Friday, 4 December 2020

    Pantulan F/01/07/2020: Sajak Hilmi Rindu, “Percakapan Singkat dengan Seorang Teman” - ‘Pada-Mu Jua’

Dari “dahulu” hingga “kini” adalah suatu tempoh yang lama. Ia merubah hampir segalanya. Anak yang hilang dari desa lazimnya berubah lantaran menetap di bandar setelah berjaya dalam pelajaran. Ia jadi terpelajar, berkerjaya dan mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi. Lalu di sanalah, di tempat baru menggembur makmur mengasaskan keluarga selayaknya.
Pun, masih juga ada sebahagian yang tetap memilih kembali semula ke kampung kelahiran setelah menghirup pengalaman yang membangun peribadi yang serasi seruan Nabi. Ya, ‘kampung nan jauh di mata’…
Hilmi Rindu, Kuala Nerus, melalui “Percakapan Singkat dengan Seorang Teman” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Jilid 49, Bil. 8/2019, muka surat 80, bertembung dengan personaliti demikian.
Yang hebatnya, sempat beliau merakam rumusan pengalaman teman itu, yang sekali gus menginsafkan untuk sama-sama kita manfaatkan. Ia adalah satu laporan berkelas atasan kerana menonjolkan kebesaran Tuhan Maha Penyayang. Namun, seharusnya disisipkan pengakuan tentang indahnya “bagai tak ingin berpisah/dengan fikiran.”
Keinsafan boleh muncul dengan sebab mengalami sendiri pahit maung kehidupan, biasanya mengambil masa yang panjang. Boleh juga iktibar atau teladan diraih segera oleh peristiwa bermakna yang dialami tiba-tiba. Kedua-duanya dialu-alukan.
Tetapi dalam kes ini, kita bertuah mendapat pengajaran dari tokoh yang telah bergelumang jenuh menempuh gelombang penghidupan. Teman Hilmi itu, ia seorang yang bijaksana. Demi itulah terkesan, lalu cenderung kita bersekata, bahawa walau apa pun kenikmatan, anugerah, kekayaan, diperolehi semuanya hanya duniawi. Memang, ia seyogia disyukuri. Pun, usah terkatup hati kerana begitu pun tidak setanding dengan keredhaan-Nya jua.
Teman Hilmi ini, semoga dipermudahkan.
Aku membayangkan pengalaman diri. Suatu ketika, belum jauh kebelakangan, setiap kali berkesempatan singgah meninjau umbi. Hanya, Pak Long Mat, Pak Cik Ya, Mak Teh, Mak Cik seangkatan tiada lagi.
Teman-teman juga. Jusuh, Deraman, Harun, Ali, Razak -- sepukat tangkul memerah tenaga, sudah hilang. Memang, mereka telah berpulang. Jali, Mamat (teman paling rapat), bahkan yang lebih muda, sedang tenat, uzur dan tak giat.
Sahabat handai itu berbaki, sudah terbilang dengan jari, diungguli generasi pengganti. Mereka tidak lagi menyapa kita, tokoh tanpa nama.
Berhadapan tapak rumah ayah bonda, alur yang melimpah ketika banjir musim tengkujuh sudah tertimbus di sana-sini. Ia tidak lagi jadi pangkalan mandi. Hutan bakung tempat menebang gelam menjadi kayu api sudah jadi tapak hotel, pelbagai institusi dan kawasan rekreasi. Jalanraya bersimpang-siur menampung kereta dan mempermudah industri melonjakkan aktiviti ekonomi.
Hanya aku masih terpandang laut terbentang, pulau-pulau terpancang. Sayang nostalgia menghambar. Pupus sudah perahu nelayan berkembang layar menuju pantai.
Tuntutan masa memang telah merobah landskap. Kampung yang kutinggalkan dahulu bertukar wajah. Seakan tempat tinggalku kini. Ia ada segalanya – keperluan asasi dan tambahan. Cukup untuk semua keperluan, lebih kurang!
Maka, sama ada di sini atau di sana, tiadalah terlalu berbeda. Pengalaman mematangkan diri. Ia telah mempertemukan kita jalan lempang. Semoga diikuti selurusnya. Biar kesampaian di matlamat berkerahmatan.
Image may contain: text that says "PERCAKAPAN SINGKAT DENGAN SEORANG TEMAN Aku menemuinya suatu persinggahan sebelum diberitahu akan pulang kampung laman. Kulihat wajahnya terlukis pengalaman yang amat jauh panjang. Suaranya bergetar lunak seperti dahulu kala berkata dan berlagu namun kini sedikit tertahan sedikit perlahan bagai tak ingin berpisah dengan fikiran. Sebelum berlalu pertemuan singkat itu sempat kusimpan kata-katanya, "Ribuan tahun kembara adalah sia-sia kecuali mencari cinta yang Esa." HILMI RINDU Kuala Nerus."
Zulkifli Salleh, Rismayanti Idris and 18 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment