Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 34/15: Sajak M. Ashikin “Potret Senja”

Pantulan 34/15: Meremang
Sebenarnya ada empat sajak dimuatkan sebagai “Puisi Pilihan” menghormati teman fbku, Mohd Mansor Abdullah (M. Ashikin) sebagai “Karyawan Bulan Ini”, Dewan Sastera, Mac 2003. Sajak paling panjang berjudul “Pesan dari Menara” dan yang terpendek berjudul “Potret Senja”. Dua sajak lain ialah “Suatu Pemberian” dan “Mentera Semangatku”. Sajak “Pesan dari Menara” (ciptaan Jun 2001) kujumpai juga dalam kumpulan sajak beliau, “Lembah Damai”, ITBM/PENA, 2014, muka surat 26-29. Terpancar pula falsafah yang dipegang beliau dalam berkarya seperti jelas tersinar dalam “Mentera Semangatku”. Hanya, untuk pantulan kupilih “Potret Senja” (muka surat 18), bukan sahaja kerana pendeknya tetapi cuitharuan perasaan sendiri, oleh keaslian cara luahan yang melankolik, “apakah lagi bisa kuhulur” (2x), mengakui ketiadaupayaan manusiawi. Menepati sungguh dalam latar keadaan mengalami penghakisan usia semasa yang kian meluruh.
Betapa bertuah kita, kerana dilimpahi rezeki. Merasai semua sekali suka duka hidup di alam tradisi dan dunia canggih masa kini. Ada kita lalui kesukaran sebagai anak-anak nelayan, petani, buruh dan lain-lain lagi. Dengan kegigihan, kesempatan terbuka, bantuan biaya, menjadikan kita mendaki dan dikenali, penuh dengan jasa dan bakti. Hampir kita memiliki serba-serbi. Tetapi aku suka menggambarkan bahawa penghidupan ini pada akhirnya sampai ke saat berdua-duaan dengan seseorang yang kita sendiri jadikan raja atau permaisuri. Kemudian, ya, kemudian pada titik paling akhir, dalam limpahan segala-galanya - nama yang terbilang, darjat yang terangkat, harta yang menselesakan - tetap juga kita tidak bisa menghindari realiti tersurat. Benarlah kata temanku ini, pada takah sekarang, kehadiran kita sudah “remang”. Cuma selangkah dua lagi untuk berhenti.

Pantulan 33/15: Sajak Zaiton Ajamain "Tentang yang Besar, yang Tinggi, yang XXL”

Pantulan 33/15: Kehonaran
Melalui puisi khas, “Tentang yang Besar, yang Tinggi, yang XXL”, Dewan Sastera, Jun 2002, muka surat 81, teman fbku yang santun, [Hajah Zaiton Haji Ajamain] Zaiton Ajamain menukilkan ketajaman penganalisisan beliau. Tepat sekali, dipilihnya sifat-sifat manusia yang semenjak azali memecah-belah dan memusnahkan persaudaraan iaitu “taksub” dan “angkuh”. Beliau membayangkan natijah “ketaasuban” dan “keangkuhan” dalam rupa “seribu satu kegawatan”. Diakui beliau terbina sudah tugu-tugu di mercu alam, yang besar-besar, tinggi-tinggi, hebat-hebat. Namun, lantaran berleluasanya kemaharajalelaan, seringnya yang berskala mega, ia telah mencacatkan makna semua pencapaian yang baik-baik yang selama ini dibangga-banggakan. Tentulah tanpa kehonaran demikian manusia akan melangkah ke hadapan dalam keredhaan dan kemanfaatan berterusan.
Tetapi beginilah kehidupan di dunia. Dari Adam sehingga kita. Padahal, pembacaan lembaran-lembaran sejarah seharusnya membijaksanakan dan dengan itu tiadalah penemuan-penemuan yang memartabatkan tamadun manusia tercalar lagi oleh tindakan-tindakan berpaksikan kejahilan. Anehnya, dalam pada ia dan mereka berpengetahuan bestari serba-serbi, manusia tetap hilang ingatan, buta pandangan, tumpul minda. Hakikatnya, ia dan mereka dicumbui bahkan dibumbui nafsu peribadi. Maka ia dan mereka membelakangi rezeki dan penghormatan. Ia dan mereka tercabul. Dan tercemarlah reputasi 'ia' dan mereka di kubur.

