Friday, 4 March 2016

Pantulan C/1/12/2016: Sajak Ahmad Sarju, “Jendela yang Terbuka”

Pantulan C/1/12/2016: Demi kebaikan
Sudah banyak juga kulewati sajak-sajak yang mengutarakan pendirian seseorang penyajak tentang penglibatannya dalam arena perpuisian tanah air. Banyak juga orang bercakap tentang tujuan berkarya kreatif. Mengkhusus tentang puisi, secara rumusan, penyairan mereka menegaskan apa yang diperjuangkan masing-masing. Tetapi setiap penyair berbeza kekuatan mencipta dan secara langsung membezakan pula mutu hasil-hasil masing-masing. Dalam konteks Ahmad Sarju, perjuangannya banyak terpapar dalam sajak-sajak beliau sepanjang zaman. Hanya dalam sajak “Jendela yang Terbuka”, Dewan Sastera, April 2009, muka surat 11, boleh kita baca sebahagiannya, dari perspektif orang kedua. Puisi ini mengajak kepada “kesetiaan” terhadap negara dengan seruan yang “merdu dan memukau”, “merdu syahdu menusuk jantung”, “…ukirkan kebenaran/…keadilan//… perpaduan.”
Begitulah kususun sekadar menunjukkan bahawa genre kesusasteraan yang berpaksikan keindahan (seperti puisi) sewajarnya bermatlamat mendidik, menyeru, mengongsikan sesuatu yang akhirnya memberi kebaikan kepada khalayak pembaca (maksud luasnya, masyarakat dan negara). Dalam pada itu, ciri-ciri keindahan terutama dalam gaya bahasa tidak boleh sama sekali diketepikan. Ia harus sepada-padanya menyerlah secara yang tidak dipaksa-paksakan! Sungguhpun aspek ini subjektif, ada pula ukuran yang tertentu dan ketentuan ini seharusnya memandu karyawan. Adalah menjadi cabaran dan juga ujian mengetengahkan puisi-puisi yang boleh menarik pembaca yang memang mencari-cari karya-karya yang bermutu. (Lupakan pembaca yang bukan peminat puisi). Pembaca puisi tidak akan membaca semua puisi sebab apa yang dicari-cari, yang diminati, yang menguja, yang menarik mungkin tidak sama ciri-cirinya antara mereka. Untuk menggamit dan menangkap perhatian pembaca dengan mudah dan segera, sesebuah puisi harus menghidangkan tema yang memang bermakna untuk ramai orang. Puisi-puisi harus boleh difahami (tidak semestinya dengan sekali dua baca), dengan diberikan masa yang wajar mengecap, memamah, mengunyah dan menelannya dan memberi tenaga dan memercikkan cetusan berharga lain lantas memancarkan pula asas berkreatif berterusan atau memberi kepuasan menelaah kepada pembaca sendiri.
Alangkah baik kalau kita boleh mencipta puisi yang berkekalan diingati orang. Pada generasiku, puisi-puisi Amir Hamzah kukira unggul. Walaupun tidak semua puisi harus bertaraf ‘sempurna’, karya yang terhasil haruslah sentiasa menimbulkan kepuasan di kalangan kelompok pembaca atau peneliti yang setia. Puisi yang mencatu tidak akan tersemat di kalbu.

Pantulan C/02/11/2016: Sajak M. Ashikin, “Pertama Kali Kuinjakkan Kaki ke Dadamu Pangkor”

