Thursday, 3 December 2020

    Pantulan 05/2020: Dewan Sastera Hadiah Ikhlas, Jilid 50, Bil. 1 2020, dan yang merompong

Walaupun bukan yang terawal, gagasan merintis ke arah pemaruahan kesusasteraan Melayu antara lain disuarakan oleh Keris Mas pada tahun 1957 dalam Dewan Bahasa (lihat, A. Bakar Hamid, Esei Pilihan Keris Mas, DBP, 1981, muka surat 42-46) dan berterusan diwacanakan oleh tokoh-tokoh atau penulis-penulis lain dalam tahun-tahun pascamerdeka.
Dalam bibliografi susunan saya peribadi tercatat ratusan wacana semuanya. Namun, apabila Wawasan 2020 menjelma perbincangan awal tentang wajah kesusasteraan yang dihasratkan boleh dibaca dalam Dewan Sastera, Jilid 22, April 1992.
Abdul Ahmad, selaku editor Dewan Sastera, menulis “Aktiviti Sastera Memerlukan Orientasi Baru!” (Daripada Editor), Dewan Sastera, April 1992. Beliau merujuk Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan di Universiti Pertanian Malaysia yang “berpusar pada Wawasan 2020 dalam kaitannya dengan peranan pendidikan kesusasteraan.” Laporan ringkas tentang seminar itu ditulis oleh Aripin Said, “Pendidikan Kesusasteraan Melayu ke Arah Wawasan 2020” yang menyatakan tema seminar ialah “Pendidikan Kesusasteraan ke Arah Wawasan 2020”. Sebanyak 29 kertas kerja dibahaskan demi merumus permuafakatan mencapai objektif-objektif seminar.
Dalam Dewan Sastera, April 1992 itu termuat kertas-kertas kerja oleh Othman Puteh, A. Wahab Ali, Shafie Abu Bakar, dan Mana Sikana menumpu kepada aspek-aspek tertentu dan khusus bidang kesusasteraan Melayu.
Dalam penutup kertas kerja beliau, Othman Puteh menulis, “Pendidikan sering mempunyai upaya memperkenalkan kita pada jagat raya. Dalam hal ini, harus diakui sastera sesungguhnya satu daripada bidang yang menawarkan kemungkinan cara-cara terbaik bagi insan yang berada dalam jagat lain untuk mengenal bahagian dunia orang lain. Hal ini dapat dilakukan dengan baik, meyakinkan, sekiranya kita bersikap lebih pragmatik dan terbuka bahawa di luar dari bahan pemilihan ini, sastera kita, di tangan beberapa pengarang lain, berusaha menggarap pelbagai subjek yang sejajar dengan ledakan ilmu pengetahuan semasa yang di luar pengkhususan kita. Justeru itu, karya-karya akan datang haruslah yang lebih mencabar daya intelek, ruwet, dan mempunyai visi dan horizon yang lebih luas dan terkedepan.” (“Genre Cerpen sebagai Bahan Pendidikan Sastera Suatu Upaya Menerobosi Kaca Buram”, Dewan Sastera, April 1992, muka surat 8-10).
A. Wahab Ali, dalam kertas kerja beliau menulis, “Novel yang menjadi teks di samping meresapkan nilai-nilai yang diwawaskan, memacu pelajar untuk terus membaca novel dan diresapi pula oleh nilai-nilai yang dimatlamatkan, iaitu melahirkan seorang warganegara dalam sebuah negara Malaysia yang maju, seimbang dalam serba segi.” Beliau seterusnya menegaskan, “satu perkara yang penting diingat ialah betapa baiknya dan sesuai novel yang dipilih tetapi jika cara mengajarkannya tidak betul, maka hasilnya pasti mengecewakan; ibarat bunga yang indah sampai di tangan monyet.” (“Persoalan di Sebalik Pemilihan Novel untuk Pendidikan Kesusasteraan”, Dewan Sastera, April 1992, muka surat 11-12).
Wacana kesusasteraan Melayu dalam konteks Wawasan 2020 muncul lagi dalam Dewan Sastera, Julai 1992.
