Wednesday, 16 August 2017

Ziarah (2)

Ziarah (2)
Hikmah di sebalik gunung
Aku tidak tahu di kawasan mana unta diternak. Di manakah pula tempat bebiri dipelihara? Kalau lebuhraya yang dilalui ini menjadi kayu pengukur, bilangan unta dan biri-biri yang hidup tidaklah seberapa. Hampir-hampir boleh dikira dengan jari sahaja. Tetapi aku tahu apabila tiba musim korban, berlori-lori haiwan itu dibawa ke Mina atau Muassim untuk memenuhi tuntutan agama. Aku sendiri melihat dengan mata kepalaku ketika mengerjakan haji pada tahun 2001. Barangkali unta-unta itu dipelihara di tempat lain. Ataukah, diimport dari luar negara?
Bas meluncur laju. Sekali-sekala nampak seorang dua pengembala unta atau biri-biri menemani ternakan mereka. Pokok-pokok yang menjadi tempat unta berteduh atau menikmati pucuk atau daun-daunnya tidak pula padat atau subur atau rimbun mana pun di pandangan mata. Pada pondok-pondok dan rumah-rumah yang daif yang sekali-sekala ternampak di kejauhan, ia tidak menandakan tempat kediaman yang merangsangkan. Terbukti benar terlampau jauh ketinggalan zaman. Semua yang dilewati tidaklah sangat bererti kecuali dari segi yang lain.
Segi lain ini ialah segi mengambil iktibar atau teladan daripada sekitaran yang sama sekali tidak mesra itu. Barangkali, pertama -tamanya, aspek kegigihan manusia atau dalam konteks perkembangan Islam, kegigihan Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a. dan pembantu-pembantu mereka dalam menjayakan penghijrahan itu. Pada zaman tanpa teknologi canggih, dengan segala-galanya bergantung kepada ehsan alam semula jadi, sedang ancaman terhadap nyawa sentiasa wujud di depan mata dan di setiap langkah, beberapa individu telah dapat mengatasinya. Dari kegigihan itu, ia menjadi asas meletakkan keagungan satu agama, agama Islam, yang menjadi anutan ribuan juta manusia sekarang ini.
Bahawa kalau sudah menjadi kehendak Allah, betapa besar sekalipun penentangan manusia, tetap pengakhirannya ialah kejayaan gemilang bagi pihak yang mendukung dan kehancuran bagi pihak yang ingkar. Pun, harus pula disedari, manusia yang mendukung itu tidak boleh berpeluk tubuh. Ia atau mereka seharusnya merpersiapkan diri dengan segala kemampuan yang dimiliki atau kesepaduan yang boleh digemblengkan agar matlamat tercapai. Bahawa sesuatu perjuangan perlu ada prinsip, strategi, pelan tindakan dan bukan tanpa pengorbanan.
Terfikir pula di mindaku, kalaulah suasana berkegersangan ini, dengan kesamaan dalam semua aspek yang lain itu terpindah ke Malaysia, bagaimana kita yang mewargai negara ini boleh menyesuaikan diri? Adakah perwatakan bangsa Melayu dan pencapaiannya akan seperti yang ada sekarang atau serupa pula dengan perwatakan bangsa Arab itu?
Saya mencari-cari imej yang mewakili zaman dahulu di kawasan berkenaan. Yang terdekat dapat saya kesani, berdasarkan buku-buku koleksi peribadi, ialah lukisan atau ilustrasi yang terkandung dalam buku “Ringkasan Tarikh Junjungan Sallallahialaihiwasallam” (bertulisan Jawi), keluaran Pejabat Agama Kerajaan Terengganu, cetakan ketiga, 1968 = 1387, (cetakan pertama ialah pada tahun 1955) seperti yang dipaparkan ini.

Ziarah (1)

Ziarah (1)
Lebuhraya Mekah - Madinah
Banyak kenderaan menuju ke Madinah. Begitu juga yang datang dari Madinah menghala Mekah. Berselisih tidak putus-putus. Pun semuanya meluncur selesa. Kedua-dua hala. Tidak tersekat oleh kesesakan. Tentulah lebuhraya tiga lorong sebelah yang dilalui telah menjadikan perjalanan kami lancar.
Aku dan isteri tidak melelapkan mata. Cuaca panas di luar boleh mengantukkan seseorang dengan mudah, apalagi yang bersifat penidur. R, isteriku, duduk di kerusi tepi kiri menghala tujuan. Di sini lebih mudah untuk memandang ke luar tingkap di sisi bahagian kiri. Aku yang duduk di sebelahnya boleh memandang ke sebelah kanan dan kadang-kadang ke depan melalui lorong berjalan di tengah-tengah bas itu. Pun wuduk kami jaga kerana ada fardu solat bakal ditunaikan ketika singgah nanti di pertengahan laluan.
Tetapi apakah yang boleh kita lihat selama tempoh 5 jam meliputi perjalanan 460 kilometer jaraknya ini? Gunung-ganang, bukit gondol, batu-batan, padang luas bertompok kecil pohonan. Tidak kelihatan sungai, kehijauan, perumahan, dan ladang-ladang seperti yang mudah dilihat di serata negara kita. Kawanan unta dan biri-biri pun tidaklah kerap terserempak. Jadi, adakah ia perjalanan tidak lebih daripada peralihan tempat dari berumrah kepada ziarah?
Tetapi di atas lebuhraya, kenderaan bertali arus; bas-bas, kenderaan berat, motokar dan lain-lain. Ia menunjukkan ada aktiviti yang tidak berkesudahan. Bas-bas membawa para jemaah umrah yang ribuan ramainya. Lori-lori atau trak-trak membawa pelbagai barangan dagangan, dari destinasi ke destinasi yang lain. Begitulah yang lain-lain. Masing-masing ada urusan sendiri-sendiri. Hilir mudik dengan tertib. Aku tidak terfikir sebab lain yang mencetuskan fenomena ini. Tidak lain tidak bukan urusan umrah (dan haji pada musim yang terkhas baginya).
Tentulah ini satu fenomena. Apatah tidak. Yang boleh dilihat di kiri kanan hanyalah bumi gersang, batu-batan, padang pasir kontang, kepanasan membahang dan lebih banyak yang berasosiasi kenegatifan. Cabarannya yang nyata ialah menyesuaikan dengan alam semula jadi yang terpampang di mata. Kegersangan yang melemahkan semangat itu tentu telah bertahan dan mencengkam sekitaran ribuan tahun lamanya.
Lalu aku dan isteri mengimbas perjalanan waktu. 1438 tahun lebih dahulu. Masa Rasulullah Muhammad berhijrah dari Mekah ke Madinah. Berjalan kaki atau mengenderai unta mengharungi ketandusan dihimpit batu-batan sepanjang perjalanan. Jauh di mata gunung-ganang gondol menjadi latar belakang. Di manakah air minuman? Tentu apabila penat perlu singgah dan bermalam dalam kegelapan. Bulan dan bintang tidak sentiasa menerangkan pengembaraan. Aku difahamkan perjalanan atau hijrah itu mengambil masa lebih kurang berminggu-minggu, bukan melalui lebuhraya tetapi laluan unta 14 abad silam.
Sekarang rombongan kami akan sampai ke destinasi dalam beberapa jam sahaja. Tidak akan kami mengalami kesukaran yang tidak terceritakan ribuan tahun dahulu hatta beberapa puluhan tahun dahulu. “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?”
Hijrah yang penuh cabaran itulah yang mewujudkan suasana masa kini. Orang Islam datang berbondong-bondong ke Tanah Suci Makkatul Mukarramah dan Madinatul Munawarrah. Sedang di sini tiada Piramid, Taj Mahal, Air Terjun Niagara, Tembok Besar China, dan lain-lain seumpamanya. Ajaibnya, manusia malah lebih ramai bertumpu ke dua-dua bandar suci ini. Setiap musim haji, lebih ramai mereka yang tidak mendapat izin berbanding yang bertuah menerima seruan Ilahi untuk datang berkunjung. Demikian itu bakal berterusan ke akhir zaman.
Tanpa perlu merasionalkannya, kami suami isteri akur sendiri. Rupa bumi yang berbeza ini mempunyai sakti sendiri. Perjuangan Pesuruh Allah sebenar-benar telah diberkati kerana kehadiran manusia ke sini tiada lain kecuali untuk menyahut seruan Nabi suci agar mematuhi perintah Ilahi.

