Sunday, 30 December 2012

Saturday, 29 December 2012

Sedutan Diari - Kawan Lama


Begitu lama ‘notebook’ ini ku simpan apabila yang baru digunakan. Dalam menyelongkar fail-fail di dalamnya ku terjumpa sebahagian catatan peribadi, yang kadang-kadang ku lakukan bila timbul semangat. Walaupun agak panjang, ku siarkan di sini untuk teman-teman FB lebih mengenali, jika sudi. Catatan ini sangat mentah dan tidak disunting langsung. Catatan seperti ini sedang ku kumpulkan untuk digunakan menulis biografi, insyaAllah.


"13 Ogos 2008, Alor Setar, Kedah, Holiday Villa, 8.03 malam.

Selepas selesai temuduga aku diajak wakil jabatan yang menganggotai panel temuduga makan tengah hari. Aku menumpang menaiki kereta beliau ke Mee Abu makan pasembur. Gerai ini dikatakan popular di Alor Setar. Bolehlah! Dia kemudian membawa ku ke Anak Bukit, melalui istana Sultan, mini Putrajaya ke arah lapangan terbang. Di situ ada gerai berhimpit rumah menjual ‘pisang sorong’. Ini telah wujud sejak dia kecil. Ini satu-satunya yang ada dan menjadi tumpuan ramai. Sebungkus dia hadiahkan untuk ku setelah tiba semula di hotel. Pisang sorong ini ku kecapi dalam bilik ku nombor 1807 dan terbukti ‘best’.      
Kelmarin, semasa di lobi hotel, ketika sedang bercakap dengan Dato'  Wira Hashim yang kebetulan datang untuk urusannya sendiri di hotel itu, aku  terserempak pula dengan Dato'  Wan Mustama Wan Hayat, yang baru selesai 'check-in' sebaik  tiba dari lapangan terbang. Beliau adalah teman lama, sedarjah semasa belajar dalam Tingkatan Enam di Sekolah Alam Syah pada tahun 1969 dan 1970.  Lama benar aku tidak berjumpa beliau selepas tamat pengajian di Universiti Malaya  dahulu hujung  1973 atau awal tahun 1974. Masing-masing memilih kerjaya. Beliau memasuki  perkhidmatan pendidikan dan ‘hilang’ tanpa khabar  berita. Empat  lima tahun lalu  sahaja ku dengari berita tentangnya   melalui media massa ketika beliau ditempatkan  di Institut Aminuddin Baki, mungkin sebagai Timbalan atau Pengarahnya. Kemudian ku dengar  beliau menjawat  jawatan Pengarah Bahagian Pendidikan  Guru. Dalam satu mesyuarat di JPA, semasa aku menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,  beliau hadir mewakili Kementerian  Pelajaran. Sungguhpun  kami duduk hampir betul-betul setentang,  aku tidak perasan beliau yang bersongkok sehinggalah mesyuarat selesai apabila beliau datang menyapa dan ku mengambil sedikit  masa untuk merenung untuk mencam beliau. Kami kemudian berbual ringkas di pejabat ku. Kebetulan, dalam komputerku ada gambar kelas 6SASA3 dan, atas permohonan, ku emelkan kepada pc beliau. Semasa beliau mengikuti kursus Pengurusan Tertinggi Untuk Pegawai-pegawai JUSA C di INTAN, Bukit Kiara pada pertengahan tahun 2007 selama 3 minggu kami lebih kerap berjumpa kerana aku menjadi salah seorang Panel Penilai kursus tersebut. Dalam sesi-sesi perbincangan  kumpulan, pembentangan  projek dan pengucapan awam  aku hadir menilai  setiap peserta  kursus, termasuk kawan ku ini.

Tidak lama selepas kursus berakhir beliau bersara, mungkin bulan September  2007. Ketika mempelawa beliau  ke majlis perkahwinan anak perempuanku  pada 24 November 2007, yang ku adakan di Bangunan Puspanita, Putrajaya, beliau tidak dapat hadir kerana beliau juga mengadakan majlis perkahwinan anak perempuan beliau di rumah  beliau di Kuantan. Baharulah di Holiday Villa ini kami berjumpa semula.  Katanya, selepas bersara lebih kurang 6 bulan, kini beliau dilantik  menjadi ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran  untuk tempoh  3 tahun, mungkin bermula pada Julai 2008. Tadi, pukul 5.30 petang kami berbual-bual  di tepi jalan Tunku Ibrahim sambil makan buah dokong yang baru ku beli di Pekan Rabu, selepas makan laksa di salah satu  gerai  di situ.  Beliau masih tinggal di Kuantan. Mesyuarat Suruhanjaya Pelajaran  adalah dua minggu sekali.
Wan bertanya   khabar  tentang kawan kami, merupakan kawan akrab ku, yang juga sedarjah  dengan kami di SAS , Mohd Yusuff Hj Muhammad. Aku memberitahu, semasa mengendalikan urusan temuduga Pegawai Latihan Vokasional  hujung bulan Julai baru lalu aku berjumpa beliau bersama seorang lagi kawan sekelas ku semasa  di Sekolah Nasiruddin Syah dahulu, pelajar terbaik Tingkatan  Lima,  Dr. Che Mohd Sefai, bekas Pensyarah   Maktab  Perguruan   Batu Rakit, Kuala Terengganu.  Kami bertiga adalah rakan sedarjah  dari tahun 1965 hingga 1968. Sefai, melanjutkan  pelajar ke Tingkatan  Enam dalam jurusan  sains di Kolej Islam, Petaling Jaya. Beliau melanjutkan pengajian di UKM dan memasuki perkhidmatan perguruan  sampai bersara pada tahun 2007. Mohd. Yusuf  adalah kawan yang bersama-sama dengan ku meninggalkan Besut ke Sekolah Alam Syah. Selepas bersara dia menyambung tugas sebagai pensyarah  di KUSZA (bertukar  nama Universiti Darul Iman) secara kontrak. 
Wan akan selesai  menemuduga bakal-bakal guru esok dan berlepas  ke Kuala Lumpur sebelah  malam. Aku pula akan bertolak pulang jam 3.20 petang esok selepas 3 hari menemuduga calon-calon untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir di sini.  Kami berpisah, apabila beliau menerima panggilan telefon dari kawannya, mungkin untuk makan malam. Aku menolak bila diajak pergi bersama."

Thursday, 27 December 2012

PuisiReaksi© - "gadis, angin dan pasir pantai- Siti Zaleha M. Hashim"

Saya melewati renung fikir teman FB Siti Zaleha M. Hashim, “sesetia malam pada siang”, Dewan Sastera, September 1982, muka surat 11, tertulis di Taiping, Jun ’82 dan menjamah, menghembus serta meramas “gadis, angin dan pasir pantai”, Dewan Sastera, Mac 1984, muka surat 36, tertulis KL/84. Maka saya memberitahuku, “Indah sungguh pantai dan lembut mesra angin meleka gadisku bertakhta ke ujung senja”. Tidak dapat ditahan lagi jadilah PuisiReaksi©ku terhadap puisi keduanya:

Begitulah hamba
kecil berlarian riang di pasiran
besar keringatan di lautan
mendakap gigih dunia nelayan
makan berpagi berpetang
pakai sehelai sepinggang
sedemikian
para isteri , adik, abang, jiran.

Siapa ‘kan menafikan –
pantai, angin, laut, bulan, bintang, pepohon nyiur (melambai) dan ru (yang berdesir), pepulau dan bebukit, sungai, alur, tanjung dan teluk –
lengkapi suasana
bukan igauan
ah! terlalu permai
dalam kekurangan.

Kini dalam bahagia
sesekali kembali
mencungkil remaja
di celah sisa-sisa rapuh
niat ubati luntur usia
dengan kenangan
biar merangkuli
lalu seperti dahulu
selamanya.

