Pantulan E /01/02/2020: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Tun Seri Lanang, Mengapa Tiada Cetera Ketiga Puluh Tiga” - Sejarah Melayu, suratan baru.
Sedang membaca sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Tun Seri Lanang, Mengapa Tiada Cetera Ketiga Puluh Tiga” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Januari 2008, muka surat 37, timbul pertanyaan, “Jasa bakti apa yang disanjung lalu diperhargai kewibawaan zaman Melaka bahari?
Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun berwaad dengan Sang Si-Perba. Kerana itu hamba Melayu tidak boleh menderhakai raja berketurunan baginda selama-lamanya. Hayati pintaan dan akuan Demang Lebar Daun, “Ada pun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.”
Kata pula Sang Si-Perba, “Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah… Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.” (W. G. Shellabear, 26-27)
Nampaknya perkara ini penting diketahui. Selepas membaca gubahan Siti Zaleha terkesan bahawa orang ‘berjasa” (ertinya berkorban diri demi kepentingan ‘negara’) tidak menerima simpati atau setimpal balasan.
Tuan Jana Khatib dengan keramatannya dihukum mati kerana dikagumi Permaisuri kesaktiannya. Tun Teja yang dilarikan Hang Nadim mengemam hempedu “beralih kasih membenam sedih” di istana selaku ‘permaisuri’ seorang Raja yang pemberahi. Tun Fatimah yang rupawan tidak bahagia walaupun menjadi raja perempuan menggandingi raja yang membunuh suami dan keluarga tersayang.
Tetapi saya tiada halangan kalau pun ditulis sambungan. Namun, tetap bertanggapan Tuan Jana Khatib tidak boleh lama berteduh dalam negeri kerana dia angkuh dan mempamerkan kebolehan pada tempat yang di luar sempadan adat resam. Kejahilan akan tata kelakuan kerajaan membawa padah sama ada dahulu mahupun sekarang.
Tun Fatimah pula tiada pilihan. Ia harus patuh dan redha menerima takdir. Titah perintah tidak disanggah bahkan dijunjung oleh semua ketika itu. Rukunnya begitu. Memang, harapan sebahagian pembaca semasa bercambah pada awalnya apabila Tun Hassan Temenggung ingin mengangkat senjata menderhaka. Ternyata, beliau mengalah apabila dinasihati Bendahara tidak menyanggah. Raja sahaja yang boleh mengungguli serba-serbi, ‘beraja di hati’.
Mungkin dalam konteks sekarang, peristiwa perkahwinan tidak berulang dalam latar sedemikian. Tetapi membabit undang-undang, kalau diingkari, padah tetap menimpa mereka yang tidak setia mengakur ikrar. Itulah etika kesultanan tradisi.
Kalau diteliti kajian yang selautan, ternyata Sejarah Melayu banyak versinya. Saya menyokong ditambah lagi versi naskhah Sejarah Melayu yang lain kerana, seperti kata Muhammad Haji Salleh, “... sebuah karya Melayu ditambah, dikurang, diperbesar atau dikecilkan sewaktu proses penyalinan dilaksanakan.” (Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturun Segala Raja-raja (Sejarah Melayu), muka surat ix).
Memang banyak versi Sejarah Melayu wujud. Agak berlainan, kita membaca, sambungan Sejarah Melayu itu yang muncul sebagai Hikayat Siak (atau Sejarah Raja-raja Melayu atau Hikayat Raja Akil) yang disurat oleh Tengku Said. (Lihat, Hikayat Siak diselenggarakan oleh Muhammad Yusoff Hashim, DBP, 1992. Selepas merujuk Andaya, Yusoff menulis, “Penulisan HS [Hikayat Siak] ini memang telah dirancang tujuannya. ....., ianya berfungsi sebagai suratan, untuk membenarkan tuntutan kehalalan politik Raja Kecil sebagai putera waris dari Sultan Mahmud Shah II.” (muka surat 26-27)
Maka kalau seseorang ada kepentingan, tiadalah siapapun boleh menghalang beliau mengarang sebuah lagi sambungan Sejarah Melayu, sesuai dengan matlamat baru. Bagaimanapun, jika kemodenan adalah latar yang mencetuskan kesedaran dan tafsiran maka sambungan itu tidak salah asalkan akur terhadap nilai-nilai semasa.
Aspek ini penting. Sekian lama, contohnya, orang memperdebat ketergamakan Hang Tuah membunuh Hang Kasturi sedangkan ketika zaman mereka itu tindakan itu adalah dikira sah kerana dititah oleh Sultan (yang memiliki kewibawaan) dan didokong oleh ‘kerajaan’.
Jadi, kalau Cetera Kesepuluh [cetera asal yang memuatkan cetera Tuan Jana Khatib) ingin diperikan, sesuai dengan perkembangan, saya syorkan ‘kekebalan” Paduka Seri Maharaja (Raja Singapura) itu dibatalkan melalui proses pindaan perlembagaan. Maknanya, jika tindak-tanduk ‘dia’ dikira tidak serasi perlembagaan bicarakan agar diputuskan ‘salah laku’ oleh mahkamah terlembaga. Dalam konteks semasa ini mengadili Raja yang membelakangi perlembagaan bukan perderhakaan sebaliknya proses wajar mendukung “kedaulatan undang-undang” (salah satu Rukun Negara). Institusi atau para penjawat tiada menjadi batu berbuat begitu seperti misalnya, dialami Sang Rajuna Tapa.
Tentang TunTeja, kisah bakal Permaisuri Pahang itu, tiada banyak yang boleh diubah suai. Sejarah Melayu menceterakan Sultan “ingin rasanya akan anak Bendahara Pahang itu.” Sultan bertitah, “Barang siapa membawa Tun Teja itu ke mari, apa yang dikehendakinya kita anugerahi akan dia; umpamanya, Jikalau ia hendakkan sekerat kerajaan kita sekalipun kita anugerahi akan dia; dan jikalau dosanya patut dibunuh, tiada kita bunuh akan dia.”(h. 226).
Mendengar itu, Hang Nadim lantas berkira-kira di dalam hati, “Apa daya aku berdapat dia?” untuk dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah. (W. G. Shellabear, h. 227). Dengan strategi dan kehandalannya, Tun Teja dapat dibawa ke Melaka. Sultan Mahmud mengahwini lalu Tun Teja melahirkan Tun Puteri Amra Dewi (h. 233). “Maka Cobak, anak raja Kelantan itu, dianugerahkan baginda jadi isteri Hang Nadim,..”
Tiada terpancar kedukaan di wajah Tun Teja bahkan rela pula memberitahu Sultan Mahmud, akhlak mulia Hang Nadim ketika berada di Pahang.
Tun Teja ke Melaka dengan maksud jelas bersedia menjadi ‘permaisuri’ Melaka pada awal-awal lagi, kerana seperti kata ‘perempuan tua pelulut’, “Jikalau tuan diperisteri raja Pahang, bermadulah tuan dengan raja perempuan; jikalau tuan jadi isteri raja Melaka, tiada dapat-tiada menyembah kelak raja perempuan Pahang.”
Tiada penipuan oleh, kecuali menggunakan ubat guna Hang Nadim yang disapukan oleh pelulut ke tubuh Tun Teja. [Kalau penggunaan ubat guna itu salah, kesalahan Hang Nadim terkhusus di situ, mengikut versi Tun Seri Lanang].
Saya kira Tun Teja bahagia di Melaka. Tun Seri Lanang telah menceritakan seperti sebenarnya. Hang Nadim hanya berusaha membawa Tun Teja agar kesilapannya yang lalu diampuni raja.
(Catatan: Pada Cetera Keempat Belas, Tun Seri Lanang menceterakan Sultan Mansur Syah memperisterikan Raden Galuh Cendera Kirana. Hang Tuah ketika itu adalah Laksamana Melaka.]
Pertelingkahan muncul jikalau kita campuradukkan suratan Sejarah Melayu dengan cerita seperti tersurat dalam Hikayat Hang Tuah. Memang dalam kedua-duanya, ceritanya berlainan!
Tentang Tun Fatimah, mengikut adat, raja Melaka berhak diberi pilihan pertama menilai anak Bendahara itu menjadi isteri Baginda. Tetapi Bendahara tidak mengikut adat itu, mengutamakan kepentingan sendiri. Akibatnya raja berdendam. Dengan Raja berkuasa mutlak baginda bertindak menghukum “tiada dengan periksa lagi” ke atas Bendahara dengan tohmahan tertentu kemudian. Memang hukuman ke atas Bendahara sekeluarga dikira zalim, tetapi kata-kata Raja adalah seakan keputusan Mahkamah Persekutuan. ‘Raja adalah bayangan Tuhan.’
Faktanya, berdasarkan siasatan kemudian, Sultan Mahmud menyesal bertindak wewenang dan turun takhta. Putera baginda dengan Tun Fatimah bernama Raja Ali (timangannya Raja Kecil Besar) kemudian ditabalkan menjadi menjadi Sultan Alaudin Riayat Shah (disebut orang Sultan Muda, h. 279). Tun Fatimah menjadi raja perempuan, kemudian dikenali raja perempuan besar. Beliau meninggal dunia di Kampar setelah berundur mengiringi Sultan Mahmud akibat kekalahan Melaka oleh Feringgi. (h. 271)
Di atas itu sebenarnya, kisah, “Kerana adat Melayu, tiada pernah derhaka.” (h. 262)
Lama kemudian, hampir dua abad berselang, baharu berlaku episod “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.” Seri Rama nekad menderhaka kerana menuntut bela. Dan keturunan terakhir raja Melaka berakhir di sana.
Sejarah Melayu hanya menceritakan riwayat Melaka sebelum dan semasa zaman Melaka. Sesiapa yang ‘menggantikan’ Tun Seri Lanang, terlepas peluang menyambung cerita mengikut kaedah penceteraan klasik. Sekitaran kini sama sekali sudah berubah – pasca-Melaka yang moden dan tanpa waad Bukit Si-Guntang.
Dalam sambungan baru, ‘penyalin’ boleh menyurat mengikut turutan: Tuan Jana Khatib (Cetera Kesepuluh), Tun Teja (asalnya Cetera Kedua Puluh Sembilan), dan Tun Fatimah (Cetera Ketiga Puluh Tiga) menjadi, Cetera-cetera Ketiga Puluh Lima, Ketiga Puluh Enam dan Ketiga Puluh Tujuh . (Sejarah Melayu sedia ada selesai pada Cetera yang Ketiga Puluh Empat).
Pantulan ini sudah terlalu panjang sekali gus menutup peluang menyentuh aspek ‘kesenian’ sajak ini.

No comments:
Post a Comment