Pantulan F/01/12/2020: Sajak Rudi Mahmood, "Ketika Sunyi Itu Merata” - Jelira ke akhir
Sajak Rudi Mahmood, Pasir Mas, Februari 2015, “Ketika Sunyi Itu Merata”, Dewan Sastera, Mei 2015, muka surat 72, amat perlu dikulum-kulum dan dikunyah-kunyah untuk akhirnya meraup patinya. Tetapi patinya, terbukti, adalah keseluruhannya. Tiada keraguan lagi.
Pun, kalau ingin kita menikmati keindahan sesebuah sajak, penjudulan pun sudah berpadanan. Judul yang menjadi mampu meninggalkan kesan yang dimaksudkan. Apakan tidak. Ehwal ke”sunyi”an diserkap lalu diberitahu impaknya “merata”. Bermaknalah suasana yang bening syahdu itu mencerap ke segenap pancaindera. Jelira.
Sajak ini tidaklah sampai perlu dianalisis sediksi-sediksi. Kita boleh mencapai kepuasan minda walaupun menghadkan kupasan kepada judulnya sahaja. Namun, dalam raga sajak ini, kalimat ini pun mendesis lagi; diulang-ulang dua kali. Menjadikan semuanya tiga kali (mengira sekali judulnya). Kepandaian Rudi meletakkan ketiga-tiga kalimat yang serupa itu pada tempat-tempat yang serasi telah menjadikan sajak ini muncul sebagai sajak yang 'sebenar'. Ia mengena, halus, terbaur dalam sekali gus menjunjung fungsi menghuraikan makna secara berseni.
Sebagai pembaca kita mewah pilihan menghargai gubahan seseorang yang ahli berpuisi. Paling kurang, tetapi bukan menafikan nilai estetikanya, dengan mengelus judulnya sahaja boleh teraih semaksimum mungkin impak kreativitinya. Lalu kita berpada, berhenti meneruskan terhadap yang lain-lain. Tidak perlu juga kita mencari-cari atau meneka-neka ujaan apa menjadikan Rudi menjudulkan begitu. Biarkan Rudi dengan pengalamannya. Sebaliknya, kita terus boleh mengaitkan dengan pengalaman sendiri tentang kerataan sunyi di detik tersebut. Ya, setakat itu saja. Biarlah sebegitu.
Boleh juga, kita mengutip frasa atau judul itu dalam keseluruhan sajak dan sambil lalu menikmati keindahan kalimat-kalimat dan diksi-diksi lain dalam proses itu. Dan dalam pendekatan ini, jangan abaikan letak duduk “Ketika sunyi itu merata”. Ternyata, satu berdiri dalam kalimat sendiri dan satu lagi, sungguhpun begitu (iaitu satu kalimat sendiri juga), tetapi tertampil di tepi, lantas menyerikan sulaman.
Memang, kita juga ada pilihan terus menumpu kepada rangkap pertama sahaja. Atau, tidak salah bertumpu kepada rangkap kedua sahaja. Kesan-kesan yang menyenangkan boleh terbangkit. Tiada ia sulit sedikit pun.
Tentulah begitu besar tuntutan untuk mencungkil maksud sajak sesajak anyaman Rudi pada keseluruhannya. Tentulah segelintir sahaja yang bersedia melakukan (kerana waktu yang dimiliki juga menuntuti tanggungjawab lain dalam kehidupan seharian).
Sesebuah sajak haruslah seperti ciptaan Rudi ini untuk layak dijenguk lebih daripada sekali atau lebih tepat, berkali-kali. Oleh sebab yang sama, ia diingati untuk satu jangka masa yang berpanjangan merentas generasi.
Aku percaya, dengan judul sebiasa ini sahaja pun sajak ini akan abadi lantaran menyihir luar biasa. Ini bermakna, jika semua sajak ini diamati, ia bukan lagi suatu pantulan bahkan seakan disertasi!

No comments:
Post a Comment