Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 11/2020: Asal jangan buta atau patah

“Imam, I have a favour to ask your kindness. Here is my boy, Si-Alang. I desire to place him in your hands so that he may be taught to read the word of God. You will need a torch to lighten his path to knowledge, so please let me present you with this cane for use as a rod of correction in the event of his showing any indifference to the Divine Light. You should not poke out his eye or break his bones, but—short of such extreme measures—all things are permitted unto you”. To which the Imam replied, “I accept this youth as my disciple; please God, he will learn in time the little that I know”.
(R.J. Wilkinson. Malay Customs and Beliefs. Re-published in JMBRAS, Vol. XXX Part 4 November 1957. Asalnya terbit pada tahun 1908. Seperti dipetik dalam, Philip Loh Fook Seng, The Malay States 1977—1895, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1969, p. 157-158. Philip meninjau sistem pendidikan awal di kalangan orang Melayu.)
Secara tepat tarikhnya tidak kuingat. Boleh jadi ketika berusia enam atau tujuh tahun. Tetapi aku dihantar Mak ke rumah Pak Ngah Yasin untuk belajar membaca al-Quran. Jarak antara rumah kami kira-kira 100 meter. Pak Ngah ialah Imam di masjid kampungku. Beliau adalah juga sepupu Ayah.
Aku ingat mak menyediakan nasi kunyit sepinggan sebagai tanda penyerahan atau ‘pendaftaran’ di kelas itu.
Pada sesi-sesi awal, bahkan dalam kebanyakan masa kemudian pun, Mak Ngah Kalsom yang lebih terlibat mengajar. Beliau isteri Pak Ngah. Beliau hampir menghafal sebahagian besar Kitab Suci itu. Sebab, kalau didengarnya aku tersilap membaca pembetulan dilakukan dari jarak jauh. Mungkin ketika dia sedang berada di dapur melakukan kerja-kerja lain. Suaranya yang lantang tidak menimbulkan masalah langsung mendengarnya.
Yang tidak seronoknya, Mak Ngah suka mengusik. Sering diacahnya tidak mahu ‘mengajar’ cepat. Akibatnya aku tidak dapat meninggalkan ‘kelas’ sedangkan di sebelah petang aku perlu ke sekolah kebangsaan. Bukan tidak biasa aku melelehkan air mata, teresak-esak kerana takut lambat hadir di sekolah.
Mak Ngah memang tahu dan dia tidak sampai sekalipun menjadikan aku tergesa-gesa ke sekolah. Cumanya, aku yang mudah mengelabah bila ‘ancaman’ lambat ke sekolah itu dijadikan senjata mendisiplinkanku.
Ketika sudah berada di Darjah Enam aku sudah pun tamat pengajian al-Quran. Aku sudah boleh membaca lancar kerana menguasai kaedahnya. Dan, Mak sekali lagi menyediakan nasi kunyit sempena kejayaan itu.
Semua mereka – Ayah, Mak, Pak Ngah Yasin dan Mak Ngah Kalsom sudah arwah. Jasa mereka amat besar. Menjadikan aku seperti sekarang. Semoga roh mereka direstui barakah Ilahi. Semoga aku berterusan menjadi anak yang mendoakan mereka dilimpahi kesejahteraan abadi di Akhirat.
Image may contain: text that says "Philip Loh Fook Seng THE MALAY STATES 1877-1895 Political Change and Social Policy"
Zulkifli Salleh, Nor Zatul and 11 others
1 comment
1 share
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment