Tuesday, 22 October 2013

Salmiah Ismail “Anak Kota”,

Aku nampak jelas teman fbku Salmiah Ismail bimbang remaja yang membesar di kota tidak akan dewasa “jadi orang berguna” lantaran rapuh jiwanya, tidak berdaya menahan “Derasnya arus menerpa”. Dipersoalkannya kesan rempuhan budaya yang “sumbang”, “muzik angkuh” ke atas orang-orang muda. Beliau berharap remaja di kota “Berdiri taqwa” kerana itulah satu-satunya penyelamat atau jalan keluar. (Kalau mahu, bacalah sebentar “Anak Kota”, Dewan Siswa, Jilid 1, Julai 1979, muka surat 39).

ASKAT: Puisi dipamer sekadar menrapatkan pertemanan maya. Pun begitu, para teman yang remaja sentiasakanlah berwaspada sama ada sedang berada di kota atau di desa.

Ahmad Sarju, “Bunga Waktu”

Aku membaca sajak “Tun Perak”, dalam antologi Ahmad Sarju, “Bunga Waktu”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, cetakan pertama, muka surat 21-22. Apa yang ditekankan beliau ialah kesukaran era kini mencari seorang pemimpin sebijaksana negarawan silam yang kekal mengilhami. Banyaklah kalimat disulam penyajak, tetapi aku suka memetik, “kausarungkan keris di tangan/lantas kauhunus kecerdikan/kerana ia lebih bisa dan tajam”. Tanpa berhajat menatap mendalam, mari beranjak ke hujung sajak menghayati akhiran teman fbku ini, “…di saat-saatnya bicaramu menjadi pedang/yang paling tajam/untuk menegakkan erti keadilan.”

ASKAT: Tun Perak bukan pemimpin biasa. Beliau seorang negarawan terbilang. Sejarah Melayu telah merakamkan ketersohoran tanpa syak curiga bersarang. Melalui kuasa di tangan, tindakannya berdasarkan minda yang menjana penyelesaian sempurna. Negara mantap dan dihormati. Sokongan rakyat tidak berbelah bahagi. Benarlah, ketiadaan beliau seakan tiada setara ganti.

Sebagai hiasan kupamerkan komik “Tun Perak “ karya Othman Haji Zainuddin, Dewan Siswa, April 1982.

Ami Masra “Surat Dari Ayahanda”

Sesuai dengan kelompok sasarnya, teman fbku Ami Masra, melalui “Surat Dari Ayahanda”, Dewan Siswa, November 1981, berharap “anakanda” “mendakilah gunung itu” dan “kembali jua ke desamu/dengan segulung ijazah”, dan “…akan menjadi kebal/dengan seribu masalah.”

ASKAT: Peranan ibu bapa sangatlah penting bukan sahaja ketika tinggal bersama-sama dalam sebuah keluarga bahkan tidak terlepas tanggungjawab mereka sampailah anak-anak mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran di menara pengetahuan dan boleh berdikari menyara diri dan seterusnya kepada keluarga, masyarakat dan negara. Ada harapan murni, ada doa suci, dan ada rintangan dalam perjalanan menabur bakti. Penghidupan menjadi sangat bererti dengan persediaan rapi dan kerelaan berkorban tanpa bertepi.

Zurinah Hassan, “Demang Lebar Daun”



Barangkali tidak sangat tersilap mengambil Tun Perak tokoh pertama disentuh dari kembara pembacaan puisi maya (paparan sebelum ini). Pada hematku, tumpuan terhadap tokoh-tokoh seharusnya berterusan dan hari ini kupilih sajak teman fbku Zurinah Hassan, “Demang Lebar Daun”, dalam “Salasilah”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, muka surat 16, selaku wadah bicara tokoh kedua. Lantaran ruang, inilah yang cantik dipetik, iaitu kata-kata Jebat kepada Tuah, ”Demang Lebar Daun menjadikan kita hamba/yang sentiasa menundukkan kepala/ dan menyembunyikan suara”. Dan serangkap lagi, “Tiada siapakah yang ingin menyoal/dari mana Demang mendapat mandat/untuk menurunkan tandatangan/bagi pihak semua rakyat.”

ASKAT: Nasib baik sekarang, ramai orang berpelajaran. Lalu kita bacalah bermacam-macam kajian. Bagi yang berfikiran panjang, tentulah mereka kagum dengan Ali Aziz (Hang Jebat Menderhaka), Kassim Ahmad “dengan seribu Jebat si anak tani”) dan berekoranlah kemudiannya yang lain-lain. Peminat Munsyi Abdullah pun tentu kagum membaca pemerian beliau terhadap kemaharajalelaan yang berlaku di negeri-negeri Melayu yang dilawati beliau pada 1837 (1838?). Yang penting hari ini ialah seperti dilaungkan oleh Jebat, mengikut adunan puisi yang dibicarakan ini. Dan tema sebegini sewajarnya tidak terhenti. Itulah sebab perintian sejarah menyumbang bakti kerana keringkasan kalimat dan rangkapannya sangat bererti, tidak menyerabutkan minda namun sekali gus menyerlahkan intipati lembaran-lembaran lama, yang sebenarnya sakti.

Gasing

Jarang sekali terjumpa gambar sesempurna begini (Dewan Pelajar, September 1988, muka surat 22). Kuambil untuk mengenang kembali pengalaman menonton perlawanan gasing di kampung (?), Ulu Seladang, Setiu pada tahun (besar kemungkinan) 1963 (50 tahun dahulu). Aku yang bercuti sekolah di rumah mak saudara di Banggol, Setiu mengikuti pasukan gasing kampung itu ke ‘tempat lawan’, berjalan kaki. Jarak perjalanan mengikut pertimbangan sekarang sangat tidak munasabah (boleh jadi lebih kurang 9-10 KM x 2), sama ada untuk orang dewasa apalagi budak-budak, tetapi “the long march” itu berlaku. Itulah kali pertama aku melihat perlawanan gasing secara langsung dan ‘profesional’ oleh orang-orang kampung berkenaan. Memikir-mikirkan kemudian, dengan kewarasan kini, betapa tidak masuk akal perjalanan itu sampai di ‘tujuan’. Tidak anehlah, peristiwa ini menjadi salah satu mercu ingatan yang kekal, tidak padam-padam.

Rahimidin Zahari "Merenung Kehidupan Ini"

Kurang pasti aku, sajak ini karya teman fbku Rahimidin Zahari yang keberapa? Sajak pendek  "Merenung Kehidupan Ini", Dewan Pelajar, Ogos 1986, muka surat 33,  cantik; dari segi tema dan alunan sanjaknya. Mudahnya, kehidupan diibaratkan “gasing”, “rebana”, “silat” dan “lelayang”. Demikian itu yang disebut nyata. Tetapi bila dirumuskan, pemikiran dan penelitian terhadap kehidupan bukan terhad kepada yang tersenarai itu, bahkan “adalah seribu retak [sic] seni”. Ini bermakna dengan sendirinya, kehidupan tidaklah lurus jalannya, sebaliknya bersimpang siur. Sepanjang pengembaraan menakah usia ada persediaan yang perlu dilakukan, ada ilmu wajar dibekalkan, ada ranjau wajar dilangkahi, ada pengharapan seharusnya ditentukan dan “seribu” permasalahan lagi. 

ASKAT: Cuitan ini sekadar merakam satu penemuan potensi awal seorang karyawan pada lembaran kegemaran para siswa. Tetapi di mana pun medannya, kemampuan sebenar tidak tersembunyi. Aku percaya pada usia yang sangat remaja, sajak ini mengandungi bukti pemerhatian rapi penciptanya. Demikianlah, apabila siswa ini berterusan berkreatif, tidaklah kita terkejut beliau timbul dan dikenali seperti kini.

Rahimidin Zahari “Anak Laut”

Sekali lagi bertemu alunan sendu teman fbku, Rahimidin Zahari lewat “Anak Laut”, Dewan Siswa, Februari 1987, muka surat 35. Tak perlu diberitahu apa kata penyair muda ini, kerana apabila berkaitan laut dan nelayan, jelas sekali ceritanya begitu; tentang rezeki yang sentiasa tidak mencukupi, tentang penderitaan yang berterusan, sampai berketurunan, berulang-ulang, tanpa penyelesaian. Demikian gambaran dunia nelayan tanpa pun membaca sebarang pemerian. Pun begitu, sajak ini, merangsangkan. Lubuk kenanganku terbuak-buak meredah (aku lebih suka, meradak) dada, apalagi bila kata-kata “segar angin laut”, “… sedikit rezeki”, “…simpati”, “… terdampar…”, “urat jalur-jalur tua” menjelma dalam puisi menawan ini. Kerana pendeknya, teman-teman yang lain mudah tatapi sendiri. Bacalah juga, ulasan Ahmad Kamal Abdullah yang kupetik juga (muka surat yang sama, 35).

ASKAT: Cerita-cerita tentang laut sering berdering dengan laungan nyaring orang yang uzur terbaring tanpa kecukupan masing-masing. Begitulah keadaannya kerana mereka adalah awak-awak, menumpang orang, menagih belas ehsan, saudara mara atau jiran-jiran, (boleh juga masukkan tauke bergudang), yang memang berkesimpatian, dalam had-had kewajaran dan kemampuan. Di kampung, tidak semua orang mampu membeli sampan. Yang sedikit ‘berada’ boleh menjawat juragan atau jika ada kemahiran, naik pangkat menjadi juruselam. Mengail berkolek tidak pernah mengatasi kemiskinan. Dalam sekampung tidak ramai sederhana pendapatan, terlalu jarang-jarang, sebaliknya hampir semuanya “kais pagi makan petang”. Nelayan yang tidak sama kedudukan sesama mereka ini, masih boleh meneruskan penghidupan, berkawan dan berkahwin lalu membina keluarga sendiri, dengan tetap bergantung kepada laut yang tidak pernah berjanji memberi rezeki sehasrat hati. Aku hanya nampak, melalui pelajaran, anak laut boleh merobah kedudukan. Dunia remajaku demikian. Dan akulah “anak laut” yang ‘terbuang’ dan menikmati kejayaan. Laut sekarang suatu pengalaman untuk dikenang-kenang berseorangan. Bukan untuk diwariskan.

Puau Perhentian

Apabila melihat gambar Pulau Perhentian tersiar dalam majalah Dewan Siswa, November 1987, aku pun teringat ehwal diri. Ku capai album lama di raknya. Dengan segera kutemui dan kutunjukkanlah di sini. Tahulah teman-teman siapakah aku, dan sejarah silamku. Pulau ini sudah lama tidak kukunjungi, sekurang-kurangnya sehingga kini. Terakhir sekali melawatinya sudah hampir sedekad, kurang dua tahun lagi. Tetapi, dulu-dulu, sejak tahun 1950-an aku sudah pernah menjejakkan kakiku di pasirnya yang putih dan halus. Airnya yang bersih tetap sama pada tahun-tahun 1960-an. Selaku awak pukat tangkul, zaman belajar berdikari, aku bersama-sama kumpulan pukat itu pernah mengongsi di pulau ini. Musim tengkujuh tidak mengizinkan kami berulang-alik setiap hari dari tempat memukat ke kampungku di tanah daratan, yang kelihatan setiap hari. Hanya dua minggu sekali boleh kembali. Masa yang ada terluang ‘terpulau’ bergantung kepada kita memanfaatkan diri. Tiada cara lain kecuali bermenung semalaman hingga ke pagi. “Cek Mek Molek” sentiasa menjadi pilihan di “restoran” yang satu-satunya menyediakan perkhidmatan.

Pada tahun-tahun 1970-an, semasa masih di universiti, kubawa teman-teman berekreasi menikmati keindahan alam semula jadi. Pada tahun-tahun lewat 1980-an dan awal 1990-an, pulau ini kukunjungi lagi; bukan sebagai nelayan tetapi sebagai pegawai bertanggungjawab menambahbaikan keadaan kehidupan para penduduknya. Tahun terakhir aku ke sana ialah pada tahun 2005, kerana melihat sendiri projek kerajaan yang perlu dipantau agar tidak terlajak dari jadual yang dipersetujui. Aku tahu sekarang, sudah sangat ramai orang berkunjung ke sini tetapi aku percaya, tempat aku pernah menghuninya tetap sebagai asali, pasirnya dan kejernihan airnya. Aku perlu lagi berada di ‘sini’. Barangkali.
Sementara itu, kanak-kanak itu, masing-masing sudah beristeri dan bersuami. Dan aku serta isteri, dah jadi Tok Ki dan Tok Wan sejati.

Saiee Driss, “P. Ramlee – Seniman Rakyat (Satu Epilog)”

Di kalangan teman-teman fbku yang penyair, tidak ramai bersajak tentang “tokoh”, kecuali Zurinah Hassan dan Ahmad Sarju. Namun, kuusahakan juga mencari teman-teman yang lain, dan terjumpalah, Saiee Driss, “P. Ramlee – Seniman Rakyat (Satu Epilog)”, dalam kumpulan sajaknya “Surat Putih”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, muka surat 25-28. Huraiannya tentang senimn agung ini boleh memuatkan banyak helaian halaman jika mahu diulas-panjangkan. Namun, memadai disedut yang inti, seperti, “manusia-manusia/bercempera mencari makna hadirnya/lalu menghayati senimu/…./yang juga rasa,/impian dan harapan/semua, … ” Pada tempat lain, Saiee merakamkan, “namun dalam hayatmu/tertimbus di selut perjuangan/tenggelam di lubuk resah/tertekan jasa, terabai budi/disisih dan sengaja dilupai”. Dan malangnya, “setelah bersemadi…/baru dicari benih sumbangan/sesudah hilang …/baru dihargai kebolehan”. Penyair akhirnya berdoa, “abadilah engkau, seniman/di dalam kenangan/kami sekalian.”

ASKAT: Aku hanya ingin berbicara singkat, tentang kemasyhuran lantaran pencapaian dan kesannya terhadap kebudayaan bangsa yang jati diri masih diterokai. Dengan bakat saktinya, seniman rakyat ini berjaya mendaki ke puncak dan kemudian jatuh terjelepak di landa arus kegilaan generasi baru kepada yang bukan menjadi asas kemasyhuran dan keunggulannya. Pop Yeh.. Yeh.. merampas haknya dan beliau terpinggir di sebalik tabir. Kita tahu beliau hanya diiktiraf berbakti kepada pertiwi selepas jasad ditimbus bumi. Ada pengajaran boleh dipelajari bahawa manusia akan hanya mendukungi atau menyanjungi selagi peribadi itu terkedepan dan boleh memberi sumbangan gemilang mengatasi saingan. Tanpa sebandingan itu, beransur-ansur, malah boleh jadi juga mendadak, kehormatannya tidak terjamin lagi; bahananya tanggunglah sendiri; sepi dan tidak bererti. Tentulah epilog Saiee ini mengandungi juga luahan pujian manis menyanjungi, mengakui jasa bakti yang terbukti dan abadi. Aku tidak menyentuh aspek ini demi mencungkil intinya tersembunyi, yakni suatu tragedi manusiawi kendati pun berbuat terpuji.

Pulau Redang

Melintas pula rencana dan gambaran Pulau Redang yang menghiasi “Dewan Siswa”, Mei 1988, muka surat 30-31. Ingatan pun jauh melayang ke zaman silam, ketika empat tahun berkhidmat di negeri Darul Iman (1988-1992). Tinggallah Kuala Lumpur aku berangkat mematuhi syarat, di samping merapati saudara serta sahabat. Pun, kuperlu kembali ke akarku, ke tanah tumpah darahku, ke laut, pantai, pulau, tasik, sungai dan hutan yang begitu lama tidak kujelangi, bahkan hampir tidak teringat lagi, hanyut oleh arus bandar raya semenjak meninggalkan kampung sendiri 19 tahun sebelumnya. Mengenali negeriku kembali, keropok gote, satar, otak-otak, budu, dikir karut, wayang kulit, wau, dan lain-lain lagi sambil menabur bakti mencari rezeki. Demikianlah yang terjadi atas kehendak Ilahi.

Pulau Redang ketika itu masih seperti awalnya, seperti dulu-dulu. Tiada pembangunan menarik pelancung berwang, sekadar pencinta alam, tegar dan berkeprihatinan. Pulau ini didiami para nelayan dan keluarga mereka yang berkampung air di birai pantai. Di bawah program penyusunan semula kampung tradisional, nelayan dan keluarga mereka dipindahkan ke tapak sedikit ke dalam, di daratan berhampiran. Ketika itu Angkatan Tentera Malaysia dikerah membuat jalan di kawasan berkaitan di pulau itu. Aku tidak boleh lupa mengenang, peristiwa malang, ketika rombongan kami menaiki lori tentera, entah macam mana drebarnya hilang kawalan sampai lori itu terbabas ke curam yang kurang dalam. Nasib baik kami semua selamat dan selesai sempurnalah urusan menyelesaikan kemiskinan penduduk di lautan. Berhampiran, di pulau yang lebih kecil, ya, namanya Pulau Pinang telah ada Pusat Penyelidikan Perikanan dan di sekitar jetinya boleh kita mandi serta menyelam sehingga puas hati sampai ke malam kerana dapat pula bermain-main dengan kawanan ikan yang seakan menjadikan jeti itu sebagai unjam.

Bukan sekali sahaja aku mengunjungi pulau ini. Beberapa kali kemudian aku masih mengunjungi lagi kerana menjalankan urusan rasmi lain pula. Terakhir sekali aku ke sini ialah pada tahun 2010. Menginap di tempat yang selesa, pantainya cantik melengkapkan lagi pengalaman nikmat berganda orang berjaya. Apabila diaturkan program mengelilingi pulau, kembalilah kenangan kenelayananku semasa masih hidup ala kadar di kampungku yang tidak jelas kelihatan dari situ.
 (4 photos)

Tasik Kenyir

Tibaku ke rencana mengenai Tasik Kenyir (Dewan Siswa, Ogos 1988, muka surat 30-31) dan ingatlah aku pengalaman sendiri, bermain air selautan tak henti mengalir. Kini tempat ini telah menjadi salah satu mercusuar mega negeriku. Ketika aku mulai bertugas di Terengganu dahulu (mulai 1988), pembangunannya sebagai satu destinasi pelancungan negeri sedang dirancang dan sebahagian kecil mulai dilaksanakan. Empangan Tasik Kenyir dibina pada tahun 1978 dan siap dalam tempoh 7 tahun dengan kos RM750 juta. Tidaklah kuingat berapa kali aku ke sana. Yang pasti kerap juga kerana perlu berbuat begitu bagi membereskan kerja-kerja rasmi. Kuingat kali pertama meredah ghairah tasik gergasi itu pada pada tahun 1988. Pusat tumpuan atau persinggahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan ketika itu ialah “Pulau Mahathir”, terletak di tengah-tengah tasik. Selama tempoh berkhidmat di sana, meratalah tempat dijelajahi sampai lajak memasuki Taman Negara di sempadan negeri Pahang. Alam semula jadi, dengan sungai, hutan dan musik asli sekitaran mengelilingi tiada mudah ditandingi di sini.

Ketika pejabat kami diarahkan kerajaan mencari sebuah pulau untuk dibina Rumah Persinggahan Persekutuan aku menyertai ketuaku menerokai sama, tidaklah berperanan utama, setakat menambah bilangan pasukan kerja. Dengan kerjasama erat Pejabat Daerah Hulu Terengganu arahan itu berjaya dilakukan. Ketuaku itulah yang mencadangkan pulau yang dikenalpasti itu kepada pihak ibu pejabat dan kemudian dipersetujui Ketua Setiausaha Negara dan seterusnya Perdana Menteri. Pulau tanpa nama (kemudian dinamakan Pulau Shah Besar) yang dipenuhi hutan (termasuk Pokok Tongkat Ali dan lain-lain) itu kemudian menjadi tumpuan ramai pelawat melepaskan lenguh dan penat, pergi berehat, mengail memukat, menternak air atau juga bermesyuarat di luar pejabat.

Gambar-gambar dipamerkan diambil pada 21 Mac 1989 =13 Sya’aban 1409, Selasa.
— at Tasik Kenyir, Terengganu

Zurinah Hassan, “Jebat Yang Tidak Jadi Menderhaka”

Aku sangat mencari-cari (demi mengimbangi), puisi tentang seorang pemberani yang mati kerana mempertahankan pendirian sendiri, pendirian yang mendahului zaman bahari. Tetapi tiada yang lain ditemui kecuali karya teman fbku lagi, yang dihormati,Zurinah Hassan, “Jebat Yang Tidak Jadi Menderhaka”, Dewan Sastera, Januari 2004, muka surat 97 (Boleh juga dibaca dalam “Salasilah”, muka surat 36-37). Hairan juga kita bagaimana sedemikian rupa diceritera, “Kerana kasihnya kepada Tuah/Jebat tidak jadi membantah/dia pun tunduk/menerima segala tugas dan anugerah/yang telah dilucutkan dari Tuah.” Tetapi bukan tiada minda diperah kerana sebelum itu kemarahan Jebat “… … menggelegak/Jebat mahu memberontak”. Kewarasan otaknya terserlah kerana bijak mematahkan gerak hati tanpa bertindak mendadak, menggagalkan hasrat tersemat, kerana ada matlamat lebih utama benar-benar diingat. Kehonaran yang tiba-tiba bukan sifat orang bijaksana, sebaliknya boleh membawa padah. Strategi bukan tiada sumbangannya demi kejayaan agenda.

ASKAT: Tak ngapalah. Memang sebenarnya kisah ini cerita tak sudah, hanya setakah. Peneliti Hikayat Hang Tuah tentu membantah kerana Hang Jebat telah sah menderhaka. Istana Raja jadi penginapannya, dayang raja dicemarinya. Angkara lain berlaku juga. Dan Hang Jebat kecundang sudahnya. Iaitu, setelah beberapa ketika. Iaitu apabila Hang Tuah datang semula menyembah dengan ketaatan yang tidak goyah, serupa dengan sebelum “disumpah” baginda yang memerintah.
Kalau hendak juga memerah intipati seluruh madah, terkesan kita sebenarnya kepada tahap-tahap penderhakaan Jebat. Beliau begitu taat berkhidmat, sehati sejiwa dengan sahabat rapat sepermainan seguru sesilat seibadat. Malangnya (?) pada Jebat, ada minda menimbang tara, bukan semua titah harus dilaksana. Ketaatan dan pengabdian kepada tuan manusia mestilah ada kemunasabahannya, bukan tuli mendengar atau membuta mata. Kesetiaan kepada rakan seperwira mempengaruhi ketaksuban kepada pendirian mulia kerana yang jangka pendek harus diketepikan demi menjamin siasat yang sempurna.
(Nota: Kupetik ilustrasi daripada buku “Anak Laut”, Kementerian Pendidikan Malaysia/Dewan Bahasa dan Pustaka 2004, Edisi Pelajar , muka surat 46, yang menghiasi episod “Pertarungan Tuah dengan Jebat”.

Siti Zaleha M. Hashim, “Mat Jenin Bina Koloni Angkasa”

Dua tiga hari kebelakangan ini aku membaca beberapa pandangan lain daripada yang biasa, tentang persepsi umum terhadap peribadi/watak yang tersohor dalam masyarakat. Tentang P. Ramlee, seorang tokoh korporat pernah menulis, filem-filem yang diarah oleh beliau mengandungi perutusan tertentu yang kian lama tidak relevan pada jangka panjang bahkan akan memberi kesan kurang baik kepada masyarakat Melayu, jika sentiasa ditampu, tak berhenti-henti. Beliau mencadangkan orang Melayu melangkah mara menghadapi cabaran-cabaran baru dan muncul menguasai suasana semasa. Kemudian, seseorang lain yang amat rapat denganku pula beria-ia mengsyorkan supaya “Pak Pandir” jangan dipandirkan selama-lamanya. Ertinya, eloklah watak itu menjadi “Pak Pandai” pula. Dalam kegulatan realiti persepsi lama bertembung dengan penelitian atau cetusan minda baru demikian aku membaca sajak teman fbku Siti Zaleha M. Hashim, “Mat Jenin Bina Koloni Angkasa”, dalam kumpulan puisi “Kristal di Laut Bulan”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, cetakan pertama, muka surat 129-130. Jelaslah sedekad lalu, penyair ini telah menelah bahawa Mat Jenin berfikir “… membayang/dan merancang bina koloni di angkasa”. Dia “… itu genius kita”. Siti merumuskan “jenaka Mat Jenin tersembunyi hikmah”. Jadi “jangan malu disebut Mat Jenin baru” yang bakal menempa kejayaan demi kejayaan dengan syarat atau “ …., terpulang/kepada jiwa yang sanggup berjuang.” Ada mesej yang terang demi kelangsungan yang gemilang.

ASKAT: Yang saya tidak gemar pengaruh kehadiran atau penjelmaan peribadi/watak sebegini begitu mencengkam minda dan ciri-ciri yang mendukung kemasyhuran tokoh-tokoh itu berakar menunjam ke dan di lubuk azam semua orang sehingga pendekatan baru kearah perobahan imej berzaman atau tipikal itu tidak kelihatan bakal boleh mencapai kejayaan. Padahal, tiada suatu di dunia ini yang kekal; legenda atau pengaruh pun. Hakikatnya, pengaruh yang timbul daripada ketokohan memang boleh diubah atau disuaikan tanpa merugikan masyarakat. Tanamlah tekad murni biar muncul peribadi-peribadi mampu bangkit terbilang menerajui zaman sekarang dan mendatang. Sudah lebih daripada ketinggalan kalau watak-watak dimunculkan sekadar hiburan ringan orang-orang bawahan kurang berpendidikan dan berfikiran tak matang.

Ilustrasi Pencak Silat

Ada beberapa sebab ingin ku mengamati ilustrasi (“Dewan Siswa”, Mac 1989, muka surat 32, sebahagian sahaja). Pikatannya kuat sekali, gerak tarinya sungguh menjadi, keris pun melambangkan azam perjuangan sampai jadi. Sekali-kali tidak berundur ke belakang lagi.

Aku pula teringatkan, ketika di kampung halaman mendengar dengungan gendang serunai tidak berkeputusan, menjalar di ruang udara kampong, waktu malam kecuali sesekali waktu siang, ketika gelanggang di buka mengajar anak-anak muda berani bersemuka, pemuka-pemuka desa mempamer keahlian berpencak silat berseni menawan hati – waktu meraikan majlis-majlis perkahwinan atau acara-acara sambutan agar lebih berceriaan. Waktu remajaku sesi persilatan tidak kusertai tetapi aku pernah terlajak mempelajari “boksing Siam”- tanpa sampai di ujung sukatan ilmu sang guru. Silat atau boksing, peralatan gendangan mengiringi gerak anggota adalah sama, sedikitpun tiada beza. Ketika bertugas lama kemudian di sana, banyak kampung sempat dilawati, tak semestinya di pedalaman, lazim juga disambut dengan diserikan acara persilatan remaja kampung itu sendiri sebagai penghormatan orang jauh sudi datang membawa bantuan untuk mereka yang berkeperluan.