Umrah (29)

Umrah 29
Hujan di Masjidul Haram
Hari penuh terakhir di Mekah jatuh pada hari Jumaat, 28 April 2017= 1 Syaaban 1438. Seperti biasa, sebaik selesai solat Asar, aku balik ke bilik. Dari tingkat 4 hotel itu aku dapat lihat hujan turun dengan lebat. Serentak itu, angin bertiup kencang. Jubah-jubah yang dipakai sama ada oleh lelaki atau perempuan berkibar-kibar bak bendera. Di dataran masjid kelihatan kun-kun atau segi-segi tiga plastik penghadang yang banyak diletakkan di situ secara teraturnya sebahagiannya ditolak angin jauh dari tempat asalnya. Salah satu dua nyaris-nyaris merempuh beberapa jemaah. Hadangan-hadangan itu jadi berselerak.
Mereka yang terperangkap di dataran yang luas ketika itu tidak terlalu ramai. Orang-orang perempuan begitu berhati-hati berjalan dalam tiupan angin yang kencang itu. Mereka harus memegang jubah atau pakaian masing-masing kuat-kuat bagi mengelakkan terselak. Dan memang pun ada yang terselak pakaian mereka. Ada juga kulihat pejalan kaki yang tergelincir dan terjatuh. Kelihatan juga mereka berjalan berpegangan antara satu sama lain, saling topang-menopang, untuk mempastikan tidak terjatuh. Aku berasa bersyukur dalam hati kerana terlepas daripada mengalami secara langsung peristiwa itu. Kalau aku lewat keluar dari masjid tadi, paling kurang pakaian akan menjadi basah kuyup.
Aku tidak dapat mengingati secara tepat lamanya hujan dan angin itu. Yang pasti ketika aku dan isteri turun semula untuk ke masjid bagi solat Maghrib, suasananya telah hampir kembali seperti biasa. Hujan tiada lagi tetapi angin masih ada walaupun telah sangat reda. Kami masih tetap berjalan berhati-hati kerana dataran masih lembab dan sedikit licin. Baiknya, hawa di situ lebih sejuk dan nyaman.
Aku tidak ingat sangat keadaan jemaah yang bertawaf dalam Masjidul Haram ketika angin dan hujan itu. Sungguhpun status semasa tawaf sentiasa disiarkan secara langsung dan boleh ditonton melalui TV dalam bilik, malangnya aku tidak dapat mengingatinya semula untuk diperikan.

Sotong

Sotong
Acap kali juga saya mengalami, orang-orang kecil terutama yang berniaga bermurah hati. Tidak sangat berkira. Ada keikhlasan mereka yang menyedarkan sikap sendiri yang tidak setanding. Terakhir, saya dan isteri singgah makan tengah hari di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dalam perjalanan balik ke Petaling Jaya Hari Raya keempat yang lalu. Dua pinggan nasi campur berlauk masing-masing, ikan singgang dan seekor sotong sederhana besar tumis dan satu lauk lain oleh isteri dengan tiap-tiap seorang mengambil sayur dan sambal belacan serta dua gelas air minuman kegemaran dihargakan RM26.00 semuanya. Saya memberikan wang sekeping RM20 dan dua keping RM 5 (yang bermakna semuanya RM30) sambil berseloroh komplen, sedikit mahal. Wanita penjual gerai itu memulangkan kembali sehelai RM5. Ini bermakna harga baru ialah RM25 dengan diskaun RM1!
Ketika meletakkan nota harga awal-awal di meja tadi, peniaga itu mengeluh sendiri, memberitahu kami mahalnya sotong yang dijual itu. Pernah pelanggan-pelanggannya memarahi kerana mahalnya harga seekor sotong sehingga menimbulkan imej negatif tentang harga keseluruhan hidangan. Beliau cuba meredakan reaksi ‘membara’ (?) itu dengan menyatakan harga sotong yang dibeli di pasar pun mahal. Saya pun sedar juga di Kuala Terengganu, lauk khusus itu mahal. (Sudah ada pengalaman awal di Kemaman). Hanya selera sengaja dilayan untuk merasa lauk yang jarang-jarang berkesempatan menikmatinya apabila singgah menjamu selera di gerai apalagi restoran.

