Pantulan F/02/22/2017: Mermanfaati kurnia
Seawal-awal lagi Zurinah Hassan menyatakan “setiap kita adalah penunggu pesawat”, lewat sajak beliau “Menunggu Pesawat”, Dewan Sastera, Bil. 5 [Mei] 2017, muka surat 14. Sejauh mana tepatnya analogi beliau berbanding realiti, iaitu berpesawat untuk berpergian di dunia fana ini, masih boleh didebati lagi. Tetapi maksud beliau tentulah tentang perjalanan manusia menuju akhirat yang tidak boleh disangkal lagi kerana sememangnya mereka menunggu-nunggu giliran masing-masing untuk ke destinasi pasti iaitu ‘Mati’. Kemudian, diadili. (Sama ada destinasi menumpang kali pertama, bersiri, belum lagi terakhir atau terakhir, masih boleh juga didebati lagi). Bagaimanapun, hakikatnya, sebaik dilahirkan seseorang dibudayakan, berkelana sebelum akhirnya ‘meninggalkan dunia’ ini apabila sampai ajalnya. “Pesawat”lah menyampaikannya ke destinasi abadi. Mereka bakal bangkit kembali. Hidup di alam lain sekali lagi.
Yang sewajarnya kita ketahui ialah destinasi yang ditujui itu, adakah dihajati? Iaitu yang memberi nikmat berkekalan atau yang satu lagi, tempat seseorang menerima azab yang pedih, tanpa kesudahan?
Perjalanan memerlukan persediaan rapi dan perancangan teliti. Dengan berbuat begitu seseorang akan dapat menghadapi segala macam kemungkinan di ‘kaunter pemeriksaan’. Dengan ilmu, dia boleh menjawab semua persoalan yang dihadapkan. Dengan amalan soleh dia mampu memenuhi tuntutan ketakwaan. Yang dijanjikan Ilahi ialah balasan yang berpadanan dengan kepatuhan hamba-Nya terhadap semua perintah yang disampaikan melalui pesuruh-Nya. Apabila seseorang telah mengetahui tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT ia tidak boleh lagi membelakangi ajaran Rasul-Nya. Sebabnya, itulah asas penentuan prestasi cemerlang atau bukan untuk diberi habuan atau balasan.
Saat menghadapi Pencipta bakal tiba. Dunia yang sedang diinapi adalah “balai berangkat” yang meluangkan manusia melakukan pilihan terbaik demi dibangkitkan semula di akhirat. Bertuahlah insan yang dilorongkan ke jalan lurus berkeberkatan seusia yang ditentukan.
Zurinah Hassan telah dengan amat mahir mengolah mudah perutusan, mengingatkan kita kebertanggungjawaban terhadap kewujudan insan sementara membilang usia di dunia. Sewajarnya sentiasa diingati bahawa tanpa memanfaati kehidupan diri di bumi selaras dengan ajaran suci, tiadalah terjamin kesejahteraan kita di alam baqa. Ada neraca yang menanti untuk mengadili kita sebelum dibenarkan melangkah ke Syurga atau dicampakkan ke Neraka.
Sesebuah karya seharusnya berjiwa murni dalam olahan bahasa berseni tanpa mengaburi khalayak yang ingin mendekati alam puisi.