Isahak Haron, “Kembalinya Sahabatku Awang Had Salleh”



Persahabatan yang berkembang (“telah lama kami mengenali mu”) tidak merenggang langsung, bahkan mantap lagi erat, tidak luntur oleh usia yang meningkat tetap, kekal sehingga ke liang lahad. Hebatnya seorang sahabat dalam kenangan ini sampai jadi ikutan (“Menjadi contoh untuk kami ikuti”), penyajak sendiri walaupun beliau tak sampai tinggi mendaki setara di mercu seperti sanjungannya itu. Banyak sekali boleh digali dalam sajak sahabat hamba sendiri sekampung, Isahak Haron, “Kembalinya Sahabatku Awang Had Salleh”, Dewan Sastera, Ogos 2013, muka surat 54. Sajak ini jelaslah satu dedikasi sekali gus penghormatan tulus murni kepada seorang tokoh yang muncul gemilang mencurah sumbangan bermakna kepada bangsa dan negara semenjak era penerokaan membentuk jati diri merdeka. Peribadi yang pergi (“… kembali rohmu ke alam baqa”) ialah “… pemimpin mesra kami,/dalam perjuangan bahasa dan sastera Melayu/////Kau jua pejuang pendidikan bangsa,//Penuh dedikasi/Menjadi contoh untuk kami ikuti.” Dan dalam melangkah ke alam barzah, tokoh ini sudahpun dibalas jasanya dengan jenazahnya dibawa ke masjid “untuk orang ramai menziarahi mu,/memberi penghormatan.” Sahabat karib Allahyarham ini menyusun ungkapan, “bahawa hidup di dunia ini sementara saja,/untuk berbakti, beribadat dan bersedia bertemu Ilahi,/di alam baqa, alam yang kekal abadi.” Penyajak ini percaya “Ibadat kita itulah bekalan kita,/dan kau telah banyak berbakti dan beribadat.”
Tidak ketinggalan dirakamkan bahawa Awang Had Salleh, seperti kata-kata Isahak: “Sikap dan pemikiranmu terbuka,/tajam, tetapi berseni dengan santunnya/dalam perbincangan dan gurauan.”

ASKAT: Perjuangan kita bersendi prinsip asasi demi redha Ilahi di sini dan di sana. Pun demikian, alangkah bahagianya dalam penghidupan ini kita menjadi; berbakti dan orang pun tahu membalas jasa itu sungguhpun kita tidak mengharapkan begitu. Kita sedar sedalam umbi bahawa taksiran manusia tentang perlakuan kita di dunia bukan muktamad dan sewajarnya hal ini tidak dipertikaikan. Di alam akhirat, Yang Maha Berkuasa sahajalah lebih berhak memastikan kesempurnaan syarat-syarat, dan hakNyalah menentukan bagi kita tempat yang tepat. Tetapi sesama kita manusia, bertuahlah ketika masih hidup di mayapada, para sahabat handai atau orang awam sepadu kata, setuju semua mengiktiraf kita, apalagi ketika kita masih ada bersama-sama, sedang bernafas selesa. Tidaklah pula kita harus mendabik dada bahawa kita berjasa, lahap habuan , jika penghormatan tidak mengunjungi kerana bukan kita sendiri yang menentu anugerah atau kurniaan atas perkhidmatan gemilang diri sendiri. Tetapi, sahabat-sahabat pasti mensyukuri apabila pengurniaan atau pengiktirafan diberi ke atas rakan seperjuangan yang paling terkedepan di kalangan warga. Begitu juga, dari segi peribadi, ketika kita uzur mereka datang menjenguk, menunjukkan simpati, mengenang budi, menggembirakan kaum keluarga atau waris-waris yang sedang dalam dukacita kerana terpaksa berpisahan dengan kita untuk selama-lamanya.

Zurinah Hassan, “Rizal”

Aku mengaku tanpa silu-malu sangat menyukai sajak Jose Rizal, “Mi Ultimo Adios”. Sebahagian sajak ini boleh dibaca dalam versi terjemahan bahasa Melayu/Indonesia dalam buku Muhammad Yusof Mustafa, “Sampaguita Dari Filipina”, Pustaka Aman Press, 1972, muka surat 337. Sebuah sajak berjudul “Madah Terakhir” ciptaan Rizal termuat dalam “Dewan Sastera”, Ogos 1976, muka surat 26-27, terjemahan Hamdan Yahya.
Hari ini, apabila kumelintasi sajak teman fbku yang tersohor, Zurinah Hassan, “Rizal”, Dewan Masyarakat, September 1969, muka surat 51, aku tambah gembira. Teringat aku saat-saat memijaki tapak-tapak kaki cendekiawan gergasi ini sambil memperkuat kesedaran tentang makna kedaulatan. Sajak Zurinah yang ini bukan untuk ditafsir tetapi untuk dinikmati sendiri-sendiri, dan bernasib baiklah kita, sebenarnya untuk dikagumi. Siapatah yang hendak menafikan kesahan huraian bahawa mengingati Rizal “… adalah pesta restu kasih/lebih gemerlapan dari sejuta bintang/lebih manis dari senyum rambulan/yang mengambang…”. Kemudian bacalah lagi kalimat-kalimat lain mendekati penamat, “Kurenung sepasang mata belum terbuka”, …., “Kurenung mata yang bakal membuka”, lalu tahulah kita bahawa Zurinah mengharapkan seorang yang baru “tiba”, iaitu melalui seruan, “genggamlah perjuangan berbenteng waja/sebagai seorang RIZAL!” agar demikian juga, pada suatu masa yang pasti menjelang datang.

ASKAT: Siapapun yang pernah membaca riwayat Rizal, menelaah karya-karya beliau, dan menghayatinya tidak akan gagal menanam satu kesan yang melambangkan bahawa perjuangan dan pengorbanan legenda ini tersangat unggul, tidak samasekali sia-sia, menjadi warisan. Bahawa jasmaninya boleh ditimbus tetapi semangat dan cita-cita luhurnya untuk membebaskan negara yang terbelenggu tidak boleh terhapus. Tambah lagi, semua yang diperjuangkan beliau tersulam dalam karya-karya yang tidak akan usang, dihembus-hembus terselak bersama helaian-helaian usia zaman mengilhami seluruh putera-puteri watan.
 — at Fort Santiago, Intramuros

Rahimidin Zahari, “Doa Puisi Si Fakir”,

Banyak sekali aku membeli buku dalam jangkamasa hampir seminggu kebelakangan ini. Ya, benar. Begitu juga, merata-luas tinjauanku mengenai tajuk-tajuk buku di toko buku berunsur ilmu, buku-buku lama dan baru, semuanya bermutu. Tersedarlahselalu dan tahulah betapa sedikit ilmuku, betapa sempit liputan bacaanku, betapa melukutnya aku berbanding dengan ribuan karyawan yang lain, yang buku-buku mereka kupegang tilik, kubelek-belek, kubeli atau baca tema perbicaraannya, sebahagian dengan asyik terlupa waktu berlalu. Memanglah tidak semua buku jadi kubeli, memikirkan tempat penyimpanannya yang sudah tiada tersedia lagi, muatan saku pun mempengaruhi. Sentiasalah aku ini memikirkan sudah banyak sekali kuhimpunkan pelbagai bahan bacaan, dengan ingatan untuk kubaca bila masa lapang datang menjelang! Kemudian jadi karyawan …. ahai malang!

Dalam keadaan begini melintas sajak teman fbku, Rahimidin Zahari, “Doa Puisi Si Fakir”, Dewan Sastera, Januari 2004, muka surat 37. Anak kampung ini telah mulai menghargai dunia kebukuan kerana berhasil mengaut faedah yang terang; mindanya terbuka menerawang, hasil pembacaan, yang diakui sendiri belum sangat boleh dibanggakan (sungguhpun “…beribu buku/yang kubuka dan tekuni”). Tetapi kita tahu penyajak ini bersyukur benar dengan pendedahan yang nampaknya tiada akan berkesudahan, bahkan bakal bertambah lagi. Melalui penguasaan bahasa, Arab dan Inggeris, bertambah luas alam maya ini akan diterokai. Kini dia sudah mengenali Iqbal, Arabi, Usman, Baha, Latiff, Muhammad, Sapardi, Goenawan Jalaludin Rumi, Ibn Khaldun, Frost, Neruda, Paz, Marquez, Brodsky , Walcott, Oe dan Gao Xinjian. Ada kata-kata Rahimidin, “Aku harus keluar dari serkup kampungku:/bintang memang di angkasa/dan aku ingin menjadi salah satu/daripada bintang itu,” Pengetahuan yang digali melalui pembacaan itu telah membantunya berkarya. Pun demikian, beliau merendah diri, mengetahui di mana tempat sebenar berdiri, seperti katanya, “aku hanya setitik dakwat/terjatuh di lembaran kertas”. Penyajak ini sudah sampai ke titik persinggahan yang belum muktamad kerana ia tertanya-tanya, “Ke mana harus kupergi kini/kalau tidak berpaling ke kampungku.” Tanpa diberi jawapan pun, arah tuju sudah pasti tidak merugikan beliau. Pastilah destinasinya jauh dari lingkaran “serkup” yang masih banyak melindungi orang lain.

ASKAT: Dari salah sebuah buku yang kubeli tadi kubaca profil seorang penulisnya. Beliau, kebetulan, kukenali, telah bersara seadanya. Tiba-tiba, pada usia 67 tahun (2006), dia menulis tiga buah buku dalam setahun dan bekerjasama menyelenggarakan sebuah buku lagi (2011). Boleh jadi, ada tulisan lain dihasilkan beliau, di luar pengetahuanku. Mungkin, sudah bertambah buku-buku beliau, kerana kesihatan beliau kelihatan tidak terganggu. Bagaimanakah aku?

Kayu Api

Tengok gambar ini (walaupun tak sama dan sehebatnya), aku teringat zaman kecil di kampung halaman (yang jauh dari pandangan). Dulu setiap hari-hari tidak bersekolah kenalah masuk ke hutan (Bakung dan Bukit Keluang) untuk menebang pokok jadikan kayu api. Bukan mudah mencari kayu api kerana di kampung sendiri yang berpasir, dihiasi pokok kelapa sahaja serata desa. Semua orang dalam keluarga tidak terkecuali, dari ayah, emak, abang-abang, aku, adik-adik, kena pergi. Rumah kami bukan dekat dengan tempat mencari kayu itu. Pergi dan balik kena berjalan jauh. Bila sudah ditebang potong dan diikat, masing-masing kena pikul semampunya bawa balik ke rumah. Beban berat itu sampai juga akhirnya, tetapi kena singgah beberapa kali di jalanan, menghilangkan lelah, meneguk air telaga (lubang tanah) yang asal tanpa ditapis. Zaman itu, cara minum begini tidak memudaratkan. Kebal anggota badan, walau berkaki ayam. Biasa jugalah kami berlumba sesama sendiri, mahu sampai mendahului yang lain. Mak seorang sahaja yang menjunjung. Kami yang lain semua lelaki memikul. Kayu yang biasa ditebang ialah jenis gelam dan gelam tikus, dan lain-lain yang tidak kuingat namanya lagi. Kayu yang dibawa balik dipotong menjadi lebih pendek dan dibelah kecil-kecil saiz keperluan dan dijemur. Bertimbun jugalah bekalan kami. Bila hampir habis, kena masuk hutan lagi, berkali-kali agar bekalan tidak terganggu. Bertahun-tahun juga kami berbuat begini sampai dapur “ori” digantikan dengan dapur minyak tanah.

“Anak Setia ke bawah cerpu Aki panglima Mat Kilau”

Kerana kekurangan tokoh yang dipuisikan oleh teman-teman fbku sendiri (kecualiZurinah Hassan dan boleh juga disebut, Ahmad Sarju) kuberalih ke luar lingkaran, mengambil Anas K. Hadimaja, “Anak Setia ke bawah cerpu Aki panglima Mat Kilau” dalam Dewan Masyarakat, Februari 1970, muka surat 49, sebagai bahan pantulan. Bagi Anas, tidak syak lagi bahawa Aki yang muncul tiba-tiba itu sebenar-benarnyalah Mat Kilau. Kata Anas, “kemarin …/…/../aku telah menjabat tanganmu/jabatan yang sangat lama/pertemuan lahir kali pertama/dan aku menelitinya/dan aku meyakininya”. Kemudian Anas menamatkan, “aku akan mengatakan kepada sesiapa/Mat Siam Mat Kilau itu/jelma menjelma/seorang pahlawan.” Jika hendak diramas madahnya demi lebih bererti, pembicaraan Anas lebih berharga. Kenapa tidaknya? Lebih awal sedikit, telitikan katanya, “tatkala tersebar ceritramu/melangkah menghamba membelah asap/ hujan peluru/dan sundang keris pisau menyadap nyawa/meremang roma seluruh jasad/…/melumpuh jasad seribu sepoi”.

ASKAT: Pahlawan, perwira, perajurit, juara dan beberapa lagi perkataan yang hampir dan berkaitan dengan makna-maknanya adalah dipadankan kepada tokoh atau peribadi yang dikenali kerana banyak sebab. Terutama, kerana ia berjuang mempertahankan – maruah, kedaulatan, “agama, bangsa dan negara”. Kalau kita persempitkan lingkungan yang diperjuang atau dipertahankan itu, maka tidak pula peribadi tersebut tidak boleh mencapai tahap kepahlawanan atau semaksud dengan itu. Bukan mudah juga untuk diiktiraf ketokohan termasuk sebagai pahlawan. Tentu banyak kriterianya sebagai asas tapisan. Pula, ada pihak yang bersetuju dan ada pula yang menyanggah, menohmah tajam. Kontroversi, menjadikan isu pengiktirafan seseorang untuk akhirnya dijulang lebih mendapat tumpuan atau perhatian ramai orang. Namun, dari segi sejarah, perisytiharan yang bertanggungjawab tentulah berdasarkan kepada bukti-bukti yang sahih.

