Wednesday, 22 May 2019

Umrah 2019 (14): Salawat dan Salam

Umrah 2019 (14): Salawat dan Salam
Setelah selesai bersolat sunat, aku menumpu kepada pembacaan salawat. Amalan ini kerap memberi kurniaan aliran air mata kepadaku hasil sebakan yang dialami – jikalau dua pengalaman berhaji dan berumrah terdahulu menjadi pengukurnya. Aku pun hairan juga, bagaimana pembacaan ini begitu berkesan sampai menghasilkan sebakan yang begitu nikmat. Dalam umrah kali ini, bacaan salawat itu menyentuh lagi perasaanku, sehingga berlinanganlah air mata. Teresak-esak dan berubah bibir dan seakan terherot mulut mengawal emosi yang tersentuh. Namun, kusedari linangan atau sebakan itu tidaklah sehebat seperti yang kualami ketika berhaji pada 2002 dan berumrah sebelum ini, pada tahun 2017.
Dalam risalah yang kugunakan, terdapat 25 versi salawat dan 15 salam, menjadikan semuanya 40 versi yang berlainan. Risalah ini diperolehi dalam tahun 2002 daripada seorang penceramah yang mengajar kelas haji dianjurkan khas oleh salah seorang kenalan yang rapat dengan penceramah berkenaan. Ketika itu aku, isteri dan beberapa kenalan pasangan yang lain dijemput menghadiri sama sesi itu. Matlamat khusus sesi kursus ialah agar kami lebih bersedia mengerjakan haji pada tahun berkenaan.
Yang menjadi tanda tanyaku sehingga sekarang; kenapa sebakan dan aliran air mata itu tidak berlaku jika kubaca salawat itu di rumah, di masjid kariahku, bahkan di Masjid Nabawi pun. Ia hanya terjadi di Masjidul Haram, pada kali pertama (hari pertama ), kedua (hari kedua), dan ketiga (hari ketiga) pembacaan. Selepas itu ia tidak akan berlaku lagi (hari keempat dan seterusnya), walaupun dicuba bersungguh-sungguh. Hanya sedikit perbezaan, pada umrah kali ini, di Dataran Kaabah inilah ia lebih kunikmati semula, selepas sedikit merasainya pada kali pertama membacanya dua hari sebelum itu – ketika bersendirian menjelang solat Subuh di ruang solat yang lain Masjidul Haram.
Risalah ini dan kesan pembacaannya ke atasku pernah kucerita apabila menerangkan pengalaman berhaji kepada saudara mara atau sahabat taulan yang rapat. Kepada seorang adikku, pernah kuberikan risalah itu dan diamalkannya ketika beribadah di Masjidul Haram. Dia tidak merasai kesan seperti kunyatakan. Sebaliknya, sebakan dan tangisan dialaminya hasil berdoa, melalui pembacaan surah-surah tertentu Al-Quran. Abang Mie ada membawa risalah salawat ini. Dia membacanya di ruang asal Masjid Nabawi di Madinah. Aku rapat duduk di sisinya. Dia pun tidak memperlihatkan kesan yang kuceritakan.
Setelah 17 tahun risalah ini dalam simpananku, aku melayari internet untuk mengetahui lebih lanjut tentang risalah ini. Aku menjumpai risalah yang sama tetapi dengan tambahan “English Translation and Transliteration” berjudul “40 Salat & Salam”. Risalah ini disusun oleh Moulana Zakaria Khadalwi. Judul versi dalam simpananku ialah, kusalin judul Inggerisnya, “Forty ahaadith on Salat alan Nabi Sallallahi alaihi wasallam”.

Umrah 2019 (13): Pasrah di Dataran Kaabah

Umrah 2019 (13): Pasrah di Dataran Kaabah
Lebih kurang pukul 3.15 pagi aku dan Abang Mie menuju Masjidul Haram. Hari ini program pakej menyatakan “bebas” – maknanya tiada ziarah dan berniat di miqat. Aku merancangkan sesuatu yang lebih ‘mencabar’ untuk Abang Mie.
Kami memilih pintu 92 memasuki masjid pada aras bawah. Dari sini kami mengambil laluan pejalan kaki dan selepas 25 meter di dalam, menggunakan eskalator turun ke arah lebih bawah, separas Dataran Kaabah. Jemaah di ruangan yang berbumbung telah ramai walaupun seawal itu. Terlintas di fikiran, bahawa setiap jemaah ada niat jitu masing-masing. Pukul 3.15 pagi bukanlah awal mana pun untuk beribadah di depan Kaabah. Tentulah mereka mengunjungi Mekah mengharapkan barakah, sanggup bersusah payah.
Begitu juga kehadiran jemaah di Dataran Kaabah yang terbuka. Ia dikira ramai. Aku meninjau-ninjau ruang-ruang yang masih terluang, untuk dua orang duduk berhampiran. Tidak mudah kelihatan reruangnya. Ia menyebabkan kami perlu beralih ke ruangan yang lain pada penjuru Kaabah yang berbeza. Di sudut ini, aku ternampak kemungkinan mendapatkan tempat di kalangan jemaah yang sedia ada. Ketika melangkah mara ke saf-saf lebih ke hadapan aku minta Abang Mie mengisi satu tempat yang terbuka, lapang untuk seorang. Dalam keadaan semua jemaah berdiri, ruang itu sebenarnya boleh menampung dua jemaah.