SN A. Samad Said menulis, “Daripada segi teknik, barangkali kita mula dapat mengerti dan menguasai sedikit sebanyak mekanisme Albert Camus dan Umberto Eco. Tapi, bagaimana pula dengan kesedaran dan penghayatan kita akan kehidupan semasa itu sendiri? Hal ini sebenarnya yang akan memberikan isi dan semangat kepada karya kita. Malah, kemajuan sastera kita nanti akan banyak bergantung kepada sesedar mana kita meneropong karya dunia—yang sejarah dan yang mutakhir. Kita memerlukan juga cermin untuk “menguji” atau “mengukur” di paras mana sebenarnya kita sedang berdiri; sejauh mana kita “ketinggalan”. Dan, adakah kita tidak “tergelincir” jauh dari arus realiti kehidupan sendiri, bukan kerana kita tidak sedar, tapi lebih kerana kita tidak tahu.
Kembali kepada diri sendiri, saya mengkhayalkan Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan terus saja digunakan sebagai teks sastera Melayu sebagai pengakuan kita akan penulisnya sebagai peneroka dan pejuang tanah air. Saya kira, keberanian ini tidak ada. Malah, saya juga mengkhayalkan Salina dan Sungai Mengalir Lesu digunakan secara yakin sebagai buku teks sekolah kerana nilai seni juga nilai dokumentasi sejarah sosialnya. (Salina kini digunakan sebagai buku teks bagi pelajar O-Level di Singapura). Saya kira keberanian itu pun tidak ada.
Bagi saya, keberanian rasional seperti inilah yang menjadi antara penunjuk sama ada kita hanya bervisi atau kita sebenarnya penggerak visi itu. Saya tahu yang ramai hanya bervisi—atau peneriak visi – hanya setelah perdana menteri memproklamirkannya. (Saya kira, perdana menteri pun tidak mahu sekadar tukang canang yang matanya terbuka, jendelanya tertutup.)”
(Lihat, A. Samad Said, “Sastera Ke Arah Visi 2020”, (Isu Kesusasteraan), Dewan Sastera, Julai 1992, muka surat 10-13).
Sebenarnya pada telekan saya, apabila PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003, isu kesusasteraan Melayu, lebih tepat lagi, hidup mati bahasa Melayu, telah jelas terpampang. Ia membilang ‘hari-hari terakhir’nya semenjak tahun itu.
Pun, saya melompat kilat ke tahun 2015, memetik soalan PEMANDU pada 7 September 2015, “Adakah saudara fikir menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran lain mengurangi kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan?” (lihat, Baha Zain, “Bahasa Melayu Sekali Lagi Terumbang-ambing di Tanah Airnya Sendiri” (Monolog Kecil), Dewan Sastera, Disember 2015, muka surat 5-7. Tentulah suatu soalan mainan yang tidak perlu kita jawab!
Lebih nostalgik dan tajam, Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara), “Perpaduan Melalui Pemisahan Bahasa Melayu 2016”, (Selingkar Bundaran Kata), Dewan Sastera, Disember 2015, muka surat 36-38, mengakhiri eseinya mengulangi kata-kata Abdullah Munshi, “… barang siapa yang membuangkan bahasanya itu, maka akan menjadi bangsa kecil dan hina, …”
Tidak cukup dengan itu, saya membaca pula sembilan matlamat pendidikan kesusasteraan seperti terpapar dalam tulisan, Ruzaini Awang, “Matlamat Pengajaran Kesusasteraan Melayu Dalam Pendidikan”, (Reaksi), Dewan Sastera, Disember 2015, muka surat 47-50. Mengikut kesimpulan beliau, pengajaran kesusasteraan itu “wajar” diteruskan di sekolah-sekolah. Memang kalau semuanya dihayati dan dipatuhi.
Lalu saya terkenang. Seseorang yang duduk semeja pada malam permai Anugerah Sastera Negara ke-14 pada 21 September 2019 di Hotel Istana telah menyatakan kepada saya, apabila saya menanyakan, beliau tidak memilih untuk terus berkhidmat di universitinya kerana ternyata bidang kebahasaan (iaitu kepakarannya) sudah tidak menerima layanan memuaskan lagi.
Maka saya tidaklah terkejut lagi dengan apa-apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan sementelahan lagi yang bakal berlaku.
Termasuk, membaca ‘rengetan’ Daengramliakil dalam salah satu Puisi Bulan Ini Dewan Sastera, Jilid 50, Bil. 1 tahun 2020, berjudul “Melayari Jong Sastera yang Malu Dinyatakan”, halaman 79.
Hanya saya kurang pasti sama ada kata-kata beliau, “Di bumi aku ini jong sastera hingga kini/oleng sering, jurumudi jua jurubatu bisu selalu sejak dulu/menggigit … tapi ompong…” menyuluh apa yang sedia terang-benderang!
Layaran segera di maya menghasilkan maklumat. Menurut KBBI, “ompong itu” makna (1)nya, “tidak bergigi karena giginya sudah ada yang tanggal, dicabut, tidak tumbuh, atau tidak terbentuk (tentang manusia, hewan, dan sebagainya)”. Saya melihat, W.J.S. Poerwadarminta, Kamus Umum Bahasa Indonesia, Tjetakan Ke-Tiga, Dinas Penerbitan Balai Pustaka, Djakarta, 1961, muka surat 627, “Dj: tidak bergigi lagi; tanggal (giginja).”
“Ompong” dalam bahasa Inggeris dikatakan “toothless”. Oxford Compact Advanced Learner’s English-Malay Dictionary, Oxford Fajar, 2007, terjemahan Asmah Haji Omar, memelayukan perkataan itu dengan “tanpa gigi” (muka surat 1571). Kalau dibaca pula, Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia, DBP, 1981, tercatat, “tiada bergigi; rompong” (p. 1331). Tetapi saya juga seronok merujuk, Kamus Inggeris Melayu Dewan, DBP, cetakan pertama 1991, muka surat 1743, “1… belum tumbuh gigi: … bayi yang belum tumbuh gigi; 2. …”
Barangkali lagi makna beruraian yang tidak salah atau lebih benar, ialah hakikat ribuan wacana [bahkan pelaksanaannya yang berkirun itu) termasuk oleh “jurumudi” dan “jurubatu” itu sebenarnya menjelma sebagai ‘habuk’ sahaja.
Tentulah ini tidak jauh dengan kata-kata Za'ba seperti dipetik oleh Keris Mas dalam esei beliau yang dinyatakan pada awal tadi, “Tiap-tiap bahasa yang hidup memang tabiat dan adatnya tumbuh dan bertambah serta berubah perlahan-lahan dari satu masa ke satu masa; jika tiada tumbuh atau bertambah dan berubah maka ertinya tiada bergerak, dan tiada bergerak itu ertinya mati sebagaimana bahasa Sanskrit dan bahasa Latin telah mati.” (Pendahuluan Pelita Bahasa Melayu III”)
Kalau naskhah “Hadiah Ikhlas” Dewan Sastera ini kelak tidak juga kehabisan beredar dan mendampak positif, saya masih sama berpendirian; akan tetap bersendirian menjelangi sastera demi kepuasan peribadi sambil membilang juga ‘hari-hari terakhir seorang' pembelek yang kian memalapi.
Image may contain: text that says "Sastera Dewan क KK 800-90450-0120 KANDUNGA JILID 50 BIL. 1 2020 ISSN 0126-5059"
Zulkifli Salleh, Leo Aws and 7 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Nak memupuskan suatu bangsa, lepas-luncas bahasa dari lidah, mulut, hati dan jiwanya!
    • Like
    • Reply
    • 17 w
    • Edited
  • Saya tertarik dengan perkataan 'ompong' tiada gigi, dalam erti kata yang lain mulai hilang sengatnya, taringnya. Perkataan ini jelas menunjukkan medium kesusasteraan yang dulu mempunyai misai melenting sekarang sudah luncus seluncusnya. Adakah ini fenomena bersifat sementara atau mulai memasuki zon lenyap?.

No comments:

Post a Comment