Pantulan 32/15: Sajak Sutung Umar RS “Penyair dan Hari Kemerdekaan”

Pantulan 32/15: Merakam pengorbanan
Teman fbku, Sutung Umar RS, bertanya tentang tanggungjawab penyair. Aku suka kebersahajaan kalimat-kalimat, “Apakah yang seharusnya ditulis”, “Apakah yang semestinya ditulis” pada awal dan akhir sajak “Penyair dan Hari Kemerdekaan”, yang tercipta 32 tahun dahulu, Mingguan Bumi, 3 September 1983 (lihat, “Malaysia Dalam Puisi”, muka surat 274-275). Apalagi apabila kalimat-kalimat itu disusuli kesantaian, “oleh seorang penyair/sewaktu merayakan/ hari ulang tahun kemerdekaan tanahairnya”. Jawapan beliau berikan sendiri, “selain menyatakan pendiriannya/dengan merdeka”. Prosaik yang puitik.
Sebelum membaca sajak ini, kelmarin aku menyemak judul-judul sajak-sajak ciptaan di antara tahun 1913-1957 dan mencatat judul-judul, “Oh Chulan! Oh Chulan!” (IBHY, Majlis, 1938); “Encik Onn” (Anum, Majlis, 1940); “Dato' Onn Berdiri” (N. Latiff, Majlis, 1947); “Abdul Rahim Kajai” (Melan Abdullah, Mastika,1948); “Ayahanda Rahim Kajai” (Yahya Suti, Hiburan, 1948); “Ahmad Boestamam” (Abdul Salam, Hiburan, 1955); “Bapa Boestamam” (C.K. Abdul Rahman, Utusan Zaman, 1955). Yang lain-lain mengenai Hang Tuah (7 buah). Banyak sajak tentang “yang mati tanpa nama/yang hidup tanpa gelar” tercipta merata-rata tetapi keumuman kalimat-kalimat menjadikan sanjungan, penghargaan terhadap mereka (pejuang, penganjur, Askar Melayu, Polis, dan lain-lain) tidak berkesan, barangkali hanya dibaca ketika tersiar kali pertama.
Sajak-sajak perjuangan, cinta tanahair (juga tentang tema-tema yang lain) yang dapat digubah dengan indah, banyak sumbangannya kepada negara. Kalau pada majlis-majlis deklamasi ia dihargai, apalagi dikaji di sekolah-sekolah atau institusi-institusi pengajian tentulah tidak dipertikaikan lagi khidmat bakti atau jasa karyawan-karyawan berkenaan. Kita pun gembira kalau para penyair dianugerahi berpadanan. Yang mengkhuatirkan, ribuan sajak ditulis, tetapi yang dijunjung atau hidup hanya sebilangan sahaja. Jadi, mencipta “dengan merdeka” menuntut penyair menghasilkan sajak-sajak yang tahan zaman berzaman.
(Rujukan: Ahmad Kamal Abdullah & Ahmad Razali Haji Yusof, “Malaysia Dalam Puisi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, cetakan kedua; Kamaruzzaman Abdul Kadir, “Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan kedua (cetakan pertama 1982); Abdul Latiff Abu Bakar (Penyelenggara), “Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan pertama).

Pantulan 31/15: Sajak Kemala “Lagu Kemerdekaan”

Pantulan 31/15: Jati diri
Sajak-sajak cantik tentang kemerdekaan karya teman fbku [SN Ahmad Khamal Abdullah] KEMALA, yang sempat kulintasi, ialah “Lagu Kemerdekaan”, (1966), “Dedikasi” (1969), “Jangan Berduka Malaysiaku” (1984) dan “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” (1972). Selaras dengan fokusku pada sajak-sajak ‘lama’ maka yang paling awallah kupantulkan. Namun, kerana panjangnya tiga halaman, kukira yang paling mencetus reaksiku ialah kalimat-kalimatnya, “jiwa hidup tanpa belenggu”; “bersama harga diri”; “gambar peribadinya/kita masih belum bisa bertemu”.
Tentang jati diri, seingatku sudah banyak usaha rasmi dan tak rasmi telah diinisiatifkan, oleh pelbagai pihak. Semuanya berlandaskan Perlembagaan. Kita ada Dasar Pelajaran Kebangsaan, Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Rukunegara, Wawasan 2020….. Kalau dibaca buku Kongres Kebudayaan Kebangsaan, 200 rumusan telah terakam. Dikemaskan pula dengan Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, dan sederetan yang panjang dokumen-dokumen berstrategik lain-lainnya sudah memadai untuk memperlihatkan “gambar peribadi”, jika sebenar-benarnya terealisasi. Diakui, memanglah sudah banyak yang tercapai. Namun, kalau jati diri menjadi kriteria utama, ia menuntut penelitian semula. Tanpa pun merobah dasar-dasar kunci, serumpunan strategi yang tetap kental masa dan tanpa peka perubahan di kalangan para pemuka, jangan sekali-kali diketepikan. Sesiapa pun memegang teraju, di peringkat mana pun, (baca, pada semua tahap), tanggungjawab memantau demi mempastikan capaian matlamat tidak boleh tersekat-sekat. Semuanya mesti tiba pada garis penamat. Sebab, yang sering berlaku, mudahnya disebut, sekali perubahan muncul, sekali semangat tumpul bahkan bacul, serta pemantauan mundur, tenggelam dalam lumpur, tersumbat dalam botol. Yang timbul adalah keloi!
(Rujukan: “Himpunan Sajak Dari Majalah “Dewan Bahasa” Sept 1957-1967”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, cetakan pertama; Ali Ahmad, “Perintis Sajak2 Melayu”, Penerbit Fajar Bakti, 1971; Ahmad Kamal Abdullah & Ahmad Razali Haji Yusof, “Malaysia Dalam Puisi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, cetakan kedua; Zalila Sharif & Hasni Abas, “Antologi Puisi Tanah Airku”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, ediisi kedua, 2005).
NOTA: Sajak terpamer disalin daripada “Malaysia Dalam Puisi”.

Pelopor Judul “Merdeka”

Pelopor Judul “Merdeka”
Tersenarai sebanyak 398 sajak ciptaan di antara 1933-1957 yang bertemakan nasionalisme. Namun, yang benar-benar menggunakan judul ‘merdeka’ berjumlah 17 buah. Dinyatakan sajak-sajak itu:
1. Tongkat Warrant, “Nikmat Kemerdekaan”, Utusan Zaman, 7 Ogos 1949, (SP)
2. Tongkat Warrant, “Zaman Merdeka”, Utusan Zaman, 15 Januari 1950 (SP)
3. Muhibah Asmara, “Merdeka”, Utusan Zaman, 17 Disember 1950 (SP)
4. Hamzah, “Anak-anak Merdeka”, Utusan Zaman, 12 Ogos 1951 (SP)
5. Tomo Malaya, “Jiwa Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 30, April 1954 (SP)
6. Johari Alias, “Masyarakat Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 30, Jun 1954 (NB)
7. Tongkat Warrant, “Merdeka”, Utusan Zaman, 4 Julai 1954 (SP)
8. Asmahan, Perak, “Untuk Malaya Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 30, Ogos 1954 (SP)
9. M. Ismail, Kemaman, “Sekali Merdeka Tetap Merdeka”, Utusan Zaman, 4 Mac 1956 (SP)
10. Abdullah Abdul Ghani, “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”, Utusan Zaman 25 Mac 1956 (SP)
11. Hasbima, “Kekal Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 32, Mei 1956 (SP)
12. A.S. Amin, “Jiwa Merdeka”, Mastika, Julai 1956 (SP)
13. Abdul Samad Ahmad, “Hari Kemerdekaan”, Utusan Zaman, 2 September 1956 (NB)
14. Kaman 56, “Rindukan Malaya Yang Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 32, Oktober 1956 (NB)
15. S. Othman Terengganu, “Menjelang Kemerdekaan”, Majalah Guru, Jilid 33, Januari 1957 (NB)
16. Ibu Zain, “Tanah Melayu Kekal Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 33, Ogos 1957 (SP)
17. Ibu Zain, “Bangun-Maju-Merdeka”, Majalah Guru, Jilid 33, Ogos 1957 (SP).
Sementara itu, terdapat seorang penyajak yang menggunakan nama samaran “Pena Merdeka, Perlis” dengan sajak “Berjuanglah”, Majalah Guru, Jilid 32, Julai 1956 (SP).
Rujukan: Kamaruzzaman Abdul Kadir, “Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan kedua (cetakan pertama 1982)
NOTA: SP – Semangat Perjuangan dan NB – Nasib Bangsa.

Selain yang saya nyatakan di atas, kalau dibaca, Abdul Latiff Abu Bakar (Penyelenggara), “Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan pertama, ada lagi beberapa puisi yang menggunakan ‘merdeka’ sebagai judulnya: Roslan,...See More
LikeReply24 August at 11:36
Ahmad Said Yang saya tahu, antologi puisi yang berjudul “merdeka” ialah “Di atas Mimbar Merdeka”, Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan ketiga, 1994 (cetakan pertama 1989); A. Ghafar Ibrahim (Penyelenggara), “Suara Anak Merdeka”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, cetakan pertama; dan Jeli Bohari Biha, “Suara Merdeka”, PUTERA, 2000.
Ahmad Said Ditunjukkan lagi.
Ahmad Said Buku Kamaruzzaman Abd. Kadir, “Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957” ini disorot oleh Ang Lei Wan, ““Bahasa Bakar” Nasionalisme”, (Sorotan Buku), Dewan Budaya, April 1983, muka surat 5.

Pantulan 30/15: Sajak Solihin Osman “Persada Puisi”

Pantulan 30/15: Kesyukuran
Karyawan Dewan Sastera, Ogos 2000 ialah teman fbku yang sedang melimpahkan ilham ke “Persada Puisi” negara, Solihin Osman. Beliau diberi penghormatan dengan pemuatan empat buah sajak, semuanya bertemakan cinta negara. Aku menyukai “Keranamu”, muka surat 3, bukan kerana romantis judulnya, tetapi kerana kejujuran patah-patah tuturnya, yang sekali gus menyerlahkan kesyukuran, hati murni dalam dirinya. Kalau lazimnya, orang meminta-minta, penyair ini mengakui kenikmatan hidup di tanahair, tempat “… memungut rezeki yang/tumbuh/dan menuai musim yang berwarna”. Sungguh, suatu pernyataan yang menggembirakan dalam kecamukan dan prasangka yang berleluasa tak keruan sekarang.
Banyak perspektif menghargai sesuatu yang membuka kesempatan penghidupan di kalangan insan. Sebagai warga yang taat setia, kita mahukan peluang yang sentiasa terbuka dan sesiapa pun boleh memilikinya dengan usaha yang gigih dan merit yang tersanjung. Kalau pun dalam merentas lembah, mendaki takah-takah cabaran, perlu bergelumang lumpur, meredah akar yang besar, curam yang dalam, serta memerah minda, itu tidak sekali-kali merobah pendirian bahawa di sini perjuangan adalah asam garam kejayaan. Asal sahaja tidak mudah kecewa maka lambat laun kebahagiaan yang menanti boleh menjadi hak peribadi. Jarang reputasi, kemewahan atau maknawi kewujudan dikecapi tanpa merempuh onak melanggar duri realiti kehidupan manusiawi yang multi-dimensi. Amat besar kebaikannya berprinsip positif dan berpekerti terpuji. Hindarilah kebalikannya yang terkeji.

Pantulan 29/15: Sajak Sabariah Bahari “Kita Masih di Sini”

Pantulan 29/15: Mengadap-Nya
Setelah sekian lama berselang, muncul juga semula teman fbku yang mesra sapaan, Sabariah Bahari, melalui sosok sajak, “Kita Masih di Sini”, Dewan Sastera, Jun 2000, muka surat 46. Susunan kata-kata dan kalimat-kalimatnya sarat dengan pengabdian, cinta Ilahi. Bahawa matlamat kehidupan di bumi bukan sejati, kerana akhirnya “kita” tidak terhindar dari “… panggilan-Nya”. Ya, kita “menunggu..” mati. Tentulah dengan persediaan yang penuh berhemah. Tidak secara memberi rugi.
Bersyukurlah kita kerana berada selesa; lega menghirup udara, teratur menghela usia , dilimpahi rezeki, bersuami-isteri, dikenali , dihormati. Dan mujurnya, sedang demikian, kita “menyusuri gemerlap Mukmin/menengadah rahmat”. Ertinya, kita tidak lupa bahawa akhirnya bukan kita yang berkuasa. Kewujudan di dunia ini tergantung kepada kurnia dan sampai ketika Dia memanggil kita kembali ke alam abadi. Maka kalau sudah disyaratkan ketakwaan sebagai kriteria penitian pantas denai pulang, tidak bijaksana mengamalkan kealpaan, pencabulan yang memporakperandakan. Terasa, seakan mudah untuk mengikuti jalan yang lurus tetapi ternyata bahawa berbondong-bondong insan yang sudah mendahului pergi. Tidak pun mereka disahi sahsiah misali, insan yang mentaati Ilahi. Mereka terbukti melepaskan peluang keemasan. Dan mereka tidak datang semula ke alam bumi memberitahu kita realiti yang dihadapi. Sesungguhnya, dengan anugerah akal, ilmu, kesihatan, harta-benda, kerabat, atau apa sahaja kurniaan bahkan cabaran dan ujian, serta dipandu oleh ketakwaan, insya-Allah, kita akan dilorongkan ke pintu hidayah agar benar-benar bersedia mengadap-Nya. Bukan “di sini” sebaliknya di sana pada saat-saat yang tersurat pasti.