Terkenang Ibuku



Terkenang Ibuku
17 tahun berlalu.
Arwah ibuku (No. KP: 310804-11-5000) berpulang ke rahmatullah pada 13 Jun 2000, jam 12.30 tengah hari, Selasa. Ketika itu beliau berusia 69 tahun. Tercatat sebab kematian sebagai “SAKIT TUA”. Sijil Kematian beliau (No. Daftar : C 412321) dikeluarkan oleh Balai Polis Kampung Raja, Besut, Terengganu pada pukul 1520. Pemaklum kematian bernama Abu Abaidataamil bin Zakaria (No. KP 660102-11-5073).
Aku yang sedang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Putrajaya bercuti tiga hari ( 13 – 16 Jun) dan sempat melibatkan diri dalam majlis perkebumian dan tahlil beliau. Hari Khamis, 15 Jun 2000 = 12 Rabiulawwal 1421 ialah cuti Maulidur Rasul.
Pada Hari Raya Aidil Fitri Kedua bertarikh 26 Jun 2017 = 2 Syawal 1438, aku menziarahi pusara beliau yang bersebelahan pusara ayahku di Tanah Perkuburan Kampung Air Tawar, Besut, Terengganu.
Al Fatihah.
Banyak kenangan aku bersama-sama Mak. Salah satu yang mengharukan ialah ‘paksaanku’ supaya Mak menjahit baju sekolah apabila aku berjaya memasuki Tingkatan 4. Stail baju ini, barangkali satu-satunya yang dipakai oleh pelajar-pelajar ketika itu. Aku ingat benar, ‘memantau’ Mak menyudahi baju itu dengan susah payahnya menggunakan mesin jahit Singer yang sedikit uzur. Ia telah lama dibelikan Ayah. Peristiwa tempahanku itu, bahkan sampai sekarang, tertanam dalam jiwaku. Perasaannya bercampuk aduk; bersalah dan kagum dengan kegigihan beliau memenuhi ego remajaku. 
Gambar yang kupamerkan malangnya tidak dapat menunjukkan kelainan atau keunikan baju ini. Barangkali mencukupi kalau kukatakan, bahawa baju itu berleherkan baju Melayu tetapi kolarnya seperti baju kemeja yang biasa. Mutu kain tidaklah baik sangat. Ia perlu digosok dengan seterika arang untuk menonjolkan kehebatannya. Aku sangat berpuas hati dengan hasil tangan Mak dan dengan diam=diam bangga memakainya ke sekolah.

Baju kemeja yang dikatakan itu menghasilkan versi lain. Aku telah mengubah suai fesyen baju asal itu menjadi lebih menarik dengan menempah di kedai jahit profesional di Jerteh, mungkin ketika umur meningkat 17 tahun. Wang tempahan dan upahan diperolehi hasil menjadi awak pukat tangkul semasa cuti sekolah. Baju itu masih berkolar biasa, dengan leher masih berasaskan baju Melayu tetapi butangnya ditambah menjadi empat biji, tetulangnya tertutup sampai hampir pada aras pusat. Baju ini berwarna kekuningan dan menjadi baju raya atau baju yang dipakai pada waktu-waktu teristimewa.
Mak tidak jauh berjalan ketika hayat beliau. Kampung sendiri dan daerah Besut dan sekitaranlah tempat yang Mak agak biasa. Banyak sebabnya jadi begitu. Pemerian lain diperlukan untuknya. Hanya untuk saat ini, kuceritakan Mak dan serupa juga dengan Ayah, benar-benar berjalan jauh pada tahun 1974. Ketika itu aku menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Ayah, Mak dan Abang Cik turut hadir sama pada Majlis Konvokesyen di DTC. Tentulah mereka semua gembira kerana akulah orang yang pertama lulus universiti bagi kampung itu. Dan, kalau diambil sekolah pula, akulah juga bekas murid pertama yang mencapai kejayaan itu. Kerana aku Mak dan Ayah dapat mengenali ibu kota Malaysia.
Mak dan dua orang saudara rapat juga hadir majlis pernikahanku pada 7 Julai 1979 = 12 Syaaban 1399. Dalam gambar mereka sedang berada di rumah ibu bapa isteriku, di Kota Bharu.
Kami, aku dan isteriku menjejaki pelamin pada tahun 1979. Mak menjadi salah seorang perenjis air mawar dan penepung tawar.
Mak pernah sekali-sekala datang ke Kuala Lumpur dan salah satu rakaman kehadiran Mak ialah gambar beliau memangku anak sulung kami ketika kami tinggal menyewa rumah di AV 60, Jalan Langkawi, Taman Setapak, Kuala Lumpur, pada awal 1980-an.
Al Fatihah.

