Rapuh 9/2020: Pelanunan
Abdullah Munsyi menulis:
“Maka adalah pada masa itu berpuluh-puluh perahu orang-orang Melaka yang kena rompak. Ada yang orangnya sahaja kembali dengan sehelai sepinggang dan yang ada lenyap sekali dengan orang-orangnya. Dan yang ada dibawanya ke negeri lain-lain dijualkannya. Maka ada yang diambilnya barang-barangnya, perahunya ditenggelamkannya. Maka ada pula yang berperang. Kedua pihaknya banyak mati, kemudian lepas lari. Demikianlah halnya masing-masing mengadukan untung sahaja. Adapun yang ditakuti oleh orang yang hendak pergi ke Selat pada masa itu di Selat Kukup itu. Karena di situlah tempat perhimpunan perompak. Maka dijaganya sahaja dalam Selat Kukup itu. Kerana Selat itu seperti suatu bilik. Kalau berapa besar angin pun, di situ teduh juga. Maka oleh sebab orang hendak berlindungkan angin, lalu masuklah ke dalam jalan Selat Kukup itu. Maka di situlah tempat ditangkap perompak, sebab ia boleh kelihatan orang, orang tiada boleh melihat dia. Maka sebab itulah kuat, orang terserempak, didapatnya dengan senangnya. Maka pada masa itulah juga, ada kira-kira empat puluh anak-anak Melayu Melaka, anak-anak kampung Jawa semuanya, muda-muda belaka, hendak datang mencari ke Selat dalam sebuah perahu, hilanglah sahaja. Sampai sekarang ini seorang pun tiada kelihatan. Semuanya habis sekali dibunuhnya. Khabar pun tiada kedengaran, kerana mereka itu semuanya melawan.”
(Baca, R.A. Datoek Besar dan Dr. R. Roolvink, Hikajat Abdullah. Penerbit Djambatan, Djakarta/Amsterdam 1953, muka surat 186-187).
Sementara itu, dengan membaca pula Bab XII “Piracy and the Straits Settlements “ (pp. 214-238) dan Bab XIII “Rajah Brooke of Sarawak and the Suppression of Piracy in Brunei” (pp. 239-262) menjadikan gambaran sebenar zaman tidak berapa lama berlalu dahulu bermantap di minda. (Rujuk, L.A. Mills, 1925. British Malaya. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society Vol. III, Pat II).
Ilustrasi seorang perompak Lanun bersumberkan ukiran Frank S. Marryat terbit dalam “Borneo and the Indian Archipelago”, London (1848) yang menghiasi halaman 123, buku Joginder Singh Jessy, 1986 (cetakan keempat belas). Sejarah Tanah Melayu (1400—1959). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:
Post a Comment