Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 16/2020: Tabiat bermaklumat

Ghalibnya sambil membelek, kalau didapati buku rosak, tanggal halaman, rosak kulit dan seumpamanya akan kubaiki buku-buku terbabit. Serta merta. Jadi terhenti pembacaan untuk sementara.
Memang aku mempunyai peralatan yang cukup untuk membaik pulih naskhah-naskhah itu. Ada celotape, gunting, pisau, alat-alat yang paling utamanya dan juga kertas-kertas yang sesuai untuk membaiki kulit buku yang rosak atau halaman-halaman yang patut difotokopi, supaya naskhah-naskhah itu ‘sempurna’ semula.
Hari ini aku tergerak mengambil naskhah-naskhah karya Abdullah Munsyi atau yang dikarang orang lain mengenai tokoh itu.
Yang menariknya, dalam naskhah Kisah Pelayaran Abdullah, edisi baru, selenggaraan Kassim Ahmad terbitan Oxford University Press, cetakan kelima, 1968 tercatat tarikh aku selesai membacanya iaitu 16 Mac 1990 di Kuala Terengganu.
Pada naskhah lain, Hikayat Abdullah Jilid 1, Pustaka Antara, 1974, cetakan keenam, tercatat pula tarikh selesai membacanya iaitu 21 April 1990 bersamaan 26 Ramadan 1410, juga di Kuala Terengganu. [Memang seronok hampir empat tahun di sana, melakukan berbagai-bagai termasuk membaca buku-buku dalam koleksi.]
‘Penemuan’ hari ini, menyedarkanku, ketika berkhidmat di Terengganu dahulu aku telah mengambil keputusan untuk meneliti kedua-dua buku itu. Ini bukan pula bererti naskhah-naskhah itu tidak pernah dibaca sebelum itu. Ia pernah berlaku semasa bersekolah, ketika di universiti. Sebab wajib. Hanya pembacaan di Kuala Terengganu itu pembacaan menyeluruh. Lebih melayan minat.
Sebenarnya tidak semua buku-buku yang dibaca dicatatkan begitu, apalagi pada kebelakangan ini. Tabiat mencatat itu telah beransur luput. Sudah terhenti amalan menurunkan tandatangan, tarikh dan lain-lain. Lazimnya kini naskhah-naskhah yang dibeli tiada lagi bercatatan. Bersih dan kosong.
Dahulu, catatan yang pernah dilakukan dalam naskhah-naskhah berkenaan tidak terhad kepada tarikh, masa, tempat selesainya pembacaan bahkan termasuk juga tarikh dan tempat membeli. Butir-butir kecil ini mampu menostalgiakan.
Di samping butir-butir tadi, jika ada maklumat lain yang berkaitan naskhah-naskhah itu akan juga dibuat catatan sewajarnya. Sebagai contoh, dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah itu ada catatanku, “Bacalah, S. Nathesan, “Leksis dalam Kisah Pelayaran Abdullah”, Dewan Bahasa, Mei 2012, muka surat 39-42.
Pada naskhah lain, Kisah Pelayaran Abdullah, (Seri Sastera Timur dan Barat), 1964, cetakan ketiga, Oxford University Press, ada pula beberapa catatan: “Baca juga Dewan Budaya, November 1989, “Intelektualisme dan Pemikiran Islam di Malaysia”, muka surat 44-48. Ini tidak berkaitan dengan Abdullah Munsyi, tetapi sebagai memadankan dengan Kassim Ahmad, yang memberi “Pengenalan dan Anotasi” kepada buku edisi baru itu.
Ada lagi catatan lain dalam naskhah yang sama: “Elok baca Dewan Masyarakat, Mac 1987, “Penyatuan Kelantan di Bawah Satu Kesultanan” oleh Tuan Abdul Hamid bin Tuan Daud, muka surat 40-41. Kalau saudara bertanya, kenapa catatan ini? Saya jawab, “Pengetahuan tentang sejarah Kelantan sangat membantu bagi memahami pemerian Abdullah dalam buku beliau itu.”
Dengan terdapat pula catatan lain dalam naskhah itu: “Munsyi Abdullah: Tokoh Pembaharuan dalam Persuratan Melayu”, Mastika, Januari 1985, saya dengan mudah mengetahui aspek-aspek tertentu pernah ditulis oleh seseorang terhadap Abdullah Munsyi. Rujukan cepat boleh dilakukan jika perlu.
Ada juga, misalnya dalam, buku The Voyage of Abdullah translated by A.E. Coope, (The Lotus Library), Oxford University Press, 1967, diselitkan keratan akhbar berjudul “Founder of Singapore” Sir Thomas Stamford Raffles (1781-1826), Sunday Mail, 31 October 2004. Saudara bertanya kenapa? Tentulah kerana Raffles salah seorang tokoh utama yang muncul melalui penulisan Abdullah.
Jadi dalam kebanyakan buku, bukan isinya sahaja yang dibaca, bahan-bahan lain yang saling berkaitan tercatat atau tertampal di dalamnya menjadikan naskhah-naskhah dipegang itu ada tarikan dan keistimewaannya yang khusus pula.
Saya boleh memanjangkan lagi aspek ini nanti.
Image may contain: text that says "SIRI KESUSASTERAAN MELAYU LAMA BI KESAH Hikau Abdu PELAYARAN ABDULLAH ABDULLAH BIN ABDUL KADIR MUNSHI"
M Jusoff Taib, WanRafar Ishak and 21 others
5 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Terima kasih. Banyak maklumat yg Dato kongsikan di sini. Dari buku mengenai Raffles yg saya baca ada diceritakan kesedihan Munsyi ketika menghantar Raffle pulang. Beliau menaiki sampan melihat pemergian Raffle hingga kelibat kapal yg di naiki hilang dari pandangan.
    1
    • Like
    • Reply
    • 33 w
    • Edited
  • Semoga dapat memilikinya kelak. Insya Allah.
    1
    • Like
    • Reply
    • 33 w
  • Saya telah banyak menulis tentang Abdullah Munshi dan Raffles dalam beberapa laman lain di fb saya. Pun, saya petik suasana perpisahan itu menyerikan halaman.
    “Maka sebentar lagi orang hendak memutar sauh, maka disuruh oleh tuan Raffles panggil aku. Maka masuklah aku ke dalam biliknya, maka kulihat mukanya merah serta menyapu airmatanya. Maka katanya: Encik pulanglah, jangan susah kalau sahaya hidup boleh kita bertemu pula”. Maka datanglah isterinya membawakan dua puluh lima ringgit, katanya: Ini sahaja beri sama Encik punya anak-anak di Melaka”. Maka apabila kudengar itu makinlah terbakar rasanya hatiku sebab budinya laki isteri itu. Maka kusambut serta memberi terima kasih serta menggoncang-goncangkan tangan tuan Raffles dua laki isteri serta dengan air mataku, lalu turun ke sampan. Maka setelah jauhlah sampan itu berdayung, maka aku menoleh ke belakang, kulihat tuan Raffles ada memandang dari jenela. Maka aku memberi tabik akan dia, maka diangkatnya tangannya. Maka sebentar itu juga kapal itupun mengangkat layar, lalu berlayarlah.” (Hikayat Abdullah, muka surat 251).
    2
    • Like
    • Reply
    • 33 w
    • Like
    • Reply
    • 33 w
  • Sy ada yg sblh kiri..cuma kulit hijau.
    • Like
    • Reply
    • 33 w

No comments:

Post a Comment