Pantulan 62/14: Serupa dulu?
Sajak (WanRafar Ishak) Wan A. Rafar, “Cabaran”, Dewan Masyarakat, Julai 1967, muka surat 50 tetap kekal dengan mesejnya, iaitu ‘mencabar’ walaupun telah tercipta 48 tahun lalu. Salahkah tanggapan ini? Yang kita tahu, kita masih dalam keadaan yang tidak jauh berbeza berbanding suatu ketika dahulu. Dalam kemelaratan; ketika bersekolah berjalan kaki, bermandi-manda di sungai dan berlarian di pantai, memikul kayu api di hutan untuk mengasapkan dapur, berpelita minyak tanah mentelaah pelajaran, menenggala sawah, berpukat tangkul, beratap tiris membasahi lantai musim banjir, berkurung di musim tengkujuh berlauk ikan budu, … ketika menghadapi pelbagai kekurangan kerana belum menguasai keperluan hidup dan lemah bersaingan di zaman moden. Semua itu, “gambar-gambar tidak lagi menarik”. Tetapi Wan tidak berputus harap. Dan ini tidak pelik kerana seruan setaranya masih diraungkan. Dan Wan semenjak dahulu menggesa kita, “Angkatkan/kepala berangmu” dan berusahalah mencapai cita-cita luhur yang tentunya akan membahagiakan, jika berjaya mengatasi rintangan yang nyata dan terselindung.
ASKAT: Hidup ini bukanlah suatu kenyataan tanpa dugaan. Terbukti semenjak azali, langkahan manusia tidak sepenuhnya lancar kerana di jalanan ada lopak-lopak memperlahankan pergerakan, ada gaung sukar dilintasi, ada tasik terlalu luas untuk direnangi, ada hutan tersangat tebal untuk diredahi. Tetapi kalau gunung tidak didaki, sang pertapa tak boleh kita gurui. Tanpa mengalami semuanya, peribadi tidak cukup perkasa, semangat tidak ‘kan waja, minda tidak akan bijaksana, dan “Hari depan nan agung” pastilah hanya mimpi. Maka sudah tetap benarlah bahawa cabaran dahulu dan kini serta yang mendatangi tetap berbentuk “cabaran”. Cumanya, sekitaran yang berubah melingkari pelaku-pelaku semasa, menuntut penyesuaian selayaknya. Kita tidak boleh berlepas tangan, hanya berharap yang dihajati melayang singgah di riba. Bulan tak pernah jatuh demikian. Pendaratan di mukanya adalah hasil usaha berterusan di samping keupayaan membiayainya.


![Pantulan 60/14: Pengorbanan
Lama berselang baru sekarang muncul semula temanku [Hajah Zaiton Haji Ajamain] Zaiton Ajamain, lewat “Reaksi kepada Integrasi”, Dewan Sastera, Oktober 1993, muka surat 34. Kalau tidak kerana judulnya pemahaman terhadap ciptaan ini akan menagih perahan minda. Dari satu segi penjudulannya telah menjadikan aku teringat kembali peristiwa melibatkan diri dalam program ini ketika masih berkhidmat satu ketika dahulu.
Sayang sungguh temanku pada “Gunung Kinabalu”, “dingin Siasai”, “sejuk Kundasang” tetapi aku mengusap-usap dada lega, kerana demikian menyatanya, “demi kelangsungan hidup dan kehidupan” beliau berangkat juga “ke puncak Ledang” dengan kesebakan tanpa pilihan. Hidup adalah pertarungan. Kecuali melangkah gagah ke medan, menerima “qadak dan qadar”, selainnya adalah kebaculan yang memudaratkan . Dan aku bersyukur pada akhir dan sejajar dengan hakikatnya, beliau mengakui “Realitinya, hidup/bagai masa yang datang dan pergi terus/tiada kembali, /…” dan “Inilah realiti, sulitnya /diredai …” Inilah pendirian paling unggul, sekali gus menjelmakan keperibadian temanku. Pilihan yang bijaksana, dipandui pengalaman yang lama.
ASKAT: Menjadi penjawat yang diamanah memikul sesuatu tanggungjawab atau menjayakan azam negara bukan tidak perlu pengorbanan. Sudah tidak timbul isu tidak mematuhi perintah, kerana prinsip ‘Saya yang menurut perintah’ bermakna mengabdikan diri sepenuh jiwa raga. Ia mengatasi persoalan lebih memberati kesejahteraan diri. Bukan pula tidak ada faedah bakal dinikmati kelak, lebih-lebih lagi golongan terbesar rakyat, jika kita tidak berbelah bahagi ketika berbakti. Rakyat jelata akan mengecapi hasil jerih perih para penjawat tanpa nama ini. Bakti tercurah , di sana atau di sini, sama ertinya, bahkan di tempat baru, mungkin lebih dihargai kerana tepilihnya kita untuk memikul tanggungjawab berkenaan, adalah suatu pengiktirafan kebolehan, pembukaan kesempatan untuk lebih mengendali, dan meninggalkan warisan kewibawaan. Dengan peralihan, pendedahan , dan prestasi yang mengatasi daripada yang telah sedia ditunjukkan, barulah seseorang akan lebih gah lagi terserlah. Beliau tentulah akan sepenuh hati diakui memiliki semua ciri yang disanjungi. Kemudian tidaklah akan tercetus pertelagahan, desas-desus ekoran, lantaran dinobatkan penjawat sejati atau tokoh misali.](https://fbcdn-sphotos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xpa1/v/t1.0-9/p235x165/10492222_598043410318752_8351071512234407942_n.jpg?oh=688c7d890df175d92035d659cfa7eadf&oe=54C8F17F&__gda__=1422139033_157b5d057e29b7c17a862d81c43ed59b)