Untuk mendapatkan tempatku sendiri, serentak beribadat selesa seawal itu, aku bergerak ke empat saf lebih ke depan. Cacatnya, ruang yang kucamkan itu dihimpit oleh bungkah-bungkah plastik berangkai hadangan yang sengaja diletakkan oleh pengawal keselamatan. Ruang pilihanku itu berlantai kosong, di sisi lantai yang berpermaidani. Sebenarnya, ruang itu kuperluaskan sendiri dengan menolak sedikit bungkah plastik penghadang sekadar sekaki. Lalu, aku jadikannya ruang solat yang ‘sah’ dengan menghamparkan sejadah nipis yang memang kubawa dalam beg sandang. Demikian telah biasa kulakukan semasa ‘kecemasan’ dalam pengalaman berhaji dan berumrah yang terdahulu. Ia bukanlah tektik yang seratus peratus selamat atau terjamin. Silap-silap haribulan, aku mungkin terusir dari situ!
Berpada dengannya, aku terus bersolat sunat. Di depan tersergam Kaabah. Di sekelilingku jemaah kian bertambah. Mereka yang bertawaf pun tidak dikira kecil bilangannya. Aku menoleh juga ke arah Abang Mie. Nampaknya dia sudah mantap bertapak di situ. Harap-harapnya dia boleh kekal bertahan terpisah sedikit jauh dariku. Waktu Subuh akan masuk pada pukul 5 pagi, bermakna satu setengah jam terluang untuk kami beribadat. Kukira ia masa yang panjang bagi Abang Mie, barangkali, tetapi tidak bagiku. Aku mengharapkan yang terbaik.
Pelbagai solat sunat didirikan - tahyatul masjid, tahajjud, hajat dan witir. Aku berzikir dan berdoa pada intervalnya. Di sebelah kiriku seorang jemaah dari India atau Pakistan. Dia berkerusi khusyuk beramal. Dari semasa ke semasa jemaah-jemaah lain datang ‘mengongsi’ ruangan berhampiran tempat dudukku, di sebelah kanan, tetapi di luar bungkah-bungkah hadangan yang di pasang. Ia sebenarnya laluan besar yang seharusnya dibiarkan kosong untuk kemudahan jemaah pergi bertawaf.
Memang pun jemaah-jemaah pengongsi itu tidak akan tenang duduk di situ. Bila-bila masa mereka mungkin teralih. Sebenarnya, kekerapan pengawal atau petugas datang menghalau para jemaah, terutama yang melibatkan wanita menjadikan suasana di situ tidak sangat ideal mengkhusyukkan ibadat. Hingar-bingar laungan atau teriakan, serta lalu-lalang yang terbabit daripada peristiwa-peristiwa itu menyumbang kepada gangguan tahap keheningan dan kebeningannya. Namun, suasana itu harus dihadapi. Dengan konsentrasi, tidak mustahil untuk seseorang meraih kepuasan atau ganjarannya.
Ada dua peristiwa yang menarik berlaku. Sebaik aku mendapat tempat bersolat, seorang petugas berbangsa Arab, berkulit putih, berjubah putih bersalut lapisan luar yang nipis, berbadan besar dan tinggi, kelihatan jelas ‘berpangkat’ datang sendiri menghalau jemaah wanita yang telah bersaf-saf duduk bertapak di pinggir yang selari dengan hujung bumbung. Mereka sebenarnya mengambil ruang di antara jemaah lelaki di bawah bumbung dengan ruang solat lelaki di Dataran Kaabah tempat aku berada. Ketika itu waktu Subuh bakal menjelang setengah jam lagi. Usiran yang agresif itu akhirnya memusnahkan saf-saf wanita tersebut. Mereka bercelaruan terusir ke belakang, entah di mana.
Satu lagi, kuperhatikan apabila Imam diiringi masuk untuk mengambil tempatnya, jemaah-jemaah yang bertawaf semakin reda, sebaliknya saf-saf solat Subuh mulai terbentuk dan berkembang mengelilingi Kaabah. Selain daripada menampung kalangan pentawaf, saf-saf ini mulai disertai oleh kumpulan jemaah yang terhalau tadi, atau mereka yang sedang berdiri-diri mencari ruang solat masing-masing. Pengawal keselamatan sudah melonggarkan kawalan bahkan membiarkan saf-saf itu terbentuk. Malah aku perhatikan mereka yang sudah sedia berada di tempat solat berpermaidani di Dataran Kaabah itu pun meluru ke saf-saf di depan mereka yang mengelilingi Kaabah itu.
Aku dapat merumuskan, bahawa untuk bersolat berdekatan Imam, atau sekurang-kurangnya pada ruangan laluan tawaf atau di Dataran Kaabah, fenomena ini haruslah diketahui. Masalahnya, sebelum bersolat fardhu kita biasanya datang lebih awal untuk melakukan pelbagai bentuk amalan sunat. Dua jam mungkin wajar. Tanpa merancang begitu amalan terjejas. Yang pasti, tanpa ruang duduk yang selesa, kekhusyukan beramal panjang mendepani resiko tercalar. Aspek ini tidak bijaksana dikesampingkan.

Umrah 2019 (12): Majlis Halaqah

Umrah 2019 (12): Majlis Halaqah
Selepas solat Maghrib (masuk pukul 6.38 malam), aku dan Abang Mie balik ke hotel kerana makan malam di restoran. Mulanya aku kurang pasti masa makan malam yang ditentukan. Maklumat WhatsApp mutawif gagal dicapai melalui telefon sedangkan aku tahu beliau ada memaklumkannya. Bimbang terlepas habuan, waktu puncak makan malam ini tidak mahu terlepas. Padahalnya, yang lebih selesa ialah tetap berada di masjid menunggu solat Isya’ sambil beramal sewajarnya dalam masa yang terluang itu. Semasa kedatangan umrah dahulu, dan ketika berhaji pun, demikian yang kulakukan. Suatu rutin yang praktikal dan tepat. Seharusnya dikekalkan.
Aku mendapatkan pengesahan tentang waktu makan ini. Didapati waktunya bermula pada 6.30 petang dan berakhir pada pukul 10 malam. Sangat munasabah. Pastilah diaturkan begitu demi memberi ruang untuk jemaah beramal di masjid dengan tenang dan selesa.
Semasa makan kutanyakan Abang Mie sama ada akan ke masjid semula untuk bersolat Isya’. Dia menyatakan tidak. Akupun faham dan tidak keberatan. Mungkin dia keletihan! Biarlah dia menentukan pilihan sendiri.
Sebaik selesai makan aku bergegas ke masjid, masuk melalui pintu 92, aras bawah dan mengambil ruang solat berpermaidani 15 meter dari pintu itu. Di sini ruangan masih rua. Tempat bersolat tersedia di sebahagian besarnya. Ketika itu ternampak seorang guru yang agak berumur tenang dan bersahaja menyampaikan ceramah. Beliau duduk di atas kerusi besar di tengah-tengah ruang dikelilingi para jemaah yang mendengar.
Ruang ceramah itu agak strategik kedudukannya. Di atas, bersetentangan kepala guru itu ada ruang kubah yang berhias cantik. Dia menggunakan bahasa Urdu/Hindi dan memang pun para pendengar terdiri daripada mereka yang datang dari Pakistan atau India. Wajah-wajah dan pakaian mereka tidak bersalahan lagi. Jemaah lain berhampiran yang tidak memahami bahasa itu melakukan kegiatan masing-masing. Ada yang membaca Al-Quran, berbual-bual sesama kenalan, atau berihat-rihat sambil bersandar di umbi-umbi tiang, memanfaati masa yang ada.
Aku lebih memperhatikan, melihat-lihat, dan kadang-kadang berzikir santai. Suasana demikian itu sungguh menyeronokkan. Teringat pembacaan peribadi, bahawa semenjak sekian lama Masjidul Haram adalah tempat guru-guru mengajar ilmu agama dan para jemaah dari seluruh pelusuk dunia Islam meraih faedah daripadanya. Kegiatan ini sudah menjadi tradisi berharga. Ia subur berterusan sampai kini.
Apabila azan Isya’ bergema (7.41 malam), ceramah ditangguhkan. Sebahagian jemaah bersolat sunat. Guru tadi menyambung ceramahnya. Beliau berhenti ketika iqamat dilaungkan.
Aku kembali ke bilik hotel selepas menyelesaikan solat sunat selepas Isya’. Semua ahli bilik terlentang di katil masing-masing. Lampu bilik dipasang selektif. Ruangan sedikit samar. Abang Mie belum tidur. Kuperingatkan beliau agar bangun seperti biasa, untuk ke Masjidul Haram bersolat Subuh nanti.
Dalam bilik, kami tidak banyak berbual kosong. Sekadar perlu bertujuan muhibah dan saling menghormati. Masing-masing tahu memilih perkara-perkara bualan, kerapnya ringan-ringan. Kami lebih mengetahui keutamaan ketika itu.
Tidur awal, untuk bangun awal lebih disukai. Pun, di kalangan kami ada keunikan – berdengkur, tidur-tidur ayam, bangun malam untuk ke bilik air dan lain-lain. Sebenarnya, tidur kami tidaklah selena mana!

Umrah 2019 (11): Berpecah Saie

Umrah 2019 (11): Berpecah Saie
Kami solat Zuhur di bilik. Kemudian turun makan tengah hari di restoran. Pesara tentera menyuarakan hasrat untuk menyertai kami sekeluarga melakukan umrah sampai selesai. Kami setuju melakukan tawaf selepas kembali ke bilik hotel melakukan persediaan yang perlu, berwuduk, ke bilik air sewajarnya.
Enam orang dalam kumpulanku turun ke dataran masjid dan terus menuju ke Masjidul Haram di Dataran Kaabah. Semua telah kutaklimatkan – berniat tawaf, dan berdoa mengikut pilihan masing-masing. Aku tetap akan membacakan doa-doa seperti dalam buku kecil Tabung Haji, berserta doa-doa peribadi selepas itu, sebab memang masa lebih daripada mencukupi melakukannya. Ahli-ahli kumpulan diminta merapatkan diri sesama sendiri ketika bergerak supaya tidak terpecah. Kelekaan berawas boleh menimbulkan kesulitan di luar jangkaan.