Pantulan C/02/11/2016: Keperitan
Singgah meredah luah rasa dan perah minda M. Ashikin (Mohd Mansor Abdullah) melalui sajak beliau, “Pertama Kali Kuinjakkan Kaki ke Dadamu Pangkor”, Dewan Sastera, Februari 2009, muka surat 62. Tidak syak lagi judulnya puitik, dan bernada romantik.
Aku sukakan pulau dan Pangkor lebih daripada pulau-pulau biasa yang lain. Ia pulau yang mencengkam alur riwayat bangsa. Tanpa unsur-unsur semega itu pun, bagiku, pulau sentiasa menggambarkan keindahan – pantai, pasir, air, desir ombak, belaian angin, labuhan nelayan, kesantaian dan lain-lain. Dan ini jelas dilukiskan oleh M. Ashikin. Ada kata-kata beliau mengenainya, “…pantaimu/putih bersih…/pasirnya lembut…//elus bayu…”. Tetapi setakat itu sahaja, keindahan yang kubayangkan itu dilarik berseni, selainnya tidak begitu, bahkan adalah cemuhan yang sekali gus memualkan kerana Pangkor, pulau yang diidam-idamkan, “..kuimpi”, menusuk jiwanya dan segera dibencinya. Tanpa mencungkil idea-idea yang lain, kata-kata “melihat peradaban bangsaku retak/kesopanan dan kesusilaan diinjak-injak” memadai untuk merumuskan bahawa Pangkor telah menjelmakan citra melawan arus warisan ketamadunan bangsa yang kita berhasrat menjaga dan membangunkannya. Beliau memilih tidak “menginjak-injakkan/adat resam budaya…” sendiri. Tentulah penyair ini membungkam ketika singkat berada di situ dalam kepiluan dan keterasingan sambil menyaksi dan mengalami keruntuhan berterusan menggegarkan keperibadian.
Sesebuah hasil seni harus seimbang dari segi isi, gaya penyampaian dan kepadatannya. Dalam karya ini, ada gemblengan ketiga-tiganya, secara yang sedar disulam oleh penyairnya berasaskan pengalaman menggubah yang beraneka ragam lagi panjang. Perhatikan, gambaran pada rangkap awal yang mencetuskan harapan, tiba-tiba menyeleweng wajah secara mendadak dan mengejutkan berupa pemerian kehodohan perlakuan para remaja dan pengunjung yang menjijikkan. Dan M. Ashikin, mengambil keputusan nekat, berlepas tangan, tidak mahu bersekongkol, tidak mahu menjadi petualang. Tetapi, siapakah yang harus bertindak dengan lebih saksama?

Pantulan C/02/10/2016: Sajak Ami Masra, “Di Meja Alpa”

Pantulan C/02/10/2016: Diskusi diri
Sajak Ami Masra, “Di Meja Alpa”, Dewan Sastera, Februari 2012, muka surat 61 mengimbau ingatanku ke zaman kecil dan awal remajaku di kampung. Di kampung berpantai itu ada tiga buah kedai kopi yang biasa dikerumuni oleh para peraih ikan dan orang-orang kampung juga. Aku pernah juga melihat mereka itu berbual-bual sambil minum-minum sementara menunggu para nelayan kembali ke pantai dengan tangkapan harian mereka. Di kedai-kedai itu kita dapat kenal siapa yang petah bertelagah, siapa yang berpandangan ‘bernas’ mengatasi, siapa yang lebih mendengar atau menyokong, siapa yang lebih ‘berpengetahuan’ tak keruan!
Dalam perjalanan berulang-alik ke sekolah pun kulewati juga sebuah dua kedai kopi dan biasalah juga melihat meja-mejanya menjadi tempat perdebatan atau perbualan santai dan kosong. Sama ada mereka melakukan sambil menunggu sesuatu, atau kerana tiada kerja yang khusus hendak dibuat tidaklah pula dapat kupastikan. Tetapi yang nyata pada hujung 1950-an dan 1960-an, kedai kopi memang menjadi tempat ‘pertemuan’yang diterima oleh sekelompok orang kampong, walaupun sudah ada pandangan-pandangan yang menyelar amalan demikian.
Ketika telah remaja dan bersekolah menengah pemerhatian menjadi lebih bermakna kerana diiringi oleh pembacaan peribadi yang ketika itu sarat dengan hal-hal yang bersangkutan kemiskinan, kemunduran, ketinggalan orang-orang Melayu. Pemikiran tentang “Revolusi Mental” telah dan sedang menjalar dalam masyarakat. Maka, pembaziran orang-orang Melayu di kedai-kedai kopi dan yang seumpamanya telah menjadi satu aspek yang disentuh oleh para pembaharu pemikiran. Betapa benar pandangan seperti yang kubaca itu! Dan melalui sajak ini, Ami Masra telah merakamkan satu fenomena dalam masyarakat, yang berlaku pada masa silam yang ‘menostalgiakan’.
Pada umur tua, aku sudah lama tidak mengunjungi kedai-kedai kopi (atau dalam zaman ini restoran) dan tempat-tempat makan awam yang lain. Aku berharap di tempat-tempat itu tidak “mereka berbual di gerai sia-sia/memperkata segala yang tak ada”. Aku amat terganggu rupa-rupanya masih berlaku , “Pagi minggu itu”. Dan juga, lebih kena salurannya laman-laman maya pun hanya menjadi tempat orang-orang mencambah kebijaksanaan berdasarkan keilmuan dan kebenaran. Ya, moga-moga… kebestarian menjadi panduan melangkah ke hadapan.

