Friday, 4 December 2020

    Pantulan C/01/10/2020: Sajak Zurinah Hassan, “Sejarah dan Sajak” - Mampan menghiasi

Ada beberapa sebab saya memilih sajak [Dato' Dr.] Zurinah Hassan, “Sejarah dan Sajak”, (Puisi Pilihan), Dewan Sastera, Jilid 44, Bil. 4 [April] 2014, muka surat 24.
Pertama, ia pendek. Kedua, ia menggabungkan bidang pengkhususan pengajian saya (Sejarah) dan minat peribadi (kepuisian). Ketiga, ia mengingatkan kepada petikan yang masyhur “History is written by the victors”.
Terlepas dari itu, yang juga sama pentingnya, meneliti tafsiran Zurinah terhadap sejarah dan sajak itu sendiri; bagaimana ia sampai dicipta. Rupa-rupanya dipersepsikan bahawa sejarah adalah suatu penulisan “pemerintah” sedangkan “sajak” adalah suatu hasil kreativiti orang kalah yang bertukar peranan menjadi “pendesak” dalam pemerintahan itu.
Dalam kata-kata lain, sajak itu adalah gumpalan madah cetusan resah orang yang kalah. Fenomena ini unik. Ia jadi menarik dan menguja telaahan. Ternyata, sajak yang singkat ini, menyelirat senang ke akar fikiran, namun sekali gus memerah minda meluahkan berkajang-kajang pembicaraan. Ini sudah suatu kemenangan
Memang sindiran Zurinah mengena. Paling menonjol bidang persajakan bukan medan utama bahkan tersangkut di bawah. Orang-orang yang menang tidak memilih bidang ini untuk menempa nama. Tetapi, disukai atau tidak, tamadun manusia semenjak dahulu hingga kini menggemblengkan perlakuan kedua-dua golongan tersebut lantas memaknakan.
Tafsiran paling mudah terhadap kebangkitan tamadun ialah peranan terkehadapan yang dimainkan oleh kelompok yang berkuasa dalam sesuatu masyarakat atau bangsa. Pada masa yang sama golongan lain terbenam sumbangan. Seakan mereka setaraf para penyajak yang mencipta sajak (menyuarakan desakan atau keluhan) kerana tidak berupaya memenangi persaingan dan menentukan hala tuju bermaruah seperti yang boleh dilakukan pemerintah.
Tentulah ini hanya sejenis bentuk perlekehan yang sengaja ditonjolkan mendramatikkan permasalahan. Apalagi kalau medan kreatif ini ternyata dibiar bergelumang dengan keterabaian dan kerendahtarafannya.
Tahap seterusnya wajar bagi kita merinci ialah menyatakan bahawa sajak adalah mengandungi keluhan, sesuatu yang sehati dengan perlakuan orang yang dikalahkan. Orang yang kalah boleh jadi majoriti atau juga minoriti. Sistem bernegara yang diamalkan menjadikan golongan itu tidak mampu merobah keadaan kerana kelemahan yang dimiliki atau kekangan unsur-unsur yang menjadikan mereka tidak berupaya.
Puisi (baca, sastera) memerlukan orang yang menang berbuat sesuatu - menggubal dasar agar ia tidak layu, mendayu-dayu dan didayu-dayukan. Di samping itu, puisi juga memerlukan aktivis tegar yang pakar untuk menyerlah dan mempengaruhi individu, kelompok dan massa sepanjang pemerintahan.
Tetapi tidak semua puisi atau penyajak itu harus didukung. Paling tidak, sajak mesti bermutu tinggi, demi meraih simpati, tersebar, tersohor dan dijunjung. Ribuan penyajak berkarya semampunya. Ratusan kumpulan dan antologi sajak berlambakan. Sayangnya, sebilangan naskhah menyerlah dan segelintir penyajak dikenali, malah oleh penggemar yang tegar pun. Majoriti memang alah.
