Rapuh 14/2020: Pembelian awal
Pembelekan hari ini menemukan dengan sebuah buku kumpulan cerpen terbitan tahun 1971. Ia termasuk dalam Seri Cerita Dian S: 0002. Buku berjudul Sampar karya Asmaranda (Kasiron Haji Redzuan) ini bagaimanapun memuatkan sebelas cerpen yang dicipta dalam tempoh 1952 hingga 1965. Maknanya semuanya telah lama dicipta sebelum terkumpul terbit. Pengarang buku ini ketika itu berusia 33 tahun (dilahirkan pada tahun 1938).
Tetapi dari buku ini aku jadi bernostalgia. Terutama, tercatat tarikh aku membelinya iaitu pada 9 Ogos 1971 di Jerteh, mengiringi tandatangan aku versi awal, versi siswa, versi belum mantap. Cop pekedai yang terpampang di halaman kosong akhir buku dibaca, N.M. Husin Book Store Jerteh.
Memang ketika itu itulah satu-satu yang kuingat ada kedai buku di pekan itu. Setiap kali berpeluang ke Jerteh mesti kusinggah. Ketika bersekolah di Alor Lintang tahun-tahun 1960an dahulu, pernah berbasikal ke Jerteh dan membeli di situ, dengan ‘payah’nya, majalah-majalah hiburan Pop Yehyeh!
Aku tidak dapat mengingat buku pertama yang kubeli sendiri. Tetapi Sampar ini termasuk antara yang terawal. Harganya $1.30. Zaman itu, tidaklah terlalu murah apalagi mutu kertasnya rendah, seperti kertas surat khabar. Ketika itu aku baharu sahaja menjadi mahasiswa di Universiti Malaya. Belum menerima apa-apa jaminan pembiayaan pengajian sama ada dalam bentuk pinjaman, dermasiswa apalagi biasiswa. Namun, kerana harga yang relatif rendah itulah mampu aku memilikinya.
Sebenarnya buku yang lebih awal dibeli terbitan Dian di bawah siri ini ialah Siri CERITADIAN S: 0001 iaitu kumpulan cerpen 13 Cerpen S. Othman Kelantan, 1970, 160 hlm., $1.20. Buku ini mengandungi karya-karya ciptaan tahun-tahun 1963-1969. Tercatat tarikh pembelian iaitu 30 Julai 1971, tetapi di Kuala Lumpur.
Berbanding buku Asmaranda, buku S. Othman Kelantan itu tiada berisi maklumat terutama periklanan penerbit. Buku Asmaranda memberi maklumat tambahan yang boleh dianggap sebagai tektik periklanan penerbit. Ternyata ketika itu Syarikat Dian Sdn. Bhd. baharu melancarkan penerbitannya secara memperkenalkan judul-judul dalam siri-siri khusus. Ada Siri BUKUDIAN, Siri CERITADIAN, Siri ISLAMISMA, dan Siri CERITAKANAK2DIAN.
Sebagai contoh, di bawah Siri BUKUDIAN itu tersenarai; Yusoff Zaky Yacob, 0001 Mencari Kejernihan Jiwa (Rumi) $1.20; 0002 Mohd. Hussin Khal’i Haji Awang, Kelantan Dari Zaman Ke Zaman, $1.40; dan tiga buah judul lain. Di bawah Siri ISLAMISMA, tersenarai dua buah buku iaitu M.M. Sharif, (terjemahan Yusoff Zaky Yacob), 0001 Sumbangan Islam Kepada Dunia, $1.20; dan Mohd. Labib Al-Buhi (terjemahan Yusoff Zaky Yacob), 0002 Langkah-langkah Menuju Allah, $1.70 (Jawi).
Dian tidak seperti dahulu lagi.Teknik yang demikian itu tinggal sejarah. Pun, serentak berlalunya ‘kepayahan hidup’ koleksi penerbitan Syarikat Dianku bertambah dari semasa ke semasa. Kini banyak terkumpul rapi menemani, terutama Majalah Dian Diges (Jawi dan Rumi), semenjak awal terbit sehingga menggulung tikar.

No comments:
Post a Comment