Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 15/2020: Penulis berdakwat banyak

Pada 5 September 1949 Utusan Melayu melaporkan fatwa Mufti Kerajaan Johor terhadap buku Ahmad Lutfi, Janda, Qalam, 1949, “haram dibeli, haram dibaca, haram digunakan dan haram dikarang.” Kehangatan isu itu di kalangan masyarakat mengakibatkan, 11 hari kemudian terbit pula sebuah buku beliau yang lain “Empat Kali Haram”. Ia habis dijual dalam masa tiga minggu dan dicetak semula pada awal Disember 1949.
Demikianlah pendekatan Ahmad Lutfi berkarya. Pandai membaca suasana dan tabiat pembacaan masyarakat semasa.
Saya membaca rencana mengenai Ahmad Lutfi dalam Wajah, edisi ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, mengatakan, “Walau bagaimanapun, novel yang dihasilkan Ahmad Lutfi rata-rata merupakan novel murahan yang banyak berunsurkan seks, dan jelaslah bahawa tujuan penerbitan novel-novel itu adalah untuk mengaut keuntungan sesuai dengan selera masyarakat pembaca pada waktu itu.” (muka surat 151).
Dalam tahun 1948-1949, Ahmad Lutfi mengarang 26 novel. Dalam tempoh lebih sedikit dua tahun, sebenarnya. Beliau sendiri menyatakan pendirian apabila menulis.
“Buku-buku seperti ini dibuat masa itu adalah kerana perkembangan pembaca berhajat kepadanya. Perkembangan buku-buku seperti ini mendapat sambutan luar biasa (untuk sekali cetak sebanyak 5,000 naskhah, biasanya dapat dijual dalam masa sebulan).” Beliau mengatakan lagi, “Masyarakat tidak gemar membaca bacaan-bacaan yang berat: Usaha-usaha kepada bacaan yang berat seperti mengadakan buku-buku sejarah adalah dicuba dengan sedaya upaya tetapi tidak dapat hidup.”
Beliau menyedari suasana pasaran buku bagi tempoh 1948—1951, iaitu, “seseorang penulis kalau mahu hidup terpaksa mengikut kemahuan pembaca. Ia terpaksa membuat cerita-cerita yang boleh menggemarkan mereka. Hal ini terpaksa dibuat sekalipun keadaannya tidak sesuai dengan jiwa penulis itu sendiri.”
Beliau menjelaskan lagi, “Masa itu kalau dibuat suatu buku pengetahuan yang berupa didikan dengan tepat tentunya tidak akan ada pembaca-pembacanya.”
Pada tahun 1962, Ahmad mengakui, “Tetapi keadaan telah berubah sekarang maka dengan perkembangan membaca telah meluas maka cara atau kaedah karangan seperti itu tidak sesuai lagi untuk sekarang. Walaupun begitu buku-buku seperti ini masih berharga sebagai suatu kajian terutamanya di dalamnya ada bahan-bahan penyelidikan sebagai gambaran perkembangan masyarakat pada zamannya.”
Saya hairan, Wajah, edisi ketiga, 2005 tidak pula merujuk dan menyenaraikan beberapa hasil karya Ahmad Lutfi yang saya anggap penting kerana bermaklumat padat.
Sebahagian karya-karya itu : Persuratan Melayu I, II, III. Setiap jilid tebal-tebal belaka. Ribuan halaman. Juga, Riwayat Perang Dunia Yang Kedua (4 penggal), Amaran (Kupasan Siasat Melayu Yang Berterus-terang” (1950, 2016), Pengajian Kisah Pelayaran Abdullah Munshi, (Qalam, 1960) dan puluhan lagi buku-buku bercorak keislaman termasuk untuk bacaan pelajar-pelajar sekolah.
(Rujukan: A.H. Edrus, Persuratan Melayu III, Qalam, 1962; Wajah, edisi ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005; A.H. Edrus, Amaran, Persatuan Sejarah Malaysia, 2016)
Image may contain: shoes
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 7 others
7 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • yang simbol tangan ni dari mana? surat kabar ke
    • Like
    • Reply
    • 33 w
  • Melintasi, Syed Abdullah bin Syed Yahya. Ahmad Lutfi: Pandangannya Terhadap Masalah-masalah Pendidikan, Pergaulan dan Kekeluargaan dalam Masyarakat Melayu Moden. Latihan Ilmiah, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1960.
    • Like
    • Reply
    • 31 w

No comments:

Post a Comment