Rapuh 8/2020: Tawarikh Perak
Sebagai permulaan:
“Akan titah Baginda Sultan
Mĕnghĕndaki mĕriam kĕpada Kapitan’
Mana yang elok bangsa buatan,
Harga-nya bĕrapa yang di-patutkan.” (muka surat 55)
Saya memiliki “Sastera 200 Tahun” (Sha’er Pĕlayaran Sultan Iskandar Perak) karangan Raja Chulan Ibni Raja Hamid yang disusun oleh A. Talib bn Haji Ahmad dan diterbitkan oleh H.M. Shah Enterprise, Kuala Lumpur. Buku ini tidak dinyatakan tarikh cetakannya. Walau bagaimanapun penyusunnya dalam pendahuluan pada buku ini memberi tarikh tulisan itu 27 Disember 1958 beralamat di Kuala Lumpur.
Jadi, mengambil kira tajuk utama buku ini, dirumuskanlah tarikh percetakannya ialah tahun 1958 ialah melebihi sedikit 200 tahun sekiranya tahun bertakhta Sultan Iskandar pada tahun 1756 dijadikan tahun asas.
Keseluruhan buku ini sebenarnya mengandungi bahagian ‘syair’ yang menjadi sebahagian kandungan naskhah Misa Melayu. Dalam cetakan ketiga, Pustaka Antara, syair ini termuat di muka surat 116-184 dengan judul “Sultan Iskandar Bĕrmain-main ka-Laut”.
Hanya dalam susunan A. Talib, beliau memberikan tajuk-tajuk kecil bagi bahagian-bahagian syair berdasarkan cerita atau kandungan rangkap-rangkap berkenaan. Semua yang lain tetap syair asal tanpa diubah sedikitpun.
Saya mengetahui Misa Melayu pertama kali dicetak pada tahun 1919 oleh Methodist Publishing House, Singapura. tiada maklumat tentang cetakan ulang oleh penerbit itu. Pustaka Antara mengambil inisiatif mencetaknya pertama kali pada tahun 1962. Saya sendiri memiliki naskhah cetakan Pustaka Antara, cetakan ketiga, 1966.
Dalam buku ini dimuatkan juga “Introduction” yang ditulis oleh R.O. Winstedt. Beliau terkejut buku ini tidak dicetak lebih awal sedangkan kata beliau, “The syair or long poetical recital of Marhum Kahar’s [memerintah 1756-1770] trip down the Perak river and round the coast to Matang has literary as well as historical value. The prose portion of the book, though not equal in style to that Malay mastepiece the Sejarah Melayu, is not lacking in merit.” (p. 208)
Sebagai Penutup:
“Kapitan mĕnyĕmbah mĕngangkat jari,
“Eloklah patek bawa ka-mari,
Sa-pasang mĕriam sĕdang gahari,
Harga-nya timah mohon di-bĕri.” (muka surat 55)

No comments:
Post a Comment