Friday, 4 December 2020

   Pantulan C/01/09/2020: Nawawee Mohammad, “Ketika Membaca Siasah” - Putaran malar

Suatu hakikat yang seakan tidak menjadi perbualan harian ialah kemelesapan orang bertokoh apabila tapak kekuatannya berdiri sudah tiada lagi – roboh. Kesasaannya yang berterusan bergantung kepada penerimaan di kalangan pendukung, pengikut dan pengundi yang didampingi sepanjang kesahan yang diberi. Apabila semuanya tidak mempercayai lagi ia pasti tergugat, hilang ‘keramat’.
Orang bertokoh dilupakan oleh khalayak umum kerana beberapa sebab. Pertama, kuasa ‘merealisasikan’ janji sudah tidak ada lagi tergenggam di tangan sendiri, misalnya untuk memperuntukkan kos membina sesuatu projek atau ‘habuan’ - jalan kampung, surau, pagar kubur, jersi sukan, bubur asyura, dan banyak lagi.
Kedua, setiap perakuannya kepada pihak yang berkuasa tidak diendahkan, misalnya supaya diluluskan biasiswa melanjutkan pengajian di IPTA; diambil bekerja dalam perkhidmatan awam termasuk PBT atau BBB; sebarang pencalonan menjadi ahli lembaga atau seerti dalam organisasi tidak dipeduli.
Ketiga, perakuan supaya dibatalkan saman atau denda JPJ, PDRM, PBT, Pejabat Tanah, dan lain-lain tidak dihiraukan. Keempat, tiada jemputan minum teh di Istana atau pekarangan kediaman rasmi YAB Menteri Besar/Ketua Menteri diterima lagi; jemputan merasmikan persatuan belia, sukan rakyat, Malam Puisi persatuan penyair dan lain-lain.
Kelima, keterampilan diri berubah daripada anggun menjadi selekeh. Keenam, hilang keutamaan dilayan sebagai VIP, tidak dirawat seperti menteri, tidak disambut pagaran bunga manggar dan jelitawati.
Ketujuh, …. Kelapan……. Tidak menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan jawatan-jawatan ‘sakti’ yang membolehkan ‘apa dikehendaki semua jadi’! Pendek kata yang tinggal jadi milik adalah air liur dan gusi.
Pun pengalaman dialami antara orang bertokoh berlainan. Ada orang bertokoh bernasib majal terhenti selepas hanya sebentar dikandar, biasanya sepenggal. Yang sedikit handal, merasai dua tiga penggal. Sangatlah bertuah jika tetap kebal lalu terlanjur banyak penggal.
Dalam kata-kata lain, ada orang bertokoh yang merudum lenyap tiba-tiba, belum sempat berjasa atau berharta. Ada yang berpeluang merasa nikmat yang berpada tidak sangat melaba dan ada juga yang bertakhta lama dan berkuasa secara bijaksana atau, sayangya, sampai berleluasa berakhir merana.
Tentulah banyak sebab membawa situasi yang berlainan di kalangan mereka.
Walaupun orang bertokoh lazimnya terpelajar, di kalangan mereka ada yang terkeliru kaedah mengendali diri sebagai seorang pelaku misali. Kalau hendak dipinjam istilah atau frasa Nawawee Mohammad, penyair yang kita pantuli, gejala “gelojoh nafsunya” yang mengorkestrakan kelainan nada dan lagu yang tidak merdu di kalangan khalayak majoriti. Maka, hayatnya singkat langsung kehilangan tandu.
Teman-teman dijemput mengelusi puisi Nawawee Mohammad, Walailak University, Nakhonsithamarat, 18 Februari 2013, “Ketika Membaca Siasah” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Jilid 44, Bil 2 [Februari] 2014, muka surat 79, agar tercetus persepsi sendiri. Lebih tujuh tahun berlalu Nawawee meneliti. Berubahkah bidang ini di kalangan generasi?
Kita telah sekian lama menjadi saksi persiasahan merebut hak pemerintahan. Di samping itu, kita pun menggali pustaka untuk lebih mengenali versi-versi dan membuat perbandingan bestari.
Muncul di mata, orang bertokoh yang awalnya timbul cemerlang, kemudian tersasar haluan berakhir kecundang. Alangkah bertuah menjadi rakyat menghirup limpahan nikmat kesan siasah yang berkeprihatinan kelompok kecil orang bertokoh yang benar-benar berwibawa. Rakyat menang dan pemimpin dikenang kerana prinsip perkhidmatan yang bertujuan memberi kebaikan kepada semua orang yang menaruh pengharapan, memberi amanat dan mendukung sistem berpartian sentiasa dijulang.
Adakah mereka, orang bertokoh bidang siasah, berupa demikian? Sedangkan, persepsi kini kian menentu, menculakan politik tidak seputih susu. Dalam sekitaran begitu adalah menjadi satu cabaran para pemuka berperibadi terpuji supaya kebenaran tegak atas paksi telus ikhlasi, saling memanfaati. Semoga, dalam kepelbagaian tanggapan yang melunturi asas berdemokrasi, masih ada orang bertokoh yang bersiasah mengakur piawai murni.
Image may contain: text that says "KĘTIKa MEMBACA SIASAH Memiliki nasib, tidak ubah ternakan. Bermula kecil kecil dan pertengahan, terakhirnya lupus. Alam pertengahannya, ibarat musim membiak. Anak anak bertaburan, di mana ceruk. Saat menyubur halaman, disanjung ditatang dijulang. Hebatnya sentiasa bertaring, menyusup segenap ruang. Gelojoh nafsunya, memasuki rumah dan dapur páda menunduk dan menguasai. Demikian jiwa siasah, meniti hayat harakiah, Nawawee Mohammad Walailak University, Nakhonsithamarat, Thailand Februari 2013"
Zulkifli Salleh, Leo Aws and 24 others

No comments:

Post a Comment