Sedikit menyipi, barangkali tidak sesia kalau kita tidak dikenali, disanjung tinggi, asalkan kita telah memilih untuk tetap berbakti dengan kemampuan sendiri yang terbukti dan diakui oleh khalayak yang ikhlas hati ingin mencungkil inti pemikiran yang memanfaatkan berterusan. Tak kiralah apapun bidang. Pokoknya, janganlah tidak berkesan; jangan bertujuan untuk menjadi kebalikan daripada yang terbilang.

“Requem Buat Bung Karno”,

Sebuah sajak yang berkesan tentang tokoh (Nusantara) dikarang oleh Umar, “Requem Buat Bung Karno”, Dewan Masyarakat, Ogos 1970, muka surat 52. Negarawan terbilang ini telah meninggal dunia pada 21 Jun 1970 di Jakarta. Sebahagian teman-teman tentu tahu Soekarno mati bukan ketika menyandang jawatan Presiden negara kepulauan itu. Kedudukan beliau jauh di bawah, terhina lantaran peristiwa Gestapo PKI 1963. Dalam suasana demikian, Umar, menerpakan perasaan rakyat, “Jutaan sedu diganggang marah/memendam duka terlarang/di jantungnya.” Pada hakikatnya keharuan tidak dapat disembunyikan, kerana “Sejuk keluli menikam daging/keganasan menyisihkan dikau/dari kenangan kami.” Tidak diragui lagi intinya menghormati. Dan itu terasa tinggi. Bererti. Menepati.

ASKAT: Sejarah tidak dapat diselindungkan. Penghayatan ke atasnya menimbulkan kesan yang saling bertelingkahan. Ketika jasa diiktiraf sebagai bakti teragung, luahan pandangan atau perasaan adalah setara sanjungan, tiada sedikitpun berkurangan. Kemanusiaan bukan tidak tercela sampai semuanya harus berbentuk penyanjungan. Sesekali, ada yang berupa takah malang, kejatuhan menjunam dari kemuncak kemuliaan. Ia berlaku tiba-tiba atau dan-dan. Di luar kebiasaan. Tidak boleh dihalang. Inilah dikatakan, manusia merancang Tuhan sahaja berkuasa menentukan.

Penghargaan orang terhadap orang lain seperti lautan; surut kemudian pasang, sesuai dengan keadaan. Bila kudeta gagal, Soekarno seakan hilang dari radar jutaan rakyat yang suatu ketika dibebaskannya dari belenggu penjajahan. Tetapi, ketika berpulang ke rahmatullah kerana mengakuri putaran alam, kebetulan negara pula bukan lagi dalam kegawatan, kebanyakan orang boleh mengenang-ngenang. Apabila sudah bercambah, terutama di kalangan yang berwewenang, kerasionalan atau kesediaan untuk melupakan angkara dan honarnya pada era silam, demi sumbangan yang tiada pula kurang kebaktiannya, menjangkaui seantero kepulauan, maka kepulangan seseorang tokoh raksasa ke alam baqa sewajarnya berupacara, tidaklah langsung tanpa tangisan. Nenek moyang mengibaratkan jasa bakti seumpama belang haiwan garang. Sayugia kita terus mengesahkan.

Puisi Baha Zain “Di Muara Cita-cita Pada Sungai Sejarahnya (Untuk Tan Sri Ismail Hussein)”

Saya barusan menikmati sajak Baha Zain (Sasterawan Negara), “Di Muara Cita-cita Pada Sungai Sejarahnya (Untuk Tan Sri Ismail Hussein)”, Dewan Sastera, Oktober 2013. Sajak ini tercipta pada Oktober 2002. Barangkali inilah karya yang tidak perlu diulas. Membacanya sudah seakan sedang diberi penganugerahan, walaupun menusuk dan pada tempatnya pedas. Sajak ini semuanya harus dipetik demi keadilan kepada penciptanya. Tetapi, agar teman-teman memiliki dan merasakan sendiri, aku petik sengajanya pendek sekali, melompat-lompat: “Engkau telah mengenali kejujuran dan kepura-puraan/tetapi memilih diam di telunjuk kebijaksanaan”, dan di bahagian akhir: “musuhmu mengiktirafnya,/dalam benci dan cinta,/engkau ada,/semalam, kini dan esoknya,/senantiasa dan selalu,/engkau, dan/gagasan itu.”

ASKAT: Aku akan kembali meneguk cairan patinya puisi ini, sekali lagi kemudian nanti.



"Suara Kita" Bahagian 3



Salah satu fakta yang saya cari apabila membelek “Suara Kita” ialah tarikh-tarikh sajak-sajak itu dicipta atau diterbitkan kali pertamanya. Kesan awal, setakat membelek sehingga selesai meliputi kategori E. Penyair/Penulis/Wartawan, tidak banyak sajak yang diketahui ‘riwayat’nya. Dalam kelompok A. Tokoh Negara, daripada 11 sajak, semuanya bertarikh (antara 1996-2007) kecuali satu. Dalam kelompok B. Agamawan, semua 11 sajak tanpa bertarikh. Di bawah kelompok C. Ahli Politik, empat sajak yang dimuatkan tanpa bertarikh. Di bawah kelompok D. Anak Merdeka, enam sajak tanpa bertarikh. Dalam kelompok E. Sasterawan/Penulis/Wartawan, daripada 396 sajak karya 142 penyair hanya segelintir sahaja bertarikh iaitu dalam lingkungan 21 sajak. Penelitian setakat ini menunjukkan sajak-sajak ini tercipta/terbit pada antara 1967, 1975, 1989, 1990 (2 sajak), 1994 (3 sajak), 1995 (2 sajak), 1997, 2000 (3 sajak), 2001, 2004 (4 sajak), dan 2006. Di samping itu, boleh juga kita jangka sebilangan sajak tanpa tarikh sebenarnya memberi isyarat tarikh penciptaan setiap satunya kerana masing-masing memberi rujukan kepada ulang tahun 50 tahun kemerdekaan, bermakna pada tahun 2007 atau sekitarnya. Belekan lajak terhadap kelompok-kelompok yang lain ( F, G, H, I) pun menunjukkan lebih daripada 90% sajak tanpa dicatat tarikh tercipta atau kali pertama terbitnya.