Tuesday, 25 December 2012

Deklamasi Sajak - Rentetan Pengalaman


           Teringat beberapa lagu jabatan-jabatan kerajaan menggunakan lirik yang ku susun.  Supaya tidak pupus diingatan ku nyatakan dengan jelas; lagu Pejabat Kemajuan Negeri Terengganu, “Nadi Pembangunan” (1991); Pejabat Kemajuan Negeri Pulau Pinang, “Jiwa Pembangunan” (1992); dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, “Wawasan UPP” (1996). Semoga lagu-lagu itu terus dilagukan, sungguhpun aku telah tiada lagi bersama mereka.

            Demikian pula, sajak-sajak yang pernah dideklamasikan, setakat yang dapat ku ingat ialah: “Mantera Menterap Mutu” (1991) dalam satu malam perpisahan tahun 2001; “Penghormatan” (1992) pada tahun 1993, sempena majlis perpisahan seorang ketua; “Pertukaran” (1998) ketika bertukar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; “Selamat Tinggal” (2004) semasa meninggalkan Bahagian Pembangunan Organisasi, JPA;  “ “PERDA Baru” (2005) dalam sesi Perancangan Strategik Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM; "Kepergian" (2005) ketika berpindah dari ‘ICU,JPM’ ke JPA; “Bahasa Meniti Abad” (2007) di Sarawak ketika menjadi  ALP (Ahli Lembaga Pengelola) DBP, waktu majlis Makan Malam; “Sebuih Perjuangan” (2007) pada sambutan BBSN di Terengganu anjuran DBP; “Tiga Dekad, Tiga Tahun, Tiga Bulan, Tiga Minggu, Tiga Hari: Selembar Memori” (2007) sempena persaraan wajib dari perkhidmatan awam; “Cekap, Saksama, Peka” (2003) menyerikan majlis keraian JPA; “Doa PKN” (1996) setiap minggu dibacakan di kalangan staf sebelum mulai bertugas; juga, dengan ubahsuaian, dibaca di Perhimpunan Bulanan JPA;  Teringat juga di INTAN, Bukit Kiara sajakku “INTAN” (2007) terpapar di dinding bangunan Blok Pentadbiran dan di kulit luar belakang Buletin INTAN. Sebagai makluman "Penghargaan" dan  “Memori Akhir Khidmat” (2000) telah di‘frame’kan dan menjadi cenderamata kepada dua orang ketua yang berkenaan sempena majlis meraikan persaraan masing-masing.
              Aku tidak lupa juga, pihak DBP meraikan beberapa orang kami yang tamat tempoh menjadi ALP, pada Malam Gemala Budi, di Hotel Istana pada 22 November 2008.  Aku gegarkan malam permai dan santai itu dengan “Mengenang Bahasaku”; pada Malam Palestine pada 5 Februari 2009 di Dewan  Budaya DBP, atas jemputan, dan dengan sebai bintik-bintik di leher, ku syahdukan khalayak dengan “Mentafakur Firman”; pada malam yang ramai dan ceria-ceriang “JPA 75 Tahun” ku deklamasikan “Nakhoda Bahtera Insani” (2009);  Sajak ini telah diabadikan dalam buku “Meniti Sejarah Merintis Kejayaan, Menyusuri Jejak 75 Tahun JPA” (2010, cetakan kedua); ketika berbengkel di Langkawi pada 2010 mengetuai SPA, ku tutup rasmi majlis dengan “Amanah Seri Paduka” dan satu sajak panjang ku deklamasikan sempena persaraan  selaku Timbalan Pengerusi SPA di Merriot Hotel, Putrajaya pada 15 Mei 2011 berjudul “Selamat Tinggal SPA – Selautan Budi Segunung Ingatan”.  Begitulah, sekadar catatan!     