Ketika kami tawaf, cuaca sedang panas. Para pentawaf tidaklah terlalu ramai. Kami bermula di penjuru Hajarul Aswad dan meneruskan tawaf dengan tenang. Aku akan mengisyaratkan kumpulan meluaskan pusingan tawaf jika didapati pusingan lebih ke dalam bakal menyesakkan. Begitulah dari satu pusingan ke satu pusingan. Selepas cukup tujuh pusingan, kami bersolat sunat tawaf di tempat yang digunakan oleh pentawaf-pentawaf yang lain. Tidaklah sukar mencari ruang sungguhpun perlu meninjau-ninjau seketika. Simpati dan tolak-ansur wujud bila ada persefahaman.
Kami meninggalkan dataran selepas singgah minum air zam-zam di laluan keluar masuk dataran di pintu King Abdul Aziz. Waktu Asar tidak lama lagi menjelang. Kebetulan ada ruang-ruang kosong di ruang berpermaidani di bahagian berbumbung mendepani Kaabah. Kami duduk di situ menunggu solat Asar.
R dan dua orang kawannya berhenti di ruang kosong bersebelahan berdekatan dengan tiang besar. Mereka menghampar sejadah masing-masing dan menunggu solat. Permaidani yang sedia ada di situ telah digolong oleh para pekerja dan kawasan itu bakal dibersihkan. Pun, jemaah wanita semakin ramai mendatangi ruang tersebut, dan sebahagian terus mendirikan solat sunat atau membuka kerusi lipat lantas duduk.
Tidak lama kemudian, pekerja-pekerja mulai menyimbah air, mahu mencuci lantai itu. Mereka berkerja tangkas dibantu jentera mop beroda. Ahli-ahli keselamatan pula datang menghalau kelompok jemaah wanita yang sedang bertambah. Sungguhpun sebahagian jemaah wanita cuba bertahan mereka akhirnya terpaksa mengalah. Wajah-wajah tidak puas hati terserlah.
R dan kawan-kawannya bangkit meninggalkan tempat itu. Waktu Asar sudah sangat hampir. Pada waktu-waktu puncak begitu bukan mudah mencari tempat bersolat dalam masjid, apalagi di kalangan jemaah wanita. Aku sangat bersimpati dengan mereka dalam aspek ini. Sudah kerap benar aku menyaksikan mereka terhalau pada saat-saat kritikal. Harap-harap R dan kawan-kawannya tidak terlampau jauh berundur. Kami perlu bergabung semula untuk bersaie selepas solat.
Kami bersolat di ruang kami pilih dengan selesa. Setamat solat kami menunggu ahli-ahli wanita kami di situ. Tetapi masa berlalu bahkan hampir 50 minit. Mereka belum mendatangi kami. Perhubungan melalui telepon tidak lancar, sekadar dapat memberitahu lokasi. Kukhuatiri juga, mereka tidak cekap mengenalpastinya. Kesabaran tercabar oleh tekanan dihadapi masing-masing. Terdesak, kami sendiri memutuskan menuju ke Bukit Safa, mengharapkan mereka pun ada di situ.
Tiba-tiba perhubungan telepon menjadi sekali lagi. Kami akhirnya bergabung sepasukan di kawasan eskalator tidak berjauhan daripada tempat memulakan Saie. Mereka memberitahu terhalau jauh sampai ke sayap lain masjid mencari tempat bersolat tadi. Untuk sampai ke tempat kami menunggu perjalanan mengambil masa, dalam ketidaktentuan lokasi. Kesian mereka.
Lepas Asar kukira salah satu masa pilihan untuk bersaie. Tempoh masa yang terluang lumayan untuk menyelesaikan rukun ini. Kami berbincang dan bersetuju masing-masing boleh bersaie mengikut tempo sendiri. Pesara tentera memberitahu isterinya sedikit letih dan akan melakukan perlahan-lahan. Kawan wanita yang seorang lagi akan menemaninya. Beliau menyedari tempo kami lebih pantas. Beliau tidak mahu mengganggu kelancaran. Pun, tidak terkilan tanpa bersama-sama bersaie. Mereka sedia dan yakin boleh melakukan bersendirian, tanpa berterusan menyertai kami.
Perlahan-lahan gabungan kami berpecah. Aku terus bersaie bersama-sama R dan Abang Mie. Dalam salah satu pusingan, aku ternampak isteri pesara tentera itu menggunakan laluan pensaie berkerusi roda. Selesa juga di situ kerana ruang boleh menampung juga pensaie biasa. Penolak-penolak kerusi roda, walaupun kebanyakannya pantas bergerak, tetap berhati-hati, agar tidak menyondol pensaie-pensaie yang menggunakan laluan itu. Sekurang-kurangnya, dibunyikan isyarat kepada mereka sebelum memotong, agak tidak terjadi bentrokan. Laluan ini sedikit dekat berbanding laluan yang digunakan oleh majoriti pensaie.
