-ayah atau anak kandung jantung hati ketika bayi? Maka, yang seharusnya ditanya sesungguhnya ialah wajarkah kita meruntuhkan mahligai kekeluargaan yang mendasari kebahagiaan penghidupan duniawi dan ukhrawi? Masihkah, sedang masa terbuka, kita ketepikan pendidikan mencukupi kepada warisan sendiri yang mengakibatkan kita kelak, ketika bergelar datuk dan nenek, sepi menanti seruan Ilahi di penjara institusi? Tergamakkah kita membenarkan kesendirian di ujung hayat, tidak dilawati bahkan tak diingati tetesan keturunan?
(Nota: Kujumpai, “Orang Tua” sekali lagi dalam kumpulan puisi, “Kristal di Laut Bulan”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, cetakan pertama, halaman 46).

Kartun Korporat

Kartun Korporat
“Appointments” yang dimuatkan setiap minggu dalam akhbar NST bertahun-tahun keratannya saya simpan dan jilidkan. Tadi saya membelek keratan meliputi NST Wednesday 14 December 1991 hingga Saturday, 13 January 2001. Bahan ini menjadi bacaan ketika masih berkhidmat dahulu. Sekarang, diputuskan untuk dilupuskan, tetapi kartun yang ratusan bilangannya menghiasi halaman-halaman tersebut mungkin perlu saya buat keratan khusus dan disimpan terus. Saya tunjukkan contoh-contoh kartun yang bakal diselamatkan. Sesiapa kenal pekartunnya?
Comments
Zainun Yunus Penuh makna dan pengertian Dato..rasanya
Keratan kartun ini baik simpan..terima kasih.
LikeReply19 August at 08:44
Ahmad Said Barangkali bilangan ilustrasi kartun yang terbanyak disiarkan dalam sesuatu “Appointments” karya Fauzi ialah dalam “A Special Supplement”, July 17, 1994. Terdapat 15 semuanya. Saya tunjukkan salah satu.

Pantulan 35/15: Sajak Solihin Osman, berjudul “Peringatan”

Pantulan 35/15: Pengiktirafan
Sebuah sajak yang mudah, cantik dan bermaknaan mendepaniku karya kenalan baikku, Solihin Osman, berjudul “Peringatan”, Dewan Sastera, Mei 2003, muka surat 29. Tanpa pun memeras minda, kita sudah mengakui kejujuran luahan penghargaan dan sanjungan beliau terhadap tokoh pembentuk peribadi dan pendorong kejayaan dalam kehidupannya. Siapakah sebenarnya ‘watak’ penggerak berperibadi mulia itu, terpulang kepada kita mentafsirkan sendiri. Yang terbukti beliau telah merakamkan dengan setulus hati.
Tetapi, pada usia bayi dan kanak-kanak, barangkali yang paling mempengaruhi perkembangan kita ialah ibubapa. Apabila kita sudah bersekolah, personaliti, pengajaran dan teladan guru-guru menjadi faktor kritikal. Sesudah itu, ilmu yang dituntut, pengalaman yang dilalui, sekitaran masyarakat tidak kurang peranannya menyuburi. Jangka masa yang berfasa-fasa, telah memkomplekskan personaliti dan sekali gus menjadikan semuanya itu pencetus peribadi yang berjasa. MAKA, jadilah kita seorang manusia yang bermaruah dan berupaya memikul tanggungjawab – apa sahaja yang teramanah atau dipilih sesuai dengan kecenderungan dan rezeki masing-masing. Kepositifan pendedahan semenjak dari kecil sampai memegang teraju menjurus ke arah persepsi bahawa manusia sewajarnya tidak melakukan sesuatu kecuali yang baik-baik dan berimpak mensejahterakan penghidupan sendiri dan orang-orang lain. Baharulah dunia ini makmur oleh sebab dihuni pendukung-pendukung tamadun bestari. Bahawa demikian itu telah lama tercungkil apabila pendidikan berfungsi menepati iaitu menyempurnakan sahsiah insan. Itulah sebabnya “sejarah” perlu ditelaah demi tidak mengulangi pemusnahan-pemusnahan. Dari sejarah itu, tidak tersangkal lagi, “wawasan” yang melorongkan semua usaha penggemblengan mencapai kecemerlangan.