Monday, 24 December 2012

PuisiReaksi© -"Aku di Sebuah Sungai"


PuisiReaksi©ku terhadap sajak teman FB, Zurinah Hassan, “Aku di Sebuah Sungai”, Dewan Sastera, Julai 1974, muka surat 11,

Kehidupan berupa
tatih dan terpa usia
mengisi kembara
menghirup gemala
menelan dedebu
saling berbaur
demi bernama
di ujungnya.

Pada kekunci mindamu
bukalah pintu-pintu cahaya
semoga hasil fikirmu
disanjung disebar
seharum mawar
mewangi hidup
pergimu diratapi
menugu kenangan     

Sunday, 23 December 2012

Sedutan Diari - 2 (Pencinta Bahasa (Goh Peng Joo)


"4 Ogos 2007, 11.03 malam
            Salah satu koleksi majalah yang hampir 100% lengkap dalam simpanan ku ialah majalah Dewan Bahasa. Selain daripada naskhah-naskhah yang ku beli sendiri, sebahagiannya adalah belian “buku lama” yang menjadi sebahagian kegiatan utama semasa ku bertugas di Pulau Pinang antara tahun 1992 hingga 1996. 
            Kebelakangan ini aku sedang membaca semula majalah Dewan Bahasa dan naskhah-naskhah awalnya adalah merupakan koleksi yang ku beli daripada kedai buku terpakai. Pemilik majalah Dewan Bahasa itu ialah Goh Peng Joo kerana setiap naskhah tertulis namanya dengan tulisan yang cantik. Naskhah terawal ialah untuk bulan Januari 1959, Jilid III, bil. 1. Goh nyatalah seorang  yang meminati bahasa Melayu kerana aku perhatikan helaian majalah itu tercatat tulisan tentang makna perkataan-perkataan yang sukar dalam bahasa Inggeris, garisan di bawah perkataan atau ayat-ayat. Aku sebenarnya tertanya-tanya juga kenapa majalah Dewan Bahasa itu tidak lagi disimpan beliau sebaliknya berada di kedai buku terpakai. Adakah beliau sudah tidak lagi mencintai bahasa Melayu atau sudah mulai tidak yakin dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di institusi pengajian tinggi?
            Aku rasa gembira apabila membaca majalah Dewan Bahasa bulan Februari 1960 iaitu keluaran khas sempena Minggu Bahasa  Kebangsaan. Dalam majalah itu  termuat satu karangan Goh Peng Joo bertajuk Pengalaman Saya Mengajar Bahasa  Kebangsaan . Ternyata beliau mahir berbahasa Melayu seperti tergambar melalui karangan tersebut. Beliau sendiri menyatakan beliau lahir pada 5 Julai 1940 di Pulau Pinang. Ayahnya mati pada tahun 1943 semasa pendudukan Jepun dan dan ibunya pulang ke China pada 19 Mac 1951. Goh dipelihara oleh Lan Geok Swee, seorang dermawan. Beliau bersekolah di St. Xavier dan lulus peperiksaan Cambridge School Certificate pada tahun 1956. Beliau belajar bahasa Melayu mulai awal 1957 dan lulus peperiksaan Bahasa Melayu dalam peperiksaan CSC dalam tahun 1958. Semasa karangan  itu ditulis beliau mengajar di Pykett Methodist School, Pulau Pinang. Kini [2007] Goh telah berumur  67 tahun 2 bulan. Aku tidak pasti sama ada beliau masih hidup atau telah meninggal dunia." [Jika masih hidup usianya sudah 72 tahun]

