Pantulan E/01/03/2020: Sajak Rahimidin Zahari, “Cintaku Padamu, Anum” - Tragedi cinta pemutus waadat Melayu
Aku sukar menahan diri daripada memantuli apabila melintasi sebuah puisi, tinggalan (Allahyarham) Rahimidin Zahari, Kampung Kelantan, Kota Tinggi, 30 Januari 2010, “Cintaku Padamu, Anum” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Mac 2012, muka surat 69.
Ini sebuah sajak yang akan mencapai kemuncak penghayatan hanya setelah difahami latar sejarah episod yang disorotinya. Orang yang telah mengharunginya tidak sukar menghargai karya ini. Namun, istimewanya, pengetahuan sejarah tidak menjadi syarat wajib untuk menikmati gubahan ini. Kerana, babak itu dengan bijaknya dipaparkan seterang-terangnya dalam beberapa kalimat yang pendek-pendek pula.
Leonard Y. Andaya mengatakan Babad Siak menceritakan peristiwa itu secara paling lengkap berbanding sumber-sumber yang lain. Tulis beliau, “Apabila isteri Megat mengadap, baginda memerintahkan supaya perutnya dibelah kerana baginda mahu melihat sendiri bayi yang memakan nangka baginda di dalam rahim ibunya.”
Kata Andaya lagi, berdasarkan manuskrip Hikayat Johor serta Pahang, Megat Sri Rama telah diperintah Sultan Mahmud menyerang Linggi. Kematian isteri beliau diberitahu sebaik beliau kembali dari Linggi.
Megat Sri Rama, salah seorang Orang Kaya Johor, nekad menderhaka lantaran menuntut bela pembunuhan isterinya yang sedang mengandung atas perintah Sultan kerana kesalahan memakan seulas nangka untuk santapan Sultan. (lihat, Kerajaan Johor 1641-1728, muka surat 250, 260)
Tumpuan sajak ini seharusnya tidak diandaikan terhad kepada satu aspek khusus. Ini adalah perihal kelangsungan kesultanan yang gah, mengenai perikatan kasih sayang suami isteri yang luhur, tentang pemahaman terhadap kebaktian kepada negara dan pengorbanan demi menjunjung titah duli tuanku.
Rahimidin Zahari tidak tersalah pilih episod untuk menggemblengkan persoalan-persoalan besar itu agar meruap berkekalan.
Dalam pensejarahan kesultanan mutlak Melayu, episod ini harus diungkit. Selagi belum ada permuafakatan tentang kesesiaan mentelaahnya, percubaan mentafsir oleh generasi semasa dan yang bakal menyusuli harus tidak diperkecilkan. Ia mengandung pelbagai unsur pentingnya bersangkut paut dengan hakikat mentadbir negara secara berperadaban. Usaha sebegini berfaedah.
Dari segi cinta, ia salah sebuah cetera cinta yang abadi di kalangan rakyat jelata dalam sejarah alam Melayu. Sayangnya, barangkali ia, cinta Orang Kaya Megat Seri Rama terhadap isterinya [Anum], tidak sangat diingati dari perspektif yang tersendiri ini.
Semua orang telah tahu cerita ini. Dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961), isteri itu dikenali sebagai Anum, (dilakonkan oleh Maria Menado). Filem klasik ini pernah aku tonton suatu ketika lama dahulu.
Bahkan sebelum itu, disandiwarakan serata negeri. Aku sendiri pernah menyaksikan persembahan pentasnya ketika masih di peringkat sekolah rendah lagi. [Aku masih ingat, Cikgu Rahim jadi Sultan Mahmud, Cikgu Talib jadi Megat Sri Rama, dan yang lain tidak diingat lagi].
Ada kudengar dalam satu sandiwara itu, buah nangka yang dicampak raja bergolek jatuh dari pentas ke khalayak!
Benarlah puisi ternyata tidak kalah memberikan impak serentak merakamkan tragedi itu jadi abadi. Pendek pun kalimat-kalimatnya, tidak mengurangkan nilai seni dan cengkaman kesejarahannya. Kita boleh terharu oleh kebersahajaan yang menepati keperluannya.
Memang hidupnya sajak ini oleh kreativiti Rahimidin. Kezaliman Sultan Mahmud ternyata bukan hanya kerana memerintah dibelah perut wanita mengandung, malah tercungkil melalui kata-kata Rahimidin, “taat setiaku/lebih murah/dari harga seulas nangka.” Sedangkan Megat Seri Rama seorang Orang Kaya berjasa.
Bagaimana sebuah dinasti yang agung dalam sejarah bangsa Melayu berakhir oleh unsur-unsur kezaliman tanpa batasan dan disemaraki kecintaan yang mendalam manusia yang terbabit?
Episod ini tidak seharusnya diketepikan sama sekali. Ialah yang mencetuskan penderhakaan. Ialah yang membatalkan waadat Bukit Si-Guntang. Ialah contoh sebenar kesewenangan seorang raja mutlak dan penafian tanpa tara penghargaan terhadap jasa cemerlang yang dicurahkan penjawat kerajaan demi menjulang kelangsungannya.
Mengikut sejarah, kematian Sultan Mahmud menandakan berakhirnya keturunan raja Melaka. Selepas itu diisytiharkan Bendahara menjadi Sultan Abdul Jalil Riayat Syah pada 3 September 1699 sebagai pengisi takhta.
Memang Allahyarham Rahimidin Zahari perakam sejarah yang seharusnya dikenangi setara dengan kelestarian peristiwa yang dipuisikannya. Al-Fatihah.

No comments:
Post a Comment