Sunday, 27 December 2020

 Membukukan buku-bukuku

Aku akan tetap berbuku dalam tahun 2020. Hanya kebukuan itu jenis bibliomania atau bibliofilkah, sedang pula kutelitikan. Kalau jumlah buku dan kaedah pemerolehan buku-buku dalam koleksi diambil kira sahlah aku lebih tergolong dalam kategori yang pertama. Dengan usia yang bertambah alangkah baik kalau peralihan berlaku ke arah kategori kedua.
Maka, aku akan pantau sendiri. Biarlah pengkategorian ini benar-benar berubah. Seharusnya hantaran-hantaran di halamanku akan lebih memugar minda. Semoga buku-bukuku dalam koleksi itu akan menerbitkan bahan-bahan untuk lain-lain buku. Menjelmakan buku-bukuku. Dengan itu, berpeluanglah orang lain pula membeli buku-buku itu. Buku-buku yang ini tidak perlu lagi kubeli kerana ia berisi tulisan-tulisanku sendiri.
Dua tiga tahun dahulu aku pernah menyenaraikan judul-judul buku yang diangan-angani terbit. Judul-judul, lagi dengan bilangannya diukur panjangnya hampir tiga suku jengkal. Mengkagum dan menggerunkan orang lain, kukira. Itu kalau mereka anggap hantaranku itu sebagai hasrat murniku. Bukan lawak pesara. Kerana judul-judul itu semuanya bakal berisi hasil-hasil pembacaan buku-buku dalam koleksi; campur pencernaanku terhadapnya, campur gemblengan pengalaman hidup sehingga mencapai usia tua. Iaitu takah usia kukini.
Terbukti menulis judul-judul buku memang mudah. Demikian pun, aku tidak lagi tergamak menambah judul-judul lain. Tahun lepas apalagi tahun 2020. Judul-judul itu tentu masih terpampang di halaman, dengan tarikhnya menampal tempelakan. Ia masih demikian tahapnya. Tiada sangat bergerak ke depan. Namun, tetap judul-judul itu tidak dapat kupadamkan. Ia terlekat di dada. Ia mengerakkan aku seperti kunampakkan di halamanku selama ini.
Jadi, pada tahun berangka cantik ini, seharusnya aku mulai lebih bererti. Mengiringi judul-judul itu dengan kalimat-kalimat, perenggan-perenggan, dan bab-bab. Perkara-perkara inilah yang lebih mendesak. Ialah yang mendukung judul-judul itu. Sampai jadi manuskrip. Bakal berupa buku, dan buku. Baharulah buku-bukuku menyusulinya.
Ia sebenarnya tidak jauh. Sayangnya, tidak pula dekat.
Image may contain: Ahmad Said, glasses and close-up
La Hami Bin Ahmad, M Jusoff Taib and 38 others
1 comment
3 shares
Like
Comment
Share

Comments

  • Sentiasa baca 
    terbaik
     Dato' ..
    • Like
    • Reply
    • 51 w

No comments:

Post a Comment