Kami akhirnya selesai bersaie dan bertahlul. Lalu bertolak pulang ke hotel. Keperluan manusiawi menuntut. Tidak lama kemudian kami turun, kembali semula di Masjidul Haram bersedia untuk bersolat Maghrib. Masing-masing pada tempat pilihan. Aku dan Abang Mie di Tingkat 1, masuk melalui eskalator berhampiran pintu 93. R pula bersendirian, bersolat di tempat yang diketahuinya sendiri.

Umrah 2019 (10): Terlepas Zuhur

Umrah 2019 (10): Terlepas Zuhur
Apabila ustaz selesai berceramah, seorang ahli jemaah, tentunya diminta mutawif, telah membuat pengumuman. Katanya, semua jemaah diminta menyumbang SR20 bagi kos mengendalikan penerbangan balik di Lapangan Terbang Jeddah. Katanya, kos ini tidak dapat dielakkan kerana budaya pengongkosan itu adalah realiti yang seharusnya diterima. Di samping itu, jurucakap itu memberitahu ahli-ahli rombongan juga diminta menyumbangkan SR15 seorang bagi ‘saguhati’ kepada ustaz-ustaz yang dijemput menyampaikan ceramah dalam program ziarah rombongan – dua hari di Mekah dan dua hari lagi di Madinah kelak.
Aku teringat kedatangan berumrah pada tahun 2017. Ketika itu mutawifnya orang lain, tetapi agensinya masih sama, Tiram Travel. Ketika itu mutawif hanya mengutip SR20, katanya untuk kos pelicinan urusan penerbangan balik di Jeddah. Tiada sebarang kutipan bermaksud memberi sagu hati kepada ustaz-ustaz. Aku terlintas di hati, terutama tentang kos membiayai ustaz itu, sebagai kos tersembunyi, di luar kos pakej umrah? Pada hematku, jika menjadi ciri utama ziarah, agensi seharusnya memasukkan kos ini awal-awal lagi. Diakui, jumlah yang diminta tidaklah seberapa, tetapi apabila ia disyaratkan tiba-tiba, apalagi didengari ustaz yang terbabit, kukira ia kurang kena. Tidaklah kuketahui, ahli-ahli kumpulan di bawah kendalian mutawif-mutawif lain, sama ada terkena kutipan yang sama – kurang atau lebih banyak sumbangannya! Tetapi tiada pun, kuperhatikan, mana-mana jemaah menyuarakan bangkangan. Mereka tentu bersikap malu-alah dan bijaksana menyesuaikan situasi.
Azan Zuhur sudahpun dilaungkan ketika kami tiba di kawasan Masjidul Haram. Tentulah tidak sempat kami bersolat bersama-sama dalam tergesa-gesa apatah lagi dengan barangan yang dibeli terbimbit di tangan. Padan dengan keselekehan mencakna masa. Kami pula belum atau kehilangan wuduk. Dataran masjid itu belum sangat dibiasai apalagi hendak menjadikannya tempat bersolat secara tiba-tiba.
Hakikatnya, bas tidak lagi boleh merapati kaki hotel tempat kami menaikinya tadi. Kami semua perlu turun di aras bawah tanah berhampiran dan menggunakan eskalator panjang untuk naik ke aras dataran Masjidul Haram. Sambil membawa beg-beg plastik mengisi belian R, aku mendahului jemaah menaiki eskalator yang tinggi dan muncul di dataran masjid. Sudah ramai jemaah bersedia untuk solat berjemaah di situ. Namun, masih ramai juga yang menuju ke hala masjid, mungkin untuk memasuki Masjidul Haram atau bersolat lebih dekat dindingnya.
Dari tempat keluar eskalator itu ternampak hotel kami menginap hampir 200 meter di hadapan. Cara paling mudah ke sana ialah merentas dataran terus menuju hotel berkenaan. Tetapi kerana sudah ada kelompok-kelompok jemaah sedang bersedia untuk bersolat di sebahagian besar dataran itu, tidak mudah menyelit-nyelit untuk melepasi mereka. Maka cara yang terbaik ialah menggunakan kaki lima bangunan atau hotel-hotel yang melingkungi dataran itu. Masalahnya, hampir semua kaki lima itu telah juga diduduki jemaah yang bakal bersolat. Ada yang menghampar sejadah masing-masing. Begitu pun kami nekat mengelakkan terkepung apabila solat dimulakan. Kami bergerak tangkas di celah-celah barisan atau saf yang sedang terbentuk sepanjang laluan menuju ke hotel kami.
Akhirnya Imam telah memulakan solat. Jemaah pun mulai bersolat. Kami tidak boleh tiba-tiba tercegat. Tiada pilihan lain. Kami perlu bergerak di depan jemaah, memijak sejadah yang terhampar. Aku kira dalam 10-belasan minit akhirnya berjaya tiba di kaki lima hotel kami. Yang rapat mengekori di belakang ialah Abang Mie, pesara tentera, dan isteriku serta kawan-kawan sebiliknya.
Solat Zuhur di Masjidul Haram akan selesai sekejap sahaja lagi. Dalam berpakaian ihram kami terikat mematuhi rukun-rukun umrah. Ziarah pertama telah berlalu. Tetapi, umrah kedua kami sedang tergantung. Selepas makan tengah hari kami akan mengerjakan tawaf, saie dan tahlul.