Di kalangan penyajak, berapa orangkah berciri sejati? Berapa orang penyajak ini dikenali sajak-sajak ciptaan mereka yang ribuan itu? Adakah sajak-sajak mereka itu menjadi buah mulut, dilagukan, dihafal, diadaptasi atau sering dipetik bagai kata-kata sakti, apabila timbul keperluan – mengobarkan semangat, mengutuk penyalahgunaan kuasa dan kedudukan, mengekang pembaziran, meluahkan kesengsaraan marhaen oleh kezaliman, membendung kemaharajalelaan, menyanjung pencapaian cemerlang, menghargai pengorbanan, mengagungkan kebesaran Ilahi, kesucian agama dan lain-lain. Pendek kata, mengertikan ketamadunan dalam ruang lingkup sesempurnanya.
Ataukah sajak-sajak yang dicipta oleh penyajak bernama ini sekadar terlitup dalam kumpulan sajak masing-masing lantaran kecanggihannya menumpul penghayatan? Lalu, sesekali, menjadi bahan kajian atau hiburan segelintir peneliti profesional yang boleh dikira dengan jari sahaja? Bersenggang-senggangan.
Diakui segugus sajak-sajak Chairil Anwar, Amir Hamzah, Kassim Ahmad, A. Latiff Mohidin, Usman Awang boleh jadi tertunjang dalam ingatan. Kalau mahu ditambah sebarisan nama lagi boleh dikenal pasti – mapan atau terbaru. Sebilangan penghafalnya mempunyai sebab-sebab tersendiri mengingati kewujudan dan pengkaryaan tokoh-tokoh ini. Tetapi sajak-sajak lain selebihnya itu, adakah tergolong sajak-sajak melewah? Maka, memadaikah dilayan dengan mata sebelah dan hati terbelah?
Sajak tidak diharap dijulang semua orang. Ini wajar. Namun ia tetap bermakna. Ada pemujanya. Maka biarlah kekal tercipta. Sedikit pun tak mengapa. Bilangannya yang banyak tidaklah perlu dibanggakan. Penampungan sajak sewajarnya bukan untuk melayan karenah pendesak.
Aku suka kalau pendesak ini mampu mencipta sajak-sajak seperti yang dicipta oleh deretan penyajak-penyajak bernama tersebut. Khalayak dididik supaya mengendahkannya sebab ia terbukti berhasil memperkaya batin di samping membangun minda lantaran sajak-sajak itu benar-benar sajak. Sempurna piawai. Masak oleh janaan dan sepuhan pemikiran yang tercanai bijak. Setiap membacanya bertambah nilai diri. Ia ciptaan jaguh seni bersendi minda bestari.
Sajak yang sebenar-benar sajak akan kekal diingati. Lalu penciptanya disebut-sebut mewangi walaupun generasi silih berganti. Siapapun penyajak, karyanya mesti unggul berciri sajak sejati untuk dikenang sebagai pemenang peradaban manusiawi. Selamanya menghiasi.
Image may contain: text that says "SEJARAH DAN SAJAK Menyingkap peta dan riwayat Tamadun demi tamadun terbina Perang demi perang berulang Yang menang menjadi pemerintah Yang kalah menjadi pendesak Yang menang akan menulis sejarah Yang kalah akan menulis sajak."
Zulkifli Salleh, Ahmad David Kholilurrahman and 36 others
3 comments
24 shares
Like
Comment
Share

Comments

  • Menarik. Insya Allah lepas maghrib menyimaknya secara dalam.
    1
    • Like
    • Reply
    • 15 w
  • Ya, benar juga kajian/ penelitian Dato' Ahmad Said yg kali ini memantul pensyair wanita pertama SN kita, Dato' Dr Zurinah Hassan .. justeru SEJARAH MELAYU Sulalatus Salatin memang karya agung prosa pujangga Kerajaan melayu Melaka yg kalah 100 tahun terdahulu ..
    1
    • Like
    • Reply
    • 15 w

No comments:

Post a Comment