Kerana kekurangan tokoh yang dipuisikan oleh teman-teman fbku sendiri (kecualiZurinah Hassan dan boleh juga disebut, Ahmad Sarju) kuberalih ke luar lingkaran, mengambil Anas K. Hadimaja, “Anak Setia ke bawah cerpu Aki panglima Mat Kilau” dalam Dewan Masyarakat, Februari 1970, muka surat 49, sebagai bahan pantulan. Bagi Anas, tidak syak lagi bahawa Aki yang muncul tiba-tiba itu sebenar-benarnyalah Mat Kilau. Kata Anas, “kemarin …/…/../aku telah menjabat tanganmu/jabatan yang sangat lama/pertemuan lahir kali pertama/dan aku menelitinya/dan aku meyakininya”. Kemudian Anas menamatkan, “aku akan mengatakan kepada sesiapa/Mat Siam Mat Kilau itu/jelma menjelma/seorang pahlawan.” Jika hendak diramas madahnya demi lebih bererti, pembicaraan Anas lebih berharga. Kenapa tidaknya? Lebih awal sedikit, telitikan katanya, “tatkala tersebar ceritramu/melangkah menghamba membelah asap/ hujan peluru/dan sundang keris pisau menyadap nyawa/meremang roma seluruh jasad/…/melumpuh jasad seribu sepoi”.
ASKAT: Pahlawan, perwira, perajurit, juara dan beberapa lagi perkataan yang hampir dan berkaitan dengan makna-maknanya adalah dipadankan kepada tokoh atau peribadi yang dikenali kerana banyak sebab. Terutama, kerana ia berjuang mempertahankan – maruah, kedaulatan, “agama, bangsa dan negara”. Kalau kita persempitkan lingkungan yang diperjuang atau dipertahankan itu, maka tidak pula peribadi tersebut tidak boleh mencapai tahap kepahlawanan atau semaksud dengan itu. Bukan mudah juga untuk diiktiraf ketokohan termasuk sebagai pahlawan. Tentu banyak kriterianya sebagai asas tapisan. Pula, ada pihak yang bersetuju dan ada pula yang menyanggah, menohmah tajam. Kontroversi, menjadikan isu pengiktirafan seseorang untuk akhirnya dijulang lebih mendapat tumpuan atau perhatian ramai orang. Namun, dari segi sejarah, perisytiharan yang bertanggungjawab tentulah berdasarkan kepada bukti-bukti yang sahih.
Sedikit menyipi, barangkali tidak sesia kalau kita tidak dikenali, disanjung tinggi, asalkan kita telah memilih untuk tetap berbakti dengan kemampuan sendiri yang terbukti dan diakui oleh khalayak yang ikhlas hati ingin mencungkil inti pemikiran yang memanfaatkan berterusan. Tak kiralah apapun bidang. Pokoknya, janganlah tidak berkesan; jangan bertujuan untuk menjadi kebalikan daripada yang terbilang.
No comments:
Post a Comment