Rapuh 10/2020: Tun Ali beranak lagi
Dalam Sejarah Melayu tersebut, “Yang perempuan itu Tun Kudu namanya, terlalu baik parasnya, maka diperisteri oleh Sultan Muzaffar Syah.” (2009, muka surat 72)
Mengikut Sejarah Melayu Sultan Muzaffar Shah menceraikan Tun Kudu tanpa dinyatakan sebab, untuk membolehkan Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali memperisterikannya sebagai menggantikan kekosongan akibat kematian isterinya. Tiada pun dikatakan bersebab memujuknya mengosongkan jawatan yang disandangnya bagi membolehkan Tun Perak, adik Tun Kudu, dilantik sebagai Bendahara yang baharu.
Mengenai hal ini, J. Kennedy menulis, “Tun Ali insisted on the choice of Tun Kudu, wife of the Sultan and sister of Tun Perak, and this was agreed to.” Pada nota kaki ehwal ini J. Kennedy menulis, “Tun Kudu’s views about her change of husband have not been recorded.” (A History of Malaya, Macmillan, New York, 1967, p. 11)
Tetapi, saya teringat juga buku yang dibaca ketika masih di sekolah menengah dahulu, Tun Kudu karangan Hamdam, Pustaka Antara, 1962 [awal diterbitkan tahun 1951] untuk mencari bagaimana seorang penulis kreatif menggunakan kreativitinya mentafsir sejarah.
Kata Hamdam, usaha mencari isteri baru Tun Ali telah juga dibincangkan oleh Sultan Muzaffar Shah dengan permaisurinya, Tun Kudu, “malah Tun Kudu memberikan beberapa nama gadis-gadis dan perawan-perawan bangsawan untuk pilihan orang tua itu.”
Lantas saya menyemak Sulalat al-Salatin ya'ni Perteturun Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu) (2009) yang diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh.
Diperikan Sultan telah mencalonkan Tun Kamala, Tun Bulan, anak Orang Kaya Hitam, dan “beberapa segala anak orang besar-besar disebut oleh Sultan Muzaffar Syah, Seri Nara al-Diraja tiada juga berkenan padanya, mohon juga ia. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, “Maukah Seri Nara al-Diraja akan Tun Kudu?”
Maka sembah Sri Nara al-Diraja, “Daulat tuanku.”
Kerana “sudah tuha dan bulu kening datuk pun sudah putih” ketika beristerikan Tun Kudu, Seri Nara diusik anak-anak buahnya. Lalu dijawabnya, “Di mana engkau semua tahu, jikalau demikian sia-sialah yang dibeli oleh bapaku sekati (dinar) di Benua Keling itu?” (Sejarah Melayu, muka surat 77)
“Bermula akan Seri Nara al-Diraja pun beranak dengan Tun Kudu tiga orang, laki-laki, Tun Tahir namanya, yang tengah perempuan, Tun Syah namanya, yang bongsu, laki-laki, Tun Mutahir namanya…” (Ibid., muka surat 103) Selepas kematian Tun Kudu, Seri Nara beristeri lagi dan beroleh dua orang anak….
Memanglah seperti kata J. Kennedy tiada pemerian langsung reaksi Tun Kudu. Namun Hamdam mereka reaksi Permaisuri Melaka tersebut, dalam karya beliau itu:
“Apa jenis manusianya Seri Nara itu. Hati dan jiwa apakah ada padanya?”
“Kejam sungguh. Tak kenal segan dan silu, dan tak ada langsung rasa kasihan belas dan timbang rasa,”
“Tetapi bolehkah orang seperti itu diperbetulkan? Tidakkah ada langsung lagi rasa peri kemanusiaan didirinya?”
Bahkan dibayangkan pula oleh Hamdam pendirian Tun Kudu terhadap kemungkinan menjadi isteri Seri Nara Diraja:
“Harus ada kemungkinan dapat diperbaiki. Kalau singa, harimau, gajah dan binatang-binatang buas boleh diperjinak dan dijadikan suatu permainan, maka tidak mustahil Seri Nara sebagai seorang manusia tentu sedikit sebanyak masih ada rasa keinsanannya, hanya-sanya hendaklah diberi dan ditunjukkan kebenaran yang terang kepadanya.”
Hamdam menyatakan Sultan berbincang dahulu dengan Tun Kudu sebelum membuat keputusan. Kepada Sultan, Tun Kudu mengatakan:
“Dinda sangat-sangat berharap kanda tidak keliru atas kebersihan hati dinda, juga diharap kanda tidak lupa akan segala keterangan dinda yang lalu bahawa kesanggupan dinda datang ke istana ini ialah untuk bekerjasama dengan kanda memelihara negara dan bangsa kita yang dicintai, bukan semata-mata untuk keuntungan diri, kerana diri dinda ialah hak kepunyaan bangsa dan negara.” (muka surat 166)


No comments:
Post a Comment