Utusan Melayu: Arkib 1/2020
“Pada pagi-pagi 29-6-39 itu ketua-ketua masyarakat Melayu Singapura dan Johor telah hadir untuk merasmikan keluaran Utusan Melayu yang pertama, yang sulung, membacakan Doa Selamat. Inilah saat yang tidak boleh dilupakan oleh saya selagi hayat dikandung badan.
Beberapa banyakkah naskhah sulung itu telah dicetak? Kalau tak silap ingatan saya ialah seribu dua ratus naskhah, dan sebilangan besarnya telah dihadiahkan kepada para pemimpin dan orang-orang ternama di Singapura dan Tanah Melayu, termasuk Sarawak dan Brunei. Naskhah sulung itu masih ada tersimpan di Kutubkhanah Utusan Melayu di Kompleks Bangunannya sekarang di Jalan Lima, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Meskipun pada masa itu semangat kesedaran kebangsaan sudah mula tumbuh dalam masyarakat Melayu, tetapi minat membaca belum meluas, kecuali di kalangan guru-guru, kakitangan kerajaan dan peniaga-peniaga yang bilangannya belum ramai seperti sekarang. Tambahan pula perhubungan antara satu tempat dengan tempat-tempat yang lain amat susah pada masa itu.
Untuk menggalak, mendidik dan menarik orang ramai Melayu supaya gemar membaca, hingga boleh jadi ketagih membaca tiap-tiap hari, Almarhum Ibrahim [sic] Kajai telah memulakan ruangan pojok yang lucu, menyindir dan mempersenda-guraukan macam-macam hal, anika peristiwa dalam masyarakat dengan Wak Ketuk, dan kemudian apabila diterbitkan pula mingguan UTUSAN ZAMAN, diisinya pula satu lagi ruangan pojok yang diberi nama Pak Lacok.
Ruangan yang telah saya mulakan dalam Warta Jenaka, waktu saya bekerja dalam Warta Malaya dengan tajuk INI-ITU-DAN LAIN-LAIN dengan nama samaran HANTU RAYA telah disambung pula dalam Utusan Zaman. Penulis-penulis lain juga telah diberi kesempatan menulis. Cikgu Harun Aminurrashid telah menulis dengan nama samaran WAK MOGEK.
Dan apabila MASTIKA diterbitkan pula, maka orang-orang Melayu yang punyai kebolehan serta berminat dalam penulisan (karang-mengarang kata kami dulu) telah mendapat peluang menulis cerita-cerita pendek (sekarang cerpen), rencana-rencana mengenai politik (dulu dikata siasah) dan ekonomi (dulu iktisad), kisah-kisah masyarakat, sajak, pantun-seloka, dan syair-gurindam.
Sesungguhnya proses meniup dan menanam rasa kebangsaan, kasih sayang kepada tanahair, agama, bahasa, adat resam, atau kebudayaan, menggerakkan Bangsa Melayu supaya sedar akan untung nasibnya di masa-masa yang akan datang di Tanahairnya sendiri adalah satu proses yang payah, mengambil masa yang panjang, melalui beberapa rintangan – kewangan, undang-undang , adat resam, agama dan sebagainya – kerana dalam zaman penjajahan dulu Bangsa Melayu adalah satu golongan para penduduk di Semenanjung ini yang ketinggalan dalam serba-serbi perkembangan dan “hidup segan, mati tak mahu”, dan yang dikias-ibaratkan sebagai “ayam kelaparan di atas padi, itik kehausan di atas air”.
Pak Sako mengakhiri rencananya dengan, “… saya berharap besar supaya Utusan Melayu terus maju, terus membesar, terus memupuk semangat kebangsaan dan terus menjadi “penyambung lidah Bangsa Melayu”.”
(Lihat, Pak Sako, “Utusan Melayu 38 Tahun”, Mastika, Mac 1977, muka surat 22-28. Gambar iringan bersumberkan buku Zainuddin Maidin, 2013. Di Depan Api Di Belakang Duri Kisah Sejarah Utusan Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd).

No comments:
Post a Comment