Rapuh 13/2020: Aneka Warna
Pendedahan terhadap bahan-bahan bacaan bermula awal. Dan kerana aku juga sudah boleh membaca apabila telah bersekolah maka bahan-bahan yang tersebut itu tidaklah lagi sebagai bahan yang tidak berusik. Aku pernah nyatakan sebelum ini, akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman, majalah-majalah DIAN, Mastika, Pengasuh, Warta Jabatan Agama Johor, Suara Jabatan Agama Terengganu, dan lain-lain telah menampung kegemaran membacaku yang kian berkembang.
Kurang pasti pula usia sebenar dalam kes ini. Dalam banyak-banyak pembacaan itu, pernah juga aku mencuri membaca Aneka Warna yang termasuk juga dalam koleksi di rumah ketika itu, walaupun tidaklah terlalu banyak naskhahnya. Tentulah majalah-majalah itu terlarang kerana berbalut. Tetapi penyelongkaran khazanah bahan-bahan bacaan dirumah mempertemuku dengan bacaan kategori dewasa itu. Tentulah ia mengasyikkan, apatah lagi bagi seorang yang masih hingusan – kerana gambar-gambar hiasan dan juga cerita-cerita yang disajikan.
Hari ini dalam kelaziman membelek-belek aku membelek buku “Segar” gubahan Anwar, Qalam, Singapura 14. Diperhatikan buku ini tanpa tarikh tetapi “Sepatah Kata Penerbit”nya bertarikh September 1961. Buku ini mengandungi 188 halaman, berharga $2.50. Rupa-rupanya buku ini sebuah kumpulan cerpen mengandungi 13 cerpen yang tersiar dalam majalah Aneka Warna.
Elok juga dipetik sebahagian kata penerbit, “Dengan tujuan inilah kita menghimpunkan cerita-cerita pendek beliau di dalam sebuah buku. Dengan adanya buku ini kelak dapatlah ia dijadikan kajian untuk mempelajari bahasa Melayu seperti juga yang telah dan sedang dikaji oleh penuntut-penuntut tentang buku karangan Ahmad Lutfi sebagai bahan sebahagian penuntut-penuntut untuk mengambil digeri di dalam pengajian bahasa Melayu.”
Ketika beralih membelek ulang majalah Qalam, terserempak dengan berita berkaitan. Majalah Aneka Warna telah terbit pada tahun 1954. Dalam Qalam Bil. 109, Ogos 1959/Safar 1379, perkara permit Aneka Warna berbangkit dalam ruangan Rencana Pengarang. Dinyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri, Singapura melalui surat bertarikh 6 Julai 1959 menarik balik izin penerbitan majalah itu tanpa menyatakan sebabnya.
Bagaimana dalam satu sidang akhbar, Menteri Ong Pan Boon, menjawab pertanyaan seorang wartawan, memberitahu sebabnya “kerana ada berpuluh-puluh pengaduan telah disampaikan kepadanya mengenai Aneka Warna.”
Berdasarkan kenyataan Menteri itu, Qalam, menulis, “Apabila Petir memerintah, maka dengan tidak ada memberi sesuatu peringatan-peringatan maka delapan buah surat-surat khabar (majalah-majalah) telah ditahan penerbitannya dengan alasan mereka itu mengandung kebudayaan kuning. Penerbit Aneka Warna melihat ini sebagai satu amaran dan kerana itu pada keluarannya yang akhir pada 1 Julai 1959, ia telah mengubah corak Aneka dengan tidak menggunakan lagi amaran daripada kerajaan, sebagai memberi kerjasama kepada kerajaan baru Singapura. …/Tetapi malangnya belum pun sempat tari kita dilihat maka keputusan diambil dengan serta merta – dan bersebab pula dengan pengaduan.”
Qalam menambah, “Sepatutnya kerajaan memberi takrif atas sesuatu langkahnya seperti apakah yang dmksd dengan penerbitan kuning – apa takrifnya, supaya mudah orang mengikut kehendak dan tujuan yang dikehendaki oleh kerajaan.”

No comments:
Post a Comment