Pantulan F02/9/2016: Sajak, Wan A. Rafar, “Tak”

Pantulan F02/9/2016: Penyedaran
Sekali lagi terserempak karya temanku! Sajak (WanRafar Ishak), Wan A. Rafar, “Tak”, Dewan Sastera, Ogos 2008, muka surat 107 menyatakan penafian akan terjadi sesuatu kecuali, “dalam ilmu-Mu”, “dengan izin-Mu”, “dengan kuasa-Mu”, “dengan perintah-Mu”, dan “dengan kehendak-Mu”. Kalau setiap frasa diteliti ternyata Allah subhanahu wa taala itu Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Pemurah, Maha Berwibawa, dan Maha Penentu. Sayangnya kata-kata dan pustaka peribadi tidak mencukupi untuk menjelaskan kemahakuasaan-Nya.
Dan dari sudut lain pula, selazimnya diperikan, “… daun/.. gugur ”, “… air/ .. tumpah”, “… waktu/berlalu”, “… hujan/… turun”, semuanya terjadi dalam pengetahuan-Nya jua. Betapa Maha segalanya Ia. Sebagai makhluk (ertinya hamba) ternyata manusia tiada berupaya dan sewajarnyalah ia mengakui keterbatasan itu. Pengakuan inilah yang melorongkan pengabdian manusia terhadap Tuhan.
Wan menamatkan, “Aku larut/dalam laut cahaya-Mu.” Pada tahap ini, aku sendiri perlu menambah ‘cahaya’ ilmu untuk menyentuh “cahaya-Mu”. Tetapi, sambil itu kalau terpercik keinginan me‘larut’kan diri seperti yang dialami penyajak, aku (dan kita) sudah wajar memanjatkan kesyukuran ke hadrat-Nya.
Sama ada kita berilmu atau sebaliknya teringat aku maksud firman bahawa apa yang kita miliki adalah sedikit jua. Kalau seluruh lautan menjadi tinta, tetap kering juga tanpa selesai mencatat ilmu-Nya.
Sebuah karya harus boleh mengingatkan pembaca jangan terlupa hakikat kesementaraan hidup di dunia dan di akhirat ada balasan setimpal dengan amal dan ketakwaan menanti dalam kehidupan selepas mati!
Kependekan kalimat dan rangkap, perulangan pada rangkap-rangkap dan baris-baris puisi ini menjadikannya satu ciptaan yang sarat erti, sekali gus suatu ibadat maknawi.

Pantulan C/01/8/2016: Sajak Zulkifli Salleh “Kota Perjudian”



Pantulan C/01/8/2016: Penyabungan
Sajak Zulkifli Salleh berjudul “Kota Perjudian”, Dewan Sastera, Mei 2009, muka surat 62, menjongolkan beliau sebagai seorang penyajak yang berpotensi. Dalam lapan rangkap, (enam berbaris empat, satu berbaris enam dan satu lagi berbaris 9) dari segi bentuknya pun nampak tersusun. Dari segi rima, ada sebahagian mengekalkan unsur-unsur tradisional walaupun tidak dikekang keperluan pemodenan bila timbul kewajaran! Ada dua perkara yang digambarkan, perjudian di meja nasib sampai “dituai hampa” dan ‘perjudian’ di medan kehidupan “untuk mara ke mercu jaya”. Kerana kita bukan penjudi lalu bijaksanalah mengambil pandangan Zul tentang “hidup ini menuntut perjudian//…kemestian/dengannya jua sejarah terukir.” Terang, tanpa perlu bersuluh lagikan?
Aku kira, empat rangkap terakhir adalah satu rumusan hasil penelitian yang mendalam, digauli pengalaman dan pengetahuan. Tidak lupa Zul menyelami inti pati lakaran orang tua-tua dengan cetera Pak Kaduk (dan walaupun tidak disebut Aminuddin Baki, serta yang lain-lain), dan sejarah bangsa yang bertetesan air mata kerana “berpindah milik beralih sempadan/tidak tertebus hingga akhir zaman.” Terselit iktibar dan teladan.
Ada keaslian pada gaya bahasa seperti terserlah, (tanpa mengutip keseluruhan kalimat), “kembang setangkai”, “dituai hampa”, “kecundang terpa bertalu”, “di pantai takdir”, “kota persaudaraan”, “kaya pengajaran”, “mengusik kesalan”. Kalaulah Zul dapat mentrampilkan citra kemodenan dalam menguli tema ini, aku percaya sajak ini akan menjadi mercu tanda kepenyajakan beliau!
Menepis itu ke tepi, berpadalah kalau benar-benar kita mengunyah hanya serangkap yang ini: “Demi pangkat dan darjat/demi kelas dan status/bukan sekadar wang dan harta/amanah, maruah, dan kuasa, perjudian belaka.” Maka kalaulah, kota Macau yang mencetuskan ilham, menjadikannya sebagai perbandingan kepada penghidupan sebenarnya, ambillah pula sekitaran kita sendiri dan tanggapilah sejauh mana gambarannya berbeza daripada yang Zul coretkan itu.
[Kebetulan, dalam Shahnon Ahmad, “Weltschmerz” (Pabila Hujan Turun), Dewan Sastera, Mei 2009, beliau menulis, “…Duniawi memang senda gurau dan serba mainan; akhirat juga adalah kehidupan yang sebenar, tetapi keperluan duniawi yang serba palsu inilah tempat kita berjuang, mencari bekalan untuk meneruskan perjalanan menuju keabadian.”(muka surat 65) dan Shahnon Ahmad menulis pada kesempatan lain, “… Bukankah dunia ini hanya permainan dan senda gurau sahaja. Bukankah kehidupan dunia ini adalah penipuan sahaja. Bukankah hidup di dunia ini asyik lawan puji memuji sahaja serta dunia ini hanya senda gurau dan mainan, akhirat itulah kehidupan yang sebenar?”, lihat, “Weltanschaung”, (Pabila Hujan Turun), Dewan Sastera, April 2009, muka surat 60].
Sesebuah sajak harus boleh mencuit pembaca lantas berhenti untuk meneliti, dan memercikkan tafsiran yang bererti lagi memanfaati. Zul telah melakukan memenuhi ciri ini ketika berada di luar negeri.
(Nota: Teringat membaca “Nota Seorang Pengembara” oleh Kamarul Ariffin, “Lawatan Lain” oleh Wan Ahmad Wan Abdullah, “Melalui Jendela Waktu” oleh Othman Yatim, dan lain-lain)

Pantulan A/02/7/2016: Sajak Aladin Mohamad, “Angin Subuh”

Pantulan A/02/7/2016: Pengakuan
Bukan rahsia pun, bahawa kebiasaannya orang muda menyesal apabila telah mencapai usia tua. Tentulah penyesalan itu kerana semasa muda (sihat sejahtera, kaya raya, berharta, berdarjat, berkuasa) ia tidak cukup melakukan kebaikan sebaliknya lebih melakukan kemungkaran. Hidup selepas mati harus berbekal lengkap. Dengan berdosa tanpa taubat lantas melangkah ke akhirat adalah satu kejahilan yang mengakibatkan rugi serugi-ruginya. Akhirat menuntut persediaan yang rapi dan sedikit masa yang terluang tidak wajar terbuang dengan menebus apa sahaja keterlanjuran sama ada antara sesama insan apalagi Tuhan Seluruh Alam. Ertinya, peringkat usia yang amat gawat itu langsung tidak sama sekali dipersesiakan. Suasana sekitaran yang senyap sunyi, atau waktu Subuh yang bening lazimnya menjadi pilihan utama untuk meluahkan penyesalan dan melakukan amalan mendekati Allah S.W.T. Dan inilah yang dilukiskan oleh Aladin Mohamad melalui sajak serangkap pendek berbaris 7, “Angin Subuh”, Dewan Sastera, September 1984, muka surat 19.
Jadi apabila telah begitu terang pemerian apalah lagi harus kupantulkan? Tiada lain kecuali menyatakan, penyajak telah menggumpalkan permasalahan perasaan bersalah orang muda oleh dorongan nafsu dan kejahilan atau sengaja leka suatu masa lampau, ke dalam ciptaannya dengan cara yang padat, sependek-pendek kalimat yang berupaya memuatkan hasrat. Jangan lupa kita sedang menikmati puisi, dan Aladin telah menyajikan secara yang berhemah menghormati medium yang dipilihnya. Karya ini puitik, gayanya lembut mesra serasi Subuh yang belum lagi bercahaya menjelang pagi. Kalau pun cetusan ini cetusan biasa tentang pengalaman orang-orang muda, dalam puisi sebegini ia hadir sebagai satu rumusan seni yang berjaya!

