Pantulan F/01/06/2020: Sajak Solihin Osman, “Diari Hayat” - Merinci amalan suci
Sewajarnya begitulah kehidupan ini. Biarlah merangkumi yang baik-baik. Dari mulai kita hadir di dunia sampai berakhir pada saat yang paling menepati; melakukan yang disenangi atau menyenangkan belaka.
Memang pun perlu kita mentelaah sejarah, termasuk sejarah diri kita sendiri. Aspek inilah yang saya suka, lantas jadi tertarik untuk memantul sajak Solihin Osman, “Diari Hayat”, (Puisi Jawi), Dewan Tamadun Islam, Jilid 4, Disember 2016, muka surat 18.
Solihin tidak menyebut keburukan yang telah dialami atau dilakukan. Juga, tiada ujaran tentang kebaikan dalam perjalanan. Hanya, ini adalah suatu pernyataan bahawa seseorang diberi peluang hidup. Ada tanggungjawab dipikul kerana akhirnya seseorang pasti pulang apabila roh sudah tidak lagi mengisi jasmaninya.
Sebuah diari lazimnya mengandung 365 hari untuk catatan setahun pengalaman hayat. Teballah ia dipenuhi peristiwa bermakna. Semoga. Panjang usia kita lagi banyak jilid diari tertulis.
Kalau kita mengambil usia berkerjaya sebagai mengandungi catatan pengalaman yang bererti untuk diambil kira maka sehingga mencapai pesaraan, hampir 40 jilid diari telah dikumpulkan.
Begitu juga, ketika bertaraf warga emas pun diari itu tetap perlu. Boleh jadi ada sedekad dua lagi diari mencatat langkah-langkah pasti ke titik akhir. Lagilah perlu dimuatkan dengan lakuan-lakuan yang lebih bermanfaat – kepada diri sendiri dan bertambah-tambahlah diharapkan untuk kebaikan orang lain juga.
Kalaulah kita berpeluang membaca semula diari itu, alangkah bertuahnya jika yang dicatat semuanya yang berfaedah. Realiti sebenar. Tiada yang membazir atau merugikan.
Sebabnya kekerdilan kita ketika menghuni dunia menjadikan bekalan pahala berlimpah-ruah sahajalah yang mampu menyelamatkan diri daripada kemurkaan dan hukuman mengazabkan. Kita tidak mahu termasuk dalam golongan mereka yang kekal di dalamnya – tempat yang selain daripada syurga.
Tetapi manusia tidak maksum. Timbangan ringan cenderung tersukat tentang yang positif. Sebaliknya pula subur tentang yang negatif. Sebab amalan kita tidak setimpal orang yang bertaqwa. Ini bermakna aral.
Kalaulah perlakuan kita yang mendosakan tidak terlalu besar lantas boleh diampuni Ilahi ketamatan hayat seharusnya boleh menenangkan. Semoga begitulah yang akan kita alami. Insya-Allah.
Pengharapan seharusnya bersandarkan pematuhan kepada perintah-perintah yang termaktub. Tetapi hal inilah yang sukar dilakukan. Kita sering mengabaikan bahkan melipatgandakan tindak-tanduk berkemungkaran.
Tidak sukar menyebutkan pelan tindakan menuju jalan yang lurus. Memang, setiap orang harus memilikinya. Namun, pada akhirnya yang patut dilakukan ialah semua yang telah diajarkan kepada kita oleh institusi pendidikan dan kebijaksanaan kita sendiri, sambil mantap berani menghayun langkah-langkah berbaki. Dibekali yang makruf bukan yang mungkar.
Mujurlah kita mempunyai masa yang panjang untuk kembali – mulai terdidik sampai situasi kini. Janganlah kita menuju ke sana beriring keresahan kerana diari kita bercampur-aduk dengan catatan bernila, yang tidak semurni seperti ketika kita bayi.
Dan para malaikat pun mempunyai ‘diari’ kita yang benar-benar lengkap. Sempurna. Inilah diari yang soheh dan bakal menentukan. Saksi sejati diri. Difahamkan setiap anggota sendiri boleh berkata-kata melaporkan apa yang kita putuskan dibuat ketika kita ‘berkuasa’ mencorakkan diari itu.
Kita seharusnya adalah yang dirahmati ketika masih bernafas di bumi dan berterusan diberkati apabila sudah diselimuti di alam barzakh menanti pemuktamadan Ilahi.

No comments:
Post a Comment