Sedutan Diari 1 - Bersajak


"Ahad 12 Ogos 2007, jam 11.48 pagi.
          Sejak  menjadi ahli Lembaga Pengelola DBP mulai hujung tahun 2005, hanya sekali  LP mengadakan mesyuaratnya di luar Kuala Lumpur. Kami bertolak ke Kucing, Sarawak pada 30 Julai. Penerbangan petang berlepas  dari Lapangan Terbang KLIA pukul . Semasa tiba di Kucing hari telah gelap. Kami disambut oleh petugas  dan dibawa ke ruang menunggu VIP sementara petugas  mengurus keperluan imigresen. Dalam penerbangan yang sama ialah ahli-ahli LP yang lain iaitu Dato’ Zaleha Yusof daripada Jabatan Peguan Negara dan Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain). Selepas selesai urusan pasport saya dan Dato’ Baha Zain menaiki Perdana Eksekutif milik Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak yang sama dan dibawa  menginap di Hotel Hilton. Aku diberi bilik 1018, yang bertentangan Sungai Sarawak. Di seberang sungai bangunan Dewan Undangan Negeri sedang dibina. Barangkali sudah mencapai 50% pelaksanaan.  
            Ruang Legar Hotel Hilton agak sibuk. Ada beberapa acara sedang atau akan berlangsung. Yang aku tahu jam 9 malam Dato’ Johan Jaaffar dan Dato’ Dr. Firdaus Abdullah akan  mengadakan perjumpaan dengan ahli persatuan penulis Sarawak (PERKASA). Kami ALP yang lain tidak terlibat.
            Hampir jam 10 malam aku turun ke CafĂ© untuk makan malam . Kebetulan ada di situ sedang berbincang  Prof. Dato’ Isahak Harun, ALP dan Kamarul, Timbalan Ketua Pengarah DBP. Mereka nampaknya sudah selesai makan kerana di hadapan mereka hanya cawan-cawan minum. Oleh kerana mereka sudah hampir selesai aku hanya mengambil makanan  ringan dan menyertai mereka di meja yang sama. Kamarul mohon berundur, Dato’ Isahak membangkitkan keberkesanan DBP dan aku memberi pandangan. Aku ingat menyatakan bahawa Dewan ketandusan tokoh untuk menjadi berkesan seperti dahulu. Petugas-petugas Dewan sekarang bukan tokoh dan kerananya tidak cukup berwibawa untuk memikul tanggungjawab yang lebih mencabar. 
            Mesyuarat LP bersidang  pada pukul 9 pagi di Bilik  dipengerusikan Dato’ Johan, selaku Pengerusi  ALP. Kecuali Tengku Tan Sri Pemegang Mohor Besar Raja-raja Melayu, Prof. Mahmud Zuhdi, Najib, Mimi Ismail (wakil KSU Pelajaran)  semua ALP yang lain hadir. Turut hadir ialah TKP, Pengarah  Sastera (Aizah), Pengarah  Bahasa (Noresah Baharom). Banyak perkara dibincangkan dan dalam banyak hal perbincangan adalah rancak serta kritikal. Mesyuarat berhenti untuk makan tengah hari dan disambung semula pukul 2. 30 petang dan ditangguhkan pukul 5 petang.
            Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sarawak  mengadakan Jamuan Makan Malam meraikan rombongan LP di Kelab Golf Kucing. Majlis diserikan dengan persembahan muzik gamelan yang memainkan berbagai lagu-lagu termasuk instrumental Sangam.  Ada juga bacaan puisi dideklamasikan selain nyanyian lagu-lagu puisi. Mereka yang dijemput membaca termasuklah Dato’ Baha Zain, Zaini Ojea, mantan Pengarah  Dewan Bahasa dan  Pustaka , Cawangan Sarawak, Dato’ Johan Jaaffar dan Kamarul. Aku sendiri naik ke pentas mendeklamasikan sebuah sajak panjang karya sendiri. Aku sememangnya bersedia dengan sajak berkenaan kerana sebelum datang ke Kucing telah diminta oleh pihak urus setia mencipta sebuah sajak. Barangkali deklamasiku jadi klimaks malam itu kerana pertama, aku tak pernah dikenali sebagai penyajak, kedua  sajak itu disampaikan dengan penuh semangat, berlainan daripada sajak-sajak atau penyair-penyair lain malam itu. Ia sesuatu yang mengejutkan malam itu. Aku sendiri terasa seronok mendapat tepukan gemuruh dan ucapan tahniah termasuk daripada Dato’ Baha Zain, Dato’ Johan Jaaffar, Dato’ Termuzi, YB Fadilah AP Petrajaya yang juga ALP, dan lain-lain.  
