Sunday, 27 December 2020

 Kembara 1/2020: Syukur bermujur

Menjadi kelaziman, apabila berpeluang ke Terengganu atau Kelantan aku akan bermotokar. Ada beberapa sebab ia jadi pilihan utama. Pertama, Terengganu tempat lahirku dan Kelantan tempat kelahiran R. Saudara mara, sahabat handai masih ada di sana-sini di kedua-dua negeri Pantai Timur itu. Sedikit sebanyak milik peribadi kami masih ada di sana – tanah, kebun dan lain-lain. Kekal terdaftar di bawah nama kami. Kedua, biasa pula perjalanan kami tidak akan singkat. Sekurang-kurangnya tiga hari bergembelengan agenda rasmi dan tidak rasmi. Yang rasmi diatur oleh penganjur atau urus setia. Yang tidak rasmi adalah susunan sendiri. Pada waktu-waktu terluang itu boleh kugunakan seoptimumnya. Ada kenderaan sendiri bebas ke sana-sini. Terlepas soal integriti.
Urusan rasmi bermesyuarat, dialog dan lawatan di Kuala Terengganu asalnya dijadualkan pada November 2019. Ia tertangguh oleh sebab-sebab yang aku sungguh-sungguh terkilan. Bagaimana suatu program rasmi yang diatur jauh lebih awal tergendala oleh program lain yang lebih baru berbangkit mencabar kesabaran. Namun, aku senyum mengakuri demi keharmonian jangka panjang! Kita harus ada fleksibeliti. Pun penangguhan itu tidak pula menghalangku kembali ke kampung tempoh hari.
Sekolah rendah alma materku telah menjadualkan ceramah tokoh pada tarikh sebaik selesai urusan rasmi itu sepatutnya berakhir. Apabila ia ditangguhkan, selaku ‘tokoh’ itu, aku tidak tergamak mengecewakan pihak sekolah. Lalu program itu berlangsung juga. Ketika itu kembalian ke kampungku khusus untuk memenuhi nostalgia pengalaman bersekolah rendah pada tahun-tahun 1950-an melanjut 1960-an. Berucap di sekolah dan berada di kalangan murid-murid sekolah rendah itu satu kesempatan yang amat jarang terbuka. Bersyukurlah. Betapa bersejarah, betapa bererti, betapa mengharukan. Peristiwa itu menyata juga.
Itulah latar belakang atau sebabnya, pada tahun 2020, Kuala Terengganu menjadi destinasi pertama untuk dilawati. Aku mendatangi Kuala Terengganu kali ini dengan penerbangan Firefly. Dari rumahku di Kampung Tunku ke Lapangan Terbang Subang tidak jauh. Motokar Grab boleh membawaku dari ‘tangga ke tangga”. Cepat tanpa perlu bertukar kenderaan. Sekitar 15 minit! Kalau berlepas dari KLIA aku biasanya mengambil kereta Grab ke Stesen LRT Taman Paramout ke KL Sentral. Kemudian, mengheret bagasi menuruni eskalator untuk menaiki ERL sampai tiba di KLIA. Di sini lazimlah aku beristirehat di Golden Lounge sambil menjamu selera dan membaca apa-apa yang patut. Memang selesa dan gah di situ. Di sini biasa kutemui kenalan-kenalan masih aktif dalam kerjaya masing-masing.
Di Lapangan Terbang Subang pun sebenarnya aku bernasib baik. Aku boleh berehat sambil makan-makan percuma dan membaca-baca di Sky Lounge by NAZA. Begitulah pada masa-masa yang lepas apabila aku menggunakan Subang untuk terbang ke luar negara.
Kad keahlianku bagi menikmati kemudahan di Sky Lounge bertarikh 2013. Ketika kuunjukkan kepada petugas kaunter dia memberitahu kad itu sudah tidak laku lagi. Ini satu berita baru. Mengejutkan. Memang, Subang amat jarang kugunakan. Barangkali terakhir pada lima tahun dahulu ketika berkembara ke Pekanbaru.
Mujurlah petugas wanita comel pandai berbudibicara. Dia memberi kebenaran. Untuk kali ini sahaja. Dia memberitahu aku boleh meneruskan keahlian dengan memperbaharui cukai jalan kereta Peugeotku dengan insuran NAZA!. Ini soal kemudian. Keperluan berehat di lounge itu diperolehi. Ketika itu jam baharu 9.30 pagi. Penerbangan hanya akan berlepas pada pukul 1 tengah hari.
Di sinilah aku bersarapan lagi. Kali kedua dan menyambungnya. Sarapan ringkas pertama kuambil di rumah. Aku mengoptimum kehadiran di situ. Maklumlah semuanya tersedia. Percuma. Aku membaca akhbar. Dan aku membuka komputer mendraf “Perutusan Pengerusi”. Laporan Tahunan perlu diterbitkan tidak berapa lama lagi. Inilah sebab utama aku datang awal di lapangan terbang itu. Suasananya ideal untuk 'berkarya'. Dan bersyukurlah perutusan itu hampir-hampir siap. Malam nanti mudah sahaja disudahkan. Apabila bermesyuarat esok keadaan lebih selesa.
Selama 3 jam di situ, hanya empat orang ahli lain yang menikmati kemudahan lounge itu. Hanya seorang yang sedikit awal berbandingku ada di situ. Tiga yang lain masuk lebih kemudian dan keluar lebih cepat. Hakikatnya, akulah ‘ahli’ yang paling mengguna pakai keistimewaan itu. Barangkali aku tidak lagi dibenarkan menikmatinya dalam kesempatan penerbangan yang akan datang. Kecuali, apabila cukai jalan keretaku yang tamat pada Mac 2020 ini diperbaharui menggunakan insuran NAZA.
Bakalkah berlaku demikian? Sedangkan, kalau di KLIA yang jauh itu aku boleh berterusan di Golden Lounge MAS tetapi di Subang yang dekat ini Firefly tiada kemudahan Business Class! Terlucut hak menerima keistimewaan terhak. Layakkah situasi dihadapi ini dikategorikan ‘dilemaku’?
Penerbangan ke Kuala Terengganu mengambil masa sejam. Dalam kabin aku membelek-belek majalah penerbangan Firefly. Destinasi ikonik terbaru di ‘Bandaraya Warisan Pesisir Air’ terpampang di dua halaman belakangnya – Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Pada November yang lepas aku telah menyeberanginya dalam perjalanan balik dari Besut ke Petaling Jaya. Kali ini, iaitu lusa, terjadual lawatan kami ke produk pelancongan berharga itu.
Image may contain: bridge, sky and outdoor
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 21 others
2 comments
Like
Comment
Share

Comments

  • insya Allah nanti malam dibaca...
    1
    • Like
    • Reply
    • 44 w
  • ...
    Dato...bnyk.betul memori..
    ...mmg sifat penyair beginilaaa...sesuatu tu d perhatikan dlm pelbg sudut n bermcm2 tafsiran....
    • Like
    • Reply
    • 42 w

No comments:

Post a Comment