Rapuh 6/2020: Malayanisation
Kemerdekaan bakal memberikan hak memerintah dan mentadbir sendiri negara. Dari segi perkhidmatan awam, seawal tahun 1946 telah diputuskan supaya perkhidmatan awam beransur-ansur dipenuhi warga tempatan. Pegawai-pegawai British yang sedang mengisi jawatan-jawatan utama perlu digantikan sewajarnya.
Ketika itu (tahun 1955) “kira-kira satu pertiga daripada jawatan dalam perkhidmatan awam Tanah Melayu dipegang oleh orang Melayu dan bilangan kecil orang Malaya yang lain walaupun mereka pada amnya adalah jawatan yang rendah.”
Perkara ini ada dinyatakan dalam satu rencana tersiar dalam Utusan Melayu bertarikh 21 Mei 2007 berjudul “Bapa Malaysia Dalam Kenangan” muka 15. Penulisnya, John Gullick memberitahu beliau menjadi setiausaha Jawatankuasa Mengenai Pengambilalihan Perkhidmatan Awam [Malayanisation] yang dimaksudkan itu. Ia ditubuhkan pada tahun 1955.
Jawatankuasa dipengerusikan oleh Tunku Abdul Rahman (Ketua Menteri) dan dianggotai Abdul Razak, Abdul Aziz Ishak, H.S. Lee, V.T. Sambanthan dan Ketua Setiausaha D. C. Waterston. Jawatankuasa ini bersidang dua kali seminggu selama setahun. Dinyatakan, “mereka yang membincangkan secara rahsia sebelum menerbitkan laporan dan cadangan-cadangannya.”
Gullick juga membayangkan suasana perbincangan Jawatankuasa. “Beliau [Tunku] sanggup mendengar pendapat rakan-rakannya terutama sekali Abdul Razak dan H.S. Lee dan beliau banyak bergantung kepada pertimbangan mereka. Sambanthan kurang bercakap. Abdul Aziz (pada ketika itu Menteri Pertanian) menimbulkan masalah kerana beliau yang mencadangkan pemiliknegaraan dengan segera dan meragui pegawai British. Beliau dan Tunku sering kali kurang bersetuju walaupun dengan cara yang bersopan. Jelas bahawa cara agresif Abdul Aziz menjengkelkan Tunku, yang merupakan seorang bangsawan.”
Jawatankuasa telah menerbitkan laporannya pada tahun 1954 dan 1956. (Lihat, Reports of the Committee on Malayanization of the Public Service. Kuala Lumpur: Government Printer, 1954 and 1956). Laporan itu dibentangkan kepada Majlis Persekutuan. Ia “mencadangkan program mengambil alih secara berfasa merangkumi jangka masa tiga hingga tujuh tahun mengikut keadaan perkhidmatan jabatan.”

No comments:
Post a Comment