Friday, 4 December 2020

    Pantulan C/02/11/2020: Sajak Zurinah Hassan, “Runtuhnya Pentas Dikir Barat” - Tragedi ewa bule             kulat male

Kalau kita hendak menghayati suatu riwayat tragedi di “Tanah Serendah” atau “Kelantan” (dan juga daerahku Besut), elok kita minta [Dato' Dr.] Zurinah Hassan mendikirkan sajak beliau, “Runtuhnya Pentas Dikir Barat” (dedikasi untuk Cikgu Naim dan para pendikir) (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 06 [Jun] 2015, muka surat 68. Suaranya bersyair mengasyikkan. Tentulah berdikir pun suara itu kekal merdu tidak kalah dengan ‘Kajol’ penyanyi dikir yang tersohor itu.
Sebab kalau dibaca, “ada sekor anak tupa atah jula mokte” kita tentu waswas bagaimana orang Kedah mendikirkannya begitu betul. Tetapi dalam ketiadaan gubahan tentang persoalan yang serupa atau seumpamanya daripada penggubah negeri sumber asal, ketepatan dikir itu melayakkan beliau diterima sebagai anak jati negeri Cik Mek Molek. Tambah-tambah lagi, dikiran ini lebih panjang berbanding kebanyakan sajak-sajak yang ditempanya yang lain. Ia memancang tragedi di minda khalayak tanpa goyah lagi.
Yang menyelerakanku lagi, tragedi Mat Leh Tapang, Seman Wau Bulan, Husin Gelang Mas, Dollah Kulat Malam, dan lain-lain tukang karut dan jogho-jogho setokoh Saleh Jambu, Ripin Ana, Daud Bukit Abal dan lain-lain digandingkan dengan Si Luncai. Mungkin kerana mengelakkan terlalu panjang tidak disentuhnya sekali harung Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang, dan juga tokoh-tokoh lara perihalan Tun Seri Lanang yang sangat-sangat dikuasai beliau itu.
Namun, tanpa Si Luncai pun cerita dikir barat tetap terapung sebagai tragedi. Benar-benar mampu ‘berdikari’ merangkum dimensi khususinya.
Pengalamanku ‘berdikir karut” sangat awal bermula. Pada tahun-tahun awal 1960-an. Aku ingat ketika Kampung Sentosa, Besut, tempat sebahagian orang-orang sekampungku berpindah di tapak yang dikhususkan oleh kerajaan, permainan rakyat ini begitu gah. Pesta sempena perasmian itu sangat meriah, dipenuhi pelbagai permainan yang dipadah, siang malam, untuk beberapa hari berturut-turut. Ada pertandingan layang-layang, wayang kulit, dikir barat, rebana ubi, dan lain-lain. Kemeriahan acara zaman kecil itu masih terbayang kini.
Begitu juga, setiap tahun, sambutan kemerdekaan peringkat daerah tidak melupakan permainan tradisional itu sebagai hiburan rakyat. Bersama-sama teman-teman sebaya, biasalah kami berjalan kaki 8-10 kilometer pergi balik untuk menontonnya di Kampung Raja.
Aku sendiri dikira penggerak sebahagian tradisi ini. Ketika masih belajar di Universiti, dalam satu senggang cutinya, bersama seorang kawan sekampung kami menganjur satu pertunjukan dikir barat. Masih teringat kami berVespa ke Bukit Abal, ke rumah Daud jogho dikir dan melalui beliau dapatlah pertunjukan itu direalisasikan, sekitar 1972. Ripin Ana, dan dua tukang karut, (terlupa namanya) datang memenuhi jemputan. Anjuran itu kuingat tidaklah membawa laba melewah, tetapi pelibatan itu mencatat bukti kesungguhanku yang kukira bertaraf tinggi.
Tetapi setakat itulah yang dapat dibayangkan keadaannya. Sebagai pendukung tegar melihat tayangan ulang dikir barat di TV atau majlis-majlis rasmi beberapa tahun dahulu ia tidak setanding dengan zaman-zaman 1960-1970-an. Periode awal itu aku kira zaman kegemilangan, tiada taranya.
Lagu-lagu dikir barat banyak tersimpan baik di dalam kotak di rumahku. Sampai kini. Bila-bila masa aku boleh bernostalgia dengan mendengar dikir barat ‘ori’, termasuk dari segi lirik dan tema-tema yang ‘menggegar, menggeger’ sebahagiannya ‘vulgar’. (Boleh jadi unsur-unsur ini menjadikan pihak berkuasa negeri menghalang perkembangannya.)
Koleksi kaset dan CD dikir baratku termasuk juga versi-versi lebih baru oleh pendikir dan ‘penyanyi’ dikir yang trendi dianggap mewakili era-era kewujudannya. Aku pun masih menyimpan sebuah kaset “Salam Untuk Sahabat Cik Gu Naim” (SLZ Production, Jerteh, Terengganu) yang nampaknya menjadi dedikasi Zurinah tersebut.
Sesekali dalam keretaku lagu-lagu dikir Megat Nordin berkumandang menemani perjalanan jauh ke Kota Bharu dan balik ke Petaling Jaya. Termasuk jugalah lagu-lagu dikir versi moden dengan iringan muzik kurang tradisional bukan asal dikir lagi.
Aku kurang pasti sama ada dikir barat boleh dihidupkan semula dengan ubahsuai selaras perkembangan falsafah pendidikan dan dasar kebudayaan kebangsaan (?). Yang pasti dikir barat asli tidak lagi boleh ditonton. Pun generasi dahulu itu hanya tinggal bakinya. Hampir boleh dibilang dengan jari. Tiada pun orang menangisi kelupusannya.
Kalau ingin mengenang pengalaman silam, aku masih seorang diri mendengarnya. Tiada siapa pun yang lain teringin bersama-sama.
Benarlah Zurinah. Tiada siapa boleh menyara diri dengan berdikir. Seni ini dan lain-lain yang serangkaiannya tidak didukung pihak negeri. Bahkan juga oleh generasi kini.
Image may contain: text
Rismayanti Idris, Ahmad David Kholilurrahman and 14 others
1 comment
Like
Comment
Share

Comments

  • Alhamdulillah pernah mewakili sekolah hingga ke peringkat kebangsaan. Tahniah kumpulan dikir Sek Men Nasiruddin Shah

No comments:

Post a Comment