![Pantulan 57/14: Biarlah tanpa jika
Sajak teman fbku WAHBA [Wan Hamzah Awang Wahba], “Di Bawah Bulan”, Dewan Budaya, Disember 1979, termuat bersendirian, tanpa digandingi, dalam satu halaman, iaitu muka surat 40.
Sajak seharusnya memberi kesan – mengikut perasaan pembacanya. Alangkah seronok kalau sekali gus membacanya kita pun faham maksudnya sama ada yang tersurat atau tersirat. Juga, sajak masih ada kesannya kalau bahasa yang tersulam itu sendiri menimbulkan keindahan walaupun maknanya kita tetap tergamam merungkaikannya. Tetapi sajak bukanlah sajak kalau tidak terkambus lapisan ertinya. Ia harus menggera akal mendengus, mengelus, demi semua persoalan yang dicetus akhirnya terhapus. Semoga begitu.
ASKAT: Aku tidak akan meneroka berlebihan …. kecuali memutuskan untuk mengakui bahawa apabila tiada sesiapa mampu menyelamatkan, maka kedukaan yang dialami menjadi tertanggunglah ke atas jemala-jemala para penderita. Memanglah wajar untuk terus berusaha tetapi upaya boleh jadi tidak mencukupi oleh hebatnya persekitaran yang menguasai. Dalam suasana tidak lagi boleh mengharapkan orang lain, akupun tidak tahu mengatasi kecuali berdoa. Semoga kita tidak sering memimpi-mimpikan, lemas dalam dilema atau terampas nikmat mempunyai pilihan lantaran tidak bijaksana.
(Nota: Aku pernah menulis dalam laman fbku, “Pendoa di Bawah Bulan” pada 23 Mac 2013 seperti berikut:
“Kian nyata mendekati/lalu kautadah tanganmu/kehadirat Ilahi/ tanpa kalimat/mengharap mandat/tepat padat.
Aku sanya memerhati/dan tidak menafi/berat berulang lagi.”](https://fbcdn-sphotos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xpa1/v/t1.0-9/p370x247/1486683_594373944019032_943233045842634519_n.jpg?oh=1f8b28b99925c5365c99d54e69496887&oe=54C1DC57&__gda__=1420841656_18f7b34f2dffe397e298e967c070ec9d)


![Pantulan 54/14: Melangkah kembali
Aku memang mencari-cari sebuah sajak teman-teman fbku untuk dipantul seperti lazimnya. Hari ini ketemulah, [Shafie Bin Abu Bakar], Shafie Abu Bakar, “Muhasabah di Madrasah Diri dalam Menuruni Usia Setengah Abad”, Dewan Sastera, Jun 1993, muka surat 29. Tokoh ini bermuhasabah menandakan usia bertambah, “setengah abad”. Sungguhlah, kalau kita sejenak mengingati, “lantas kenangan silam/hadir pada satu titik/mendambakan.” Tiada sesia usaha berfaedah dan syahdu itu kerana sering berakhir dengan cetusan “…keinsafan” dan kemudian, “… menyuluh kegelapan jalan dilalui.”. Betapa penyajak ini menjunjung jasa bakti para guru kerana “mereka adalah sungai-sungai /yang menemukan alur diri/dengan laut tak bertepi”.
Pada sajak ini, terpemanai butiran mutiara di setiap putaran huruf, garis kalimat dan untaian rangkapannya. Inilah yang kita kehendaki daripada menerjuni karya seni. Sebeginilah juga yang banyak kita temui dalam syair-syair para sufi.
ASKAT: Yang paling sukar terjadi ialah membangkit dan memperkukuhkan keinsafan diri terhadap kehonaran yang telah berlaku dan berlalu dalam umbang-ambing penghidupan sambil menghubungjalinkannya dengan letak iman diri semasa dan lorong kembara masa depan, yang tersisa. Kita pernah dinasihati orang bijaksana agar bertaubat nasuha atas keterlanjuran yang kadang-kadang bertahap merajalela. Kesedaran tentang salah langkah, seleweng etika orang beriman lazim berlaku ketika senja akan digelapi . Diakui tidaklah pula demikian itu datang bertandang ketika muda tampan. Bahkan, apabila mencapai dewasa, setengah abad atau sekarang ini, enam dekad lebih bukan jaminan tertuntun sepadan. Ia tidak menjelma tanpa merenung tajam. Pun, tetap bertuah dan bersyukur oleh sesekali mengingati asal diri. Hanya, dikesali tidak pula berterusan ketaqwaan dilanda gangguan hasutan yang kerananya kekadang membantut langkah-langkah murni, terenti tetiba hanya selepas datang sedikit ujian duniawi. Sungguh rapuh benteng imani. Ya, usia ada takah-takahnya. Dan aku sudah melewati yang lazimnya dialami manusiawi.
(Nota: Tidak kujumpa sajak ini dalam kumpulan sajak pertama Shafie Abu Bakar, “Wajah Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, cetakan pertama).](https://scontent-a-kul.xx.fbcdn.net/hphotos-xap1/v/t1.0-9/q84/p235x350/10660091_591102767679483_8785029692936166716_n.jpg?oh=fc098a13300ddb93317cd24f680ae5da&oe=54B3FBE3)





