Rapuh 17/2020: Mengenang Biasiswa Raffles 1823
Sungguh ke depan, berkebajikan lagi lumayan serta bakal merobah sejarah!
Ah, kalaulah tawaran program biasiswa perintis awal ini dipersetujui Sultan dahulu boleh jadi tiadalah Perjanjian Pangkor, Sistem Residen, Penasihat British, R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt .
Abdullah Munshi melaporkan:
“Maka apabila sudahlah makan minum, maka Tuan Raffles pun datanglah duduk bersama-sama Sultan dan Temenggung serta orang-orang Melayu; maka kata Tuan Raffles,
“Tuan Sultan dan Tengku Temenggung, ada suatu kehendak sahaya dalam hati yang terlalu besar gunanya, sahaya hendak khabarkan Sultan serta segala tuan-tuan ini.”
Maka jawab Sultan, “Apa dia, tuan?
Maka kata Tuan Raffles,
“Ada pun anak Tuan Sultan satu, dan anak Temenggung satu, serta dua tiga orang anak-anak menteri Sultan, supaya boleh mengiringkan dia , supaya mahu hantarkan ke Benggala kepada Tuan Jeneral Benggala, supaya dia orang boleh belajar bahasa Inggeris serta menulis Inggeris, dan belajar kira-kira, dan belajar jenis-jenis ilmu, supaya jangan dia menjadi bodoh seperti orang-orang Melayu dengan tiada suka belajar; kerana sementara dia lagi kecil ini boleh lekas ia belajar, barang empat lima tahun boleh dia orang menjadi pandai.
Maka kemudian kelak di belakang Sultan ia boleh menjadi raja yang pandai, tiadalah boleh dikena-kenakan akan dia.
Tuan Sultan lihatlah dalam negeri Singapura ini, semua bangsa ada menjadi saudagar; adakah seorang pun saudagar Melayu? Kerana dia orang tiada boleh mengerjakan pekerjaan yang besar-besar, sebab pertama-pertama dia tiada tahu kira-kira dan tulis-menulis, maka jikalau kiranya anak-anak Sultan pun pandai kira-kira dan ilmu-ilmu kelak, nescaya pecahlah kepada orang-orang Melayu yang lain.
Maka saya terlalu suka kalau semua orang boleh menjadi pandai.”
Sayang hampir dua kurun sayang.
Namun, tahukah kita sebab-sebab Sultan tidak menghantar calon-calon Raffles itu belajar di seberang laut?
(Lihat, Hikayat Abdullah, Penerbit Djambatan, Djakarta/Amsterdam, 1953, muka surat 226-227.Susunan perenggan asal diubahsuai untuk lebih mudah dibaca. Ilustrasi hiasan dipetik daripada 8th Guide to Singapore and Spotlight on Malaya, Papineau Studios, Singapore, n.d.)

No comments:
Post a Comment