Utusan Melayu: Arkib 2/2020
“Ada akhbar Inggeris yang jauh lebih tua dari Utusan Melayu dan ada akhbar Cina yang juga tua darinya, tetapi akhbar Utusan Melayulah yang menjadi peniup semangat kebangsaan dan pejuang kemerdekaan. Kalau kita membelek naskhah-naskhah akhbar Inggeris dulu ternyata kepada kita bahawa ia tidak menggambarkan keadaan sosial, ekonomi, budaya masyarakat dan sebagainya. Yang ada ialah ucapan atau kenyataan Gabenor British atau lain-lain tokoh pemerintahan kolonial di waktu itu.
Kalau kita lihat pula akhbar Cina masa dulu akan kita baca berita mengenai perjalanan syarikat itu dan syarikat ini. Sebaliknya akhbar Utusan Melayu dari mula lahirnya menyiarkan berita dan rencana yang menggambarkan keadaan sebenar masyarakat di masa itu, termasuk cita-cita dan aspirasi mereka. Utusan meniupkan semangat nasionalisme dan menyalakan semangat untuk merdeka.” (Komen dari seorang Ketua Pengarang akhbar bahasa Inggeris seperti tersiar dalam Mastika, Mei 1979, muka surat 2).
A. Samad Ismail menulis dalam Cenderamata Utusan Melayu 25 Tahun pada 29 Mei 1964, seperti termuat semula dalam Mastika, Mei 1979, muka surat 3:
“Banyak anak muda sekarang mempunyai anggapan yang agak pincang tentang pekerjaan wartawan. Bila datang melamar pekerjaan sebagai reporter, perkataan yang pertama sekali disebut oleh mereka ialah: “Saya pernah menulis sajak dan cerpen,” lalu disudurkannya fail yang dikepitnya tadi kepada Pengarang ……. dan anak muda itu senyum-senyum bila dikatakan kepadanya bahawa cerpenis dan penyajak bukan wartawan.”
Mazlan Nordin, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu menulis:
“Tiada siapa menduga bahawa Utusan Melayu yang terhungap-hungap semasa kecil akan dewasa hingga berjaya menerbitkan dua akhbar harian, dua akhbar mingguan dan 9 buah majalah, termasuk dua majalah dakwah.
Kejayaan ini hasil dedikasi sebilangan ramai wartawan Melayu yang bukan saja memperjuangkan kemerdekaan dan meniup semangat kebangsaan tetapi juga memperjuangkan kedaulatan Bahasa Kebangsaan dengan cekal, dedikasi, gigih dan penuh semangat kebangsaan sejati.” (Lihat, “Rempah Ratus Utusan Melayu” (Utusan Melayu 40 Tahun), Mastika, Mei 1979, muka surat 7 (2-9)).
Ilustrasi hiasan laman ialah sebahagian kulit depan Mastika, Mei 1979. Diperhatikan pelukisnya ialah Jaafar Taib 79.

No comments:
Post a Comment