Friday, 4 December 2020

   Pantulan E/01/13/2020: Sajak-sajak Kelompen - Biar jangan terlepas

Suatu ketika saya berpeluang hadir satu majlis kesusasteraan anjuran DPMP di Kuantan. Ia malam yang meriah. Sasterawan Pahang yang berbakat telah menerima hadiah daripada Kerajaan Negeri disampaikan oleh YAB Menteri Besar. Salah seorang yang menerima hadiah pada malam itu ialah pemuda tinggi lampai Kelompen. Pada malam itu jugalah aku berkenalan dengan beliau dan kami sempat bergambar ketika majlis belum lagi bermula di Hotel Grand Continental itu.
Kelompen dan aku beberapa kali lagi bertemu selepas itu. Aku ingat pernah duduk sederetan dengan beliau dan isteri di PULARA, Pulau Pangkor. Terakhir aku terserempak lagi dengan beliau di Pesta Buku Kuala Lumpur di Serdang beberapa tahun dahulu.
Dalam pada itu, dalam belekanku terhadap Dewan Sastera, pernahlah juga aku melintasi karya-karya kreatif beliau. Boleh kusenaraikan di sini beberapa:
a. “Malam Ini Kulamar Bulan” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 4 [April] 2018, muka surat 75.
b. “Syair Amal Kebaikan” [Ujana Klasik - Jawi], Dewan Sastera, Bil. 11/2018, muka surat dalam kulit belakang.
c. “Gurindam Kawan” [Ujana Klasik - Jawi], Dewan Sastera, Bil. 12/2019, muka surat dalam kulit belakang.
“Malam Ini Kulamar Bulan” adalah sebuah ‘sajak’ yang mengasyikkan. Aku harus menyebut, bukan senang tertarik dan tertawan oleh sajak-sajak “Puisi Bulan Ini” dalam Dewan Sastera yang lazimnya mengandungi 12 sajak setiap bulan (selain puisi khas dan pilihan). Tetapi dalam sajak ini solekan Kelompen ke atas diksi-diksi yang sangat biasa dalam pemakaian harian menjelmakan sebuah gubahan sajak yang sekali gus memperakui bakat semula jadi pengkaryanya.
Dalam catatanku yang tidak disudahkan terhadap ‘penemuan’ sajak itu aku menulis seperti berikut:
“Dalam 12 sajak yang terbit dalam Puisi Bulan Ini, Dewan Sastera setiap bulan bukan mudah terpikat dengan sogokan itu sampai teruja membacanya beberapa kali. Ternyata, sajak tidak banyak tercipta. Namun, pada gubahan Kelompen, “Malam Ini Kulamar Bulan” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 4 [April] 2018, muka surat 75, sebuah sajak muncul. Ia sebuah permainan kata yang benar-benar mencirikan sajak. Ia menggunakan kata-kata lembut mengusik hati ketika bulan di awan tinggi. Semuanya mengenai, kecuali “seketikanya”. Juga, tidak perlu dicungkil maknanya kerana sebuah sajak mampu berdiri dengan kalimat-kalimat yang diulang-ulang tanpa melewahi. Ia mewarnakan alam pada ketika yang sentiasa memerangkap sunyi dan sepi.” [Ini sebuah sajak menuntut kerahan masa dan minda untuk diadili].
Hari ini (24 Oktober 2020) belekanku menemukanku sebuah lagi ‘sajak’ Kelompen, “Tulisan Dinding” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 8/2020, muka surat 75.
Ini sajak yang lebih kuat kerana pembicaraannya yang menjadikan karya ini boleh bertanding dalam serba-serbi aspek persajakan. “Wasiat”, “rumah pusaka” dengan segala permasalahannya menjadikan ia sebuah wadah untuk dibincangkan seperti orang membincangkan sajak-sajak Latiff Mohidin, Kassim Ahmad, atau nama-nama besar yang lain.
Aku suka sekali dengan suasana kekampungan atau kedesaan yang menyelungkupi latarnya. Ada “denai”, “duri rotan”, “dahan”, “cucur atap”, “pokok rambutan”, “kerengga” dan lain-lain. Kerana itulah juga sajak ini menjadi bertambah indah. Semua orang pun tahu rasa “gula batu”. Dan rasa ini menyelinap ketika menghirup sajak ini.
Sambil terpegun aku suka mengulangi seruan Kelompen, “peliharalah apa yang ada.”
Sehelai sentuhan terlalu tidak mencukupi. Ini sebuah sajak yang tak tersangkal lagi mampu menerbitkan sebuku tafsiran di kalangan sejarawan.
Image may contain: text
Ahmad David Kholilurrahman, As Abbas and 15 others
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment