Pantulan E/01/04/2020: Nassury Ibrahim, "Seloka Nasib Melayu" - Aduhai Bahasa.
Suatu ketika dulu saya telah menyentuh tentang sajak-sajak bertemakan bahasa Melayu. Ketika itu berdasarkan bibliografi peribadi jumlahnya sudah lebih 800 buah dan tentulah sekarang lebih banyak lagi. Dalam hantaran dahulu itu saya menulis begini:
“Sebenarnya salah satu usaha saya ialah mengumpulkan sajak-sajak bertemakan bahasa. Sekarang ini hampir mencapai 800 judul, dari awal sampai mutakhir. Itulah sebabnya saya hampir tidak menyentuh tema ini selama ini, walaupun ia yang paling atas dalam usaha belekan harian saya. Hajat tersembunyi saya ialah ‘menyelenggara’ aspek ini secara terasing dan khusus. Saya akan melihat bagaimana pendekatan paling sesuai tentang perkara ini selaras dengan ‘keruntuhan’ yang sedang terjadi.”
Entah kesan apa yang terbit daripada kewujudan sajak-sajak itu tidak pernah dipersoalkan secara terbuka. Ia seakan satu usaha menyeronokkan diri sendiri terkhusus bagi penyajak-penyajaknya atau segelintir pembaca lain yang banyaknya berpendirian sebagai ‘pemerhati’ di rumah.
Salah satu keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka yang cuba menahan tsunami PPSMI ialah Dewan Sastera, Ogos 2002. Malangnya, fokus ini tidak dipampang di kulit luarnya. Bolehkah disebut ‘tersorok’? Tak apalah! Tetapi di dalam keluaran itu termuat beberapa esei dan segugus puisi yang memfokus implikasi pelaksanaan PPSMI. Perhatikan satu dua judul esei yang termuat; “Tersasar Entah ke Mana …”, “Bahasa Terpinggiir Sastera Tersingkir?”
Sementara itu, lupakah tuan lelucon BISP?
Saya percaya tiada pun orang berpengaruh yang berminat terhadap isu ini. Namun, sebagai menandakan fokus, dalam ruangan “Puisi Khas” terrmuat 8 sajak menyentuh bahasa. Mereka, para penyair itu, berfalsafah, mendayu-dayu, bermetafora, mengeluh sembari menggambari ketiadaharapanan. Sajak-sajak ini mengambil tempat “Puisi Bulan Ini” (yang ditiadakan pada keluaran ini).
Sementelahan, di ruangan “Puisi Khas” juga, pada halaman terasing (sedikit eksklusif?), di halaman 31, A. Samad Said menyumbang tiga buah sajak. Ia tiada satu pun menyentuh bahasa. Sebaliknya tentang cinta negara. Tetapi wajar dipetik, seruan beliau menyanjungi “Rimba Tercinta”; “Inilah rimba raya sumber/Hujan dan udara mesra/Betapa perih pun tanggungjawab /Kitalah memeliharanya.”
Dalam konteks PPSMI, kita wajib bayangkan (atau perasankan sendiri) “rimba raya sumber” bermaksud sebenarnya bahasa Melayu, iaitu ‘jiwa bangsa’ kita. Sekadar ini, mengelincir. Hanya, endahi dua kalimat terakhir SN itu.
Dalam banyak-banyak sajak “Puisi Khas” yang lain-lain itu aku tidaklah teruja untuk memantul. Ia seperti hampir seribu sajak yang telah kusebutkan tadi. Tanpa cungkilan, pasti semua itu akan terselam abadi. Bahkan semuanya, kalah oleh kehadiran berhiasan latar hitam dominan sebuah seloka di ruangan Ujana Klasik, halaman 27.
Ujana klasik, semenjak diperkenalkan, pada hakikatnya banyak mengandungi mutiara curahan minda bijaksana. Ironinya oleh kerana ketradisionalan bentuk puisinya menjadikan orang alpa memberi perhatian. Lantas, ia hanyut melenyap sekelip mata. Barangkali disenangi pengarangnya sendiri sahaja.
Satu langkah yang berfaedah perlu dilakukan ialah mengumpulkan semua puisi tradisional tampungan Ujana Klasik karya pemuisi-pemuisi moden ini dalam antologi.
Dengan begitu sekali gus ia mungkin akan menarik seseorang untuk mengkaji lanjut. Tidaklah lagi bakal-bakal sarjana berterusan menumpukan “pisang emas dibawa belayar” atau “Seloka Pak Kaduk”, “Seloka Lebai Malang”, “Gurindam Emak Si Randang” atau lebih bahari lagi, “Alamat Hari Nak Siang” atau “Keris Sempana Ganja Iras” untuk ijazah sarjana dan kedoktoran mereka.
Dalam ruangan Ujana Klasik kali ini, “Seloka Nasib Melayu” oleh Nassury Ibrahim, menjelma terang. Aku tidak menganggap ia sempurna. Sebagai seloka penampilannya mengakuri setia seloka-seloka yang lain. Sebagai ciptaan seniman bukan rakyat, abad ke-21, beberapa baris boleh digugurkan atau diganti dengan yang lebih baik. Demikian, demi kebulatan tumpuan terhadap isu.
Di sebalik kekurangannya, seloka ‘baharu’ ini ada kekuatan. Lima kalimat terakhir tetap mengungguli, sebagai penafi hakikat (yang sudah, sedang dan bakal terjadi). Dan, paling saya puji, “bahasa orang diwajibkan di universiti/bahasa sendiri kurang dipercayai.” (Seyogianya, dalam konteks demikian, perkataan “kurang” ditukarkan dengan “sama sekali tidak”).
Ujana terkini ini, walaupun tidak menempa semula gerakan “Minggu Bahasa Kebangsaan” atau “Bulan Bahasa Kebangsaan” segeger tahun-tahun 1960-an, kerana tidak menyuguh pelan tindakan, ia tidak harus mengecewakan sebab dalam realiti pelan tindakan itu tersedia ada sehingga segala-galanya telah pun dilaksanakan sebaik merdeka termasuk penubuhan Universiti Kebangsaan dan ‘produk-produk’ kebangsaan seterusnya beberapa dekad menyusuli.
Seloka, sebagai wujudnya, hanya sebuah ‘aduhai’. Persembahan Nassury ini tetap terpuji kerana berisi kisah malang bahasa (dan tentulah bangsanya) bertaraf derita raksasa.
Rakaman itu termaktub pada tahun 2002. Sekarang, pada tahun 2020, yang berubah hanyalah kosong kosongnya sahaja. Kini kosong kosong itu, satunya dikepit, dan satu lagi terletak pada tempat terakhir.
Lalu, bakal bagaimana seloka terakhir, semasa?

No comments:
Post a Comment