Umrah 2019 (9): Berniat di Jaaranah

Umrah 2019 (9): Berniat di Jaaranah
Destinasi terakhir dalam ziarah hari ini ialah masjid Jaaranah. Ada cerita di sebalik nama masjid ini. Ia dikatakan berkaitan dengan seorang perempuan yang bernama Jaaranah. Kerana khidmat baktinya kawasan dan masjid itu dinamakan sempena nama beliau. Ustaz mengingatkan jemaah yang ingin melakukan umrah memakai pakaian ihram, bersolat sunat ihram di masjid itu. Tentang niat umrah dia akan mengajarkan para jemaah apabila dalam bas sebaik meninggalkan masjid itu kemudian.
Masjid ini tidaklah besar tetapi kelihatan mempunyai kawasan parkir yang luas. Banyak juga bas boleh ditampunginya.
Ketika kami tiba, sudah ramai jemaah lain berada di situ. Mereka kelihatan di serata tempat di sekeliling masjid. Di kaki tangga masjid para penjaja berjualan dagangan mereka. Bergantungan jubah-jubah, kopiah, kurma, dan lain-lain. Nampaknya penjual-penjual adalah berasal Bangladesh. Ada juga penjual wanita yang mungkin asal tempatan. Mereka ada yang menggunakan gerai bergerak, atau menghamparkan lapekan untuk mempamerkan dagangan masing-masing di tengah panas itu. Kuperhatikan ramai juga jemaah yang membeli barangan pilihan masing-masing.
Aku dan Abang Mie masuk ke dalam masjid bersolat tahiyattul masjid dan sunat ihram. Selepas solat Abang Mie terus menaiki bas dan berihat di dalamnya. Jemaah diberi masa setengah jam berada di situ – bersolat dan membeli. Aku sendiri meninjau-ninjau juga barangan, mengharapkan ada yang berkenan. Ketika kedatangan pada tahun 2017 dahulu, aku ingat tidak membeli. Dan ternyata kali ini pun.
Masa singgah 30 minit gagal dipatuhi. Ramai juga jemaah yang membeli sakan. Mereka balik menaiki bas membimbit barangan dengan ceria. R pun ada membeli sedikit. Akhirnya mereka semua berada semula dalam bas. Ada juga penjaja di situ yang nekat menaiki bas kami menjajakan pakaian wanita dengan harga lelong. Masa yang terhad, menjadikan mereka gagal menawan pelanggan.
Drebar kami tadi pun menjaja lagi. Barangan yang sama yang laku bak pisang goreng tadi. Tetapi kali ini jemaah terdiam, tidak mereaksi. Sebabnya tidak mengejutkan. Barang-barang yang sama boleh dibeli di kaki lima Masjid Jaaranah dengan harga sekali ganda murah; SR5 berbanding SR10 yang dijualnya. Mereka telah membelinya lagi di situ. Banyak penjimatannya. Tentunya, jemaah yang terlibat terasa kena ‘kecek’ di Jabal Rahmah tadi. Senyum drebar kami tidak lagi meleret lama. Tetapi dia telah meraeh laba yang banyak hari ini. (Kemudian R memberitahuku serbuk kurma itu hanya berharga SR2 di Kedai 2 Riyal di Madinah!).
Apabila bas bergerak Ustaz mengajarkan niat berumrah. Mereka yang hendak melakukan umrah badal diajarkan juga niat khususnya. Kemudian beliau memimpin bacaan talbiah untuk beberapa pusingan. Kami mengikuti bacaan dengan tahap keyakinan masing-masing. Aku dan Abang Mie termasuk yang kedengaran jelas menyuarakannya.
Ustaz juga menggalakkan jemaah melakukan tawaf. Amalan ini unik dan tertentu di Mekah. Ia lebih afdhal. Mengatasi solat-solat sunat. Tambah beliau, solat-solat sunat boleh dilakukan di mana-mana – di rumah atau di masjid-masjid lain, bila-bila masa. Tidak perlu di Masjidul Haram pun. Sebaliknya tawaf hanya dilakukan di Baitullahil Haram. Ia tidaklah sukar. Ia boleh dilakukan mengikut kemampuan. Tidak semestinya tujuh pusingan. Satu pusingan pun boleh. Hanya pentawaf wajib berwuduk. Ketika bertawaf, berdoalah mengikut apa sahaja yang dihajati. Rebutlah kesempatan yang terbuka sedang kita berada di Mekah. Demikianlah inti galakan beliau kepada jemaah.

Umrah 2019 (8): Jabal Rahmah

Umrah 2019 (8): Jabal Rahmah
Selepas solat Subuh kami menyertai jemaah lain keluar Masjidul Haram. Pintu keluar sebesar King Fahd itu pun tetap bersesak-sesakan, sekira-kira 200 meter panjangnya. Arus jemaah datang dari pelbagai arah dalam masjid ke hala yang sama. Di pintu itu jemaah bergabung satu. Semua bergerak selangkah-selangkah sambil berhati-hati supaya tidak kelihatan menghimpit. Semua orang, lelaki dan perempuan, kukira bertujuan sama. Kembali ke hotel masing-masing untuk bersarapan.
Sebaik keluar, kelihatan jemaah berbondong-bondong bersimpang siur di dataran Masjidul Haram, berhadapan dengan hotel-hotel mewah yang membanjari sepanjang dataran. Mereka dengan arah tuju masing-masing. Hebatnya masing-masing dapat mencari hala, meloloskan diri dan tidak pula berlaga sesama mereka bergerak ke hadapan! Mereka benar-benar seakan semut yang tahu berdikari, bergerak ke sana sini.
Kami balik ke bilik. Jam belum enam pagi. Restoran hanya di buka mengikut jadualnya – 6 pagi hingga 10 pagi. Lebih kurang 15 minit kemudian kami bertiga, termasuk pesara tentera, turun ke restoran. Memang waktu sepagi itu sudah ramai menuju atau berada di situ. Semuanya perlu bersarapan. Semua kelihatan ceria dan memfokusi jamuan yang tersedia. Beratur dan pilih sahaja makanan yang disukai. Tiada alasan untuk bersungut. Hidangan adalah mewah dan melimpah! Aku juga terpandang R dan dua kawan barunya datang bersarapan di situ. Mereka kelihatan telah saling mengenali lama, lagi ternyata mesra. Aku gembira kerana sebahagian tanggungjawab menemani terlerai, harap-harapnya.
Dalam itenerari pakej, pada hari ketiga, Sabtu, 13 April, kami akan berbas melawat Padang Arafah, Muzdalifah, Mina dan sekitarannya. Mereka yang ingin berumrah boleh berniat apabila rombongan singgah di Masjid Jaaranah. Selepas sarapan kami naik sekejap ke bilik hotel, menselesakan diri dan berwuduk. Dengan berpakaian ihram, aku dan Abang Mie turun ke tempat bas di jangka menunggu. Rombongan diarah berada di situ pada jam 7.30 pagi. Aku sangat memandang berat tentang waktu. Ketepatannya dijaga. Tidak mahu aspek ini menjadi sebab program kumpulan jadi tergendala.
Di aras tanah, di kaki hotel sudah ramai kumpulan lain juga menunggu bas. Para mutawif dan ‘pembantu-pembantu sukarela’ masing-masing mengumpulkan ahli-ahli rombongan pada tempat yang khusus. Apabila bas tiba mudah mereka diarah menaiki bas.
Sementera rombongan-rombongan jemaah menunggu bas, mereka sentiasa dihampiri oleh ‘wanita berpurdah’ meminta sedekah. Mereka ada kumpulan – walaupun bergerak secara seorang-seorang. Wanita-wanita ini kuperhatikan berasal dari benua kecil India, melihat wajah, perawakan dan pakaiannya. Wanita-wanita ini biasa berlegar di situ. Bahkan jelas tempat menunggu bas itu satu tempat operasi mereka yang utama. Aku sempat memperhatikan, seorang dua wanita yang belum berpurdah, tetapi sebaik akan memulakan operasi, akan menutup sebahagian muka, dari hidung ke bawah, meninggalkan sedikit bahagian dahi dan mata terbuka.
Kumpulan wanita peminta ini termasuk juga kanak-kanak, kebanyakan perempuan, yang berpakaian yang serupa.
Dalam pada itu aku perhatikan R tergerak hati untuk bersedekah. Dia jelas belum mempunyai wang yang bernilai kecil, paling kecil SR100.00. Wanita peminta itu tahu hasrat R, dan seakan berunding agar R menyerahkan wang bernilai besar itu dan dia bersedia memulangkan baki sewajarnya. Aku sendiri melihat wanita ini mengeluarkan wang ‘cucur’ sebagai insentif kepada R meneruskan. Namun, dua pekedai berdekatan yang memperhatikan peristiwa itu mendesak disamping memberi isyarat supaya R tidak berbuat begitu. Mereka malah menghamburkan kata-kata ke arah wanita itu yang difahami bermaksud ‘haram’ wanita tersebut mengutip wang secara tidak ikhlas – bukan kerana keperluan mendesak tetapi bermotif kepentingan tertentu. Mereka - pekedai dan wanita peminta itu - bertengkar.
R tidak jadi meneruskan maksud asalnya, sungguhpun SR100 sudah tersedia di tangannya. Yang aku jadi percaya wanita ini termasuk dalam sindiket operasi mengutip sedekah, apabila melihatnya mempunyai wang yang banyak dikeluarkan dari dalam jubah yang dipakainya. Wang ‘cucur’ yang hendak diberikan sebagai pulangan menerima sedekah R dalam mata wang SR100 meyakinkanku kumpulan wanita peminta-peminta ini beroleh pendapatan yang lumayan daripada kegiatan tersebut.
Memang kegiatan itu haram. Aku melihat kumpulan wanita itu bertempiaran lari menyelamatkan diri ke satu hala di hujung bangunan hotel. Dari tanggapanku tentu mereka bertindak demikian setelah menyedari pihak berkuasa sedang melakukan operasi mencegah! Kalau tertangkap resiko buruk tentu menimpa mereka.
