Pantulan F/01/08/2020: Haiku Wan A. Rafar, “Haiku Disember”
Saya percaya pada bulan Disember 2020 nanti hujan akan turun lagi di Pasir Mas (dan di kampungku sendiri, di tepi pantai itu).
Sembilan tahun dulu, ketika musim “basah” itulah Wan A. Rafar mencoret haiku sambil “merenung diri” lalu meneballah ‘takwa’nya. Alhamdulillah. Semoga ketakwaan itu tidak berdegis, terhakis bahkan meningkat tinggi berlapis-lapis.
Membaca haiku Wan tidak sesukar beliau menciptanya. Teknik suku kata 5-7-5-nya dipatuhi. Ini diakui benar-benar satu pencapaian. Ia kelihatan mudah kerana setiap patah katanya langsung difahami. Termasuk menghubungkannya dari baris ke baris setiap haiku. Dalam hal ini beliau bestari; sesungguhnya.
Ini terbukti. Silakan nikmati tukangan Wan A. Rafar, Pasir Mas, Disember 2011, “Haiku Disember” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Februari 2013, muka surat 61.
Tetapi kalau setiap rangkap/haiku kita hayati kita lebih-lebih lagi menghormati kreativiti Wan. Ada nostalgia mercup merinci untai I, II dan III. Demikianlah ketika remaja pernah melalui bahkan sebati dalam usia. Sedikit mengejutkan dalam begitu ia “membanjir hati.” Mungkin tersangat menginsafkan baginya.
Memang, banjir sentiasa cenderung mengawal pergerakan dan aktiviti manusiawi. Kalau zaman dahulu, kita berkurung semenjak pagi sampai ke pagi menyusuli. Berhari-hari. Ada ubi direbus bakar, ada nasi disuap berlauk ikan budu dan pucuk segar menular di luar.
Barangkali, perubahan era merobah rutin musim ‘air besar’, kerana rumah kediaman lebih gah, tidak seperti zaman tradisional; banyaknya yang lebih jauh sukar dan tercabar. Kini, radio sudah terkebelakang, diungguli media sosial. Tersekatpun oleh limpahan hujan di kampung semua peristiwa yang berlaku tiada terputus khabar.
Pada takah hidup menghimpit bubar, gambaran yang benar dan paling wajar diamalkan tentulah seperti dihamparkan Wan A. Rafar. Namun, bukan mudah memutar haluan, misalnya, tidak membelek pustaka yang menampung serbaneka tarikan yang boleh mengelincirkan hakikat kewujudan. Ketakwaankah bakal memimpin prioriti? Sedang kita menjadi seakan misali di kalangan waris pengganti yang mengelilingi.
Disember dahulu dan Disember sekarang tidak berbeza juga sekali gus berlainan. Usia dulu bertukar usia kini. Rutin lama berterusankah lagi sekarang? Adakah dengan takwa yang kian memberat timbangan, sambil menghampiri Pencipta, kita tiada sangsi lagi untuk pergi?
Disember yang melejuhkan itu banyak memberi ruang bermuhasabah. Semoga kita tiba pada kesedaran bahawa alangkah bersyukurnya kita dilimpahi rezeki di bumi dan kemudian di akhirat pun menanti habuan barakah kerana peti ketakwaan kita padat berisi. Samalah, kita telah benar-benar tidak mempersesiakan kurniaan-Nya.
Haiku sentiasa pendek. Ia padat menebal mengandungi pengertian selepas ditafsirkan dengan pengetahuan dan pengalaman serasi dan berlainan.
Kepada Wan, saya angkat tangan tanda penghormatan!

No comments:
Post a Comment