Pantulan C/01/6/2016: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Saudagar Mimpi”



Pantulan C/01/6/2016: Mengarun impian
Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Saudagar Mimpi”, Dewan Sastera, Ogos 2006, muka surat 59, tanpa syak lagi adalah suatu puisi yang indah – gubahan menggembleng sempurna tema. Kita perlu membacanya untuk merasai dan menikmatinya. Tidak pun perlu kita menyental minda agar tergambar suasana yang melatari persoalannya. Kita ada keistimewaan memilih pendekatan serasi peribadi.
Tidak perlu aku meluaskan ujaran antara pembangunan mungkar berbanding ketradisionalan/kelestarian kebudayaan. Pada tahap sendiri aku terbelai rasa melihat kanvas alam dilukisi Siti dengan “mendengar bunyi cicip-cicip unggas pagi/melihat percik titis-titis hujan petang/merenung jingga jalur-jalur langit senja.” Dalam kewujudannya setiap pagi, petang dan senja, aku tidaklah mahu berharap tambahan lagi. Cukuplah, kerana menyedari sendiri malam pun ada tarikan sakti seperti, pantulanku sendiri, \merenung sinar gemerlapan bulan diusapi nipis awan\asyik oleh deringan cengkerik di sebalik gelap buana\terpaku syahdu pada gugusan bintang\...
Tetapi ketidakserasian antara dua pihak sampai boleh mengendurkan perhubungan, sehingga memisahkan ikatan, membawa persengkitaan, bernatijah kerenggangan muafakatan tentulah tidak wajar diabaikan berlalu tanpa tumpuan minda mencari mutiara. Sanya, tidaklah salah berwawasan asalkan wawasan boleh dikongsi serta mendapat dokongan menjadikannya kenyataan. Yang tidak jarang terjadi ialah berbenturan idea, pandangan, perspektif, kefahaman lalu bercakar-cakaran. Walaupun setiap dicuba mengatasi perselisihan, tetap berakhir dengan kegagalan mencari titik pertemuan atau sekurang-kurangnya saling bertolak ansur. Demikianlah, masing-masing membawa diri, memusing arah, memilih jalan sendiri-sendiri. Bagi perkara-perkara kecil pemencilan atau penghindaran daripada melibatkan diri tidaklah terlalu memberi padah. Tetapi, kalau setiap pihak bukan calang-calang orang, berwewenang, kegagalan menguruskan perkara yang kecil-kecil pun membawa kerugian. Apalagi kalau persoalan di hadapan adalah perkara hidup mati agama dan bangsa, (jangan terlupa maruah diri, keluarga, jati diri) maka pertarungan tiada pun akan memberi sumbangan bahkan mengundurk langkah-langkah kejayaan, membuntukan usaha-usaha menambah nilai terhadap mercu-mercu tanda yang sedia tercapai!
Ya, ada perkara menuntut pengorbanan demi manfaat masa akan datang. Pada tempoh peralihan, segala usaha harus diikhtiarkan agar terhindar kegegaran pada para individu, kelompok dan sekitaran. Jadi yang dituntut ialah kebijaksanaan berfikir, merumus, bertindak supaya semua pihak searah menuju matlamat. Tidakkah demikian menolak realiti?
(Nota: Untuk satu versi ulasan yang berlainan terhadap sajak ini lihat, Arbak Othman, “Hasrat, Teks dan Dunia dalam Puisi” (Analisis Puisi Dewan Sastera, Ogos 2006), Dewan Sastera, September 2006, muka surat 73-74 (71-78).