Umrah (28) (Addendum 4)

Umrah 28 (Addendum 4 – umrah mukminah)
Berinteraksi (sambungan )
Pada ketika yang lain, saya ingat pada hari Khamis, pintu masjid telah ditutup oleh pengawal keselamatan lantaran limpahan jemaah. Ramai orang tempatan yang datang bersolat Maghrib. Orang-orang perempuan menghadapi masalah mendapatkan ruang solat. Saya sendiri telah enam kali berpindah-randah kerana berada di tempat-tempat yang tidak khusus untuk muslimah. Mujurlah satu ruang solat baru telah disediakan di tingkat bawah oleh pengawal keselamatan masjid. Kami yang berkeluh-kesah mencari-cari ruang solat lega ditampunginya. Di sini saya duduk di sebelah seorang ibu muda berbadan kurus berbangsa Arab yang membawa bersamanya seorang anak yang masih kecil, berusia sekitar sembilan bulan. Anak itu pernah berguling-guling di atas sejadah saya ketika kami menunggu waktu solat fardu masuk. Ketika solat sedang berlangsung anak ini menangis. Ibu itu mendukung anak itu sambil meneruskan solat Maghrib berjemaah.
Kemudian, pada ruang yang sama, tiga orang perempuan datang mendekati saya. Dari beg sandang yang dibawa saya ketahui mereka berasal dari Thailand. Mereka berusia 50-an. Kami bersalaman. Kelihatan mereka gembira berkenalan dengan orang Malaysia. Mereka pernah mengerjakan ibadat haji. Mereka adalah peniaga-peniaga dari Narathiwat, selatan Thailand. Mereka datang melalui pakej umrah wilayah itu. Melalui perbualan, saya mendapat tahu, tidaklah sukar untuk mendapatkan pekerja-pekerja restoran masakan panas. Pun, pekerja-pekerja tidak semestinya bekerja di restoran apabila kembali ke negara itu. Untuk membuka restoran perlukan modal; membeli periuk belanga dan sebagainya, kata mereka.
Pada ketika yang lain pula saya ke dataran Kaabah. Ketika mencari-cari ruang solat di situ seorang perempuan Arab yang agak berusia dengan sopan memberikan ruang yang memadai untuk saya mendirikan solat hajat. Beliau pun tahu saya datang dari Malaysia, melihat beg sandang yang saya bawa. Pada ketika lain, ketika saya sedang duduk di dataran Kaabah, seorang Arab lelaki yang masih muda meminta diberi ruang kerana ia hendak bersolat. Saya membenarkan . Saya dapati beliau tidak putus-putus bersolat sunat dan membacakan Al Quran dari naskhah kecil yang dibawanya.
Pada ketika yang lain pula, sedang ruang tempat saya bersolat semakin lengang selepas solat fardu selesai, saya ditegur oleh seorang pekerja masjid berasal dari Indonesia. Wanita berusia 30-an itu berpakaian purdah hitam. Dia memegang penyapu dan kain-kain pengelap. Tentulah dia mengagak saya dari Malaysia. Hasil perbualan ringkas kami, saya mengetahui dia dibawa datang bekerja di situ melalui agen. Dia bekerja menyapu sampah, memvakum permaidani masjid, dan melap dan menyusun naskhah-naskhah Al Quran di rak-rak yang tersedia. Dia seronok dengan pekerjaan itu. Mengikutnya, gaji yang dibayar memuaskan dan dia juga gembira tinggal di Mekah. Kami tidak boleh berbual panjang kerana katanya penyelia akan meronda memantau prestasi kerja para petugas masjid, dari semasa ke semasa.
Semasa selesai salah satu Saie-saie umrah yang dilakukan, saya meminta bantuan seorang wanita muda untuk menggunting rambut sebagai memenuhi syarat bertahlul. Beliau kemudian saya ketahui datang dari Bangkok, Thailand. Dia ialah seorang guru siswazah. Dia boleh berbahasa Melayu, walaupun kurang faseh. Kulitnya putih. Beliau memberitahu telah bercerai dan mempunyai seorang anak kecil. Pada wajahnya terbayang kesedihan. Sempena berada di Masjidil Haram itu, saya menasihatinya supaya banyak berdoa agar tabah menghadapi cabaran hidup disamping diberkati Allah SWT. Disamping wanita ini hadir ibunya.
(Nota: Seperti yang diceritakan oleh isteriku).

Umrah 27 (Addendum 3)

Umrah 27 (Addendum 3 – umrah mukminah)
Berinteraksi
Ada masa-masanya, saya sempat berbual-bual ringan dengan para jemaah lain yang duduk bersebelahan di ruang-ruang solat berkenaan. Dengan berbuat begini dapatlah saya sedikit sebanyak maklumat tentang dunia lain. Tentulah ini satu daripada hikmah umrah yang jarang kita sedari sepenuhnya.
Pada suatu ketika, saya duduk di sebelah seorang perempuan India. Umurnya sekitar 60-an. Dia duduk di atas kerusi. Badannya sedikit gempal dan warna kulitnya putih. Pakaian cara wanita India yang dipakainya kelihatan mahal, menunjukkan dia dalam kelas berada. Dia menegur saya bertanyakan negara asal. Apabila dijawab, beliau lantas memberitahu pernah berkunjung ke Malaysia dan menyukainya. Dia seorang doktor gigi. Bersama-sama beliau ada adiknya yang duduk di sebelah beliau. Di sebelah kanan saya duduk seorang wanita India juga. Warna kulitnya seakan kebanyakan kulit Melayu. Ia mempunyai seorang anak kecil yang kerap menangis. Saya menyentuh anak itu, merasai suhu badannya. Ternyata dia sedang demam. Saya nasihatkan ibunya supaya membeli ubat di kedai farmasi yang ada berdekatan. Doktor gigi itu pun datang memeriksa anak tadi dan mereka bercakap dalam bahasa Hindi sesama mereka. Saya dapat mengagak buah butir percakapan mereka. Demam anak itu harus dirawat segera. Doktor itu mencadangkan supaya dibeli ubat di kedai farmasi seperti yang saya nasihatkan tadi. Wanita beranak kecil itu ada membawa bersama-sama beg pakaian yang diletakkan di tempat solat itu. Dia memberitahu hari itu adalah hari terakhir dia di Mekah kerana akan bertolak pulang setelah selesai tempoh umrahnya.
Pada ketika lain, saya bersolat di ruang masjid berdekatan laluan ke Kaabah. Saya duduk bersebelahan seorang wanita India berkulit gelap, berumur lebih kurang 30-an. Kami bercakap dalam bahasa Inggeris. Wanita itu seorang guru. Beliau pernah sekali berkunjung ke Malaysia bersama-sama suami. Dia memberitahu suaminya biasa berkunjung ke Malaysia kerana urusan perniagaan. Guru ini masih menyimpan hasrat mengunjungi Malaysia lagi. Kunjungan pertama dahulu penuh dengan kenangan manis. Guru itu bertanyakan apa yang saya baca, melihat di tangan saya ada ‘kitab’ kompilasi doa-doa yang disediakan sendiri. Dia tersenyum mendengar jawapan bahawa buku itu sebenarnya hasil usaha persediaan saya khusus datang mengerjakan umrah ini. Bersama-sama guru ini ada dua orang anaknya yang masih kecil, ibu, dan seorang ibu saudaranya. Keluarga ini sangat bersopan. Saya bersalaman dengan anggota keluarga itu.
Suatu waktu, di ruang solat tingkat bawah berhampiran dengan eskalator saya duduk di sebelah seorang perempuan Melayu dari selatan Thailand. Dia rupa-rupanya seorang pengusaha dan pembekal ikan bilis yang tinggal di Songkhla. Beliau saya agak berusia 40-an. Lengannya dihiasi rantai emas yang begitu tebal. Dia banyak menghantar ikan bilis ke Malaysia khususnya ke Kelantan. Malah beliau menawarkan, kalau saya berhajat, untuk membekalkannya dengan syarat tempahan itu sekurang-kurangnya lima kilogram. Hanya, dagangan itu dihantar setakat Pekan Tatbai, jika berbetulan, bersama-sama dengan hantaran bagi tempahan para pembeli yang lain. Kata beliau, para pembeli dari Kelantan akan datang berjumpanya di tebing sungai untuk mendapatkan ikan-ikan bilis itu. Setiap kilogram berharga RM15. Beliau memberitahu di Kelantan ikan bilis itu dijual dengan harga RM40 sekilogram. Beliau juga memberitahu bahawa bilis-bilis tidak mendapat pasaran baik di Thailand sendiri. Pendapatan penduduk yang rata-rata rendah menyebabkan harga yang dijual pun turut rendah. Pada pendapat beliau pasaran di Malaysia lebih merangsangkan.
Peniaga itu bertanyakan tentang saya. Apabila diberitahu saya tinggal di Kuala Lumpur, beliau hairan dengan kebolehan saya bercakap loghat Kelantan dengan faseh. Saya katakan, walaupun tinggal di Kuala Lumpur, loghat Kelantan tetap digunakan kerana memang saya berasal dari negeri itu. Beliau mempelawa saya menghubunginya kemudian. Saya mencatat nama dan telefon yang diberikan. Langkah-langkah susulan mungkin saya lakukan apabila kembali ke Malaysia nanti.
(Nota: Seperti yang diceritakan oleh isteriku).