Lebih kurang pukul 8.15 pagi, ahli-ahli rombongan menaiki bas. Aku duduk bersama-sama Abang Mie dan R bersama-sama kenalan baru sebiliknya. Turut sama menyertai rombongan kami ialah seorang ‘ustaz’ yang dijemput oleh mutawif. Dia sebenarnya seorang pelajar di Mekah berasal dari Kedah. Masih muda. Aku telah bersalam dengan dia ketika masih di bawah ketika menunggu bas tadi.
Ustaz memberitahu dia akan memberi penjelasan mengenai tempat-tempat yang bakal dilawati. Sementara itu dia menyentuh tentang kumpulan wanita peminta tadi, yang dikatakan sebenarnya dimiliki sindiket. Wanita-wanita itu datang ke Mekah sebagai jemaah juga. Kutipan yang diterima akan diserahkan kepada ketuanya. Tidak salah bersedekah asalkan kena pada tempat dan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, kata beliau.
Bas merah yang kami naiki menuju lokasi-lokasi utama ibadat Haji – berwukuf, melontar jumrah. Kami melalui Arafah, Muzdalifah, Mina,Muassem. Sampai di Jabal Rahmah bas berhenti. Sudah banyak bas-bas rombongan lain berada di situ. Dari tempat kami turun pun kelihatan ramai jemaah di Jabal Rahmah – di kaki, di tengah dan di puncaknya.
Ustaz tidak menggalakkan jemaah melakukan khurafat, mempercayai doa-doa adalah mustajab dan dimakbulkan disitu. Katanya, doa pada Hari Arafah adalah sangat diberkati. Ia boleh dilakukan di mana-mana di Padang Arafah. Bukan hanya terhad di Jabal Rahmah. Semua jemaah haji seharusnya tidak mengabaikan saranan itu. Namun, doa di Jabal Rahmah dan di tempat lain di Padang Arafah, selain pada Hari Arafah, tiadalah mempunyai signifikan berbanding tempat-tempat yang lain. Meyakini selainnya, iaitu tentang mustajabnya, seperti yang luas tersebar dan dipercayai di kalangan masyarakat kita, adalah tidak berasas. Ia berunsur khurafat. Jauhilah mengamalkannya. Aku sependapat dengan beliau.
Ahli rombongan semua turun meninggalkan bas. Tapi kami tidak menuju bukit tersohor itu. Kami hanya sekadar memandang Jabal Rahmah dari jauh. Mutawif meminta ahli-ahli rombongan bergambar beramai-ramai di dataran berlatarbelakangkan Jabal Rahmah sebagai kenang-kenangan. Aku, R dan Abang Mie pun bergambar sesama kami dalam beberapa posing.
Cuaca panas dan tidak selesa untuk berlama-lamaan di situ. Jemaah beransur-ansur menaiki bas. Sebahagian jemaah ke bilik air yang ada berhampiran dan sebahagian mengambil wuduk pada tempat yang disediakan. Abang Mie pun begitu. Sebahagian jemaah belum lagi memakai pakaian ihram.
Apabila semua ahli rombongan berada dalam bas drebar kami, kini dalam pakaian ihram, mula menjaja. Dia berbangsa Mesir dan pandai berbahasa Melayu. Dari tempat duduk depan hingga ke belakang bas dipromonya dagangannya: Serbuk Kurma dan Minyak Zaitun. Bagaikan tertekan swic membeli, ramai ahli rombongan teransang – lelaki dan perempuan. Tidak menyempat-nyempat lagi. Seakan telah begitu lama tertekan nafsu itu. Barangan tersebut dijual dengan harga SR10 setiap satu. Tersengeh-sengeh riang berpanjangan drebar bas itu menyerahkan jualan dan sambil menerima wang bayaran. Aku mendapat impresi seakan sambutan itu di luar jangkaannya. Setengah-setengah jemaah membeli lebih daripada satu, bahkan berganda-ganda. Sekejap sahaja barangan itu kehabisan.
Drebar berjanji akan mendapatkan bekalan tambahan kemudian. Dia akan menghubungi kawan atau sumbernya. Dia perlu menghentikan urus niaga kerana bas perlu bergerak ke lokasi lawatan yang lain.
Kami melalui kawasan masjid di Mina, tempat melontar jumrah, Muassem dan lain-lain. Ternyata di kalangan jemaah bahawa tempat untuk jemaah haji Malaysia pada musim haji di Muassem itu jauh daripada tempat melontar jumrah. Berkilometer perjalanan berulang-alik perlu dilakukan setiap hari – antara khemah dengan jumrah. Jelas tergambar cabaran getirnya. Namun ustaz memberitahu, jemaah yang kaya dan membayar harga pakej yang mahal ditempatkan di hotel yang berdekatan. Untuk melontar mereka hanya beberapa minit berjalan kaki.
Ustaz terus menyambung ceramah beliau, terutama tentang ibadat haji, tentang hari-hari tasyriq, bilangan lontaran batu, nafar awal dan yang berkaitan. Dengan lancar, jelas berisi dan benar-benar kuakui profesional. Bernas – sama ada bersumberkan Al-Quran dan hadis, kata orang di ‘hujung lidah’. Mungkin ia telah kerap dijemput begitu. Dia seorang pelajar muda yang berwibawa. Dia kelak boleh balik ke Malaysia dan bakal menyaingi para daie yang sedang menempa nama sekarang.