Seperkara lagi, saya suka melihat sesebuah antologi yang baru seperti "Suara Kita" tidak memuatkan semula sajak-sajak yang telah dimuatkan dalam antologi-antologi yang lain yang telah diterbitkan terlebih dahulu. Kalaulah sajak-sajak itu baharu kali pertama terbit dalam akhbar-akhbar atau majalah-majalah, maknanya masih eceran, maka itu tidak tertakluk kepada kriteria ini.

“Suara Kita” Bahagian 1 & 2

“Suara Kita”  Bahagian 1 

Saya meninjau sepintas lalu, “Suara Kita Antologi Seribu Sajak Merdeka” (2013) dan mendapati sajak-sajak teman-teman fbku yang termuat berjumlah 35, karya 10 orang iaitu Ahmad Sarju (3), Ismail Restu (2), M. Ashikin (4) [Mohd Mansor Abdullah], Mohd Dahri Zakaria (1), M Sabri Ibrahim (Mohd Sabri Ibrahim](6)*,Nawawee Mohammad (4), Talib Samat (6), Wan A Rafar [WanRafar Ishak] (1),Zabidin Hj Ismail (5) dan Zurinah Hassan (3). Ini bermakna sumbangan mereka dari segi bilangan adalah 3.5% daripada keseluruhan. Kalau dikategorikan mereka dalam kelompok penulis, bilangan sajak sumbangan mereka berupa 8.8% daripada sumbangan kelompok tersebut. Di kalangan teman ini yang paling plolifik ialah Talib Samat dengan 6 sajak. Kepada mereka kuucapkan tahniah.

Terkeluar dari teman-teman fbku, aku perhatikan penyumbang paling banyak dalam antologi ini ialah Sabariah Bahari dengan 9 sajak. Tiga orang menyumbang lapan sajak masing-masingnya iaitu Ramli Daud, Solihin Osman dan Kang Raden Mas. Seorang lagi, Jamy menyumbang 7 sajak.

*Teman fbku menggunakan nama Mohd Sabri Ibrahim dalam laman Fb beliau. Jika “M Sabri Ibrahim” bukan beliau, saya memohon maaf dan minta ditegur jua

“Suara Kita” Bahagian 2 

Ku cungkil antologi tebal berisi sajak berjumlah seribu. Ku aturkan begini dahulu, setakat yang mengenai sahabat mayaku.

Ahmad Sarju (Hati Siapa Tak Terharu, Kembalikanlah, Kemerdekaan Ke-50); Ismail Restu (31 Ogos 1957, Doa dan Harapan); [Mohd Mohd Sabri Ibrahim] M. Sabri Ibrahim (Hj) (Alam Mengajar Kelembutan, Berpaut di Wajah Rindu, Bahagia Bersama, Kemerdekaan, Perisytiharan Cinta, Klasik Cinta RM); Mohd Dahri Zakaria(Rekonstruktif Anak Merdeka); [Mohd Mohd Mansor Abdullah] M Ashikin (Dato’ Dr Hj) (Anak-anak Lepas Merdeka, Hadiah Kemerdekaan Papa, Siapa Sebenarnya Merdeka, Tidak Semudah Itu); Nawawee Mohammad (31 Salam Sajak, Setelah Dia Tiada, Setelah Kota Bharu, Setelah P.Ramlee); Sabariah Bahari (Hjh) (Cinta Generasi Anak Pasca Merdeka, Cinta Tumpah di Tanah Tercinta, Di Pelayaran Ini, Epilog Sebuah Perjalanan, Janji Bangsa Merdeka, Kitalah Anak Merdeka, Pertahankan Keamanan Ini, Suara Anak Bangsa, Sumpah Setia Anak Merdeka); Talib Samat (Prof Madya, Dr Hj) (31 Ogos, Bahtera Merdeka, Budi Bahasa Rakyat Kepada Pemimpin, Budi Bahasa Pemimpin Kepada Rakyat, Hebatnya Wanita Harmoni, Pulau Pangkor); [WanRafar WanRafar Ishak] Wan A Rafar (Lagu Kehidupan); Zabidin Haji Zabidin Hj Ismail (Hj) (Bendera Kemerdekaan, Gebang Merdeka, Kemerdekaan Alaf Ini, Kita Serupa, Malaysia Tanah Air Kita); dan Zurinah Hassan (Kemerdekaan, Sebuah Balai Polis di Melaka, Senandung Bunda Kandung).

Sebelas teman fbku menyajak 44 judul yang kalau diadunkan kesemuanya boleh menerbitkan kata-kata kunci seperti merdeka, cinta, suara, harapan, terharu, sumpah dan lain-lain lagi. Kali ini, aku tidak mahu menyentuh bersungguh setiap sajak. Juga, tidak aku mahu membandingkan sajak seorang teman dengan seorang teman yang lain. Tidak juga, mahuku menganalisis kelainan sajak-sajak yang dicipta oleh khusus seorang teman sahaja. Apapun pendekatan, tidaklah tersorok lagi, bahawa “kemerdekaan” adalah sesuatu yang tersangat berharga. Kemerdekaan negara tentulah pula bersangkut rapat dengan kemerdekaan peribadi atau individu atau kelompok setumpu kepentingan. Tanpa kemerdekaan kedaulatan negara tidak wujud. Bangsa hanya memiliki nama asli sekadar untuk dikenali yang darjatnya tidak setaraf dengan bangsa yang menjajah, yang tentulah lebih bertakhta tinggi. Itulah sebab apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan, seluruh anak bangsa akan “terharu”, pejuang-pejuang yang terlibat secara langsung tersentuh jiwanya mengenang pengorbanan besar yang telah dicurahkan demi menggapai “harapan” – boleh berupa tumpahan darah menyiram tanah, air mata diperah seksaan, kehinaan berada di perlembahan, penjara menghalang penularan jati diri kebangsaan, perpisahan akibat nyawa melayang – pendeknya, bila terampas kemerdekaan, harga diri bukan sendiri yang menentukan. Kuasa menjayakan hasrat hati ada di tangan pihak yang lain.

Kebelengguan, sama ada sekejap atau berkurun-kurun lama, tidak akan gagal memercikkan semangat yang mengobar-ngobarkan perjuangan. Tidak lain timbulnya demikian kerana ada “cinta” dalam dada, ada “suara” bisikan sanubari, ada rasa getaran jiwa, mendesak agar semua yang terjajah bingkas berdiri sepenuh hati merealisasikan harapan bangsa yang diperhambakan, menuntut tidak kekal terantai berterusan. Berpunca dari situasi yang penuh dengan ketidak-adilan, kezaliman, keterbiaranlah menjadi subur tekad, mengental “sumpah” keramat agar dimerdekakan cepat. Kemerdekaan yang dicapai tidak semestinya menjamin kesentosaaan. Sentiasa perlu ada kewaspadaan supaya tidak berulang dirundung malang, sama ada kembali semula seperti dahulu kala atau dijajah lagi secara yang berlainan dengan kesan yang kelihatan elok di luar sebaliknya buruk di dalam.