            Aku sebenarnya terangsang  oleh syor Dato’ Baha Zain supaya sajak tersebut dihantar untuk siaran Dewan Sastera. Aku memberitahu beliau sajak itu masih perlu diperbaiki. Majlis Makan Malam itu tidak dihadiri Prof. Dato’ Isahak.  Dia mendapat tahu peristiwa deklamasi ku dan memohon satu salinan sajak semasa rombongan ALP mengadakan lawatan  ke DBP, Cawangan Sarawak. Versi 1, sajak itu ku berikan kepada beliau. Semasa berada semula di bilik hotel aku perbaiki sajak itu hingga menjadi Versi 2.
Masa penerbangan pulang ke KLIA aku dan Dato’ Isahak Harun kebetulan sama. Kami berkongsi kereta yang sama dari Hotel Hilton ke Lapangan Terbang Kucing untuk berlepas pulang. Dalam perjalanan kami sempat berbincang tentang sajak tersebut, tentang Sejarah Melayu, tentang projek ku sendiri untuk menulis skim perkerajaan zaman kesultanan Melayu berdasarkan bahan yang ku peroleh daripada buku Sejarah Melayu itu. Beliau juga memaklumkan bahawa Prof. Muhammad Haji Salleh sedang menterjemahkan Sejarah Melayu ke bahasa Inggeris. Aku pun terangsang sekali lagi dengan pujiannya terhadap sajak versi 1 yang telah dibacanya.
Pemergian ke Lapangan Terbang jam pukul 2 petang diiringi sama oleh Hajijah seorang pegawai di DBP, Sarawak. Semasa di ruang menunggu VIP sajak Versi 2 ku serahkan kepada Hajijah kerana beliau bercadang  untuk menerbitkannya dalam Utusan Borneo hari Jumaat yang akan  datang. Sungguhpun aku berhasrat untuk mengemukakan kepada Dewan Sastera, kerana petugas Dewan Bahasa dan Pustaka, ibu pejabat  sendiri meminta sajak itu, terpaksa ku batalkan.
Sekembali ke Kuala Lumpur, Pembantu Khas ku memberi tahu, Faikha daripada urus setia LP DBP   meminta sajak di Sarawak itu untuk diterbitkan. Aku sebenarnya telah dihubungi  Hajijah bahawa sajak “Bahasa Meniti Abad” telah pun terbit pada Isnin, 6 Ogos dalam Utusan Borneo. Beliau menghantar satu salinan fotokopi akhbar itu untuk tatapanku. Beliau minta juga nomor MyKad dan memberi tahu akan menghantar honorarium, tak banyak katanya, RM50.00. Aku tidak berharap sama sekali honorarium itu. Namun sangat bermakna peristiwa ini kerana itulah sajak pertama ku yang diterbitkan untuk tatapan awam. Sebagai seorang pencipta sajak, peristiwa itu memberi kepuasan yang agak unik.
            Dalam beberapa hari aku usahakan sebuah sajak ganti untuk diterbitkan di Kuala Lumpur, khususnya penerbitan Dewan. Lalu pada Jumaat, 10 Ogos, sajak “Pusara Bahasa” selesai ku gubah dan seterusnya ku hantarkan kepada Faikha. Dalam emel kepada beliau, ku maklumkan bahawa sajak itu asalnya bertajuk  Bahasa Melayu Hilang di Dunia” (Selamat Tinggal Bahasa Ku). Beliau menjawab  pada hari yang sama, memberi rangsangan dan pujian di samping  berjanji mengemukakan sajak tersebut kepada bahagian majalah untuk tindakan mereka selanjutnya."